Opinion

Biadabnya DAP hina orang Islam dengan bina masjid?

Islam akan mengalu-alukan masjid dibina, tak kira oleh siapa. Nasionalisme Muslim akan takutkan orang Islam dibantu, kalau ia daripada bukan Islam.

Dalam dunia kewartawanan, ada suatu pedoman yang kelakar tetapi benar: “Anjing gigit manusia bukan berita. Manusia gigit anjing barulah berita”.  Dalam kata lain, keganjilan adalah inti pati kepada berita.

Minggu lepas ada dua berita saling berkaitan, yang seganjil manusia gigit anjing. Keganjilannya mengharuskan perhatian sungguhpun tidak sepenting berita Pakatan Rakyat (PR) pun menghembuskan nafas terakhirnya.

Berita pertama: DAP ingin membina masjid di Pasir Tumbuh, Gua Musang.

Berita kedua: Umno melihat pembinaan masjid suatu penghinaan kepada orang Islam apabila ia ditaja oleh DAP.

Mengapa “parti anti-Islam” sokong pembinaan masjid?

Berita pertama itu ganjil kerana DAP itu kononnya parti anti-Islam, yang pemimpinnya selalu mengadu tentang suara azan dan berkonspirasi untuk menubuhkan negara Kristian di Malaysia. 

Mengapa parti “anti-Islam” ini ingin membina masjid? Bukankah pembinaan lebih sebuah masjidpun akan memperkasakan Islam? Apa tipu muslihat “parti anti-Islam” ini?

Terdapat sekurang-kurangnya dua penjelasan yang sangat berlainan seperti langit dan bumi.

Penjelasan pertama: DAP tidak anti-Islam tetapi sebaliknya pro-Islam.

Itu sebabnya ia semakin menarik tokoh-tokoh dan aktivis-aktivis Melayu menyertainya. Dan ini tidak terhad kepada orang muda seperti Zairil Khir Johari tetapi juga merangkumi mereka yang lebih berpengalaman seperti Sakmongkol AK47 (Mohd Ariff Abdul Aziz, ahli Parlimen Raub) dan kini A. Samad Ismail (Sasterawan Negara). 

Penjelasan kedua: DAP memang anti-Islam sekalipun ia berbuat baik untuk Islam dan umatnya.

Oleh kerana kesimpulan sudah dapat, maka hujahnya senang dicari.

Pertama, dalam melakukan amal,  DAP mungkin membawa angkara yang jahat. Sebagai contoh, kalau ia bina masjid, ia mungkin membawa bahan bacaan liberalisme yang menghalalkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Melayu atau penyentuhan anjing oleh orang Islam sunni yang bukan bermazhab Maliki.

Kedua, DAP itu cuba menyembunyikan naluri anti-Islamnya. Mengikut logik ini, DAP salah kalau menentang pembinaan masjid, dan DAP salah juga kalau ia membina masjid. 

“Ditelan mati emak, diluah mati bapa.” Dalam keadaan ini, bukti DAP berniat jahat tidak perlu ada. Kalau tiada bukti dapat dicari, maka ini akan boleh bermakna DAP terlalu pandai menyembunyikan nalurinya dan orang Islam sudah tentu mesti lebih berhati-hati apabila DAP membantu orang Islam.

Mengapa Umno menentang pertambahan masjid?

Ini berita yang kedua. Mengapa Umno sebagai sebuah parti memperjuangkan kepentingan orang Islam-Melayu harus menentang cadangan DAP untuk membina masjid? Bukan pertambahan masjid baik untuk Islam dan umatnya?

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menyifatkan cadangan DAP itu sebagai penghinaan kepada umat Islam kerana ia seolah-olah menafikan usaha kerajaan persekutuan yang membina 24,000 masjid dan surau di seluruh negara.

Sudah tentu, selain 24,000 buah masjid dan surau, terdapat juga masjid dan surau yang dibina oleh Umno, PAS, badan-badan bukan kerajaan, atau individu-individu.

Mengapa kali ini pembinaan masjid oleh pihak lain menjadi penafian usaha kerajaan persekutuan dan seterusnya penghinaan kepada orang Islam?

Sudah pastinya DAP menjadi tumpuan kerana ia dilihat sebagai parti Cina sampailah ahli-ahli Melayunya boleh dilupakan sama sekali.

Sehinggalah DAP menjadi majoriti Melayu seperti Umno dan PAS, maka tetaplah salah DAP.

DAP atau mana-mana parti yang mempunyai majoriti bukan Melayu tidak haruslah membantu orang Melayu atau umat Islam secara terus.

Datuk Seri Mustapa Mohamed menjelaskan, “Takkan cadangan pembinaan hanya sebuah masjid ini hendak dihebohkan, hendak dimasyhurkan ke seluruh dunia?”

Nyatalah jawapannya, kesalahan DAP ialah menjatuhkan air muka Umno (dan Mustapha sendiri) kerana ia mengheboh dan memasyhurkan sumbangan membina sebuah masjid yang kerajaan persekuuan Umno belum sempat lagi bina.

Mustapa memanglah seorang bervisi panjang kerana kerajaan persekutuan begitu kesuntukan wang sekarang.

Kalau 1Malaysian Development Berhad (1MDB) terpaksa “diselamatkan” dengan Lembaga Tabung Haji tidak lama sebelum ini, tidak hairanlah kalau terdapat banyak lagi masjid dan surau yang kerajaan persekutuan tidak mampu bina.

Demi menjaga air muka kerajaan persekutuan dan orang Melayu yang menguasainya, maka kecaman Mustapha ini memang relevan sekali.

Mustapa kemudiannya menimbulkan sama ada sumber kewangan untuk membina masjid itu halal atau tidak, seolah-olah semua masjid yang dibina di negara ini adalah dibina 100% dengan sumber halal.

Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, kemudian menjelaskan sekalipun sumber DAP untuk bina masjid itu halal, ia tetap penghinaan kepada umat Islam.

“Tindakan itu seperti menidakkan kemampuan kita (umat Islam) untuk membina tempat ibadat (masjid), ia satu penghinaan,” kata Asyraf Wadji Dusuki.

Air muka didahulukan, keperluan rakyat dikemudiankan

Sekali lagi, air muka isunya.

Orang Islam tak ada muka kalau perlukan sokongan daripada bukan Islam.

Dalam muktamar PAS baru-baru ini, seorang wakil dari Wilayah Persekutuan terhadap kumpulan dalaman parti yang dilihat “bersaing” dengan kerajaan Kelantan melalui NGO baru untuk membantu mangsa banjir membina semula kehidupan mereka.

Wakil itu menuduh media baru dengan laporan tentang usaha NGO itu “memperlekehkan [PAS], seolah-olah kerajaan pasca Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lemah dan tak boleh tangani bencana ni.”

Kebetulannya, salah sebuah NGO yang mendapat liputan media (The Malaysian Insider) ialah “Impian Kelantan” tajaan DAP yang mengeluarkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk membangunkan Kampung Pasir Tumboh.

Dan “Impian Kelantan” menjadi kenderaan DAP untuk membina masjid di Kampung Pasir Tumboh itu.

Dalam kata lain, pembinaan masjid adalah sebahagian usaha DAP untuk mangsa banjir.

Salahkah kalau bantuan daripada DAP itu ingin merangkumi aspek kerohanian orang Islam dan bukan saja keperluan hidup?

“Impian Kelantan” sebenarnya diketuai oleh orang Islam dengan sokongan jentera DAP. Apakah orang Islam DAP itu kehilangan hak membantu saudara Islam membina masjid kerana mereka berada dalam sebuah parti yang majoritinya bukan Islam?

Sekalipun kalau DAP itu 100% bukan Islam, apa salahnya kalau mereka ingin bina masjid untuk Islam?

Apabila Raja Habsyah (Ethiopia) yang beragama Kristian memberi lindungan kepada sahabat-sahabat Nabi Muhamad SAW yang meninggalkan Mekah untuk lari daripada penganiayaan, apakah itu penghinaan kepada Islam? 

Kalau parti majoriti bukan Islam juga menyokong Islam, takkan Islam dirugikan?

Kalau ada pihak yang rasa dihina kerana Islam disambut baik oleh orang bukan Islam, itu salah siapa? Orang bukan Islam yang bersolidariti dengan orang Islam?

Atau orang Islam yang tidak ingin masjid dibina dan saudara Islam dibantu selagi yang bina masjid dan bantu saudara Islam itu bukan “orang sendiri”?

Orang bukan Islam sering diselar seorang “pengkaji” sebagai “kiasu” (takutkan kekalahan). Akan tetapi, orang bukan Islam gembira sekali kalau Umno ingin menghina mereka dengan membina gereja, vihara, kuil dan sebagainya?

Muhammad Abduh (1849-1905), tokoh pemikir Islam, dilaporkan mengungkapkan pengalamannya di Eropah dengan sebegini rupa: “Saya pergi ke Barat dan nampak Islam, tetapi tiada orang Islam. Bila saya kembali kepada Timur, saya nampak orang Islam, tetapi tiada Islam.” (I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I got back to the East and saw Muslims, but not Islam.)

Mungkin tiba masanya dibezakan nasionalisme Muslim yang begitu sempit sehingga rasa cemburu kalau bantuan kepada saudara Islam tidak datang daripada sendiri, daripada Islam yang sejagat dan tidak memilih bulu?

Kalau dapat diangkat semangat persaudaraan dalam Surah Al-Hujarat 49:13

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Sememangnya Islam bukan saja tidak takutkan orang bukan Islam, malah boleh menjadi asas kepada perpaduan yang memupuk ketakwaan dengan kebebasan agama. – 21 Jun, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments