Opinion

Apakah pertandingan 1 lawan 1 akan untungkan PAS?

Sama ada pertandingan 3 penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (khasnya Amanah dan DAP) dan PAS dalam Pilihanraya ke-14 (PRU14) boleh dielakkan, tidak bergantung kepada kehendak subjektif Pakatan Harapan atau PKR, tetapi perhitungan PAS.

Ahad lalu, Malaysiakini memaparkan wawancara Rafizi Ramli, setiausaha agung PKR bersama beberapa orang pemimpin parti itu. Rafizi menyeru para pengundi bukan Melayu supaya faham dan hargai usaha gigih parti itu cuba mewujudkan sebuah persepakatan pilihanraya (electoral pact) yang merangkumi Pakatan Harapan dan juga PAS.

Secara ringkasnya, alasan yang dikemukakan  Rafizi termasuklah:

1) Pengundi atas pagar Melayu prihatin terhadap isu ekonomi seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan bukan perkembangan politik.

2) Akan, imej PAS yang “Islamik, suci (innocent) dan sangat kuat bersama Melayu (very strong with the Malays)” menarik hati pengundi atas pagar Melayu. Kalau mereka tolak Umno, mereka akan mengundi PAS.

3) Parti Amanah Negara tidak cukup kuat untuk menggantikan PAS malah tidak dikenali  sesetengah pengundi Melayu.

Jika berlaku pertandingan 3 penjuru, maka Pakatan tidak akan menang, malah, Amanah akan dihapuskan.

Apakah perhitungan dan ikthiar “murni” PKR ini berhasil?

Jawapannya terpulang kepada PAS – apakah bersepakat dengan Pakatan Harapan itu menguntungkan PAS sendiri? Sudah tentu PAS tidak akan ingin merugikan diri untuk menguntungkan PKR, apatah lagi Amanah dan DAP?

PAS mempunyai 4 pilihan:

a) Bersepakat dengan Pakatan Harapan (pakat Harapan, lawan Umno)

b)Bersaing dengan BN dan Pakatan Harapan (tiga penjuru, lawan Umno dan Harapan serentak)

c) Bersaing dengan BN dan Pakatan Harapan pada permukaannya tetapi dengan persefahaman sulit dengan Umno (3 penjuru, lawan Harapan, pakat sulit dengan Umno)

d)Berpakat dengan Umno secara terus terang (pakat Umno, lawan Harapan)

Secara rasionalnya, pilihan PAS kebarangkalian besar akan ditentukan melalui 3 sebab:

1) Pencapaian matlamat ideologinya

2) Peluang kemenangan kerusi perundangan

3) Peluang berkongsi kuasa dalam pemerintah Persekutuan dan Negeri

Apakah matlamat ideologinya? Dalam sejarah 3 dekad ini, PAS cuba mencapai 1 keseimbangan di antara (a) pembinaan negara Islam atau Daulah Islamiyah (pewujudan undang-undang jenayah syariah yang meluas rangkumannya termasuk hukuman Hudud dan Qisas boleh dilihat sebagai 1 versi yang sudah dicairkan) dan (b) penrealisasian “Islam untuk semua”/”negara berkebajikan” yang mengajak pengundi bukan Muslim untuk turut jatuhkan pemerintahan  Umno/BN.

Selepas kekalahan sepenuhnya golongan pragmatis dan kemudian tertubuhnya Amanah, pilihan PAS menjadi jelas sekali ialah kembali ke arah negara Islam dengan tekanannya kepada perlaksanaan hukuman Hudud.

Kalau tidak teguh berjuangkan hukuman Hudud, mengapa Datuk Seri Hadi Awang harus biar PAS berpecah? Ini sudah menjadi legasi peribadi Hadi.

Sekalipun PAS kecundang dalam PRU14 sepertimana PAS Terengganu pimpinannya dalam PRU11 (2004), sekurang-kurangnya Hadi boleh belakan kegagalannya sebagai pengorbanan untuk agama.

Berbanding dengan Pakatan Harapan yang lebih mementingkan inti (Maqasid Syariah) daripada bentuk (hukuman Hudud), Umno yang sudahpun mengkaji bersama dengan PAS tentang perlaksanaan kanun Kelantan itu sekurang-kurangnya memberikan harapan.

Ingat Amanat Hadi yang sudahpun menolak “Perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan-peraturan jahiliyah” seawal 1981?

Daripada segi ideologi, pilihan paling rasional untuk PAS ialah D (pakat Umno, lawan Harapan) manakala pilihan paling tidak rasional ialah A (pakat Harapan, lawan Umno).

Daripada segi perkongsian kuasa eksekutif, berpakat dengan Umno akan memberikan PAS serta-merta dana pembangunan di Kelantan dan jawatan lumayan bukan sahaja di kabinet persekutuan tetapi juga di badan berkanun, syarikat berkaitan pemerintah (GLC) dan yayasan/NGO tajaan pemerintah terutamanya yang berkaitan dengan Islam.

Ini jauh lebih baik daripada jawatan peringkat negeri, pihak berkuasa tempatan dan kampung di Selangor dan Pulau Pinang.

Sebaliknya, PAS tidak mungkin dapat apa-apa selepas PRU14 jika Pakatan Harapan sangat berjaya.

Peluang PAS untuk menyertai pemerintah campuran akan wujud jika Pakatan Harapan dan BN tidak mempunyai majoriti yang kukuh.

Maka, daripada segi kuasa eksekutif, pilihan paling rasional untuk PAS juga adalah D (pakat Umno, lawan Harapan) manakala pilihan paling tidak rasional tetap A (pakat Harapan, lawan Umno).

Akan tetapi, “rezeki” daripada aspek ideologi dan kuasa eksekutif tidak mencukupi untuk PAS berpakat dengan Umno. PAS mesti mengambilkira “kos”nya daripada segi kemenangan kerusi parlimen/DUN.

Kalau pakatan rasmi Umno-PAS ditolak dan dihukum pengundi, maka segala yang boleh dicapai  PAS dalam pakatan ini mungkin hilang selepas PRU14.

Dalam perhitungan kemenangan kerusi perundangan, parti biasanya bukan sahaja ingin memaksimakan kemenangannya. Jika terwujud lebih daripada pesaing, parti juga mungkin berminat memaksimakan kekalahan pesaing terdekatnya dengan tujuan untuk mengurangkan pesaing.

Satu contoh yang baik ialah pilihan raya kecil Batu Sapi, Sabah pada tahun 2010. PKR enggan berkompromi dengan Parti Progresif Sabah (SAPP) untuk mencapai persetujuan 1 lawan 1 terhadap BN.

Sungguhpun perpecahan pembangkang memberikan calon BN marjin majoriti yang cukup besar, 6,359 atau 42% daripada jumlah undi sah, calon PKR  mendahului calon SAPP (bekas Ketua Menteri Yong Teck Lee) dan menolak dakwaan SAPP yang  rakyat Sabah menolak parti kebangsaan (namanya “parti Malaya”).

Daripada segi kepentingan PKR, kemenangan BN adalah lebih baik daripada kemenangan SAPP sungguhpun SAPP itu pembangkang.

Bagi PAS, siapakah musuh yang lebih merbahaya – Umno atau Amanah? Sesiapa yang berminda politik sudah tentu akan memilih Amanah.

Sudah lebih 6 dekad, Umno gagal menghapuskan PAS. Kemenangan Umno sekali lagi dalam PRU14 tetap tidak akan berjaya menghapuskan PAS.

Sebaliknya, Amanah parti serpihan PAS dan nyata sekali bersaing dengan PAS untuk pengundi Islamis. Parti serpihan PAS yang lepas seperti Berjasa dan Hamim semuanya gagal.

Kalau PAS tidak mengekalkan rekod penghapusan parti serpihan ini, ini sudah tentu bermakna Amanah ini sesuatu parti yang berlainan.

Apakah ia tidak akan menghapuskan PAS sehari nanti?

Daripada segi PAS, sungguhpun pemimpin Amanah elak mengkritik PAS, patutkah PAS memberi peluang untuk Amanah bertumbuh dan menjadi kuat supaya sehari nanti boleh menggantikan PAS?

Kalau hujah Rafizi itu benar, yang Amanah akan tewas jika berlaku pertandingan 3 penjuru, bukankah lebih untung untuk PAS biarkannya berlaku?

Dalam PRU13, di antara 65 buah kawasan parlimen di Semenanjung yang ditandingi, PAS menang 21 daripadanya dan memperolehi undi lebih daripada 40% di 31 kawasan yang lain, seperti yang tertera dalam jadual.

Dalam sebarang perundingan persepakatan pilihanraya, 54 kawasan pilihanraya ini akan menjadi rebutan PAS, Amanah malah PKR (yang disertai  Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaffar).

Sekalipun Amanah menuntut daripada 54 kawasan ini yang mempunyai sekurang-kurangnya 30% pengundi bukan Melayu, PAS sudah akan hilang 6 daripada 7 kerusi di Selangor, 3 daripada 6 di Perak, 1 daripada 4 di Pahang dan kesemua 3 di Johor, 2 di Negeri Sembilan dan 1 di Kuala Lumpur, iaitu 16 jumlahnya

Sekalipun PAS diagihkan 35 kawasan (tidak termasuk Tumpat), ini semua terhad di Timur dan Utara (Kelantan 9, Kedah 8, Terengganu 7, Pahang 3, Perak 3, Perlis 2, Pulau Pinang 2 dan Selangor 1).

Mungkinkah kompromi ini dapat diterima Pesuruhjaya PAS di negeri-negeri ke selatan Kedah yang setia bersama PAS sungguhpun munculnya Amanah?

Daripada segi perhitungan kerusi, A (pakat Harapan, lawan Umno) adalah pilihan yang paling tidak rasional untuk PAS.

Akan tetapi, D (pakat Umno, lawan Harapan) tidak menjadi pilihan yang paling rasional kerana masih ada ahli lama yang mengingati bagaimana PAS digertak dan dirugikan ketika berpakat dengan Umno pada 1974-1977.

Pilihan yang lebih rasional untuk PAS adalah B (3 penjuru, lawan Umno dan Harapan serentak) dan C (3 penjuru, lawan Harapan tetapi pakat sulit dengan Umno).

Apabila diambil kira ketiga-tiga pilihan ini, nyata sekali A (pakat Harapan, lawan Umno) yang diharap-harapkan PKR itu sebenarnya adalah pilihan paling tidak rasional untuk PAS.

D (Pakat Umno, lawan Harapan) sungguhpun boleh membawa kuasa eksekutif dan membawa perlaksanaan hukuman Hudud, ini mungkin memecahkan PAS sendiri. Umno mungkin juga khuathir ketidaksenangan parti komponen BN di Sabah dan Sarawak jika pakatan Umno-PAS berlaku secara rasmi.

B (3 penjuru, lawan Umno dan Harapan serentak) mempunyai daya tarikan untuk pengundi yang marah dengan kerakusan Najib dan kenaikan kos hidup. Akan tetapi, PAS tidak akan mendapat sokongan Umno untuk memajukan agenda Hududnya.

Maka, pilihan yang paling rasional untuk PAS secara keseluruhannya ialah C (3 penjuru, lawan Harapan, pakat sulit dengan Umno).

Kerjasama Umno-PAS boleh nampak lebih “berprinsip” dan “suci” jika dihadkan kepada agenda Hudud sebelum PRU14 dan “persaingan persahabatan” dalam PRU14.

Tidak salah setiap parti mengutamakan kepentingan dirinya daripada parti lain.

Maka, ini mungkin hakikat yang perlu Rafizi dan PKR ambil perhatian sungguhpun niat mereka “murni” sekali untuk elakkan persaingan 3 penjuru. – 20 Disember, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments