Opinion

Pertemuan terbuka Pakatan-BN

7 JAN — Selagi pucuk pimpinan PAS terus mengadakan pertemuan “sulit” dengan Umno, selama itu PAS terpaksa menghadapi tekanan untuk menjelaskan kepada parti-parti sahabatnya dalam Pakatan Rakyat.

Dan selagi PKR dan DAP terpaksa mendapatkan penjelaskan PAS setiap kali perjumpaan seperti itu dilakukan, selama itu ahli-ahli parti komponen Pakatan merasa gundah gulana terkapai-kapai dengan tindak-tanduk para pemimpin mereka.

Untuk mencari jalan keluar dari kitaran ini, adalah lebih baik jika Pakatan secara bersama mengambil sikap dan tindakan pro-aktif.

Pakatan tidak perlu tunggu dan lihat Umno terus memujuk PAS untuk bertemu “dalam gelap”. Sebaliknya, Pakatan secara terbuka boleh mengajak kesemua komponen Barisan Nasional termasuk Umno untuk duduk berbincang isu bersama.

Isu bersama bererti apa yang rakyat perlukan dan bukannya apa yang para pemimpin politik mahukan untuk kepentingan agenda masing-masing.

Sebagai permulaan, BN boleh membawa konsep 1 Malaysia manakala Pakatan dengan konsep Ketuanan Rakyat.

Jika dilihat resolusi konvensyen BN dan Pakatan yang berlangsung akhir tahun lalu, ada sedikit-sebanyak persamaan dari segi harapan untuk mereformasikan urus tadbir, menjamin hak asasi, menghormati kaum dan agama, meningkatkan taraf hidup dan mengurangkan rasuah serta penyelewengan.

Piagam BN yang diluluskan dalam konvensyennya antara lain mahu:

•         Menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, menghormati hak dan keistimewaan setiap rakyat di sisi undang-undang, menjamin kebebasan institusi kehakiman dan membanteras jenayah bagi menzahirkan sebuah masyarakat yang aman, stabil, makmur dan selamat;

•         Mempereratkan lagi hubungan antara kaum dan lapisan masyarakat, mencegah dan menentang segala bentuk ekstremisme dan rasisme, demi memupuk perpaduan bagi sebuah masyarakat majmuk berteraskan gagasan 1 Malaysia, dan

•         Mendukung prinsip tadbir urus yang baik dan menolak amalan rasuah, menyokong dan membantu meningkatkan integriti dan kecekapan agensi kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, dan menghayati konsep “Rakyat Didahulukan” sebagai asas pewujudan kerajaan yang mengutamakan pencapaian dalam memenuhi keperluan dan harapan rakyat.

Konvensyen Pakatan pula menawarkan alternatif kepada rakyat melalui agenda Buku Jingga Selamatkan Malaysia yang berteraskan dasar bersama yang sudah dipersetujui oleh ketiga-tiga komponennya.

Perkara-perkara asas dalam dasar bersama Pakatan adalah memastikan demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil, mengamalkan keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh; dan memastikan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.

Segala usaha dan tawaran dalam agenda Pakatan pula berteraskan tiga perkara pokok, iaitu:

•         Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153;

•         Mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja berperlembagaan; dan

•         Memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum, serta meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat global.

Jika kedua-dua pihak benar-benar serius mahu menjadi juara rakyat, maka perlu dibincangkan isu-isu yang dihadapi oleh rakyat melalui platform Pakatan dan BN, dan bukannya PAS dengan Umno sahaja.

Dengan itu PAS tidak perlu lagi menyusup senyap-senyap untuk berbicara dengan Umno kerana tindakan ini bukan hanya menggusarkan rakan-rakan Pakatan tetapi juga memeningkan ahli-ahli akar umbi PAS sendiri.

Dari sudut yang lain pula, parti-parti komponen BN juga tidak perlu lagi curiga dengan tindak-tanduk pemimpin Umno yang mengetepikan mereka apabila menyusun pertemuan sulit dengan PAS.

Tetapi satu soalan yang lebih penting - perlukah diadakan pertemuan di antara BN dan Pakatan?

Kedua-duanya adalah musuh politik dan titik pertemuan sukar ditemui; malah pertelingkahan sewaktu sidang Dewan Rakyat menggambarkan seolah-olah para pemimpin kedua-dua pihak tidak akan dapat berbincang seperti orang dewasa yang matang berfikir dan beradab.

Dalam iklim politik semasa, mungkin ada benarnya pandangan bahawa tidak perlu ada sebarang pertemuan antara kedua-dua gabungan yang sama-sama berebut untuk mendapatkan atau mengekalkan kuasa pemerintahan negara.

Namun, pertemuan bersama secara terbuka ini dapat menawarkan jalan-jalan keluar.

Bagi BN, ia boleh menjadi jalan keluar untuk menonjolkan imej penghormatan kepada semua kaum dan agama, dan bukan sekadar agenda satu kaum.  

Ia juga bakal mencerminkan kejujuran BN mempromosikan 1Malaysia kerana selama ini suara kumpulan-kumpulan ultra-Melayu yang dikaitkan dengan Umno banyak memberi kesan buruk kepada komponen-kompnen BN.

Bagi Pakatan pula, ini boleh menjadi jalan keluar untuk mengurangkan tekanan yang dibangkitkan oleh PAS melalui pertemuan sulit dengan Umno.

Ia juga boleh membawa kepada kerjasama lebih erat untuk semua komponen Pakatan bertaut kembali jika bergerak secara bersama atas nama perpaduan rakyat, dan bukannya dominasi satu kaum atau slogan Ketuanan Melayu.

Lebih penting lagi, mana-mana pihak yang menolak pertemuan secara menyeluruh di antara Pakatan dan BN hanya akan mendedahkan pekong sendiri, sama ada dilihat hanya menjaga kepentingan satu kaum sahaja atau sekadar berniat memecahbelahkan perpaduan gabungan yang satu lagi.

Jika Umno dan BN menolak jemputan Pakatan untuk berbincang hal-ehwal dan nasib rakyat, maka rakyat sendiri boleh menilai siapa yang jujur dan ikhlas dalam memperjuangkan hak setiap individu di negara ini.

Sekurang-kurangnya apabila Pakatan yang membuat undangan kepada BN, ia akan lebih dihormati kerana sanggup merendah diri untuk duduk berbincang dengan musuh politik demi kebaikan dan perpaduan rakyat.

Sudah tentu orang yang kecewa dengan kepincangan politik negara enggan melayan idea pertemuan dua gabungan ini.

Mungkin bagi mereka ini, tiada guna berbincang dengan musuh politik. Tidak mustahil mereka juga akan melemparkan tuduhan “naif” atau “bodoh” kepada sebarang usaha dialog terbuka Pakatan-BN.

Namun, selagi benci-membenci menjadi pilihan, selama itu ruang dialog terkunci rapat. Masalah yang sama akan terus menghantui rakyat; manakala para politikus terus bermain dengan kata-kata.

Dan di belakang rakyat, pertemuan-pertemuan dalam gelap mungkin akan berterusan.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments