Opinion

Beri ahli Parlimen Umno kuasa pecat PM

“Semakan dan imbangan” dalam demokrasi berparlimen, bergantung kepada bukan istana atau pembangkang, tetapi “ahli Parlimen bangku belakang” (backbenchers) parti pemerintah.

Tun Dr Mahathir Muhamad baru-baru ini membincang tentang “pengasingan kuasa” di blognya chedet.cc pada 20 Oktober.

Selain menyokong kenyataan Majlis Raja-raja Melayu tentang penyiasatan 1MDB, rencana Dr Mahathir mengutuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melanggar “prinsip pengasingan kuasa antara perundangan, eksekutif dan kehakiman” kerana mencampuri urusan penyiasatan 1MDB oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menukar peguam negara.

Campur tangan Najib dalam penyiasatan SPRM dan peguam negara, kemudiannya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan juga Bank Negara Malaysia sememangnya harus dikutuk.

Akan tetapi, “prinsip pengasingan kuasa antara perundangan, eksekutif dan kehakiman” di bawah demokrasi berparlimen sebenarnya satu mitos, yang dikongsi oleh ramai pemimpin, bukan sahaja Dr Mahathir.

Idea pengasingan kuasa dipelopori oleh ahli pemikir agung Perancis Montesquieu dalam bukunya “Semangat Undang-undang” yang diterbitkan pada 1748 dan menjadi realiti dengan penubuhan Amerika Syarikat 3 dekad kemudian.

Antara 3 cabang pemerintah, kehakiman sememangnya harus dijamin kebebasannya supaya undang-undang melindungi rakyat dan bukan menjadi alat pemerintah menzalimi rakyat.

Yang menjadi persoalan ialah pengasingan kuasa antara eksekutif dan perundangan.

Demokrasi berpresiden – pengasingan kuasa

Demokrasi berpresiden menyelesaikan masalah ini dengan memilih ketua eksekutif (presiden) dan badan perundangan (kongres).

Presiden dan kedua-dua dewan kongres bukan sahaja mempunyai tempoh jawatan yang berasingan, malah mereka tidak menguasai sesama lain.

Presiden tidak boleh membubarkan kongres. Sungguhpun sebaliknya presiden boleh dipecat oleh kongres, ini hanya boleh berlaku apabila presiden melakukan kesalahan besar dan jarang sekali berlaku.

Pendek kata, demokrasi berpresiden memberikan jaminan pekerjaan kepada presiden dan satu implikasinya ialah pertembungan presiden dan kongres boleh berterusan.

Malah, operasi biasa pemerintah Persekutuan boleh diberhentikan jika kongres enggan meluluskan perbelanjaan pemerintah.

Demokrasi berparlimen – percampuran kuasa

Demokrasi berparlimen seperti yang diamalkan oleh Malaysia pada teorinya berbeza sekali.

Kita cuma mempunyai satu pilihan raya untuk badan perundangan – Parlimen yang seterusnya memberikan mandat kepada pemimpin parti terbesar dalam Parlimen untuk memegang kuasa eksekutif sebagai perdana menteri dan melantik ahli Kabinetnya.

Maka, tiada pengasingan kuasa sepenuhnya dalam demokrasi berparlimen. Apa yang wujud sebenarnya ialah percampuran kuasa antara perundangan dan eksekutif.

Tanpa pengasingan kuasa, “semakan dan imbangan” dalam demokrasi berparlimen beroperasi dengan memberikan kedua-dua badan eksekutif dan perundangan untuk menamatkan riwayat badan yang lain.

Parlimen boleh memecat perdana menteri, dan Kabinet, pada bila-bila masa dengan menarik balik kepercayaan kepada beliau. 

Ini boleh berlaku dengan 3 cara: pertama, Parlimen meluluskan usul tidak percaya kepada perdana menteri; ke-2, Parlimen menolak usul percaya kepada perdana menteri; dan ke-3, Parlimen menolak rang undang-undang yang sangat penting kepada eksekutif terutamanya belanjawan.

Sebaliknya, perdana menteri juga berkuasa untuk memohon pembubaran Parlimen sebelum tempoh tamat. Ini menjadi senjata perlindungan diri untuk perdana menteri yang “dipecat” oleh Parlimen.

Akan tetapi, sama ada permohonan itu diluluskan mengikut budi bicara ketua negara, iaitu Raja atau Presiden bukan eksekutif yang seharusnya bebas daripada politik kepartian.

Mengapakah krisis politik berterusan?

Berbanding dengan demokrasi berpresiden, demokrasi berparlimen sebenarnya lebih baik dalam menyelesaikan krisis politik kerana ketua eksekutif (perdana menteri) boleh dipecat pada bila-bila masa tanpa jaminan kerja dan pilihan raya baharu boleh diadakan jika perlu.

Kalau begitu, mengapakah krisis politik di Malaysia berterusan? Apakah yang tidak kena dengan demokrasi berparlimen kita?

Apa yang tidak kena bukan Raja tidak campur tangan, bukan pembangkang berpecah malah bukan speaker tidak mengangkat demokrasi, tetapi kerana struktur parti politik kita.

Semakan dan imbangan demokrasi berparlimen tidak bergantung kepada pembangkang kerana mereka tidak ada bilangan ahli Parlimen yang cukup untuk menjatuhkan eksekutif. Eksekutif cuma boleh dijatuhkan apabila ahli parti pemerintah sanggup memberontak.

Ahli Parlimen parti pemerintah dibahagikan kepada mereka yang memegang jawatan eksekutif seperti menteri atau timbalan menteri, yang dinamakan “ahli bangku depan” dan selainnya yang dinamakan “ahli bangku belakang”.

Penterjemahan lazim “government backbenchers” sebagai “penyokong kerajaan” itu sebenarnya kurang tepat kerana ia mengandaikan mereka mesti menyokong pemerintah.

Ahli bangku belakang parti pemerintah boleh menyokong usul tidak percaya atau menolak belanjawan. Tindakan ini dipanggil “pemberontakan bangku belakang”.

Sebaliknya, menteri dan timbalan menteri tidak boleh berbuat begitu sebelum meletak jawatan seperti apa yang dilakukan oleh Robin Cook yang meletak jawatan sebagai menteri luar United Kingdom kerana membantah penyertaan negara itu dalam perang Iraq.

Pemberontakan bangku belakang yang menjatuhkan eksekutif sebenarnya jarang berlaku di negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen ala “Westminster”.

Ini kerana perdana menteri memerlukan sokongan ahli Parlimen separti untuk kekal berkuasa, maka pemimpin untuk parti seperti Konservatif di United Kingdom dan parti Liberal di Australia dipilih, bukan oleh kongres perwakilan parti, tetapi oleh ahli Parlimen parti itu yang biasanya dinamakan sebagai parti Parlimen atau kaukus Parlimen.

Maka, dengan mekanisme ini, peletakan jawatan oleh menteri kanan sering menjadi isyarat untuk cabaran kepada perdana menteri.

Apabila perdana menteri dapat ditukar di dalam parti, maka tiada keperluan untuk ahli bangku belakang parti pemerintah untuk memberontak dan bekerjasama dengan pembangkang.

Sebagai contoh, Perdana Menteri United Kingdom Margaret Thatcher menjadi tidak popular kerana “cukai kepala” pada November 1990.

Beliau menghadapi cabaran kepimpinan daripada bekas menteri pertahanan Michael Heseltine  dan juga usul tidak percaya oleh Parti Buruh di Parlimen.

Beliau mendapat 204 undi melawan 152 undi kepada Heseltine di kalangan ahli Parlimen Konservatif. mengikut peraturan parti, kemenangan tipis itu tidak dapat mengelakkan cabaran baharu.

Ini mendorong Thatcher untuk berundur secara sukarela dan membuka jalan untuk John Major dinamakan calon dan akhirnya menang untuk memimpin parti dan pemerintah.

Akan tetapi, di Parlimen, usul tidak percaya Parti Buruh itu berjaya dikalahkan dengan 367 kepada 247, tiada seorang ahli Konservatif yang berpaling tadah.

Maka, Parti Konservatif berjaya menukar perdana menteri daripada Thatcher ke Major sebagai isu dalaman parti.

Baru-baru ini, Parti Liberal juga berjaya menukar Perdana Menteri Tony Abbott melalui pemilihan di kaukus Parlimen.

Dalam kedua-dua kes ini, cabaran kepada Thatcher dan Abbott berlaku kerana mereka menjadi tidak popular di kalangan pengundi dan ahli-ahli parlimen separti takutkan kekalahan.

Najib juga tidak popular di kalangan pengundi dan ahli Parlimen Umno bukan tidak tahu bahayanya.

Akan tetapi, Umno tidak berani menjatuhkannya kerana tiada mekanisme dalaman yang berkesan. Pemilihan Umno sudah pun ditangguhkan untuk 18 bulan.

Daripada mengharapkan pihak istana, Dr Mahathir seharusnya memperjuangkan idea “kaukus Parlimen” sebagai mekanisme untuk menukar perdana menteri.

“Kaukus Parlimen” Umno mungkin berbaur “elitis” kerana perdana menteri akan ditentukan oleh 88 ahli Parlimen Umno, dan bukan lagi ratus ribu ahli Umno.

Akan tetapi, apabila parti lebih berfungsi sebagai mesin penaungan daripada wadah demokrasi, maka demokrasi Umno dan Malaysia perlukan institusi “kaukus parti” untuk mengurangkan pemusatan kuasa di tangan perdana menteri dan menambahkan kuasa ahli Parlimen Umno.

Saya berharap Dr Mahathir akan mempertimbangkan cadangan reformasi institusi yang “radikal” ini. – 24 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments