Opinion

SJKT dan penghayatan Bahasa Malaysia

Program Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) anjuran Kavyan-DBP di SJKT Nilai, Negeri Sembilan pada 2 April, 2014. – Gambar ihsan penulis, 5 Januari, 2016.Program Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) anjuran Kavyan-DBP di SJKT Nilai, Negeri Sembilan pada 2 April, 2014. – Gambar ihsan penulis, 5 Januari, 2016.Hasil penelitian saya sejak 1993, kebanyakan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) terlalu banyak menumpukan pada aspek penguasaan Bahasa Tamil sehingga murid lepasan SJKT kurang menguasai Bahasa Malaysia apabila melangkah ke sekolah menengah.

Akibatnya, banyak masalah terpaksa dihadapi pelajar kaum India; walaupun secara teknikal mereka mendapat 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Pada pandangan saya, tumpuan SJKT tidak harus hanya pada keputusan cemerlang dalam UPSR bagi Bahasa Malaysia (pemahaman dan penulisan); sebaliknya pada penguasaan dan penghayatan Bahasa Malaysia secara holistik.

Program Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) dimulakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) demi usaha murni menggalakkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan pelajar.

Semasa forum bertajuk "Perlukah Ada Lagi Konsep Penulis Melayu dan Bukan Melayu dalam Kesusasteraan Kebangsaan Masa Kini?" anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 29 September 2014, isu berkaitan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) turut ditimbulkan Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan.

"Oleh kerana kita mengadakan sistem pendidikan vernakular, seperti SJKC dan SJKT, ini melambatkan proses kita untuk menghapuskan dalam minda, kita adalah satu bangsa menggunakan bahasa yang satu dan sistem pendidikan sama," katanya.

Semasa mesyuarat agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) pada 11 Oktober 2015, persatuan penulis itu turut mengemukakan usul supaya KPM memastikan hanya Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar di semua sekolah seluruh Malaysia.

Murid SJKT, SJKC selalu jadi kambing hitam

Akhbar Utusan Malaysia (25 Oktober, 2014) memetik "pendedahan" pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong iaitu berdasarkan hasil kajian dalam kalangan 14,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di 79 kem seluruh negara pada 2010, sejumlah 604 pelatih kaum Cina dan India langsung tidak boleh bercakap Bahasa Malaysia.

"Nampaknya puak 604 orang ini jauh lebih buruk daripada orang Bangladesh yang baru 3 bulan sudah boleh berbahasa Melayu," sindir Ku Seman Ku Hussian di Mingguan Malaysia (26 Oktober, 2014).

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berpengalaman mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera di sekolah kebangsaan (SK), SJKT, SJKC dan sekolah menengah aliran Cina di seluruh negara sejak 1999.

Hasil pengalaman dan penelitian Kavyan, ramai murid dan guru di sekolah vernakular ada minat dan penguasaan Bahasa Malaysia yang sangat menakjubkan.

Bagaimanapun, Bernama (27 Oktober, 2014) melaporkan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan pendedahan Teo Kok Seong sebagai "perkara yang serius" dan KPM bakal "mengkaji semula" peranan SJKC.

Semasa berucap pada Perhimpunan Agung MCA (12 Oktober, 2014), pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata: "Tolong jangan bimbang tentang sekolah Cina kerana ia sudah dilindungi bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara. Malah ia termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara."

Sewaktu mengulas janji perdana menteri, sebuah rencana di Mingguan Malaysia (19 Oktober, 2014) pula menyebut tentang "hakikatnya pada hari ini hampir semua murid SJKC didapati kurang fasih berbahasa Melayu."

Menurut penulis rencana itu lagi: "Hakikatnya yang tidak boleh disembunyikan lagi ialah murid SJKC (mahupun SJKT) masih ramai ketinggalan dalam menguasai mata pelajaran Bahasa Malaysia."

Dalam soal kepentingan Bahasa Malaysia, Kavyan bersetuju dengan pandangan Awang (Utusan Malaysia, 14 Oktober, 2014) iaitu "keupayaan menguasai dan menggunakan secara tertib bahasa kebangsaan sama sekali tidak akan melunturkan kecintaan seseorang kepada bahasa ibundanya."

Kerjasama DBP, DHRRA Malaysia di sekolah Tamil

Najib yang merasmikan Perhimpunan Agung MCA pada 11 Oktober, 2015 kembali menegaskan, walaupun ada pihak mencadangkan SJKC dan SJKT dimansuhkan dalam usaha mewujudkan sistem sekolah satu aliran, kerajaan tidak berhasrat memansuhkan sekolah vernakular kerana tindakan itu bukan dasar BN.

Menyedari hakikat jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah vernakular terhad serta peluang menggunakan bahasa berkenaan di luar bilik darjah juga terhad, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP serta Kavyan menjalankan program MBM di beberapa SJKT dan SJKC sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 2014 dan 2015.

Dengan kerjasama Gemilang Publishing Sdn Bhd, program MBM turut diadakan di beberapa sekolah rendah dan menengah vernakular di Kuching, Sarawak dan Kota Bharu, Kelantan.

Bagi 2016, Kavyan menumpukan kepada usaha membimbing kanak-kanak dan remaja mengenali asas lakonan, menimbulkan minat dan kecintaan Bahasa Malaysia, serta mencungkil kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Tentulah mustahil mengharapkan sokongan MIC dalam usaha murni ini kerana seperti disimpulkan dalam buku Tamils And The Haunting of Justice (2014), tumpuan MIC lebih kepada pemeliharaan sistem pendidikan Tamil, serta mempromosi perayaan agama Hindu dan kuil.

Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar Malaysia (DHRRA Malaysia) sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang antara lain mengendalikan pelbagai aktiviti disasarkan kepada penduduk luar bandar sejak 2003.

Kavyan dan DHRRA Malaysia berkongsi pandangan dan pendirian mengenai kepentingan penguasaan dan penghayatan Bahasa Malaysia kanak-kanak pelbagai kaum.

Dengan itu, mulai tahun ini, DHRRA Malaysia dan Kavyan bekerjasama dengan DBP untuk menjayakan program MBM yang dirangka khusus bagi murid SJKT.

Pihak sekolah diminta memilih 30 murid daripada pelbagai latar sosioekonomi. Keutamaan diberi kepada murid keluarga yang memerlukan perhatian, supaya boleh disusuli oleh DHRRA Malaysia dan Kavyan pada masa depan.

KPM serta Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bolehlah mendapatkan bantuan DBP, DHRRA Malaysia dan Kavyan untuk menjayakan program MBM secara profesional dan terancang di SJKT demi masa depan generasi muda kaum India. – 5 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments