Opinion

Menggalas harapan Najib

20 OKT — Datuk Seri Najib Razak benar-benar menggalas harapan tinggi terhadap Umno yang dipimpinnya dengan meminta pemimpin dan ahli parti untuk mengubah sikap secara radikal.

Presiden Umno mahu transformasi parti digerakkan melalui perubahan sikap untuk mewujudkan budaya politik baru – inklusif, terbuka dan demokratik.

Pernyataan terbuka ini adalah sesuatu yang mengejutkan. Umno yang selama ini dikaitkan dengan sikap eksklusif dan tertutup serta lebih bersifat demokrasi terpimpin, tiba-tiba mengisytiharkan diri ke arah keterbukaan.

Apakah ini bermakna sedang berlaku satu revolusi dalaman untuk parti naungan orang Melayu itu?

Atau ia sekadar retorika politik jangka pendek untuk Najib mendapatkan mandat rakyat dalam pilihan raya umum yang dijangka diadakan dalam masa terdekat ini? Atau mungkinkah ia hanya matlamat jalan pintas untuk menggalas harapan Umno dalam pilihan raya kecil Galas di Kelantan awal bulan depan?

Dengan mengetepikan seketika rasa sinis, elok dikupas maksud Najib dalam pendekatan terbarunya ini yang diluahkan dalam satu sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat pra-Perhimpunan Agung Umno semalam.

Pertama, sikap inklusif yang bererti mengambil, membawa masuk atau menerima sebanyak mungkin secara menyeluruh. Dari sudut politik, ia bermakna Umno yang selama ini menghadkan penerimaan keahlian kepada orang Melayu tidak akan hanya memperjuangkan isu-isu Melayu tetapi juga untuk semua kaum lain di negara ini.

Persoalannya, mampukan pemimpin dan ahli parti memenuhi harapan yang menggunung ini? Sejak kebelakangan ini, sesetengah pemimpin dan ahli Umno lebih rela menerima pandangan kumpulan Melayu ultra seperti Perkasa yang bukan sahaja mahu “hak” Melayu ditambah tetapi juga sering memberi amaran kepada kaum lain supaya menutup mulut daripada membahaskan isu “hak” berkenaan.

Begitu juga sikap yang ditunjukkan oleh beberapa kerat individu dalam perkhidmatan awam seperti guru dan pegawai tinggi Biro Tata Negara yang masin mulut mereka dengan sumpah seranah terhadap kaum-kaum lain.

Kedua, sikap terbuka yang bererti Umno bukan sahaja perlu menerima pandangan, teguran dan kritikan tetapi juga tidak lagi boleh bergerak di bawah tempurung satu kaum sahaja dalam semua proses pelaksanaan kerajaan, selaras dengan kedudukan parti itu sebagai tonggak kerajaan.

Persoalannya, sama seperti masalah yang timbul dalam isu inklusif, mampukah pemimpin dan ahli Umno keluar dari kepompong “takut” terhadap kaum lain yang sering dilihat oleh sesetengah pemimpin parti sebagai “musuh” kepada orang Melayu?

Apatah lagi jika sikap terbuka yang dimaksudkan itu perlu diperluaskan dalam semua bidang lain termasuk ekonomi, pendidikan dan perkhidmatan awam — di mana kaum bukan Melayu perlu dibawa bersama tanpa dipinggirkan.

Ketiga, sikap demokratik yang telah lama menjadi duri dalam daging dalam politik negara yang diterajui oleh Umno. Ini adalah kerana masih ada pemimpin dan ahli Umno yang terkurung pemikiran zaman Perang Dingin yang menimbulkan rasa takut terhadap demokrasi.

Sikap sesetengah menteri yang sering berselindung di sebalik undang-undang anti-kebebasan untuk mematahkan kritik dan teguran tidak menggambarkan usaha pendemokrasian. Tanpa kebebasan, istilah “demokrasi” Malaysia akan hanya tinggal nama sebagaimana nama rasmi negara komunis Korea Utara, “Republik Rakyat Demokratik Korea” pimpinan keluarga dinasti Kim.

Ketiga-tiga asas yang menjadi harapan Najib itu adalah usahanya untuk mewujudkan budaya politik baru. Kata teras dalam usaha ini adalah “budaya”  — bukan soal tarian, masakan, pakaian. Budaya dalam konteks ini membawa maksud pemikiran, persepsi, penerimaan, amalan dan cara hidup.

Apakah semua ini akan menjadi teras kepada perdebatan Perhimpunan Agung kali ini — tentang perubahan sikap, pemikiran dan budaya Melayu?

Atau ia kekal seperti dahulu, kini dan selamanya, sebagaimana yang sering diperlihatkan dalam banyak perhimpunan parti sebelum ini di mana suara-suara perkauman didengar dengan lalakan “hak”, “keistimewaan” dan “perjuangan” memenuhi dewan mesyuarat agung tahunan itu?

Atau lagi, diteruskan tradisi menuntut, mendesak, meminta dan mengemis projek, subsidi, bantua, jawatan dan bermacam lagi rayuan yang biasa didengar saban tahun dari kalangan perwakilan Umno?

Isyarat awal tentang apa yang kemungkinan berkumandang dalam perhimpunan ini sudah pun diberikan oleh Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu merasmikan Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Putera Umno secara serentak semalam apabila beliau menegaskan bahawa “hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan Umno, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis”.

Bagi Muhyiddin, “politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain”. Jelasnya lagi, “politik berasaskan kaum yang diamalkan oleh Umno bukanlah satu bentuk politik perkauman atau politik rasis.”

Hairan juga mengapa begitu ramai para pemimpin kaum bukan Melayu yang masih marah atau setidak-tidaknya tidak selesa dengan kata-kata dan tingkah laku sesetengah pemimpin besar Umno dalam soal kaum, agama dan hak-hak asasi. 

Apa pun, dalam ucapan perasmiannya esok, Najib dijangka memanjangkan lagi harapannya untuk mendekatkan budaya politik barunya di hati sanubari perwakilan Umno.

Yang sekali lagi menjadi persoalan ialah mampukah para perwakilan, malah para pemimpin termasuk menteri-menteri dari Umno, menyelami iltizam Najib untuk membawa perubahan besar dalam parti orang Melayu itu?

Atau semuanya sekadar “beres, bos” dan “business as usual” sebagaimana yang biasa dalam amalan para pemimpin Umno terhadap sebarang usaha untuk reformasi dalaman parti.

Peritnya usaha membawa perubahan dalam parti sudah pun dirasai oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu memimpin Umno. Kerjaya politik Pak Lah berakhir apabila beliau terpaksa tunduk kepada suara-suara degil menolak budaya baru politik murni.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments