Opinion

Beranikah Dr Mahathir dan Muhyiddin lawan politik wang?

Tan Sri Muhyiddin Yassin dibisukan dalam Perhimpunan Agung Umno 2015 kali ini. Tidak diberi peluang untuk menggulung pun. Akan tetapi, sekalipun sang timbalan presiden Umno dipecat daripada Umno selepas PAU, beliau masih berpeluang untuk menentang balik.

Persoalannya, beranikah Muhyiddin dan juga guru-dan-sekutunya Tun Dr Mahathir Muhamad melawan politik wang sehabis-habisnya kalau itu dikatakan boleh merosakkan Umno dan menyebabkan pengundi menolak Umno? Sampai sekarang, kem Dr Mahathir-Muhyiddin tidak mengemukakan cadangan konkrit bagaimana skandal semacam 1MDB boleh dicegah.

Majlis Penasihat boleh mencegah rasuah?

Cadangan Dr Mahathir untuk tubuhkan Majlis Penasihat (Council of Elders) itu tidak janji menghapuskan rasuah dan politik wang. Apakah masalah Najib ialah kekurangan penasihat (seperti Datuk Seri Shahrizat Abdul Jali dan Datuk Seri Noh Omar) yang lebih tinggi gajinya (RM27,000 sebulan) daripada perdana menteri sendiri (RM22,826)?

Kalau masalahnya ialah penasihat ini tidak cukup “tua” (elder) untuk menasihati Najib supaya elakkan korupsi, apakah jaminan orang tua-tua itu tidak akan mengambil peluang untuk menasihati perdana menteri dengan tujuan mengayakan diri sendiri?

Sebagai contoh, Tun Taib Mahmud sudah berumur 79 tahun, jauh lebih tua daripada ramai orang, tetapi berapa orang lebih kaya daripada beliau setelah memegang jawatan ketua menteri Sarawak selama 33 tahun dan kini menjadi Yang di-Pertua Negeri sebaik selepas itu.

Menghampakan sekali jika satu-satunya idea untuk lawan rasuah daripada Dr Mahathir yang pernah mengemukakan Wawasan 2020 ialah Majlis Penasihat ini!

Jika ini satu-satunya ideanya, bagaimana beliau nak jawab dengan sindiran penyokong Najib Dr Mahathir lawan Najib cuma kerana beliau tidak dapat “menasihati” Najib dalam isu 1MDB?

Malah, sudah pun muncul klip video dalam bahasa Melayu yang menuduh Dr Mahathir membiayai aktiviti politiknya dengan dana awam dengan syarikat kroninya sebagai perantaraannya.

Sekalipun rakyat Malaysia sanggup ketepikan skandal pada zaman Dr Mahathir kerana terlalu benci skandal Najib, kem Dr Mahathir-Muhyiddin tidak dapat mengajak rakyat mengikuti mereka tanpa agenda yang jelas dalam reformasi institusi untuk melawan rasuah.

Ini 2015. Jangan harapkan terlalu ramai yang masih akan berjuang kerana cakap kosong pemimpin. Kalau dulu ramai yang buta, sekarang kebanyakan sudah celik.

Cadangan konkrit 70 NGO pimpinan G25

Mungkinkah politik boleh bebas daripada pengaruh hartawan dan korporat yang menyebabkan dasar pemerintah lebih menjaga kepentingan “penderma dana politik” daripada kepentingan rakyat jelata?

Ini sememangnya mungkin. Di Sweden, sebagai contoh, daripada minit mesyuarat Kabinet sampailah laporan perbelanjaan menteri yang melawat ke luar negeri, dokumen rasmi boleh dituntut orang awam yang tidak perlu memberikan nama atau alasan, kecuali dalam keadaan khas. (Tidakkah ini menarik, ekonomi Sweden dikira keempat paling bersifat Islam di antara 208 ekonomi di seluruh dunia dalam sebuah kajian Prof Hossein Askari pada tahun lepas sedangkan ekonomi Malaysia cuma mengambil tempat ke-33?).

Kalau kita perlukan idea untuk membersihkan dan membebaskan politik daripada cengkaman wang, satu cadangan lengkap untuk reformasi pembiayaan dana politik sebenarnya sudah disediakan 70 badan bukan kerajaan di bawah pimpinan kumpulan G25 www.g25malaysia.org, Bersih 2.0 Centre for Combating Corruption and Cronyism (C4) dan sebagainya.

Cadangan yang disediakan Prof Edmund Terence Gomez (Universiti Malaya) dan rakannya itu malangnya tidak dapat banyak perhatian orang awam dengan lulusnya cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya untuk Sarawak dan kemudiannya rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada minggu sama.

Antara cadangan yang cukup relevan sekali untuk diperjuangkan kem Mahathir-Muhyiddin termasuk:

1. Yang boleh derma kepada parti politik cumalah pengundi Malaysia, syarikat (kecuali GLC), parti politik dan pertubuhan berdaftar.

2. Setiap penderma yang menderma lebih RM50 dalam bentuk wang, barang atau perkhidmatan mesti mendedahkan diri.

3. Setiap individu boleh menderma sehingga RM10,000 setahun.

4. Setiap syarikat boleh menderma sehingga RM100,000 setahun, tetapi bagi kumpulan syarikat yang mempunyai pemegang saham majoriti sama, had untuk semua syarikat ini ialah RM500,000 setahun.

5. Setiap pertubuhan cuma boleh menderma sehingga RM50,000 setahun.

6. Sumbangan wang untuk parti mesti masuk ke akaun parti dan bukan akaun peribadi.

7. Parti politik dan calon mesti mengeluarkan resit dengan butiran terperinci (nama penderma dan penerima, tarikh, nilai dan tujuan) untuk semua sumbangan yang diterima.

8. Sebuah parti tidak boleh membelanjakan lebih 200% daripada jumlah perbelanjaan yang dibenarkan untuk semua calonnya. (Sebagai contoh, jika sesebuah parti mempunyai 10 calon yang setiap satu dibenarkan untuk membelanjakan RM100,000 seorang ataupun RM1 juta jumlahnya, maka parti itu cuma boleh membelanjakan secara tambahan RM2 juta saja.)

9. Had perbelanjaan tidak lagi dihadkan kepada RM200,000 untuk calon Parlimen dan RM100,000 untuk DUN, tetapi ditetapkan dengan formula yang mengambil kedua-dua bilangan pengundi (RM20 untuk setiap pengundi) dan keluasan kawasan pilihan raya (RM50 untuk setiap km persegi). Ini bermaksud seorang calon bertanding di kawasan mempunyai 10,000 pengundi dan 1,000 km persegi, maka beliau boleh membelanjakan sampailah ke tahap RM250,000 iaitu jumlah RM200,000 (kerana 10,000 pengundinya) dengan RM50,000 (kerana 1,000 km persegi).

10. Had dan peraturan untuk sumbangan, perbelanjaan dan laporan di atas turut dipakai untuk pilihan raya parti di mana setiap parti mesti menghantar laporan kewangan yang diaudit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

11. Dana rahsia (slush fund) diharamkan dengan jelasnya.

12. Parti dan calon bebas akan diberikan dana awam berdasarkan undi yang dimenangi dalam pilihan raya terakhir. Kadarnya ialah RM4 setahun untuk undi yang dimenangi. Sebagai syarat kelayakan, pemohon mesti menghantar laporan kewangan diaudit untuk SPR. 

Cadangan untuk SPR yang bebas dan berwibawa

Cadangan penambahbaikan 70 NGO ini turut mengambil kira kritikan terhadap kelemahan SPR yang sedia ada dan mencadangkan pembaharuan terhadap institusi penting ini. Ahli SPR akan dinamai sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada perdana menteri, ketua pembangkang, pengerusi Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) untuk perihal pilihan raya, ahli kanan pembangkang dalam Jawatankuasa Kunci Kira-kira Negara (PAC) Parlimen, ketua hakim negara, ketua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), presiden Majlis Peguam Negara dan seorang lagi wakil daripada masyarakat sivil yang arif tentang perihal pilihan raya.

Jawatankuasa ini akan mengadakan sesi penelitian awam (public hearing) untuk calon SPR dan jumlah yang dipertimbangkan mestilah 3 kali kepada kekosongan yang ada. Kemudian jawatankuasa ini akan menamakan calon ini untuk diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Untuk memastikan keberkecualian ahli SPR, calon adalah ahli parti pada ketika itu atau memegang jawatan parti atau wakil rakyat dalam masa 10 tahun lepas. Setiap ahli SPR boleh berkhidmat untuk satu penggal yang panjangnya 6 tahun dan bersara pada umur 70 tahun.

SPR yang bebas dan berwibawa ini akan mempunyai lebih banyak kuasa termasuk kuasa yang sekarang berada di tangan Pendaftar Persatuan (RoS) untuk menentukan permohonan atau status pendaftaran parti.

Apakah pendirian Dr Mahathir-Muhyiddin?

Apakah cadangan daripada 70 NGO ini sempurna? Sudah tentu tidak. Sudah pasti ada ruangan untuk menambahbaikkan lagi. Kalau kem Dr Mahathir-Muhyiddin yang sekarang beria-ia ingin menyelamatkan Umno dan Malaysia daripada dana rahsia yang meluluskan rasuah mendapati cadangan ini kurang baik, maka mereka mesti mengemukakan cadangan sendiri. – 12 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments