Opinion

Babi dilarang di buku OUP, merayau di kampung Kelantan

Seekor babi yang merayau di kampung Kelantan sentiasa mengingatkan saya supaya tidak menyamakan agama dengan umat.

Beberapa hari lalu, akhbar-akhbar di Britain dan Amerika Syarikat melaporkan Penerbit Universiti Oxford (OUP) mempunyai panduan kepada penulis-penulisnya untuk tidak menyebut babi dan produk babi seperti bacon dan sosej dalam penulisan mereka.

Menurut OUP, larangan ini tidak merangkumi buku ilmiah atau kamus dan sebagainya. Tetapi untuk buku yang bersasarkan anak sekolah, maka penulis diarahkan untuk elakkan babi.

Seorang penulis buku pengajaran bahasa Inggeris (ELT) menjelaskan ini tidak terhad kepada OUP.

“Ini adalah idea sedunia mengenai “political correctness””, kata Nicola Prentis. Pasaran di Timur Tengah besar dan Kementerian Pendidikan di negara seperti Arab Saudi sangat ketat dalam meluluskan apa buku yang boleh masuk ke sekolah.

Bagi ramai orang bukan Islam malah ramai orang Islam bukan Wahabi, larangan ini tidak masuk akal.

Apakah orang Islam harus hidup dalam kejahilan tentang segala yang tidak halal untuk mereka seolah-olah mereka tidak wujud di dunia?

Dari sudut yang lain, larangan ini menimbulkan suatu kebimbangan “Islamofobia”: Apakah dengan berkembangnya Islam, apa yang tidak halal di mata orang Islam itu akhirnya akan diharamkan ataupun terpaksa wujud secara tersembunyi saja?

Dalam kata lain, apakah perkembangan Islam itu mengancam kepelbagaian budaya di dunia?

Kebimbangan ini bukan tidak berasas.

Yang paling dirasai orang bukan Islam di Malaysia ialah sekatan terhadap penjualan barangan tidak halal. Bukan saja daging babi terpaksa disembunyikan di tempat tertutup di kebanyakan pasar basah tradisional, malah di pasar raya sekalipun, makanan tin mengandungi babi diletak di tempat terperusuk khas.

Apa yang sering berlaku seterusnya ialah sesetengah juruwang beragama Islam akan mengambil beg plastik untuk membalut tangannya sebelum menyentuh makanan tin itu, seolah-olah unsur-unsur “kekhinziran” itu boleh menembusi bekas tin logam itu.

Saya sendiri pernah disuruh seorang jurujual di Tesco membawa bir yang ingin dibeli ke kaunter lain kerana dia tidak ingin menyentuhnya. Sudah tentu, saya batalkan pembelian saya saja.

Bagi sesetengah orang Islam, ini mungkin keperluan mematuhi larangan agama.

Bagi ramai orang bukan Islam, apabila makanan tin yang tidak halal itu kena disentuh dengan membalut tangan dalam beg plastik dulu, itu penghinaan ataupun setidak-tidaknya suatu pengumuman apa yang anda akan makan minum itu begitu kotor sekali – bayangkanlah sendiri perbandingannya – di mata saya.

Apakah penyelesaiannya? Salah satunya ialah pengasingan – umat Islam dilarang mengendalikan bahan yang dilarang di sisi agama, bukan saja makanan tin berbabi dan minuman botol beralkohol, tetapi juga buku yang dilarang pihak berkuasa agama.

Dalam kata lain, tidak dapat orang Islam dan orang bukan Islam tidak hidup dalam dua dunia yang berasingan.

Alternatifnya ialah apa yang tidak halal untuk orang Islam, orang bukan Islam turut elakkan saja.

Dan sememangnya, bagi ramai orang bukan Islam, kebebasan beragama di bawah pemerintahan yang menekankan Islam itu menjadi “kebebasan melakukan apa saja selagi ia tidak dilarang Islam, dan dalam keadaan tertentu, jika dilarang Islam, kebebasan melakukannya secara tersembunyi”.

Bukan tiadanya negara bukan Islam yang mengenakan larangan budaya terhadap umat Islam. Contoh yang paling terkenal sudah tentulah Perancis yang mengharamkan pemakaian tudung di lapangan awam.

Sememangnya amalan yang dilarang itu berlainan sifatnya, tetapi logik negara Perancis itu sebenarnya tidak asing kepada kita: golongan minoriti bebas menjalani amalan mereka di lapangan peribadi seperti keluarga atau komuniti, tetapi tidak di kawasan awam.

Kalau kita terima “timbal balas” atau “kesalingan” (reciprocity) sebagai prinsip interaksi antara individu dan kelompok, bukankah kita semua harus menyokong kebebasan golongan minoriti menjalani amalan budaya mereka di lapangan awam, ataupun menyokong sekatannya – pendirian yang sama tidak kira golongan minoriti itu saudara kita atau tidak?

Bagi yang bukan Islam, kalau anda menolak sekatan penjualan daging babi secara terbuka di Malaysia, tidakkah anda juga harus menolak larangan pemakaian tudung di lapangan awam di Perancis?

Bagi yang Islam, kalau anda menolak larangan pemakaian tudung di lapangan awam di Perancis, bukankah anda juga harus menolak sekatan penjualan daging babi secara terbuka di Malaysia?

Di sini, saya ingin menekankan sebenarnya sekatan penjualan daging babi secara terbuka di Malaysia sebenarnya adalah suatu fenomena “tempatan” di Pantai Barat Semenanjung. Ini tidak berlaku di Sabah, Sarawak dan juga Kelantan.

Di pasar Kota Baru yang pernah saya lawati, daging babi dijual orang Cina di sebelah orang Islam yang menjual makanan halal. Tidak ada isu langsung.

Di sini, saya mesti menceritakan lawatan 2007 saya dengan 2 teman Cina ke Wat Phothivihan, Tumpat, di mana terdapatnya patung Buddha baring yang kedua terbesar di dunia.

Seekor babi yang dilihat merayau tanpa sebarang gangguan di sebuah kampung di Tumpat. Seekor babi yang dilihat merayau tanpa sebarang gangguan di sebuah kampung di Tumpat. Dalam perjalanan balik, kami terlihat seekor binatang merayau dengan relaks di tepi jalan. Saya pun meminta pak pemandu teksi berhenti supaya kami boleh mengambil gambar.

Pak pemandu itu hentikan teksi tetapi terus mengetawakan kami: “Eh… anda ini tidak pernah tengok babi ke? Nak ambil gambar buat apa?”

Saya jelaskan kepadanya, “Pak, kalau ini berlaku di pantai barat, seluruh penduduk kampung mungkin akan keluar membawa parang untuk mempertahankan maruah Islam!”

Bila kita teruskan perjalanan, satu imej yang lebih menarik lagi muncul tetapi sayang sekali tidak tertangkap dalam gambar.

Kami lihat seekor lagi babi yang merayau dan dari arah yang bertentangan, seorang pak cik Melayu datang menunggang basikal.

Pakcik Melayu dan babi itu melepasi sesama lain tanpa menghiraukan kewujudan sesama lain.  Mereka hidup dalam dunia yang berlainan tetapi harmoni sekali.

Perbezaan tidak ditoleransi tetapi diterima begitu saja. Jalan itu cukup besar untuk manusia dan babi.

Kadang-kala, saya impikan seluruh Malaysia malah seluruh dunia boleh jadi seperti Kelantan, bukan rakyat Malaysia menjadi 95% orang Islam, tetapi semua orang Islam menjadi begitu yakin dengan keislamannya seperti orang Islam Kelantan, sehingga sekalipun berkongsi jalan dengan seekor babi pun tidak terasa iman terancam.

Bagi saya, kebesaran Islam Kelantan ini jauh lebih besar ertinya daripada kewujudan patung Buddha baring kedua terbesar di dunia itu. Tiada kebesaran iman di hati, tiada kebesaran patung di bumi.

Kalau ada peluang pergi ke Tumpat, cuba lihat di kiri kanan jalan kampung itu. – 8 Mac, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments