Opinion

Benarkah Melayu berhutang budi pada Umno?

Sekali lagi kita dengar orang Melayu diingatkan mereka berhutang budi kepada Umno atas kejayaan mereka.

Maksudnya tanpa Umno, mereka tidak akan berdaya berdikari dan bersaing. Dan mereka tidak berhak menerima bantuan daripada negara semata-mata sebagai warganegara yang mengalami kemunduran relatif kerana faktor sejarah.

Saya mengenali orang Melayu yang berkebolehan dan berdaya saing. Ramai di antara mereka menerima manfaat daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) seperti mendapat biasiswa ke luar negeri ataupun masuk ke jurusan universiti yang popular tetapi pencapaian mereka selepas itu adalah hasil usaha sendiri.

Pada masa yang sama, terdapat juga orang Melayu yang berjaya atas usaha sendiri tetapi dipandang serong sebagai hasil bantuan Umno.

Apakah mereka ini berhutang budi kepada Umno, malah harus berterima kasih kepada Rusuhan 13 Mei yang mengukuhkan kuasa Umno dan seterusnya membawa kepada pelaksanaannya DEB?

PRU 1969: Siapa tinggalkan Perikatan, Cina atau Melayu?

Kerana Rusuhan 13 Mei itu sering disifatkan sebagai akibat orang Cina menolak Perikatan dalam Pilihanraya Umum (PRU) 1969, maka kita harus terlebih dahulu mengupas persepsi ini yang berdasarkan dua fakta. 

Pertama, parti pembangkang disokong kuat bukan Melayu (DAP, Gerakan dan People’s Progressive Party) berjaya menjatuhkan pemerintah negeri Perikatan di Pulau Pinang dan menghasilkan “badan perundangan tergantung” (hung assembly) di Selangor dan Perak.

Kedua, kerusi parlimen yang dimenangi oleh parti-parti ini telah berganda tiga kali daripada enam dalam PRU 1964 kepada 22 dalam PRU 1969. 

Akan tetapi, jika kita bandingkan peratusan undi yang didapati oleh parti-parti politik di Semenanjung Malaysia di antara PRU 1964 dan PRU 1969, maka fakta sebenarnya, yang tinggalkan Perikatan dalam PRU 1969 bukanlah orang bukan Melayu tetapi orang Melayu. (Lihat graf,  kanan)

Sokongan kuat bukan Melayu kepada pembangkang sememangnya tinggi tetapi ia nampaknya sudah tepu pada PRU 1969 dan tetap kepada 26%, dengan pertambahan 0.06% poin sahaja.

Parti-parti ini mencapai keputusan yang baik semata-mata kerana mereka berpakat untuk menghadapi Perikatan dengan mengelakkan pertandingan beberapa penjuru. Ini jauh berbeza dengan PRU 1964, di mana terdapat pertandingan beberapa penjuru di sebanyak 31 kawasan Parlimen.

Sebaliknya, sokongan Melayu kepada pembangkang meningkatkan peratusan undi mereka daripada 14.99% kepada 25.02%, dengan kenaikan mendadak sebanyak 10.03% poin.

Antaranya, PAS merakamkan peningkatan sebanyak 9.10% poin, dan menyerap nyaris semua kejatuhan 9.97% poin dalam undi Perikatan.

Ini bermakna perubahan yang paling utama sebenarnya ialah peninggalan bersih sebanyak 9% pengundi Semenanjung daripada kem Perikatan ke PAS.

Dalam PRU 1964, Umno mendapat 38.62% undi manakala PAS mendapat 14.64%, membawa kepada nisbah 5:2. Nisbah ini menjatuh kepada 3:2 dalam PRU 1969, apabila sokongan Umno jatuh kepada 33.98% manakala undi PAS meningkat menjadi 23.74%.

Sungguhpun kita tidak boleh mengandaikan semua yang meninggalkan Umno dan semua yang bertukar menyokong PAS itu adalah pengundi Melayu, nyata sekali, dari segi undi, Umno sudah tidak boleh mendakwa dirinya sebagai parti tunggal yang mewakili orang Melayu, selepas 1969.

Perubahan ini tidak ternampak di khalayak ramai kerana kerusi parlimen yang dimenangi oleh PAS cuma bertambah sedikit daripada sembilan kepada 12.

Tetapi fenomena ini sudah dikenalpasti dan ditakuti oleh pemimpin Umno. Dengan kehilangan monopoli atas perwakilan orang Melayu, maka orang bukan Melayu sebenarnya boleh menyokong pemerintah alternatif yang diterajui oleh parti berasaskan Melayu yang lain, PAS.

Apa yang sebenarnya terancam dalam PRU 1969 itu bukanlah kuasa orang Melayu, tetapi kuasa parti Umno sahaja.

Apa jadi kalau 13 Mei tidak berlaku?

Mitos rasmi 13 Mei cuba menyakinkan bahawa orang Melayu dapat pertolongan pemerintah untuk majukan diri kerana rusuhan itu membawa kepada pengukuhan kuasa Umno.
Ini membawa kepada dua soalan.

Soalan pertama, apakah Rusuhan 13 Mei itu sememangnya tidak dapat dielakkan?

Sekiranya rusuhan ini “perlu” untuk mengukuhkan kuasa Umno, maka ia akan berlaku sekalipun pengundi bukan Melayu memberikan sokongan yang lebih kuat kepada Umno. Ini kerana Umno tidak akan berterima kasih kepada sokongan bukan Melayu jika asas Melayunya tergugat.

Dalam PRU 1999, contohnya, undi Cina yang menyelamatkan Umno tetapi selepas PRU, komuniti Cina dijadikan orang jahat dalam kempen Umno memenangi semula undi Melayu.
Soalan kedua, apa akan terjadi jika Rusuhan 13 Mei tidak berlaku?

Satu kemungkinan besar ialah parti-parti opposisi utama – PAS, DAP, Gerakan, PPP dan Sarawak National Party (SNAP) – akan membentuk pakatan dalam pilihanraya yang seterusnya untuk melawan Perikatan.

Kerana pengundi Melayu tidak puasa hati, maka mana-mana alternatif yang ingin mencabar Perikatan mesti berusaha memperjuangkan kepentingan pengundi Melayu yang terpinggir untuk mengambil hati mereka.

Kalau itu berlaku, maka sistem dua parti akan mula muncul hampir 40 tahun lebih awal.
Harus diingati bahawa bukan saja DAP, Gerakan dan PPP sebenarnya berideologi kiri tengah, malah PAS di bawah kepimpinan arwah Burhanuddin al-Helmy (1956-1969) juga berhala kiri dalam perjuangannya.

Maka tidaklah mustahil untuk parti-parti ini menyerdehanakan kedudukan masing-masing untuk membentuk gabungan yang dapat menawarkan pemerintah alternatif. 

Dalam kata lain, parti pembangkang dengan sokongan kuat bukan Melayu akan menjadi lebih pro-Melayu atau simpati kepada orang Melayu terpinggir.

Sememangnya, parti-parti ini bukanlah golongan cauvinis seperti yang dipaparkan dalam propaganda Umno.

Sebagai contoh, aktivis puak kiri amat menghormati Indonesia di bawah pimpinan Sukarno dan mementingkan pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Mereka cuma membantah penganaktirian bahasa lain tetapi langsung tidak membantah mengangkat martabat Bahasa Melayu untuk menggantikan bahasa penjajah.

Terdapat juga tokoh Melayu di kalangan pimpinan parti-parti ini. Sebagai contoh, presiden Gerakan ialah Prof Syed Hussein Al-Attas, tokoh cerdekiawan yang amat disanjung tinggi dalam komuniti Melayu.

Jika tidak berlaku rusuhan 13 Mei dan pilihanraya demokratik diteruskan, kedua-dua pihak Perikatan dan pembangkang kemungkinan besar akan mengemukakan dasar-dasar yang lebih berkesan untuk membantu orang Melayu, sungguhpun tidaklah berpaksikan ketuanan Melayu.

Faktor utama penganjakan polisi pro-Melayu adalah undi bantahan Melayu kepada Umno.

Siapa berhutang budi kepada siapa?

Jika kita menerima premis bahawa ketidakpuasan pengundi Melayu kepada Umno akan membawa kepada Dasar yang lebih pro-Melayu, tidak kiranya sama ada berlakunya Rusuhan 13 Mei dan pengukuhan kuasa Umno, maka, mengapa orang Melayu perlu berhutang budi kepada Umno?

Bayangkanlah dasar pro-Melayu alternatif itu berpaksikan keperluan, yakni, semua Melayu yang miskin dan berkeperluan akan dibantu, tidak kira mereka menyokong parti mana atau tokoh mana.

Bandingkan senario ini dengan status kuo di bawah DEB yang sering memilih kasih atas kepartian ataupun hubungan (connection) peribadi yang lain.

Mereka yang dapat bantuan di bawah DEB kerana keperluan tetap berlayak mendapat bantuan di bawah dasar alternatif itu, jadi apakah budi Umno yang mereka berhutang?

Dan untuk mereka yang tidak dapat bantuan di bawah DEB kerana sokong parti atau tokoh yang salah, ataupun semata-mata tidak mempunyai bapa, bapa mertua atau bapa saudara yang berkuasa dan berpengaruh, apakah budi Umno yang mereka berhutang? Bukankah Umno yang sebaliknya berhutang janji kepada mereka?

Bayangkanlah sekarang dasar pro-Melayu alternatif itu berpaksikan pencapaian, yakni, semua Melayu yang berbakat dan berusaha akan dibantu, tidak kira parti mana atau penyokong tokoh mana.

Sekali lagi bandingkan senario ini dengan status kuo di bawah DEB.

Mereka yang dapat bantuan di bawah DEB kerana kebolehan tetap berlayak mendapat bantuan di bawah dasar alternatif itu, jadi apakah budi Umno yang mereka berhutang?

Dan untuk mereka yang seharusnya dapat bantuan tetapi ditolak di bawah DEB, apakah budi Umno yang mereka berhutang? Bukankah Umno yang sebaliknya berhutang jandi kepada mereka?

Cerita dongeng bahawa orang Melayu berhutang budi kepada Umno ini sebenarnya berasaskan premis bahawa bantuan yang orang Melayu dapat di bawah DEB itu bukanlah hak mereka untuk diperkasakan, tetapi kerana belas kasihan yang bersifat feudal.

Secara tersirat, mengikut hujah ini, orang Melayu tidak berlayak dibantu kalau bukan Umno. Kalau orang Melayu setuju dengan hujah ini, macam mana orang lain tidak memandang rendah terhadap orang Melayu sekalipun mereka memang layak dibantu?

Sudah tiba masanya, kita mengubah wacana kita. Semua yang berkeperluaan dan semua yang berbakat dan berusaha itu layak menerima bantuan. Kerana faktor sejarah, ramai orang Melayu lebih memerlukan bantuan, dan juga ramai orang Melayu juga ketinggalan sungguhpun berbakat dan berusaha.

Atas prinsip keperluan dan pencapaian (meritokrasi) yang seterusnya berasaskan  hak warganegara (citizenship) dan solidariti ini, maka semua orang Melayu yang layak harus diberikan bantuan sepertimana semua orang bukan Melayu yang layak. Dan tidak sesiapapun harus diburukkan nama mereka kerana menerima bantuan yang layak.

Apa yang kita perlukan hari ialah dasar yang berkesan membantu mereka yang layak, dan mengecualikan mereka yang tidak layak, dan bukan pengukuhan mentaliti dan perangai feudal yang turut memundurkan rakyat, terutamanya orang Melayu. – 6 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments