Opinion

Selepas Lembah Bujang, Kampung Chetti pula?

Masyarakat Chetti di Kampung Chetti di Melaka adalah unik dan perlu dilindungi.Masyarakat Chetti di Kampung Chetti di Melaka adalah unik dan perlu dilindungi.Sekiranya anda bercadang untuk melawat Kampung Chetti di Melaka, suka saya menyarankan agar anda melakukannya dengan kadar paling segera.

Ini kerana saya tidak mampu menolak kemungkinan bahawa kampung berkenaan yang diwartakan sebagai salah satu tapak warisan budaya akan hilang tanpa dapat dikesan dalam masa terdekat.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan Kunjungan Perpaduan Kavyan di Kampung Chetti di Jalan Gajah Berang pada 15 Disember 2013; sehari selepas melakukan kunjungan serupa ke Perkampungan Portugis.

Setiba di perkarangan Kuil Muthu Mariamman, rombongn kecil yang turut terdiri daripada Shahrul Nizam Abd Hamid (Kavyan), Rayner Yeo (Kavyan) dan Nor Arlene Tan (Projek Dialog) agak terkejut melihat kawasan yang ditutup dengan dinding zink biru bagi tujuan pembangunan.

Kami tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat berhubung perkara itu semasa sesi taklimat oleh Yang DiPertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka, K Supramania Pillay dan setiausahanya, Mohan Pillay.

Turut hadir pada sesi yang berlangsung di bilik bacaan berdekatan kuil berkenaan ialah bekas pemegang amanah Kampung Chetti, G Tegarajah berserta sekumpulan wanita, remaja dan kanak-kanak dari kampung itu.

Sehingga kini, satu-satunya bahan dokumentasi yang menyeluruh berkaitan sejarah, budaya, adat dan kehidupan masyarakat Chetti adalah buku Peranakan Indians of Singapore and Melaka (2006) tulisan Stephen Samuel Dhoraisingam, seorang pengkaji sejarah dari Singapura.

Orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat berkaitan latar belakang kaum Chetti yang sangat unik ini boleh membaca makalah bertajuk "Masyarakat Chetti yang Dilupakan" (Dewan Budaya, Mac 2007) tulisan Prabhawathy Govindarajoo serta makalah tulisan saya berjudul "Wajah Malaysia dalam Budaya Chetti" (Dewan Budaya, Mac 2007) dan Chetti yang Belum Diakui Bumiputera (The Malaysian Insider, 7 November 2011).

Sewaktu saya bertanya kepada Tegarajah semasa kunjungan pada Januari 2007, beliau memaklumkan bahawa permohonan rasmi bagi mendapatkan status Bumiputera sudah dikemukakan kepada Ketua Menteri Melaka dengan disertakan segala dokumen yang perlu.

Lot 93 jadi masalah besar

Nampaknya, sementara permohonan mendapatkan status Bumiputera masih menjadi tanda tanya, penduduk Chetti serta kampung yang menjadi tempat tinggal komuniti ini sejak ratusan tahun dahulu mungkin akan pupus tanpa meninggalkan sebarang tanda.

Kebimbangan itu turut diluahkan rata-rata penduduk yang ditemui semasa Kunjungan Perpaduan Kavyan. Mereka sedar bahawa dua blok kondominium setinggi 22 tingkat yang bakal dibina di atas tanah Lot 93 di tepi Kuil Muthu Mariamman akan mengubah segala-galanya.

Sekumpulan pedagang yang berasal dari India berkahwin dengan penduduk Melayu tempatan serta membuka perkampungan ini sejak tahun 1414. Mereka adalah golongan "setu" (bermakna "pedagang" dalam Bahasa Tamil) yang kemudian mula dikenali sebagai "Chitty" atau "Chetti".

Untuk rekod, kaum Chetti tidak sama dengan golongan Cheetiar iaitu kelompok peminjam wang yang dikenali sebagai "ceti". Pada masa sekarang, terdapat sekitar 300 penduduk daripada sekitar 30 keluarga yang tinggal di sekitar 20 rumah di Kampung Chetti.

Tegarajah yang kini berumur 88 tahun dan terpaksa menggunakan kerusi roda meluahkan rasa kecewa atas "kesilapan besar" yang dilakukan pengasas perkampungan ini.

"Mereka misalnya sudah membeli tanah di Lot 94, 95 dan 96; tetapi tidak terfikir untuk membeli Lot 93. Entah mengapa. Kalaulah Lot 93 yang terletak di tengah-tengah Kampung Chetti juga sudah dibeli, tentu tidak timbul sebarang masalah," katanya dengan nada kesal dan sedih.

Khabarnya, apabila cadangan pembinaan di Lot 93 diketahui beberapa tahun dahulu, bantahan dan rayuan dikemukakan kepada Ketua Menteri Melaka waktu itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Akhbar Makkal Osai (12 Oktober 2012) turut melaporkan mengenai demonstrasi besar-besaran yang diadakan penduduk Kampung Chetti sebagai membantah projek tersebut. Keputusan dibuat Ali Rustam bahawa cadangan pembinaan itu dibatalkan; sebagaimana turut dilaporkan di akhbar Malaysia Nanban (2 November 2012).

"Bagaimanapun, satu lagi kesilapan kami adalah kerana tidak meminta jaminan secara bertulis. Maka, apabila Ketua Menteri bertukar berikutan Pilihan Raya Umum Ke-13 (Mei 2013), kami mendapat kejutan bahawa pembinaan kondominium 22 tingkat, hotel 12 tingkat dan tempat meletakkan kereta 6 tingkat akan diteruskan di sini," kata Suptamania.

Kampung kami berdepan masalah kepupusan

Mohan pula menunjukkan kepada kami pelan kawasan dan menuding kepada cadangan pembinaan jalan raya yang bakal merentas Kampung Chetti; serta akhirnya akan menjadikan kampung budaya ini seumpama kawasan setinggan.

Antara kesan sampingan yang dibimbangi adalah projek pembinaan itu akan menyebabkan kemasukan buruh asing; sekali gus berpotensi mewujudkan masalah sosial dan jenayah di Kampung Chetti.

Kerja-kerja pembinaan juga dibimbangi akan memberikan kesan kepada Kuil Muthu Mariamman dan Kuil Sri Angala Parameswari di kuil berkenaan. Untuk rekod, Kuil Sri Poyatha Vinayagar Moorthy dibina di kampung ini pada 1781 dan dipercayai merupakan kuil Hindu tertua di Malaysia.

Satu lagi masalah yang sedia mengganggu penduduk Kampung Chetti adalah banjir. Pembinaan kondominium di Lot 93 dibimbangi akan memburukkan lagi masalah banjir yang sudah pun menjadi ancaman besar dan mimpi ngeri setiap kali hujan lebat.

"Apabila pembangunan di kawasan sekitar semakin rancak dan jumlah penduduk baru mula bertambah, Jalan Pelandok Putih akan dibesarkan dan masuk merentasi Kampung Chetti. Maknanya, sebahagian besar rumah di sini akan dirobohkan.

"Mungkinlah penduduk akan diberikan pampasan berdasarkan nilai rumah. Tetapi di mana keluarga itu mahu tinggal? Mungkin mereka terpaksa berpindah jauh dari sini. Akhirnya, komuniti Chetti akan berpecah, terpisah dan hilang identiti," katanya.

Dapat dibayangkan bagaimana Kampung Chetti akan mengecil daripada saiz fizikal serta jumlah penduduk keturunan Chetti yang tinggal di sini. Akhirnya, pengiktirafan sebagai tapak warisan budaya hanya tinggal nama; sementara keseluruhan kandungan kampung ini - fizikal (bangunan) dan budaya (penduduk) - akan terhapus.

Pada 14 Januari 2014, sambutan Ponggal dijadualkan secara besar-besaran di Kampung Chetti. Pada malam sebelumnya pula acara Boghi. Kedua-dua sambutan ini oleh kaum Chetti memang berbeza dengan cara sambutan masyarakat keturunan Tamil.

Ayuh kita pergi secara beramai-ramai untuk menjadi sebahagian daripada sambutan pesta menuai yang mungkin merupakan sambutan terakhir sebelum keseluruhan Kampung Chetti serta penduduk dan budaya uniknya pupus dan terhapus.

Pada kali ini, kita mungkin boleh sama-sama menyertai demonstrasi aman sebagai solidariti membantah projek "Lot 93" yang hampir pasti mengulangi sejarah hitam kepupusan (penghapusan?) warisan sejarah negara di Lembah Bujang, Kedah baru-baru ini. – 16 Disember, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments