Opinion

Bela orang asing kalau sayangkan orang sendiri

Sekalipun keadilan mungkin dicapai jika kita sanggup meletakkan diri kita pada tempat orang lain, persoalannya: mengapa kita perlu bersikap adil? Bukankah naluri manusia mementingkan diri dan orang kesayangan serta tidak pedulikan orang asing?

Timor Timur dan Jakarta: Kemarahan terlewat 25 tahun

Pada Mei 1998, komuniti Cina sedunia termasuk di Malaysia amat marah dan sedih dengan rusuhan anti-Cina yang melihat rumah dibakar, perempuan dirogol dan tak kira jantina, nyawa terkoban di Jakarta, semata-mata kerana mangsa keturunan Cina.

Mereka marah dengan pemerintah Indonesia malah sampai ke negara dan masyarakat itu kerana membiarkan perkara zalim dan langsung tidak berperikemanusiaan ini berlaku.

Memang munasabah kemarahan mereka tetapi mereka seharusnya berasa marah jauh lebih awal lagi. Mereka harus marah lagi sejak 1973.

Pada tahun 1973, Angkatan Bersenjata Republik Indonesia (Apri) menceroboh Timor Timur dan menakluki bekas tanah jajahan Portugis itu dan menjadikannya provinsi Indonesia yang terbaru.

Sungguhpun Timor Timur berkongsi pulau Timor dengan Timor Barat yang merupakan sebahagian daripada provinsi Indonesia yang bernama Nusatenggara Barat, kedua-dua Timor ini beza sekali kerana sejarah penjajahan dan perwatakan budaya yang cukup berlainan.

Timor Barat dan wilayah Indonesia yang lain dijajahi Belanda sementara Timor Timur pula dijajahi Portugis. Kebanyakan penduduk Indonesia beragama Islam tetapi hampir semua penduduk Timor Timur beragama Katolik.

Bahasa kebangsaan Indonesia berasaskan bahasa Melayu tetapi rakyat Timor pula berbahasa Tetek yang merupakan campuran bahasa tempatan dan bahasa Portugis.

Pencantuman paksaan Timor Timur itu maka ditemui dengan penentangan yang sengit yang berlangsung sesuku kurun.

Timor Timur hanya berjaya mencapai kemerdekaannya pada akhir 1998 (kini lebih dikenali sebagai Timor Leste) setelah Presiden Suharto jatuh dan penggantinya Habibi mengadakan pungutan suara (referendum) di bawah pantauan Bangsa-bangsa Bersatu. Kebanyakan rakyat Timor Timur memilih kemerdekaan daripada terus sebagai sebuah wilayah Indonesia.

Kemerdekaan ini cukup tinggi harganya. Dalam penjajahan Indonesia selama 25 tahun itu, hampir sepertiga rakyat Timur Timor gugur. Anggota APRI yang dihantar ke wilayah itu banyak merogol wanita tempatan, seperti yang berlaku apabila mereka mematahkan kebangkitan di Aceh.

Malah bagi ramai keluarga, apabila si suami menyertai gerila pembebasan di hutan, rumahtangga dicerobohi askar Indonesia yang terus mengambil isteri pejuang mereka secara paksa dan meninggalkan zuriat mereka. Ini kaedah keji Apri cuba untuk mematahkan semangat pejuang kebebasan Timor Timur.

(Indonesia hari ini adalah antara negara yang saya paling sukai dan hormati tetapi sejarah silamnya yang cukup berdosa itu tidak harus dilupakan).

Apakah reaksi dunia dengan pencerobohan hak asasi manusia yang begitu serius ini?

Amerika Syarikat, Australia dan kuasa-kuasa Barat yang banyak berkhutbah pasal demokrasi dan hak asasi manusia sama ada secara aktif menyokong Indonesia atau secara pasif tidak ingin menghukumnya. Mereka bersikap munafik kerana mereka takut Timor Timur yang merdeka akan dikuasai puak kiri dan mereka lebih suka Suharto yang pro-Barat.

Asean pula mengamalkan pendirian tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain. Dalam kata lain, pemerintah-pemerintah Asean ada persefahaman mereka boleh memperlakukan rakyat mereka tanpa diteguri sesama sendiri. Apatah lagi Indonesia adalah negara paling besar di kalangan ahlinya.

Di Malaysia, pada 1997, apabila badan-badan bukan kerajaan mengadakan suatu sidang antarabangsa tentang isu Timor Timur, wakil-wakil daripada Pemuda Umno mencerobohi Dewan sidang. Polis Malaysia tidak menangkap si penceroboh tetapi menahan penganjur. 

Jadi apakah kaitan antara kezaliman Apri di Timor Timur dan rusuhan anti-Cina di Jakarta? Rusuhan itu rupa-rupanya adalah buatan segelintir tentera Apri yang pernah ditempatkan di Timor Timur. Askar-askar yang tidak perlu risaukan hukuman kerana membunuh dan merogol di Timor Timur itu mencari mangsa baru di kalangan Cina Jakarta.

Sekiranya Indonesia dikejam dan askar-askar Apri yang terlibat dihukum kerana pembunuhan dan perogolan di Timor Timur, apakah kebarangkalian ini akan berulang di Jakarta?

Ketidakpedulian komuniti Cina sedunia terhadap kezaliman Indonesia di Timor Timur mungkin boleh dipersalahkan media Barat dan juga bukan-Barat yang jarang melaporkan berita Timor Timur.

Tetapi sekalipun kalaulah komuniti Cina sedunia ketahui apa yang berlaku di Timor Timur sejak 1973, apakah mereka akan protes membela mangsa seperti apa yang dilakukan selepas rusuhan di Jakarta pada 1998?

Saya kira, tidak. Seperti kebanyakan manusia, mereka tidak akan peduli banyak tentang manusia lain yang tidak ada pertalian darah dan budaya dengan mereka.

Keprihatinan yang sempit itu sememangnya naluri manusia. Tetapi naluri inilah yang sebenarnya membenarkan pembunuhan dan perogolan orang Cina di Jakarta.

Croatia dan Bosnia – Satu jenayah, dua piawaian

Satu lagi contoh kemudaratan keprihatinan yang sempit ini ialah pembersihan etnik di negara-negara Balkan apabila Persekutuan Yugoslavia berpecah pada 1991.

Persekutuan Yugoslavia mempunyai enam buah republik dan apabila ia berpecah, tiga republik di bahagian tengahnya, Serbia, Croatia dan Bosnia-Herzegovina berperang untuk merebut-rebut wilayah.

Ketiga-tiga buah republik ini didiami tiga kaum yang agak serupa bahasa lisan tetapi berbeda agama dan tulisan: kaum Serb yang beragamakan Kristian Ortodoks, kaum Croat yang beragamakan Kristian Katolik dan kaum Bosniak beragama Islam. Croatia mempunyai minoriti Serb dan Bosnia pula mempunyai kedua-dua minoriti Serb dan Croat.

Pembersihan etnik bermaksud membersihkan sesuatu kawasan itu daripada penduduk-penduduk etnik lain dan menjadikannya milik tunggal satu etnik. Ini dilakukan dengan cara pembunuhan dan penghalauan secara paksa. Dan perogolan secara sistematik adalah perbuatan lazim.

Ketiga-tiga kaum Serb, Croat dan Bosniak melakukan pembersihan etnik dalam perperangan tetapi kekejaman yang paling teruk dilakukan oleh kaum Serb yang selama ini menguasai pemerintah pusat dan tentera Yugoslavia.

Apabila Croatia mengisytiharkan kemerdekaan, Serbia yang bertindak atas nama Yugoslavia terus menceroboh Croatia dan melakukan pembersihan etnik di Croatia supaya mengekalkan seberapa banyak yang boleh wilayah Croatia dalam Yugoslavia.

Pada ketika itu, apabila Barat mengecam Yugoslavia/Serbia, ia disokong oleh banyak negara yang bersikap kritis terhadap Barat, termasuk banyak negara Islam. Malaysia adalah salah satu daripadanya.

Bagi mereka, tindakan Yugoslavia ialah perbuatan wajar untuk mengekalkan keutuhan wilayahnya.

Hanya apabila Bosnia-Herzegovina yang seterusnya mengisytiharkan kemerdekaannya turut mengalami nasib yang sama seperti Croatia, baru banyak negara Islam berasa marah terhadap kezaliman dan kekejaman yang dilakukan ke atas kaum Bosniak. Malah Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir mengecam Barat membiarkan Muslim sengsara.

Apakah kaum Bosniak akan menjadi mangsa jika kaum Croat diselamatkan dahulu?

Negara Jerman Nazi: Siapa tinggal lagi?

Sememangnya ia naluri manusia untuk mengambilberat tentang mereka yang berhubungan dengan kita, sama ada seagama atau serumpun, dan tidak mempedulikan nasib mereka tidak berkaitan.

“Mula-mulanya mereka datang memburu para sosialis, dan saya tidak membela si mangsa, kerana saya bukan seorang sosialis.

“Kemudian mereka datang memburu para aktivis kesatuan sekerja, dan saya tidak membela si mangsa, kerana saya bukan seorang aktivis kesatuan sekerja.

“Kemudian lagi, mereka datang memburu orang Yahudi, dan saya tidak membela si mangsa, kerana saya bukan seorang Yahudi.

“Akhirnya mereka datang memburu saya, dan tiada lagi sesiapa yang tinggal untuk membela saya.”

Ini adalah kata-kata daripada paderi Protestan German, Martin Niemöller, yang menjelaskan bagaimana Nazi dapat berkuasa dan menganiayai semua yang tidak setuju dengan mereka.

Ini semua kerana manusia melebihnilai (over-estimate) kepandaian sendiri, seolah-olah kalau si Ahmad yang dipedulinya, maka nasib si-Ahmad akan terjaga. Hakikatnya, manusia bukan Tuhan. Hasrat kita tidak akan semestinya berhasil.

Untuk bela si Ahmad yang kita kasihi, kita mungkin terpaksa membantu si Ali yang kita tidak pedulikan atau malah bencikan.

Maka, belalah orang asing kalau kita sayangkan orang sendiri. Jika orang asing diabaikan hari ini, kemungkinan nasib yang sama ditanggung oleh orang sendiri kita. – 9 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments