Opinion

Akta Hasutan lindungi siapa, Melayu atau Umno?

Jika sekalipun semua orang bukan Melayu sebulat suara ingin membuat perubahan, tidak mungkin boleh dilakukan tanpa persetujuan orang Melayu. Maka sebenarnya, Akta Hasutan ini wujud untuk menyekat tuntutan perubahan daripada orang Melayu dan bukannya orang bukan Melayu.

Kebanyakan nasionalis Melayu menuntut Akta Hasutan dikekalkan bagi melindungi “kontrak sosial” yang menurut pandangan mereka adalah asas konsep Ketuanan Melayu, iaitu istilah baru yang dicipta Abdullah Ahmad pada 1986.

Mengikut logik ini, kalau tiada Akta Hasutan, maka “kontrak sosial” akan dipersoalkan, ketuanan Melayu akan dijatuhkan, dan segala institusi dan polisi yang memanfaatkan Melayu, daripada kedudukan Islam sebagai agama rasmi (Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan), kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak (Perkara 153) yang dijadikan asas kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan akhirnya monarki (Perkara 181) akan dilenyapkan.

Apa fungsi asal Akta Hasutan?

Tetapi bagaimana Akta Hasutan berjaya melindungi Melayu?

Satu peninggalan penjajah British yang digubal setelah mencetusnya kebangkitan bersenjata komunis, Akta Hasutan direka untuk mencegah kebencian rakyat terhadap pemerintah (termasuk Raja-raja dan badan kehakiman) [Seksyen 3(1)(a), (c) dan (d)], permusuhan antara kaum atau kelas di kalangan rakyat [Seksyen 3(e)] dan mencegah tindakan “cuba mendapatkan apa-apa perubahan, dengan apa-apa cara selain cara yang sah, apa-apa jua yang wujud menurut undang-undang" [Sekysen 3(b)].

Jelas sekali, matlamat asal akta ini adalah mencegah revolusi dan rusuhan.

Pindaan dibuat pada 1969 (berkuatkuasa pada 1970) di bawah Tun Razak dengan melarang empat perkara dalam Perlembagaan Persekutuan dipersoalkan oleh sesiapa termasuk wakil rakyat.

Antara empat perkara itu adalah tiga pekara kononnya “sensitif” yang memang dikenali adalah Perkara 152 (bahasa kebangsaan), Perkara 153 (kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak) dan Perkara 181 (monarki).

Pertama dalam senarai “larang dipersoalkan” ini bukan Perkara 3 (Islam), kerana sekalipun sesudah rusuhan 13 Mei, tidak wujud dalam persepsi pemerintah Islam sudah atau akan tercabar. Islam nampaknya lebih kuat semasa Tunku dan Tun Razak daripada zaman semenjak Dr Mahathir.

Perkara larangan pertama itu Bahagian III Kewarganegaraan, yakni, ini untuk mengharamkan seruan-seruan kepada mana-mana rakyat Malaysia untuk “balik Tongsan/Hindustan/Indonesia”.

Maka lebih daripada mencegah revolusi (apa yang dimaksudkan sebagai “perubahan dengan cara-cara selain cara yang sah [kepada] apa-apa jua yang wujud menurut undang-undang”), Akta Hasutan pasca 13 Mei itu ingin memelihara status quo empat perkara itu secara mutlak.

Sekalipun dengan cara-cara yang sah, yakni perubahan secara demokratik melalui Parlimen, ia tetap dilarang.

Benarkah terdapat ancaman bukan Melayu?

Untuk menegakkan hujah Akta Hasutan perlu untuk melindungi orang Melayu daripada ancaman bukan Melayu, maka kita perlu tegakkan dulu wujudnya ancaman bukan Melayu dalam bentuk (a) revolusi; (b) rusuhan dan (c) perubahan politik melalui Parlimen.

Revolusi komunis (yang terdapat pejuang-pejuang Melayu dan Bumiputera Sarawak juga sungguhpun tidak banyak) tamat sepenuhnya di kedua-dua Semenanjung dan Sarawak pada 1989 dan 1990.

Bagaimana pula dengan ancaman rusuhan oleh orang bukan Melayu ke atas orang Melayu?

Sememangnya, sesekali kita akan dengar ahli politik dan kumpulan tertentu yang mengugut untuk mengulangi rusuhan 13 Mei kalau mereka tidak senang.

Tetapi, mereka ini tidak pernah bernama Ah Lee atau Raja Gopal dan seumpamanya, dan sasaran ugutan sebegitu ialah orang bukan Melayu termasuk Bumiputera Kristian, dan bukanlah orang Melayu.

Kalau tuan-tuan dan puan-puan pernah mendengar ugutan orang bukan Melayu untuk merusuh ke atas orang Melayu, mohon kongsikan maklumat.

Akhir sekali, apakah kemungkinannya kedudukan bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Borneo, dan institusi monarki dalam Perlembagaan Persekutuan itu diubah secara demokratik di Parlimen? Mungkinkah ini berlaku dengan tuntutan orang bukan Melayu?

Fakta dengan jelasnya menolak imaginasi, fantasi, cerita dongeng, anganan atau igauan mana-mana pihak.

Hari ini, orang Melayu-Islam bukan saja merupakan golongan majoriti yang jelas di Malaysia dengan peratusan yang sentiasa meningkat (mencapai 67.4% kalau dicampurkan Bumiputera yang lain), malah mereka mendapat perwakilan yang jauh lebih tinggi daripada peratusan mereka dalam sistem pilihan raya kita.

Di antara 165 kawasan parlimen di Semenanjung, orang Melayu merupakan kumpulan majoriti di sebanyak 105 kawasan ataupun 63% daripadanya, berdasarkan data dalam Pilihan Raya Umum ke-13, (PRU13).

Daripada 57 kerusi di Sabah dan Sarawak, Umno memenangi semua 15 kerusi ditandinginya di Sabah dan Labuan, manakala PBB (satu-satunya parti Barisan Nasional lain yang didominasi umat Islam) juga memenangi semua 14 kerusi ditandinginya, memberikan 29 kerusi tambahan.

Sekalipun orang bukan Melayu bersatu 100% untuk mengubah apa-apa peruntukan dalam Perlembagaan, mereka langsung tidak mempunyai kekuatan, sama ada secara keganasan atau perundangan, untuk mengubahnya.

Realiti politik di Malaysia ialah sebarang perubahan cuma boleh berlaku jika ia dipersetujui majoriti orang Melayu.

Melindungi Umno daripada orang Melayu

Maka dengan menyekat kebebasan rakyat bersuara malah berfikir, yang dirugikan oleh Akta Hasutan secara berkesannya bukanlah golongan minoriti yang sememangnya tidak berdaya mengubah apa-apa dengan dirinya, tetapi sebaliknya orang Melayu yang memonopoli kekuatan politik untuk membawa apa-apa perubahan.

Umno menentukan tidak ada apa boleh dipersoalkan dan tidak ada apa boleh diubah, terutamanya pemerintahannya.

Itu sebabnya Adun Selangor dari Taman Medan, Haniza Mohamed Talha, boleh dipanggil polis membantu siasatan di bawah Akta Hasutan kerana mempertikaikan peruntukan bagi Program Permata Negara (Permata) yang dibawah naungan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri.

Mungkin kerana takutkan akibat sabitan Akta Hasutan yang boleh membawa kepada kehilangan kelayakan menjadi wakil rakyat malah juga hukuman penjara, Haniza menafikan dirinya mengaitkan perkara itu dengan isteri perdana menteri.

Persoalannya, kalau sekalipun Haniza mengaitkan Permata dengan Rosmah, apa salahnya? Mengapa seseorang itu tidak boleh dikritik semata-mata kerana dia isteri perdana menteri?

Kalau isteri pun tak boleh dikritik, pak menteri sudah tentu lagi pantang dikritik? Dan kalau semua pak menteri pantang dikritik, apa yang tinggal dengan demokrasi?

Dan bagaimana kepentingan orang Melayu yang merupakan golongan majoriti itu diangkat jika demokrasi ditenggelamkan?

Tetapi apakah perlu kita hairan Akta Hasutan memang akan digunakan ke atas lebih ramai orang Melayu yang mengkritik dan menentang Umno?

Bukankah Adam Adli yang dijatuhkan hukuman penjara setahun di bawah Akta Hasutan mempersoalkan kesahihan PRU13 itu Melayu?

Bukankah Wan Ji Wan Husin yang didakwa mengikut Akta Hasutan kerana membincangkan monarki daripada segi ajaran Islam itu Melayu?

Bukankah Azmi Sharom yang didakwa mengikut Akta Hasutan kerana memberikan pandangan profesionalnya tentang kuasa Sultan Selangor dalam pelantikan menteri besar itu Melayu?

Bukankah Khalid Samad yang didakwa mengikut Akta Hasutan kerana menggesa enakmen negeri dikaji berkaitan dengan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) itu Melayu?

Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri mengaku dalam Perhimpunan Agong Umno baru-baru ini kemunduran Bumiputera selepas lebih empat dekat pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. 75.5% daripada kumpulan isi rumah 40% paling miskin adalah Bumiputera, jauh lebih tinggi daripada peratusan populasinya, 67.4%.

Kalau seorang Melayu itu menuntut Perkara 153 dan DEB dimansuhkan kerana yang dimanfaatkan cumalah Melayu atasan, supaya digantikan dengan peruntukan dan dasar ekonomi yang lebih berkesan menjaga orang Melayu miskin dan juga orang miskin yang lain, apakah beliau tidak akan didakwa juga mengikut Akta Hasutan?

Pokoknya, apakah kebaikan Akta Hasutan kepada orang Melayu jika sebagai golongan majoriti pun mereka kehilangan hak dan kuasa untuk menganalisa, menilai dan mengubah apa-apa polisi atau institusi untuk memanfaatkan dan memperkasakan diri mereka?

Apakah kebaikan Akta Hasutan jika orang Melayu kebanyakan terpaksa menerima apa saja dasar kononnya untuk kebaikan mereka, tidak kira baik buruknya?

Golongan ultra-nasionalis Melayu cuba menjustifikasikan Akta Hasutan dengan mencipta ilusi orang Melayu sentiasa terancam oleh orang bukan Melayu.

Hakikatnya yang terancam itu bukan Melayu, tetapi Umno. Apabila orang Melayu berani mempersoalkan keikhlasan dan keberkesanan Umno dalam memperjuangkan kebajikan mereka, Umno yang lesu akan kehilangan undi Melayu, seperti apa yang sebenarnya berlaku dalam pilihan raya umum 1969.

Itu sebab sebenar perwakilan Umno sorak sedewan dengan pengekalan Akta Hasutan. Umno perlukan perlindungan daripada orang Melayu yang berani berfikir, dulu, kini dan selama-lamanya. – 12 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments