Opinion

Sementara sungai masih mengalir… (Bahagian 2)

Pak Samad gemar berkongsi pengalamn dengan khalayak muda.Pak Samad gemar berkongsi pengalamn dengan khalayak muda.“Samad Taata (datuk) nampak semakin kurus dan kurang sihat,” komen anak saya, Devishi Prabha Sankari, selepas bertemu Datuk A Samad Said (Pak Samad) pada 26 Jun 2011 sempena Konvensyen Penulis di Shah Alam.

Devishi yang mengenali Pak Samad sejak lahir turut menambah dengan penuh bangga: “Tapi Samad Taata masih kuat macam Gandhi Taata (Mahatma Gandhi).”

Pak Samad dilantik sebagai Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 2003. Sudah beberapa kali pihak tertentu (persatuan penulis?) menasihatkan, memujuk, menghasut serta memaksa beliau melepaskan sebarang ikatan dengan Kavyan dengan alasan bahawa kami anti-Melayu; semata-mata kerana Kavyan memperjuangkan konsep “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia” dan berkempen “Tolak Perkauman, Raikan Kepelbagaian”.

Seperti dapat dijangkakan, Pak Samad tetap bersama-sama Kavyan. Hubungan rapat dengan Kavyan sejak lebih sedekad lalu – serta perkenalan saya dengan Pak Samad sejak Ogos 1991 – membantu saya mengenali sisi-sisi lain karya-karya beliau. Selain daripada apa yang dibaca di akhbar, majalah, blog dan buku, perbualan bersama-sama Pak Samad juga “mendedahkan” pelbagai perkara – termasuk mengenai Sungai Mengalir Lesu.

Dengan membaca novel ini, kita tahu bahawa ia memaparkan derita hati nurani kelompok manusia kurang berpelajaran yang menjadi mangsa peperangan. Pembaca boleh merasai sendiri penderitaan, kesedihan, sayu, kekacauan, suasana cemas, resah dan pelbagai emosi lain yang disajikan secara terang-terangan berdasarkan penelitian, imaginasi dan pengalaman Pak Samad sendiri pada usia kanak-kanak.

Semasa membaca Sungai Mengalir Lesu, saya tidak sekadar membayangkan suasana di sekitar Sungai Rochore yang mengilhamkan sungai yang menjadi latar penting dalam novel ini. Saya turut membayangkan Pak Samad sebagai seorang kanak-kanak yang benar-benar kembali berada di latar tempat itu untuk menyaksikan semula apa yang berlaku pada tahun 1940-an.

Memandangkan Pak Samad adalah seorang pembaca dan penulis yang teramat teliti, saya membayangkan juga bagaimana beliau melakukan renungan, mengimbas kenangan perit zaman kanak-kanak, merakamkannya dalam bentuk kata-kata dan tulisan, serta melakukan saringan demi saringan, suntingan demi suntingan.

Seterusnya beliau menyusun plot bagi membolehkan kisah yang melibatkan sekumpulan masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang disajikan dalam sebuah novel yang singkat, padat tetapi mengungkapkan sejarah dan permasalahan yang amat besar.

Memancing pembaca dengan pancing naratif

Saya mementingkan narrative hook iaitu “pancing naratif” pada cerita. Aspek ini juga sering ditekankan dalam bengkel penulisan cerpen anjuran Kavyan. Secara mudah, perenggan pertama perlu mampu memancing minat pembaca. Unsur-unsur dramatik, suspens, tanda tanya dan gambaran visual boleh dimanfaatkan bagi mencapai tujuan ini.

Wajar dinyatakan bahawa membaca bahagian awal setiap bab Sungai Mengalir Lesu umpama menonton babak pembukaan bagi drama dan filem bertaraf antarabangsa. Ilustrasi oleh Azam Ridzwan juga membantu merangsang imaginasi pembaca.

Dengan memanfaatkan dan memanipulasi ketajaman mata pena, penguasaan bahasa, ketelitian mata dan minda, serta imaginasi berdasarkan pengalaman silam, Pak Samad umpama seorang jurukamera profesional dan pengarah filem bertaraf Oscar yang membawa pembaca “menonton” secara langsung setiap adegan yang sedang berlangsung.

Sudah dinyatakan bahawa kisah-kisah dalam novel ini pasti diambil daripada pengalaman penulis. Perkara ini diakui sendiri oleh Pak Samad – secara langsung atau tidak langsung – dalam perbualan kami yang biasanya meliputi pelbagai topik dan bidang pada setiap kali berpeluang untuk bertemu.

Watak-watak yang ditampilkan dalam Sungai Mengalir Lesu – Maaf, saya sangat lemah dalam mengingat nama/watak – tentu bukan lahir daripada imaginasi semata-mata. Sebaliknya tentu sahaja “dipanggil” (recall) daripada zaman kanak-kanak Pak Samad.

Saya dapat membayangkan Pak Samad berdiri sebagai seorang kanak-kanak berumur sekitar lapan tahun di tebing (atau di sekitar) Sungai Rochore yang mengalir lesu sambil memperhatikan beberapa orang Jawa, Cina, Punjabi (Benggali), India-Muslim (Malbari) dan sebagainya sambil melakukan catatan mental supaya watak, perwatakan, kisah, perasaan dan penderitaan mereka boleh disajikan semula sebaik mungkin dalam sebuah karya sastera.

“Menulis itu resah yang bahagia, duka yang indah,” seperti diakui Pak Samad menerusi judul pidato penerimaan Anugerah Sastera Negara pada 25 Februari 1986 di Dewan Besar, Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang.

Karya Pak Samad terus malar

Pengalaman perang yang zalim pada usia kanak-kanak terus “menghantui” pengarang ini sehingga semacam “memaksa” beliau merakamkan segala kegelisahan dan keresahan itu dalam bentuk karya. Apa-apa yang tidak dapat diluahkan sepenuhnya menerusi Salina, diluahkan menerusi Sungai Mengalir Lesu.

Apabila segala pengalaman, penderitaan, kemanusiaan zaman perang serta falsafah anti-perang sudah disajikan dalam bentuk karya, amatlah adil dan wajar sekiranya seorang sasterawan mengharapkan agar karya-karyanya dibaca, diteliti, dihayati dan ditekuni oleh khalayak (pembaca).

Malah, atas dasar dan keinginan itulah juga novel Sungai Mengalir Lesu yang sudah banyak kali diterbitkan dalam pelbagai edisi diterbitkan semula oleh Wira Bukit Sdn Bhd dengan kerjasama Gabungan Bertindak Malaysia (GBM). Majlis pelancaran rasmi pula berlangsung pada 1 April 2014 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Sasterawan yang senang didampingi peminat.Sasterawan yang senang didampingi peminat.Hasil penelitian, saya dapati ada beberapa pihak yang sebelum ini tampil untuk membantu Pak Samad dan Wira Bukit Sdn Bhd menerbitkan karya-karya Pak Samad. Tetapi sebenarnya, mereka juga seolah-olah bermotif mengaut keuntungan dan bukannya niat ikhlas membantu seorang sasterawan untuk menerbitkan karya-karyanya.

Kita yakin dan penuh percaya GBM tampil membantu dengan penuh ikhlas dan niat murni. Semoga sokongan dan bantuan dana tidak terhenti setakat Sungai Mengalir Lesu, sebaliknya diteruskan bagi penerbitan semula beberapa lagi karya agung Pak Samad. Jika tidak, GBM sama sahaja dengan beberapa pihak sebelum ini.

Sebagaimana Pak Samad memulakan setiap bab dalam Sungai Mengalir Lesu dengan pancing naratif atau narrative hook, begitu jugalah beliau mengakhiri setiap bab – termasuk bab terakhir – dengan unsur kejutan dan teknik tergantung.

Biarlah saya juga mengakhiri perkongsian pandangan di sini dengan cuba memanfaatkan teknik yang sama. Apakah Pak Samad, seorang penulis sepenuh masa dan Sasterawan Rakyat yang sudah “dipinggirkan” dan “dipulaukan” kuasawan kerana kelantangan bersuara, akan dibiarkan terus resah dan gelisah setiap kali bukunya terbit?

Atau Rakyat – The Third Force – yang kagum dengan keberanian dan perjuangan Pak Samad akan sudi tampil memberikan sokongan yang amat diperlukan golongan sasterawan – iaitu dengan membeli, memiliki, membaca dan menghayati karya yang terbit.

Tepuklah dada, tanyalah selera sementara sungai khazanah ilmu bernama “Abdul Samad Mohamed Said” masih mengalir di tengah masyarakat. Atau apakah kita hanya tahu menghargai nilai sebatang sungai selepas ia berhenti mengalir dan sudah tiada bersama-sama kita? – 10 April, 2014.

Bahagian 1

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments