Opinion

Shanjey bikin filem (Bahagian 1)

Nama Shanjey Kumar Perumal mungkin kurang dikenali masyarakat di Malaysia. Mereka yang menonton travelog Kaatru Vaangapoonen (Saya Pergi Makan Angin) menerusi RTM, dua minggu sekali, pukul 4.00 petang pada hari Rabu sejak beberapa minggu lalu mungkin biasa dengan nama pemuda ini.

Walaupun kurang dikenali - serta amat menjauhi publisiti - pengarah dan penulis skrip filem berumur 33 tahun ini merupakan permata yang semakin begemerlapan di dalam dan luar negara.

Filem pendek Jagat diiktiraf penerima anugerah sinematografi terbaik sempena Festival Filem Tamil Antarabangsa di Toronto, Kanada pada Jun 2011.

Kepakaran graduan Universiti Sains Malaysia (USM) ini juga dapat diperhatikan menerusi drama komedi 26 episod berjudul Tuppariyum Puli yang dilakukan penggambaran di lebih 50 lokasi di Malaysia dan Tamil Nadu, India serta ditayangkan di RTM.

Projek MyHometown pada 2012 pula memberikan peluang kepada pembikin filem pendek dari setiap negeri untuk menghasilkan sebuah filem pendek mengenai kampung kelahiran masing-masing.

Shanjey membuat dokumentari mengenai negeri Perak, secara khusus mengenai suatu tragedi feri karam yang berlaku di Sungai Kerian, Parit Buntar pada 1973 dan melibatkan datuknya sendiri, mendiang Annamalai Saminathan.

"Dokumentari berkenaan disiarkan menerusi Astro pada tahun lalu, serta kemudian disiarkan juga di beberapa tempat sebagai pengisian beberapa program. Malah ada permintaan daripada beberapa pihak untuk menayangkan dokumentari The Day That River Ran Red dalam masa terdekat. Ia boleh juga ditonton di YouTube.

"Sambutan yang diterima memang amat menggalakkan. Kebanyakan penonton di Parit Buntar mengakui bahawa mereka terkejut kerana selama ini tidak tahu mengenai kejadian tersebut," kata Shanjey semasa kami bertemu di Bangsar South (Kampung Kerinchi) pada 20 Ogos 2013.

Kisah Annamalai (atas, kiri) diabadikan dalam The Day That River Ran Red. - 2 September, 2013.Kisah Annamalai (atas, kiri) diabadikan dalam The Day That River Ran Red. - 2 September, 2013.Tragedi di Sungai Kerian

Sebahagian penduduk Parit Buntar pernah mendengar mengenai insiden berkenaan tetapi secara umum sahaja. Maka, dokumentari The Day That River Ran Red memberikan peluang kepada generasi muda mengenali seorang wira tempatan yang tidak diraikan.

"Pada mulanya, saya merasakan bahawa peruntukan yang diberikan kepada saya (dan setiap individu lain yang terlibat dalam projek MyHometown) sebagai tidak mencukupi. Apatah lagi saya menghasilkan dokumentari berdasarkan sejarah silam dan saya bercita-cita besar.

"Walau bagaimanapun, saya belajar untuk menggunakan sebaik-baiknya peruntukan yang terhad itu untuk menghasilkan sebuah dokumentari yang terbaik. Akhirnya, saya berasa puas kerana berjaya menghasilkan The Day That River Ran Red dengan peruntukan yang diberikan," beliau mengakui.

Shanjey pernah mengarah dokumentari khas Suthantira Pathivugal sempena Hari Kemerdekaan pada 2009. Terdahulu, "esei visual" berjudul Thaipoosam (2006) ditayangkan pada Festival Filem Antarabangsa Ke-36 di Rotterdam, Belanda dan Festival Filem Perancis-Asean di Bangkok, Thailand.

Baru-baru ini, beliau terlibat dalam pengarahan sebuah program televisyen berbentuk travelog bertajuk Kaatru Vaangapoonen. Secara lumrah, program berkaitan pelancongan tempatan ketara menumpukan pada pelbagai lokasi menarik di Semenanjung Malaysia.

Travelog ini pula lebih banyak menumpukan pada usaha memperkenalkan tempat-tempat pelancongan serta keunikan sejarah, budaya dan masyarakat di Sabah dan Sarawak. Hanya dua daripada 13 episod travelog ini menampilkan lokasi di Semenanjung Malaysia.

Shanjey yakin bahawa khalayak penonton kaum India dari pelbagai peringkat umur dan latar pendidikan akan belajar sesuatu yang baru menerusi travelog "Kaatru Vaangapoonen" yang sedang disiarkan menerusi RTM, dua minggu sekali, pukul 4:00 petang pada hari Rabu.

Formula filem 'masala' bukan baru

"Saya memang ada rancangan mengarah sebuah filem pada masa hadapan. Namun, sebuah skrip yang baik sahaja tidak mencukupi. Selain daripada peruntukan kewangan, banyak lagi perkara perlu diambil kira bagi merealisasikan impian itu," katanya apabila saya mengemukakan soalan yang sering saya kemukakan pada setiap kali kami berpeluang untuk bertemu.

Katanya, memang ada ramai pelakon Tamil (kaum India) berbakat di Malaysia. Akan tetapi, pada penelitian beliau, jumlah pelakon yang mampu menjayakan "method acting" terlalu sedikit. Beliau merujuk kepada pelakon yang dapat menghayati sepenuhnya watak, perwatakan, cerita, suasana, emosi dan pelbagai aspek lain yang amat penting dalam menjayakan lakonan.

Shanjey (kiri) sentiasa sedia membantu serta belajar daripada rakan-rakannya. - 2 September, 2013.Shanjey (kiri) sentiasa sedia membantu serta belajar daripada rakan-rakannya. - 2 September, 2013."Pilihan yang ada hanyalah sama ada kelompok pelakon Tamil tempatan yang sedia ada itu berusaha untuk mempelajari 'method acting' atau kita perlu membina serta melahirkan bakat-bakat baru yang diasuh sejak awal dalam kepakaran berlakon secara profesional.

"Realiti dalam bidang pembikinan filem dan drama Tamil tempatan adalah bahawa hanya ada beberapa pelakon yang boleh membawakan watak ibu, misalnya. Kekurangan ini mesti diisikan dengan segera dengan melatih bakat-bakat baru," tegasnya.

Apabila ditanya tentang filem Tamil, Shanjey mengingatkan bahawa khalayak di Malaysia berpeluang menonton filem-filem tempatan dan juga dari Tamil Nadu, India. Malah, katanya, hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa para pelakon dari India lebih dikenali khalayak Malaysia berbanding pelakon tempatan.

Filem-filem Eropah ada sistem tersendiri. Begitu juga filem-filem dari Hollywood, Hong Kong dan sebagainya. Sistem yang diguna pakai dalam industri perfileman di Tamil Nadu adalah "masala" iaitu aduan atau campuran pelbagai ramuan dalam setiap filem.

"Formula atau sistem 'masala' seperti ini bukanlah sesuatu yang baru dalam budaya India. Kalau kita membaca epik klasik seperti Mahabharata dan Ramayana, misalnya, segala isu, persoalan, tema dan permasalahan hidup manusia disajikan di dalamnya," kata Shanjey yang turut terlibat dalam drama Jerantut Ninaivugal (2012) yang dihasilkan oleh rakannya, Senthil Kumaran Muniandy. - 2 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments