Opinion

Adakah Malaysia mampu ikut jejak Myanmar laksana peralihan kuasa?

Kunci kepada peralihan kuasa yang aman ialah mandat yang jelas.

Poland berjaya pada 1989 dan Myanmar berjaya pada 2015. Bolehkah Malaysia, bilakah sampai masanya?

Satu cabaran besar dalam proses demokrasi ialah sama ada peralihan boleh berlaku secara aman apabila pemerintah autoritarian asal sanggup melepaskan kuasa dan terima kekalahan secara aman.

Myanmar sendiri pernah menjadi contoh negatif.

Pada 1990, National League for Democracy (NLD) yang dipimpin Aung San Suu Kyi memenangi 392 kerusi daripada 492 yang boleh dipertandingkan dengan 52.5% undi di seluruh negara.

Namun pemerintah junta enggan menerima kekalahan dan Suu Kyi kemudian hidup dalam tahanan rumah untuk tempoh terkumpul sepanjang 15 tahun dalam jangka 21 tahun.

Myanmar mempunyai sistem politik yang agak luar biasa di bawah Perlembagaan. Presiden adalah ketua negara dan ketua pemerintah, seperti dalam demokrasi berpresiden.

Tetapi presiden dipilih bukan oleh rakyat, tetapi oleh Parlimen yang terdiri daripada Dewan Nasionaliti (dewan atasan, 224 kerusi) dan Dewan Perwakilan (dewan bawahan, 440 kerusi) dengan majoriti mudah.

Maka untuk membentuk pemerintah ekaparti dan tidak berkongsi kuasa dengan pihak lain, sesebuah parti itu perlu mendapat sekurang-kurangnya 333 daripada 664 kerusi.

Tetapi satu per empat kerusi daripada kedua-dua Dewan Nasionaliti dan Dewan Perwakilan diperuntukkan khas untuk perwakilan daripada tentera, atau jumlah 166 kerusi.

Ahli bukan tentera Dewan Nasionaliti, ahli bukan tentera Dewan Perwakilan dan ahli tentera di kedua-dua Dewan dikira sebagai 3 pihak yang berhak untuk menamakan calon presiden.

Dan apabila calon terkuat dipilih sebagai presiden, kedua-dua calon lain akan menjadi timbalannya.

Selain itu, pihak tentera yang menggubal Perlembagaan ini hanya membenarkan pindaan dengan majoriti tiga per empat.

Dalam kata lain, tentera hampir memegang kuasa veto untuk menghalang sebarang pindaan.

Malah, presiden tidak berkuasa memilih menteri yang bertanggungjawab tentang pertahanan, hal ehwal dalaman dan hal ehwal sempadan, sebaliknya mesti melantik daripada calon yang dinamakan pihak tentera.

Lebih menyekat lagi, Perlembagaan mempunyai satu peruntukan yang menghalang mereka yang mempunyai ahli keluarga yang memegang kewarganegaraan untuk menjadi presiden.

Ini bermakna daripada mulanya Suu Kyi sudah pun berada dalam kedudukan yang merugikan.

Pertama, kemenangan boleh dinafikan selagi parti pemerintah dapat memenangi satu per tiga daripada 498 kerusi yang dipertandingkan.

Kedua, sekalipun beliau dapat menguasai Parlimen, beliau sendiri tidak dapat dipilih sebagai presiden, kecuali jika dapat kerjasama tentera dan sekutu untuk meminda Perlembagaan.

Namun dalam masa beberapa jam selepas keputusan awal diketahui, parti pemerintah mengaku kalah.

Keputusan akhir menunjukkan NLD memenangi sebanyak 135 kerusi (60.27%) di Dewan Nasionaliti dan 295 kerusi (57.5%) di Dewan Perwakilan.

Ini memberikan kuasa kepada NLD untuk menentukan calon presiden dan seorang timbalan presiden.

Suu Kyi sudah pun berkata, sungguhpun beliau tidak dapat menjadi presiden, beliau akan membuat keputusan sebenarnya.

Peralihan demokrasi di Myanmar belumlah lengkap kerana pemerintah – kedua-dua cabang perundangan dan eksekutif – tidak ditentukan sepenuhnya oleh pemilih.

Pemerintah sivilian terpaksa berkongsi kuasa dengan tentera bukan sahaja secara de facto (pada hakikinya) tetapi juga secara de jure (mengikut undang-undang).

Selain daripada sekatan sistemik ini, kualiti demokrasi di Myanmar juga tidak memuaskan. Parlimen tidak mempunyai seorang wakil komuniti Muslim kerana sentimen ultra-nasionalisme Buddha yang begitu kuat, menyebabkan semua parti termasuk NLD sendiri tidak menamakan seorang pun calon yang beragama Islam.

Sudah tentu kesengsaraan orang Rohingya tidak dapat diselesaikan dengan perwakilan politik. Konflik antara tentera dan sesetengah kaum minoriti di kawasan pinggir juga masih berterusan.

Meskipun dengan kesemua kekurangan ini, perkembangan di Myanmar tetap bermakna dari satu aspek: setakat ini, peralihan kuasa berlaku dengan aman dan lancar.

Ini mengingatkan apa yang berlaku di Poland pada 1989.

Ketika itu, parti Pekerja Bersatu Poland (Komunis) yang memerintah bersetuju dalam perundingan “Meja Bulat” dengan Solidarity (pembangkang yang berjuang selama sedekad sebagai kesatuan sekerja bawah tanah) untuk mengadakan pilihan raya yang separa bebas.

Dalam pilihan raya pada 4 Jun 1989 (hari yang sama dengan pembunuhan beramai-ramai mahasiswa pro-demokrasi di Beijing), semua 100 kerusi dalam Dewan Senat yang baru ditubuhkan dipilih secara bebas.

Di kalangan 460 kerusi di Sejm (dewan bawahan), cuma 161 ataupun 35% akan dipilih, manakala selebihnya diperuntukkan untuk Komunis Poland dan parti bersekutunya.

Pilihan raya yang sepenuh bebas dijanjikan mengambil tempat dalam masa 4 tahun, yakni 1993.

Keputusannya, Solidarity memenangi seluruh 161 kerusi Sejm yang bebas ditandinginya dan 99 daripada 100 kerusi Senat, dengan kerusi tunggal yang lain dimenangi seorang calon bebas.

Sokongan kuat terhadap Solidarity – atau lebih tepat lagi, penolakan Komunis Poland – mengubah perancangan demokratisasi.

Sungguhpun calon Komunis tetap dipilih sebagai presiden, Solidarity akhirnya berjaya memujuk parti bersekutu komunis untuk membentuk pemerintah campuran dan memegang jawatan perdana menteri.

Dengan pilihan raya presiden dan Parlimen berlaku pada 1990 dan 1991, pemerintahan Komunis ditamatkan secara lengkapnya.

Peratusan kerusi yang bebas ditandingi di Poland (35%) pada 1989 jauh lebih kurang berbanding dengan Myanmar pada 2015 (75%), tetapi peralihan demokrasi tidak dapat dihalang.

Sungguhpun konteksnya berbeza, tidak dapat dinafikan sokongan majoriti yang jelas (lebih di Poland daripada di Myanmar) adalah faktor utama.

Sebagai perbandingan, untuk Fiji pada 1987, sungguhpun kesemua 52 kerusi di Parlimen bebas dipilih, dan gabungan pembangkang memenangi 28 kerusi berbanding dengan 24 kerusi oleh parti pemerintah (Parti Perikatan), keputusan pilihan raya yang jelas tidak dapat diterima segelintir nasionalis etnik peribumi Fiji.

Rampasan kuasa pada Mei 1987 yang dianjurkan Lieutenant-Colonel Sitiveni Rabuka memulakan kelam-kabut politik di pulau itu.

Rampasan kuasa selanjutnya berlaku pada September tahun yang sama, kemudiannya 2000 dan terakhir sekali 2006. Sudah tentu ini menyebabkan Fiji disingkir daripada Komanwel dan ekonominya terjejas dengan teruk.

Di Malaysia hari ini, mekanisme demokrasi berparlimen nyata tidak boleh menamatkan riwayat politik seorang perdana menteri yang korup dan terkutuk.

Apakah riwayatnya atau partinya boleh ditamatkan dengan kertas undi? Rakan saya Thomas Fann percaya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan dimenangi Barisan Nasional (BN) kerana perpecahan pembangkang.

Bagi saya, sekalipun BN kalah dalam PRU14, tiada jaminan peralihan kuasa yang aman akan berlaku, kecuali parti pembangkang mendapat mandat yang cukup jelas untuk meyakinkan sembarangan Rabuka di kalangan kita tidak melihat peluang untuk takung di air keruh.

Akan tetapi, kewujudan sebuah mandat yang jelas tidak akan wujud dengan sekadar persetujuan 1 lawan 1 antara pembangkang dan BN.

Mandat yang jelas hanya akan berlaku apabila majoriti pengundi mencapai muafakat tentang masa depan Malaysia pasca Umno/BN.

Muafakat ini tidak boleh berasaskan “kekaburan strategik” seperti dalam gabungan pembangkang sebelumnya.

Muafakat ini hanya boleh tercapai dengan menghadapi dua isu besar – kanun jenayah syariah dan pengganti Dasar Ekonomi Baru.

Daripada bersorak dan tumpang gembira untuk Myanmar, baik kita mencari jalan untuk Malaysia. – 22 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments