Opinion

Apakah bukan Muslim warga kelas dua, Hadi Awang? (Bahagian 2)

Jika orang Melayu menjadi majoriti, dan sistem pilihan raya boleh memastikan kuasa penentu suara majoriti, maka kekhuatiran Melayu hilang kuasa sebenarnya berbunyi: apa jadi kalau orang Melayu/Muslim mengangkat bukan Melayu/Muslim sebagai pemimpin? 

Fobia Ahok – Jika pengundi Muslim pilih pemimpin bukan Muslim?

Ini berlaku di Jakarta. Pengundi Jakarta yang majoritinya Muslim memilih Jokowi (Joko Widodo) dan temannya Ahok (Basuki Tjahaja Purnama), seorang Protestan Cina, sebagai Gabenor dan Timbalan Gabenor pada 2012. Apabila Jokowi naik menjadi Presiden Indonesia, Ahok menjadi Gabenor Jakarta.

Ahok popular di kalangan kebanyakan Muslim dan kenaikannya disambut baik kebanyakan penduduk Jakarta. Beliau barangkali akan memenangi jawatan Gabenor dalam pemilihan akan datang dengan undi sendiri.

Namun 1,000 orang penyokong Fron Pembela Islam (FPI) memprotes pada 24 September 2014 dan kemudian merusuh pada 3 Oktober menuntut Ahok berundur diri.

Alasan FPI? Orang Muslim tidak boleh dipimpin orang bukan Muslim.

“Fobia Ahok” ini soalan pokok yang kita mesti hadapi – apakah kuasa Melayu/Muslim itu bermakna orang Melayu/Muslim cuma boleh memilih pemimpin Melayu/Muslim sekalipun mereka tamak, rasuah, zalim dan memudaratkan orang Melayu/Muslim?

Ataupun kuasa Melayu/Muslim itu bermaksud orang Melayu/Muslim bebas menaikkan dan menjatuhkan mana-mana pemimpin supaya tidak kira kaum, agama dan parti, semua pemimpin yang terpilih itu tidak berani tidak berikhtiar memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat?

Ini kembali kepada dua paradigma (sistem pemikiran) yang bertentangan.

Paradigma 1: Bukan Muslim sebagai dhimmi

Paradigma pertama menganggap orang bukan Muslim sebagai warga kelas kedua yang dikenali sebagai “dhimmi” (ahl ad-Dhimmah).

Istilah ini mulanya digunakan ke atas golongan Kristian dan Yahudi yang ditawan dan dijajah Empayar Islam dan memilih untuk mengekalkan cara hidup mereka di bawah kuasa Islam sebagai warga kelas kedua daripada memeluk Islam.

Penggunaannya kemudian diperluaskan untuk merangkumi Hindu, Buddha dan bukan Muslim yang lain.

Dhimmi dikehendaki membayar cukai tanah khas yang bernama Kharaj sebagai syarat dibenarkan untuk teruskan cara hidup sendiri di tanah milikan pemerintah Muslim.

Ia dilihat sebagai alat menggalakkan orang bukan Muslim untuk memeluk Islam dan melepaskan diri daripada diskriminasi. (Kerajaan Negeri Terengganu PAS di bawah TG Hadi Awang cuba memperkenalkan cukai Kharaj pada 1999.)

Daripada konsep dhimmi ini kemudian lahirnya “sistem millet” yang menggunakan sistem undang-undang berdasarkan agama untuk penganut-penganut agama yang berlainan.

Apabila para pencadang pelaksanaan hukum jenayah Syariah mendepani idea “undang syariah untuk Muslim, undang lain untuk bukan Muslim”, sistem millet yang sebenarnya menjadi rangka rujukan mereka.

Kalau bukan Muslim itu dhimmi, maka golongan warga kelas kedua ini sudah tentu tidak layak memimpin dan segala pilihan raya yang memungkinkan golongan dhimmi menjadi pemimpin itu harus ditentang.

Sememangnya dhimmi tidak boleh menjadi pemimpin, bukan sahaja di kawasan majoriti Muslim, malah di kawasan majoriti bukan Muslim juga kerana mereka akan “terpimpin” Muslim yang tidak boleh diketuai dhimmi.

Paradigma 2: Persaudaraan dalam kemanusiaan

Paradigma kedua pula menekankan kesamaan dan kesamarataan kita sebagai manusia.

Merujuk kepada Al-Quran, Surah Al-Hujurat 49:13, yang berbunyi:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”

Rakan-rakan Muslim saya yang arif menekankan bahawa Al-Quran menekankan persaudaraan dalam susunan sebegini: pertama sekali, kemanusiaan, kemudiannya, bangsa dan kaum, dan akhirnya, keimanan.

Menurut rakan-rakan saya, kemanusiaan dan keahlian kita dalam bangsa dan kaum ditakdirkan Allah dan cuma keimanan kita itu pilihan kita. Maka, kita harus memupuk persaudaraan tidak kira kaum dan agama, kerana pertama sekali kita saudara dalam kemanusiaan.

Perbezaan antara Muslim dan bukan Muslim itu adalah di mata Allah dan bukan untuk dijadikan asas diskriminasi dalam dunia ini.

Dalam paradigma ini, kita melihat sementara presiden PAS menolak PKRT dengan alasan perkauman dan keganasan, terdapat pemimpin akar umbi PAS yang memperjuangkan demokrasi tempatan.

Genaplah 41 tahun pada 1 Februari 2015 Kuala Lumpur kehilangan undi bukan sahaja untuk kerajaan tempatan tetapi juga kerajaan negeri.

Cikgu Ishak Surin, YDP PAS Kawasan Batu yang menerajui Majlis Tindakan Kuala Lumpur (Bertindak) untuk memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur mengungkapkan pandangan progresif ini dengan sebuah pantun yang indah:

Buah durian berpangsa-pangsa

Rasa seulas lazat rasanya

Kenapa kita terlalu pentingkan bangsa

Bukankan darah kita sama merahnya?

Pilihan PAS, Pilihan Rakyat

Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan PAS di bawah pimpinannya berhak memilih mana satu paradigma. Mereka boleh memperjuangkan kuasa Muslim yang mendhimmikan orang bukan Muslim. Mereka juga boleh memperjuangkan kuasa Islam yang memperkasakan demokrasi dan memberdayakan semua rakyat Malaysia.

Rata-rata, pengundi bukan Muslim dan ramai pengundi Muslim yang berfikiran inklusif menyokong PAS dan Pakatan Rakyat yang mengandungi PAS itu kerana percayakan slogan “PAS untuk semua” itu berasaskan paradigma persaudaraan dan demokrasi.

Saya berterima kasih kepada Hadi dan Datuk Mustafa Ali kerana menyatakan tentangan mereka terhadap demokrasi tempatan secara terus-terang. Ini membolehkan perbincangan yang lebih jujur dan tidak membazirkan masa.

Saya menyeru Hadi dan Datuk Mustafa Ali menyatakan dengan jujur dan jelas sama ada PAS di bawah pimpinan mereka itu berpegang “bukan Muslim adalah dhimmi (warga kelas kedua)” and “PAS untuk Semua” itu berkasta.

PAS harus membuat pilihan yang jelas antara paradigma dhimmi dan paradigma persaudaraan supaya rakyat Malaysia juga boleh membuat pilihan mereka. – 3 Februari, 2015.

* Bahagian I di sini.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments