Opinion

Apakah agenda pasca-Najib?

Apakah Malaysia menjadi lebih selamat jika Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya melantik dirinya sekali lagi sebagai “penobat raja” (king maker) sementara kita terus buta dengan kelemahan institusi? 

Kecuali bagi manusia seperti Datuk Ahmad Maslan, rasanya tiada yang merasakan Malaysia berada dalam keadaan yang baik.

Kebanyakan rakyat Malaysia berasa risau dan marah kerana beban GST dan skandal 1MDB, antara yang lain.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang memerintah dengan mandat 47% nyata sekarang tiada sokongan 47% pun apabila dia semakin kehilangan sokongan dalam parti.

Malaysia boleh dikatakan berada dalam krisis politik yang semakin mendalam tetapi apakah sebabnya?

Secara ringkasnya, diagnosisnya boleh diringkaskan kepada dua perkara: kelemahan pemimpin dan kelemahan institusi.

Hampir dalam segala perbincangan sekarang, apa yang kita sedang lihat adalah kelemahan pemimpin atau personaliti – segala-galanya kerana Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Cara penyelesaian menjadi begitu ringkas sekali – gantikan Najib dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (cadangan Dr Mahathir) atau Tengku Razaleigh Hamzah (cadangan Zaid Ibrahim yang turut disahut oleh pihak yang lain), dan secara tidak langsungnya, gantikan Rosmah dengan Puan Sri Norainee Abdul Rahman atau Cik Puan Nur Abdullah.

Dua perubahan pasti berlaku, satu lagi tidak pasti

Ada 2 perkara yang pasti akan berlaku dan satu lagi perkara yang kemungkinan besar akan berlaku jika Najib dijatuhkan tanpa pilihan raya semula.

Pertama, skandal 1MDB akan disiasat dan Jho Low akan diambil tindakan. Apa yang dibocorkan oleh Sarawak Report akan muncul di Utusan Malaysia, New Straits Times and TV3 setiap hari.

Mungkin ada ahli politik kanan serta kerabatnya dan kroninya yang akan bersara di luar negeri.

Kedua, bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) di Jabatan Perdana Menteri akan ditutup selama-lamanya.

Perdana menteri baru dan keluarganya akan mengamalkan cara hidup yang kurang mewah. Tiada lagi kenduri perkahwinan kelas “diraja” untuk “putera” atau “puteri” di Sri Perdana.

Perkara yang kemungkinan besar tetapi tidak janji akan berlaku ialah pembatalan GST.

Daripada pembatalan, perdana menteri baru mungkin menurunkan kadarnya daripada 6% kepada 2%-3% dan berjanji tidak akan naik dalam masa 3 tahun dan sebagainya.

Alasannya pelaburan untuk membina infrastruktur cukai baru itu akan disia-siakan.

Kerajaan memerlukan hasil untuk operasianya untuk mengurangkan defisit fiskal (belanjawan) yang banyak disumbangkan oleh ketirisan. Dan sememangnya GST kaedah pencukaian yang lebih cekap. 

Dr Mahathir sekarang mengecam Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebagai pemancingan undi, tetapi apakah perdana menteri baru yang direstuinya itu akan menghentikan segala “bantuan” tunai yang boleh mengambil hati pengundi?

Dua cara perdana menteri baru boleh dihasilkan tanpa PRU

Bagi seorang perdana menteri baru untuk menjalani perubahan yang penting tetapi tinggi risiko politiknya, beliau mesti mempunyai mandat yang kuat.

Kalau beliau tidak dilahirkan daripada pilihan raya umum (PRU) baru, nampaknya ia cuma boleh lahir dalam dua cara: “pemberontakan” dalam Umno sendiri sehingga Najib terpaksa meletak jawatan; kerjasama antara puak anti-Najib dalam Umno dan BN dan parti-parti pembangkang yang mungkin membawa kepada kerajaan campuran baru.

Cara pertama sememangnya yang diinginkan oleh Dr Mahathir. Hujah utama dalam serangannya ke atas Najib ialah untuk menyelamatkan Umno daripada kegagalan dalam pilihan raya akan datang.

Apakah cukup untuk perdana menteri baru – misalnya Muhyiddin – mengurangkan pembaziran dan rasuah untuk memperkasakan Umno?

Kalau kekalkan kuasa Umno itu “tugasan” daripada Dr Mahathir, maka beliau mungkin menutup mulut rakyat dengan memenjarakan lebih ramai wakil rakyat pembangkang dan aktivis NGO sebelum menutup ketirisan dalam sistem penyampaian kerajaan.

Apakah ini akan membawa kestabilan politik dan dasar ekonomi yang mampan dan berani? Sudah tentu tidak.

Bagaimana pula dengan cara kedua iaitu penghasilan kerajaan campur?

Persoalannya, parti mana yang akan dirangkumi dan parti mana yang akan dikecualikan?

Kalau semua dirangkumi – seolah-olah pembentukan Barisan Nasional pada tahun 1974 (ketika itu cuma DAP dan Sarawak Nasional Party (SNAP) yang kekal sebagai pembangkang) – apakah parti-parti yang begitu lain agenda mereka mungkin mencapai kemuafakatan? Apakah asas untuk parti-parti ini percayai sesama sendiri?

Kalau tidak semua yang dirangkumi, maka kerajaan baru itu mungkin menjadi lebih autoritarian, seperti mana jika Umno gulingkan Najib dengan tekad untuk mengekalkan kuasa, tidak kira apa kosnya.

Parti-parti yang dikecualikan daripada kerajaan campuran baru akan mencari sebarang kelemahannya untuk mengutuknya.

Parti-parti dalam kerajaan campuran baru itu pula mempunyai insentif untuk menekan parti lawannya dengan cara kuku besi.

Apakah ini bermaksud kita terpaksa bertoleransi dengan pemerintahan Najib tidak kira bagaimana teruknya ia menjadi sehinggalah PRU14?

Mengapa institusi kita lemah?

Masalah kita sebenarnya lebih kerana kelemahan institusi daripada kelemahan peribadi.

Sebab pokok mengapa “pemuafakatan” baru begitu sukar dicapai untuk menggulingkan Najib ialah kerana sistem politik kita amat bersifat “winner-takes-all”.

Apabila pemenang mendapat segala-galanya, setiap pihak akan takutkan dirinya dipinggirkan dan dikecualikan.

Maka, tidak mungkinlah berlakunya “perjanjian budiman” (gentlemen’s agreement) yang bersifat sementara.

Sifat “pemenang mendapat segalanya” ini sebenarnya sebab mengapa pemerintahan Najib semakin menjadi bencana kepada rakyat Malaysia.

Secara spesifiknya, kita ada 4 masalah besar institusi: 

(a) pilihan raya yang tidak adil dan tidak bebas;
(b) Parlimen yang tidak dapat menyemak dan mengimbangkan kuasa eksekutif; (c) badan kehakiman dan badan penguatkuasa yang tunduk kepada kuasa eksekutif; dan
(d) sekatan ke atas kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang melemahkan media dan masyarakat sivil.

Kalau bukan pilihan raya yang tidak adil dan tidak bebas, mungkinkah Najib berkuasa sampai sekarang dengan sokongan rakyat 47%?

Kalau parlimen dapat berfungsi untuk meneliti keputusan kerajaan dengan pelbagai jawatankuasa, mungkinkah skandal 1MDB ditutup sampai menjadi padah dan sampai hari masih banyak bergantung kepada Sarawak Report yang beroperasi di luar Malaysia untuk mencari bukti penyelewangannya?

Kalau badan kehakiman dan badan penguatkuasa kita berintegriti, mungkinkah orang yang menyuruh supaya Altantuya Shaariibuu itu dilepaskan sampai hari ini?

Kalau media dan masyarakat sivil kita tersekat, bukankah sudah lama rakyat membangun untuk menuntut pembetulan dan hukuman untuk mereka yang berbuat salah?

Di mana Dr Mahathir sejak 2006?

Hari ini, Dr Mahathir yang memainkan peranan secara langsung atau tidak langsung dalam menjatuhkan 3 orang perdana menteri dan 2 orang timbalan perdana menteri menampilkan dirinya sebagai penyelamat negara dalam usahanya untuk menjatuhkan seorang lagi perdana menteri.

Beliau sekarang ingin menuntut keadilan untuk Sirul Azhar Umar, salah seorang komando polis yang menembak Altantuya, kononnya itu ketidakadilan yang sangat besar kerana Sirul bertindak atas perintah.  

Dalam mata Dr Mahathir, nampaknya munasabah bagi anggota polis turut perintah sekali pun itu perintah itu adalah membunuh dan salah dari sisi undang-undang dan moral.

Apakah ini “budaya wala” ala Umno?

Beliau sekarang ingin memperjuangkan keadilan untuk Sirul. Pembunuhaan Altantuya yang dibunuh pada 19 Oktober 2006.

Pada 22 Julai 2008, Abdul Razak Baginda orang kanan Najib dan kekasih Altantuya dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 9 April 2009, Sirul dan Azilah Hadri disabit bersalah membunuh dan dijatuhkan hukuman mati.

Pada 23 Ogos 2013, Sirul dan Azilah dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 13 Januari, 2015, Sirul dan Azilah disabitkan bersalah membunuh dan dijatuhkan hukuman mati sekali lagi.

Persoalannya, di mana Dr Mahathir pada tarikh-tarikh ini? Apakah beliau tidak tahu apa yang berlaku tentang kes Altantuya? Mengapa beliau tidak inginkan keadilan untuk Sirul (dan Azilah)? Mengapa beliau tidak tuntut orang yang menyuruh supaya Altantuya dibunuh itu dihadapi ke mahkamah?

Mengapa Dr Mahathir bersungguh-sungguh menaikkan Najib pada 2008 dan 2009 untuk menggantikan Tun Abdullah Badawi yang dikira lemah?

Apakah isu pembunuhan yang mungkin melibatkan keluarganya tidak penting jika seseorang perdana menteri itu kuat untuk memimpin Umno di mata Dr Mahathir dan tiba-tiba menjadi penting kerana perdana menteri yang sama itu sudah menjadi lemah untuk memimpin Umno di mata Dr Mahathir?

Apakah sama ada keadilan itu harus ditegakkan bergantung kepada penilaian Dr Mahathir sama ada seseorang itu kuat atau lemah untuk merealisasikan kehendaknya?

Kalau Najib hari ini seolah-olah sudah menjadi raksasa yang tidak terkawal, tidak haruskah kita tertanya bukankah ia dibesarkan daripada sistem nilai Dr Mahathir yang begitu oportunis dan Machiavellian?

Dr Mahathir menyatakan terus-terang hasratnya untuk menyunting Internet kalau beliau menjadi perdana menteri lagi. 

Kalau Internet pun jadi pak turut dan pengampu kerajaan, mungkinkah sebarangan perdana menteri baru yang dinamakan oleh Dr Mahathir itu menyelamatkan Malaysia daripada penyalahgunaan kuasa?

Apakah agenda untuk era pasca-Najib?

Rencana ini bukan untuk membela atau menyokong Najib. Rencana ini ingin mengingatkan masalah kita bukan sekadar pada kelemahan pemimpin yang tidak dapat kawal diri apabila berkuasa, tetapi lebih lagi kelemahan institusi yang tidak dapat kawal pemimpin yang gilakan dan salah gunakan kuasa.

Kita mesti tanya sendiri apakah agenda untuk era pasca-Najib.

Apakah Malaysia menjadi lebih selamat semata-mata dengan membenarkan Dr Mahathir melantik dirinya sekali lagi sebagai “penobat raja” (king maker) sementara kita terus buta dengan kelemahan institusi? 

Tanpa reformasi institusi, berapa lama lagikah Dr Mahathir akan muncul kembali bergendang untuk menjatuhkan perdana menteri yang baru? – 3 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments