Opinion

Siapa jual maruah sasterawan?

Siapa yang menyediakan teks ucapan Muhyiddin?Siapa yang menyediakan teks ucapan Muhyiddin?Apabila saya mengeluarkan kenyataan menyelar tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin "menghina" golongan sasterawan baru-baru ini, ada beberapa rakan yang menghubungi saya untuk memberikan reaksi.

Antara perkara yang dinyatakan adalah pasti sahaja teks ucapan Muhyiddin pada majlis penyampaian hadiah di kediaman rasminya di Putrajaya pada 7 Januari 2014 disediakan oleh penganjur dan Muhyiddin hanya menyampaikannya.

Sebagai graduan daripada Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, serta bekas penyunting berita Bahasa Malaysia di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan kini perunding media, saya amat menyedari hakikat tersebut.

Apabila tiada skrip ucapan disediakan, maka politikus biasanya akan tergagap-gagap, melalut dan mengarut di pentas. Kita perlu memahami bahawa tahap intelektualiti dan kemampuan berfikir secara spontan yang dimiliki rata-rata golongan politikus tidaklah sehebat mana.

Apatah lagi apabila topik ucapan adalah berkaitan sastera, penulisan, buku, pemikiran dan sasterawan! Kita dengarlah sahaja ucapan politikus di pentas atau di Parlimen atau semasa sidang media dan kita sudah boleh mengagak berapa halaman buku yang mereka baca dalam setahun.

Salah satu contoh yang masih segar dalam ingat saya adalah apabila SK Devamany diundang menyampaikan kuliah perdana bertajuk "Memartabatkan Bahasa dan Sastera Kebangsaan dari Perspektif Orang Politik dan Masyarakat Berbilang Kaum" di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 8 Julai 2010.

Devamani yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri diminta bercakap mengenai penggunaan dan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan politikus dan masyarakat India.

Apa yang dilakukannya hanya membuat lawak basi. Terdapat lima selingan panjang berisi lawak, jenaka dan lelucon yang membuatkan sebahagian besar hadirin - kakitangan DBP - tidak kering gusi. Malah seorang wanita yang berdengkur juga terbangun dan terus terhibur.

Devamany turut mengutuk (bukan sekadar mengkritik) teks-teks Komsas sedia ada yang dianggapnya penuh dengan kelucahan dan tidak membantu memasyarakatkan sastera. "Siapa yang bertanggungjawab memilih teks ini?" dia bertanya. Apabila dijawab, "DBP", dia terus menukar topik.

Politikus itu sekadar memuji, memuja dan mengampu kaum Melayu tanpa sedikit pun memperkatakan topik sebenar yang diberikan kepadanya. Tetapi tentulah tepukan bergemuruh apabila Devamani mampu mengulang petikan teks sastera klasik yang dihafaznya sebagai bekas tenaga pengajar di Sri Murugan Centre (SMC).

Penulis, persatuan memilih untuk berdiam

Berbalik kepada insiden Muhyiddin menghina sasterawan, saya tidak pasti apa pula reaksi golongan penulis dan sasterawan yang hadir semasa Muhyiddin memperkotak-katikkan golongan sasterawan dengan membahagikan mereka menjadi dua kelompok: "penyokong kerajaan" dan "penyokong pembangkang".

Beberapa penulis yang hadir tidak pula membicarakan isu penting itu di laman rangkaian sosial. Sebaliknya beberapa orang lebih selesa bercakap mengenai makanan yang dihidangkan, fesyen pakaian dan hadiah lumayan diterima pemenang.

Mungkin mereka langsung tidak memberikan tumpuan semasa Muhyiddin berucap. Mereka tidak tahu-menahu kandungan ucapan itu sehingga dilaporkan Utusan Malaysia pada keesokan hari.

Tidak ada juga wakil mana-mana persatuan penulis yang menghadiri majlis itu tampil membuat penafian (misalnya): "Kenyataan Uthaya adalah tuduhan tidak berasas. Persatuan ini tidak bersetuju dengan kata-kata Muhyiddin kerana kami bukan penyokong kerajaan atau penyokong pembangkang."

Atau sekurang-kurangnya membuat pengakuan terbuka bahawa persatuan berkenaan memang termasuk dalam kategori penyokong kerajaan, sekali gus tidak berdiri sendiri secara bermaruah.

Hal ini mengingatkan pula saya kepada pandangan yang pernah dikemukakan oleh Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar menerusi suatu portal berita pada 19 Julai 2012.

"Hal yang berkaitan sastera dan penulisan, kita (Gapena) tiada masalah dengan kerajaan. Kita anggap apa yang kerajaan buat semuanya betul, ikut saluran," katanya sewaktu mengulas isu kerajaan mengharamkan beberapa karya penulis tempatan, khususnya karya Faisal Tehrani.

Tidak mustahil bahawa sokongan padu yang diberikan oleh Gapena dan sekutu membuatkan Muhyiddin membuat andaian dan keputusan bahawa semua sasterawan di Malaysia tergolong dalam kumpulan penyokong kerajaan yang anggap apa kerajaan buat semuanya betul.

Berbalik kepada teks ucapan itu, timbul persoalan baru yang lebih penting jika benarlah skrip disediakan oleh penganjur. Maknanya, penganjur yang sengaja membahagikan sasterawan kepada dua kelompok seperti disebutkan tadi.

Bernama dan Utusan Malaysia melaporkan Muhyiddin sebagai berkata: "Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana (berpihak kepada pembangkang) manakala pemimpin negara berada di haluan sini (kerajaan) … ia adalah dakwaan yang tidak benar."

Jangan letak maruah bawah tapak kaki politikus

Bayangkan jika sebuah persatuan penulis sendiri menyelitkan ayat itu dalam teks ucapan tersebut. Maknanya, penganjur mahu menghantar mesej yang amat jelas bahawa semua sasterawan dan penulis (sekurang-kurangnya ahli persatuan itu) merupakan penyokong Barisan Nasional.

Dalam kenyataan saya yang disiarkan di beberapa media pada 8 Januari 2014, saya menegaskan bahawa kedudukan sasterawan adalah bersama-sama rakyat; bukan bersama-sama kuasawan, politikus dan kerajaan/pembangkang.

Sesungguhnya sasterawan adalah kelompok intelektual terpilih dan kedudukan mereka lebih tinggi berbanding politikus. Bakat penulisan adalah anugerah Tuhan yang terlalu tinggi nilainya untuk diletakkan di bawah tapak kaki politikus.

Datuk A Samad Said dikagumi kerana berani bersuara tanpa perlu menjadi penyokong kerajaan.Datuk A Samad Said dikagumi kerana berani bersuara tanpa perlu menjadi penyokong kerajaan.Saya lebih rela mati di hujung pedang daripada mati kena tendang. Saya bukan penyokong kerajaan dan bukan juga penyokong pembangkang. Saya ada maruah dan harga diri sebagai seorang penulis dan sasterawan.

Betapa malang jika ada pihak - khususnya penerbit buku sastera atau persatuan penulis - yang "melacurkan" maruah sasterawan dengan menyokong pandangan Muhyiddin bahawa sasterawan terbahagi kepada sama ada penyokong kerajaan atau penyokong pembangkang.

Siapakah pihak atau individu yang "menjual maruah" sasterawan pada majlis itu? Apakah kata-kata yang diucapkan oleh Muhyiddin lahir daripada catatan notanya sendiri atau dia sekadar membacakan apa-apa yang tertulis pada skrip ucapan disediakan oleh orang lain?

Saya tidak menghadiri majlis yang berlangsung di Putrajaya. Sebaliknya bersumberkan laporan sah di Utusan Malaysia dan Bernama. Bagaimanapun tentulah tidak adil untuk saya melakukan serkap jarang dan menuding jari kepada sesiapa.

Muhyiddin pasti tidak akan membuka mulut untuk menjawab pertanyaan ini. Malah dia tentu tidak akan ingat apa-apa yang diucapkan (atau dibacakan berdasarkan skrip) pada majlis itu. Tentu dia ada banyak kerja lain untuk dibuat.

Mungkinkah golongan penulis dan sasterawan yang berpeluang memenuhi undangan menghadiri majlis penyampaian hadiah itu akan tampil memberikan penjelasan?

Untuk memudahkan urusan, sesiapa yang hadir tetapi memilih untuk membisu pada saat genting ini bolehlah dianggap sebagai penyokong kerajaan atau sekurang-kurangnya tidak mahu hilang peluang menerima habuan daripada kerajaan BN. – 13 Januari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments