Opinion

Apa jadi kalau Pakatan dan PAS berpecah?

Daripada perkembangan-perkembangan terbaru, nampaknya Pakatan dan PAS tidak mungkin kembali kepada keadaan sebelum Ogos 17 apabila PAS dan Pakatan masing-masing menetapkan calon MB Selangor. Perubahan atau perpecahan nampaknya tidak dapat dielakkan, yang tidak jelas cuma pola dan implikasinya.

Analisa sebenarnya tidak rumit, boleh dipecahkan kepada dua peringkat dengan dua pembolehubah, yakni bagaimana Pakatan berpecah, dan bagaimana PAS berpecah. Dan kita boleh mengambil sebagai rujukan atau iktibar perkembangan-perkembangan silam dalam membuat unjuran terhadap masa depan. Kerana had perkataan, rencana ini akan tumpukan kepada PAS sahaja.

Kalau Pakatan berpecah tetapi PAS tidak

Jika Pakatan berpecah kerana PAS keluar Pakatan, tetapi PAS pada masa yang sama dapat mengelakkan perpecahan besar-besaran dalam parti, maka pilihan di depan PAS ialah (a) berdiri sendiri sebagai parti ketiga di samping BN dan Pakatan; atau (b) berpakat dengan Umno secara terbuka.

Dalam pilihan ini, perhitungan paling penting untuk PAS ialah bagaimana untuk membezakan diri daripada parti-parti lawannya.

Pilihan pertama ada kelebihannya daripada pilihan kedua yakni PAS mungkin dapat menyakinkan penyokong-penyokong setianya ia tidak berkerjasama dengan musuh utama Umno.

Ramai di Kelantan yang masih ingat bagaimana PAS ditikam dari belakang oleh Umno dalam tahun-tahun 1973-1977, di mana Menteri Besar PAS Mohamad Nasir dijadikan senjata paling bahaya untuk melemahkan PAS dari dalam, sepertimana yang berlaku di Selangor sekarang. Dan di seluruh negara, ramai pemimpin dan penyokong PAS dizalimi oleh kerajaan Umno dalam pelbagai bentuk, daripada tahanan di bawah ISA sampai ke pemindahan kerja dalam 24 jam untuk kakitangan kerajaan.

Kerjasama dengan Umno secara terbuka bermaksud mereka ini mungkin akan terus menyokong Pakatan, malah mungkin ada yang akan masuk PKR atau DAP secara terus.

Akan tetapi, pertarungan tiga penjuru bermaksud PAS kena menyertai Umno, Perkasa dan Isma dalam mengutuk Pakatan sebagai pembelot Islam dan Melayu, dan pada masa yang sama, PAS juga kena menyertai Pakatan dalam mengutuk Umno/BN atas isu-isu seperti GST, korupsi dan penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Kalau katakan PAS kehilangan 5% poin sahaja di kawasan pengundi Melayu melebihi 70% daripada tahap sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), maka PAS akan dapat kekalkan tujuh kawasan Parlimen, yakni Kubang Kerian (65.42% dalam PRU13), Pengkalan Chepa, Kota Baru, Rantau Panjang, Pasir Mas, Kuala Terengganu dan Tumpat (56.50%). Kalau kita buat pengecualian kepada Marang (53.17%), kerana undi kepada Tuan Guru Hadi Awang mungkin naik kerana jasanya membawa PAS ke “pangkuan jalan” kononnya, maka, PAS juga paling banyak kekal dengan lapan kerusi.

Di kawasan-kawasan pengundi Melayu kurang daripada 70%, munasabah sekali kalau PAS kehilangan sokongan sekurang-kurangnya 20% poin daripada sokongan asal PRU. Ini akan bermakna PAS akan terus hilang Kota Raja (64.62%), Parit Buntar, Hulu Langat, Shah Alam, Temerloh, Bukit Gantang dan Sepang (49.88%). PAS nampaknya akan kembali kepada kedudukan asal sebelum-1999, sebuah parti kewilayahan Timur Laut.

Tidakkah PAS akan dapat beruntung dengan merebut lebih banyak kerusi daripada Umno atau PKR? PAS memang ada potensi untuk menjatuhkan PKR dan menobatkan Umno di banyak kawasan dengan memainkan peranan sebagai “pengacau” (spoiler) tetapi untuk menang, PAS mesti dapat menewaskan Umno.

Mengapa lawan Umno kalau sayangkan Melayu?

Ini menjadi persoalan besarnya: Kalau PAS keluar Pakatan kerana ingin membela Islam dan Melayu yang terancam, apa alasan PAS untuk melawan Umno parti Melayu yang terbesar? Kempen Umno berhadapan dengan PAS menjadi mudah sangat: mengapa PAS lawan Umno kalau sayangkan Melayu?

Sejarah boleh menjadi rujukan di sini. Dalam 1986, PAS bercita-cita besar untuk menerajui negara dengan membentuk sebuah gabungan pembangkang yang bernama Harakah Keadilan Rakyat (HAK) dengan parti-parti kecil tetapi DAP enggan menyertai gabungan ini. PAS bertanding dalam 98 daripada jumlah 177 kawasan Parlimen. Akhirnya, PAS menangi cuma satu kerusi, Pengkalan Chepa. Sekali Tok Guru Nik Azizpun tumbang di Pasir Mas.

PAS hanya mendapat sejumlah 15% undi tetapi ini kurang daripada DAP yang bertanding secara solo di 64 kawasan dan mendapat 21% undi. Malahan, seramai 21 orang calon Parlimen dan 42 orang calon DUN PAS gagal mendapat 1/8 undi sah dan kehilangan wang deposit, berjumlah RM231,000, satu angka yang besar sangat untuk tiga dekad yang lalu.

Pakatan tanpa PAS pada 2014 sudah tentu masih lebih kuat daripada DAP pada 1986. Apakah PAS secara solo pada 2014 akan lebih kuat daripada PAS sebagai pemimpin HAK pada 1986?

Perhitungan mencadangkan bahawa, kalau PAS mesti keluar daripada Pakatan, lebih untung kalau ia terus bergabung dengan Umno. Ini membolehkan kedua-dua parti itu membahagi-bahagikan kerusi di seluruh negara dan berkempen untuk sesama lain.

Pilihan rakyat dalam PRU14 akan menjadi sangat jelas: Ketuanan Melayu atau ketuanan rakyat? Kedudukan PAS dalam BN akan diperkuatkan lagi jika ada parti Sabah atau Sarawak yang keluar daripada BN kerana posisi ketuanan Melayu ini.

Satu-satu saja perkara yang perlu PAS timbangkan: Apakah Umno akan benarkan PAS terus berkembang? Dalam episod 1973-1977, Umno malah berkomplot untuk merampas Kelantan daripada PAS. Hari ini, Umno yang lebih lemah mungkin bersedia untuk terima PAS sebagai rakan wilayah seperti Usno dan Berjaya dahulunya di Sabah atau PBB di Sarawak sekarang. Dengan Kelantan Umno yang lemah, mungkin tidak besar pengorbanan Umno untuk lepaskan sebuah negeri.

Di negara Jerman, puak konservatif diwakili oleh Christian Democratic Union (CDU) yang bercabang di seluruh negara kecuali negeri Bavaria dan Christian Social Union (CSU) yang bertapak di Bavaria.  Kalau model ini boleh diterima oleh PAS, gabungan Umno-PAS mungkin boleh menjadi kukuh.

Dari segi ini, Kelantan mungkin muncul sebagai “Aceh” kepada Malaysia, yakni sebuah negeri yang menikmati tahap autonomi yang tinggi – termasuk perlaksanaan hukum Hudud di peringkat negeri - kerana ciri keIslamannya.

Kalau Pakatan dan PAS kedua-dua berpecah

Akan tetapi, jika PAS tinggalkan Pakatan untuk “bernikah” dengan Umno, tidak mungkin PAS tidak berlaku perpecahan. Kewujudan kumpulan baru, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang dipimpin oleh Husam Musa dan dilancarkan di Kota Bahru menunjukkan persediaan puak pro-Pakatan untuk berpecah sekiranya puak Unity Government (UG) meneruskan pelannya untuk menenggelamkan Pakatan.

Sungguhpun namanya sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pasma mempunyai struktur organisasi dan jawatan yang begitu serupa dengan PAS, ada Mursyid Am, Timbalan Mursyid Am, Ketua Pemuda, Ketua Muslimat dan Ketua Ulama.  

Jika PAS berpecah, wujud satu parti serpihan yang keluar Pakatan dan satu parti serpihan yang kekal dalam Pakatan, masa depan untuk serpihan PAS yang keluar Pakatan itu akan menjadi lebih malap daripada senario yang dibentangkan di atas.

Kalau serpihan PAS yang “keluar” itu “masuk” BN, maka ia akan berada dalam keadaan yang lebih lemah daripada PAS yang berpakat secara rasmi dengan Umno pada tahun 1973 dan menyertai BN pada tahun 1974, apabila PAS – di bawah pimpinan Datuk Asri Muda – bersatu-padu dan menguasai Kelantan.

Persoalannya, apakah Tuan Guru Hadi Awang lebih pandai berpolitik daripada Datuk Asri Muda apabila berhadapan dengan Umno? Pemain utama di pihak bertentangan bukan Tengku Razaleigh dan Tun Hussein Onn yang menerajui Umno Kelantan dan Umno Kebangsaan pada tahun 1977, juga bukan Najib Razak, tetapi Dr Mahathir Muhamad.

Dr Mahathirlah yang ditugaskan sebagai wakil kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan krisis MB Kelantan pada tahun 1977. Darurat diisytiharkan di Kelantan sebulan selepas cara penyelesaian cadangan Dr Mahathir ditolak PAS.

Apa pula kemungkinannya kalau serpihan PAS yang “keluar” itu tidak “masuk” BN dan kekal sebagai parti ketiga di samping BN dan Pakatan?

Senario yang paling dekat ialah apa yang berlaku dalam PRU negeri Kelantan pada tahun 1978. Dalam PRU kilat itu yang diadakan kurang daripada sebulan setelah darurat ditamatkan secara tiba-tiba, terdapat tiga parti yang bertanding: Umno/BN, PAS (anti-Umno) dan  Berjasa (pro-Umno, pimpinan Nasir). Untuk memecahbelahkan undi PAS, Umno dan Berjasa mengambil strategi untuk berlawan bersendirian sungguhpun sudah bersepakat sekian lama.

PAS yang anti-Umno kalah teruk, dengan kerusi dimenanginya jatuh daripada 20 (tidak termasuk Nasir) kepada dua, manakala Berjasa yang pro-Umno menambahkan kerusinya daripada 1 (dipegang oleh Nasir) kepada 11.

BN yang menjadi pemenang terbesar dengan bilangan kerusi melambung naik daripada 14 kepada 23.  (Untuk mengimbas kembali episod Umno-PAS di Kelantan pada tahun 1973-1977, sila baca tesis Prof Mohammad Agus Yusoff, muka surat 139-154).

Apa yang menarik ialah sekalipun kejayaan relatifnya, Berjasa itu menjadi “gelumbung” dalam masa satu penggal Parlimen. Kerana ideologi Umno berasaskan perpaduan Melayu, maka membenarkan satu lagi parti Melayu/Muslim dalam BN menjadi sesuatu yang bukan sahaja kekok, tetapi bercanggah dengan pegangannya, kecuali parti itu bersifat kewilayahan, seperti PBB di Sarawak atau dulunya Usno atau Berjaya di Sabah.

Kalau Pakatan dan PAS tidak berpecah dan tidak berubah

Kalau perpecahan Pakatan dan PAS itu nampaknya begitu merugikan PAS (dan juga Pakatan, dalam jangka pendek), apakah perpecahan itu boleh dielakkan?

Apakah tidak mungkin demi pendemokrasian negara, maka ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP itu berpura-pura bahawa kemelut, sabotaj dan pengkhianatan di Selangor ini semua tidak pernah berlaku? Apakah tidak mungkin pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti itu mencium dan memeluk sesama sendiri dan berbaik-baik sahaja?

Jawapan malangnya tidak.

Dengan penamaan tiga orang calon PAS untuk MB Selangor oleh Hadi, dan sebelumnya pengakuan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tentang plot untuk membentuk kerajaan campuran Umno-PAS yang mengangkat Khalid Ibrahim sebagai MB, nyata sekali, Pakatan dicurangi.

Dan pengundi tidak akan mempercayai sebuah gabungan politik yang penuh dengan kemunafikan, perpecahan amanah dan pemungkiran janji.

Suatu ketika dahulu, Pak Lah adalah tokoh “kluk-klek” (flip flop) Malaysia, dan tidak lama kemudian, Najib mengambilalih pangkat itu.

Kini nampaknya Tuan Guru Hadi Awang menjadi ikon “kluk-klek” yang terbaru. Kita google “Hadi Awang” dan “Pakatan” atau “calon MB”, kita akan dapat pendirian atau kenyataan PAS yang berubah mengikut bulan, minggu dan hari. Sekarang, mungkin pagi petang pun lain ceritanya.

Mungkin tiba masanya PAS mengimbas kembali apa yang berlaku dalam Muktamar 1982 untuk kembali ke pangkal jalan.  Apa pilihanpun, istiqamah sajalah. Jangan kluk-klek lagi. – 7 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments