Opinion

Bila Khairy akan letak jawatan demi SPRM?

Tun Musa Hitam dan Datuk Zaid Ibrahim meletak jawatan daripada jemaah menteri kerana prinsip.

Bilakah Khairy Jamaluddin yang kononnya menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meletak jawatan menteri untuk membelanya?

Kerana jemaah menteri beroperasi sebagai pasukan dengan tanggungjawab bersama, maka menteri mempunyai kewajipan untuk meletak jawatan apabila mereka tidak bersetuju dengan dasar atau pendirian asas pemerintah.

Dalam istilah demokrasi berparlimen, ahli-ahli Parlimen parti pemerintah dan parti pembangkang utama dibahagi kepada 2 jenis: ahli bangku depan (frontbenchers) dan ahli bangku belakang (backbenchers), dinamakan demikian atas tempat duduk mereka dalam Dewan Parlimen.

Ahli bangku depan merangkumi kesemua ahli yang menyertai eksekutif sebagai menteri dan timbalan menteri (dan dahulunya di Malaysia, setiausaha Parlimen).

Mereka mesti menyokong pendirian pemerintah dan, kalau ada pengundian dalam Parlimen, segala rang undang-undang dan usul yang dikemukakan pemerintah, kecuali dilepaskan kewajipan ini secara nyata.

Maka undi-undi bangku depan digelar “undi atas senarai gaji (eksekutif)” (payroll vote).

Fungsi Parlimen terjejas apabila terlalu ramai daripada ahli Parlimen menerima gaji eksekutif dan berwajib menjadi pak turut perdana menteri.

Ahli bangku belakang parti pemerintah disalahterjemahkan di Malaysia sebagai “penyokong kerajaan”.

Mereka bebas mengkritik pemerintah dalam Parlimen.

Meraka malah boleh membuang undi menolak rang undang-undang dan usul yang dikemukakan pemerintah.

Apabila ini berlaku (namanya "backbench revolt" atau pemberontakan bangku belakang), maka mereka boleh dipecat daripada parti (ungkapan teknikalnya “have their whip removed” atau dilepaskan daripada kuasa Ketua Whip).

Ini bermakna mereka tetap kekalkan keahlian Parlimen tetapi tidak boleh lagi bertanding di bawah tiket parti dalam pilihan raya akan datang.

Apabila “pemberontak bangku belakang” terlalu ramai, maka parti pemerintah mungkin terpaksa tunduk kerana pemecatan ahli-ahli ini akan kurangkan majoritinya dalam Parlimen.

Bersama-sama dengan ahli pembangkang, ahli “bangku belakang” parti pemerintah yang menjamin eksekutif bertanggungjawab kepada Parlimen.

Maka, untuk demokrasi berparlimen berfungsi dengan sihat di antara Parlimen, kita sebenarnya perlukan 2 kemungkinan: pertama, ahli bangku belakang parti pemerintah sanggup memberontak; kedua, ahli bangku depan (menteri dan timbalan) sanggup meletak jawatan untuk duduk di bangku belakang.

Satu contoh klasik peletakan jawatan oleh menteri di dunia Komanwel ialah peletakan jawatan Menteri Luar United Kingdom (UK) Robin Cook berikutan bantahan beliau terhadap keputusan Jemaah Menteri Tony Blair untuk membawa UK masuk ke Perang Iraq.

Teladan begini juga pernah wujud dalam sejarah Malaysia.

Pada 1986, Musa meletak jawatannya sebagai timbalan perdana menteri kerana tidak bersehaluan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pada tahun 2008, Zaid meletak jawatan sebagai menteri Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal-ehwal undang-undang untuk membantah penahanan tiga orang awam – ahli Parlimen Teresa Kok, aktivis Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Tan Hoon Cheng – di bawah Akta Keselamatan Dalaman.

Dalam sebuah negara yang tidak ada budaya untuk menteri meletak jawatan kerana bertanggungjawab atas kegagalan dan kesilapan kementeriannya, peletakan jawatan Musa dan Zaid mempunyai makna yang tinggi sekali.

Musa dan Zaid mengingatkan kita, jawatan menteri bukanlah segala-galanya dalam kerjaya politik dan boleh ditinggalkan kerana prinsip.

Musa dan Zaid bagaikan langit daripada bumi apabila dibandingkan dengan Datuk Nur Jazlan Mohamed, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datuk Wilfred Madius Tangau.

Dengan Nur Jazlan sebagai ketuanya, keempat-empat bekas ahli bangku belakang Barisan Nasional (BN) adalah ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC), jawatankuasa yang paling berkuasa dalam Parlimen Malaysia.

Kalau di negara lain, PAC dipengerusi oleh ahli pembangkang dan mempunyai bilangan anggota jawatankuasa yang agak seimbang daripada keanggotaan parti untuk memaksimakan semakan dan imbangan kepada kuasa eksekutif.

Di UK sebagai contoh, PAC diketuai oleh seorang ahli Parti Buruh (pembangkang) dan cuma lapan daripada kesemua 15 orang ahli dari Parti Konservatif (pemerintah).

Di Malaysia, lapan daripada kesemua 13 ahli PAC termasuk pengerusinya adalah daripada BN.

Ini bermakna keberkesanan PAC sebenarnya amat bergantung kepada ketinggian hemah ahli bangku belakang BN – apakah mereka dapat meletakkan kepentingan orang awam di atas kepentingan parti kerana mereka tidak berada di atas “senarai gaji (eksekutif)”?

Malang sekali, rombakan Kabinet pada penghujung Julai ini menunjukkan jawatan menteri malah timbalan menteri cukup untuk 4 orang ahli parlimen ini untuk meninggalkan tanggungjawab mereka sebagai PAC.

Penerimaan perlantikan Eksekutif oleh kumpulan “Mantan PAC 4” ini cuma mungkin ada 2 taksiran.

Taksiran pertama, mereka yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memang tidak bersalah laku dalam kes 1MDB maka mereka dengan bangganya ingin menyertai pasukan Eksekutif beliau.

Taksiran kedua, jawatan menteri dan timbalan menteri adalah jauh penting daripada hutang 1MDB RM 42,000,000,000 yang disiasati oleh mereka.

(Jika RM 42,000,000,000 disimpan dalam sebuah akaun bank, dan setiap hari dikeluarkan RM 5000 (had pengeluaran wang ATM), maka wang itu hanya boleh diambil keluar selepas 23,013 tahun 8 bulan 15 hari.)

Kalau ahli bangku belakang BN begitu tidak boleh diharapkan, apakah kualiti ahli bangku depan BN?

Nyata sekali, sungguhpun sama-sama dari negeri Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukanlah Musa. Daripada meletak jawatan kuasa dengan bermaruah, Muhyiddin tunggu sampai dipecat daripada Kabinet.

Tidak hairanlah Musa yang turut meletak jawatan sebagai timbalan presiden Umno dipujuk oleh rombongan Majlis Tertinggi Umno untuk kekalkan jawatan partinya manakala Muhyiddin sekarang dimalukan dengan desakan untuk meletak jawatan timbalan presiden.

Begitu juga dengan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kononnya tidak setuju dengan Najib atas isu 1MDB tetapi tetap memeluk jawatan menteri sampailah saat dipecat.

Maka, siapa dalam Kabinet Najib yang mungkin ada prinsip untuk meletak jawatan kuasa kerana 1MDB?

Nama yang semulajadi harus muncul ialah Idris Jala dan Paul Low. Satu dilantik untuk menambahbaikkan pentadbiran dan satu lagi untuk memupuk integriti.

Apakah cara 1MDB dikendalikan itu selari dengan nilai dan prinsip mereka?

Sememangnya kedua-dua daripada mereka adalah pada senarai gaji yang berlainan – sebagai senator yang tidak ada beban menghadapi pengundi. Apakah hati nurani mereka menjadi beban dalam mimpi?

Mungkin calon yang paling berpotensi untuk mengikut jejak megah Musa dan Zaid ialah Khairy Jamaluddin.

Dua hari yang lalu, Khairy menyeru SPRM untuk menyoal bosnya Najib sumber dermaan misteri RM 2,600,000,000. 

Kini setelah 2 orang pegawai kanan SPRM yang menyiasat 1MDB dipindah ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), Khairy membuat kenyataan “intimidasi terhadap SPRM perlu diberhentikan semula”. 

Ini kenyataan yang berbunyi cukup berani tetapi keberanian itu “jasa baik mulut” (lip service) kalau tidak diikuti dengan tindakan.

Baru-baru ini Najib sendiri mengaku beliau menghargai kesetiaan dan bukan sekadar kecerdikan. 

Apakah Khairy dikekalkan sebagai menteri dalam rombakan kabinet kerana kecerdikan atau kesetiaannya?

Jawapannya mungkin berada dalam soalan ini:

Apakah Khairy akan letak jawatan menteri jika dua pegawai kanan SPRM itu tidak dipindah kembali daripada JPM? – 8 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments