Opinion

Selepas Allah, Tuhan pula?

Kontroversi Interlok turut mendedahkan konspirasi lain.Kontroversi Interlok turut mendedahkan konspirasi lain.Walaupun dua minggu sudah berlalu sejak hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan berhubung pertikaian terhadap hak penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan Herald, polemik masih berterusan.

Perkembangan ini secara nyata membuktikan bahawa masih ramai anggota masyarakat yang berilmu, berpengetahuan dan berfikiran rasional serta tidak mahu menyempitkan pegangan bahawa kalimah Allah - dan Islam, tentunya - tidak hanya eksklusif bagi kelompok tertentu.

Sambil kita meneruskan dialog (perbincangan; bukan pertikaian) berhubung isu yang menyentuh hak setiap individu yang ada pegangan agama, usah kita lupa bahawa tindakan meletakkan "hak cipta" dan "hak eksklusif" mungkin tidak akan berakhir dengan kalimah Allah sahaja.

Berwaspada dan bersiap-sedialah bahawa dalam masa terdekat, akan ada pula usaha, gesaan, paksaan dan manipulasi licik ke arah meletakkan hak cipta dan hak eksklusif ke atas istilah Tuhan.

Bayangan awal terhadap kemungkinan ini sebenarnya sudah kelihatan secara amat nyata dan agak rasmi semasa kontroversi novel Interlok: Edisi Murid berlangsung.

Saya antara individu yang dilantik oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggotai Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok pada Februari 2011.

Walaupun tumpuan ramai - termasuk ahli panel, anggota masyarakat, politikus dan media - adalah terhadap penggunaan beberapa frasa yang didapati menyentuh sensitiviti kaum India, sebenarnya ada beberapa lagi isu tersembunyi (tersirat) yang mungkin terlepas daripada pandangan.

Dalam edisi asal novel berkenaan yang ditulis oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah), istilah yang digunakan adalah Tuhan.

Berikut petikan daripada novel edisi 1996 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mengekalkan kandungan versi asal (1971):

"Dia percaya satu masa nanti Tuhan akan memberikan juga cahaya mata." (Hlm 254)

Anehnya, dalam edisi 2003 terbitan DBP dan Rhythm, ayat berkenaan dicetak begini:

"Dia percaya satu masa nanti tuhan akan memberikan juga cahaya mata." (Hlm. 237)

Hanya "tuhan" layak bagi bukan Melayu?

Dalam edisi pelajar terbitan DBP pada 2005, ayat berikut dipaparkan:

"Dia percaya suatu masa nanti Tuhan akan beri juga cahaya mata." (Hlm 219)

Apabila meneliti edisi murid terbitan DBP pada 2010, ayat berikut dapat dibaca:

"Dia percaya suatu masa nanti tuhan akan memberi kepada mereka cahaya mata." (Hlm 214)

Lebih menarik kerana edisi 2011 yang dicetak semula dengan "lampu hijau" daripada MIC, ayat berkenaan menjadi begini:

"Dia percaya suatu masa nanti Dewa akan memberi mereka cahaya mata." (Hlm 214)

Apa yang sebenarnya dicadangkan dan dituntut oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menerusi Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok adalah supaya Tuhan dikekalkan.

Sekiranya diperhatikan, Pak Lah menggunakan istilah Tuhan tanpa mengira kaum dan agama watak dalam novel Interlok.  Tetapi, dalam Interlok: Edisi Murid, istilah Tuhan digunakan apabila melibatkan watak Melayu-Islam dan "tuhan" pula apabila melibatkan watak-watak bukan Melayu dan bukan Islam.

Perkara ini diketengahkan dalam mesyuarat panel yang dipengerusikan oleh Muhyiddin. Sebagai seorang politikus, tentulah beliau tidak membaca novel berkenaan dalam pelbagai edisi seperti yang dilakukan oleh wakil Kavyan.

Apa yang menarik dan memeranjatkan adalah rasional yang diberikan oleh wakil DBP, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Dr Lim Swee Tin bagi menegakkan benang yang basah.

Kononnya Tuhan hanya boleh digunakan apabila merujuk kepada "Tuhan Islam" (Allah) manakala jika melibatkan watak penganut agama-agama lain, hanya "tuhan" boleh digunakan.

Aneh juga saya memikirkan alasan kurang bijak seperti itu. Sebelum itu, Gapena sering mengemukakan hujah bahawa istilah sensitif/kontroversi dalam novel Interlok: Edisi Murid harus diterima kerana ia kata nama khas (dengan "P" besar) dan bukannya kata nama am (dengan "p" kecil).

Kepercayaan kepada Tuhan

Amat memeranjatkan apabila golongan yang kononnya terpelajar tiba-tiba tampil mengeluarkan kenyataan seolah-olah tidak menyedari bahawa istilah Tuhan adalah kata nama khas yang merujuk kepada Pencipta yang esa (tunggal).

Lebih melucukan apabila MIC meluluskan istilah "tuhan" dalam edisi 2010 digantikan dengan Dewa dalam edisi 2011. Seolah-olah dalam agama Hindu, kedudukan "dewa-dewi" adalah lebih tinggi dan utama berbanding Tuhan yang esa.

Pada bahagian glosari novel Hanuman: Suara Hati (2013), saya menghuraikan makna istilah dewa seperti berikut:

"Dalam konsep budaya India dan agama Hindu, istilah dewa dan dewi merujuk kepada golongan sura atau vasu yang menghuni kayangan. Golongan sura dan asura terlibat dalam perang saudara kerana berebut hak dan kuasa. Makna 'dewa' berubah dan disempitkan dalam konteks pemahaman di Malaysia."

Maknanya, dewa tidak sama dengan Dewata yang turut digunakan secara meluas di Kepulauan Melayu sebelum dan selepas kedatangan Islam.

Istilah Dewata merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Berkuasa. Dalam agama Hindu yang diakui/terbukti antara agama tauhid tertua di dunia, Tuhan dirujuk menggunakan pelbagai nama kerana Dia diakui bersifat "eka aneka" - esa/satu/tunggal tetapi bersifat aneka/infiniti.

Prinsip pertama dalam Rukun Negara yang diikrarkan oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia sejak 1970 adalah Kepercayaan kepada Tuhan.

Salah satu baris dalam lagu Negaraku yang dinyanyikan - termasuk sebelum tayangan filem fiksyen Tanda Putera di pawagam tidak lama dahulu - adalah "Rahmat bahagia Tuhan kurniakan".

Setiap warganegara sedar, faham dan akur bahawa Tuhan yang dimaksudkan adalah Pencipta. Tidak ada sesiapa yang mempertikaikan, terkeliru atau bertanya sama ada istilah dalam Rukun Negara dan Negaraku merujuk kepada "Tuhan Islam" atau "Tuhan Kristian" atau "Tuhan Hindu" atau "Tuhan Sikh" atau "Tuhan Buddha" atau sebagainya.

Tuhan adalah Tuhan. Tidak ada Tuhan lain. Titik.

Kumpulan miring akan cuba manipulasi

Malangnya, pengalaman dalam Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok pada Februari-Mac 2011 menyedarkan saya bahawa memang wujud konspirasi dan manipulasi licik untuk menjadikan Tuhan milik eksklusif kaum/agama tertentu.

Syukurlah tidak semua orang Melayu-Islam di negara ini berfikiran cetek, bercelaru, sesat, fanatik, kurang ilmu, jahil dan pentaksub seperti itu.

Tetapi, suatu kumpulan kecil yang miring sudah lebih daripada mencukupi untuk menimbulkan huru-hara dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama yang hidup aman di negara bertuah ini.

Apatah lagi jika kelompok individu miring itu mendapat restu dan sokongan padu daripada pihak seperti Umno, Perkasa, Isma dan Utusan Malaysia (sekadar contoh).

Orang seperti Ridhuan Tee Abdullah, Ibrahim Ali dan Zulkifli Noordin (sekadar contoh) pasti akan berpesta tujuh hari tujuh malam kerana diberikan lesen untuk tunjuk belang.

Kumpulan pesara tentera tertentu (atau universiti) mungkin menganjurkan tarian punggung untuk mencatatkan nama dalam The Malaysia Book of Records.

Kumpulan miring mungkin akan membawa kes ke mahkamah dan berhujah bahawa penggunaan Tuhan oleh orang bukan Islam membuatkan mereka, kaum kerabat dan suku-sakat keliru serta semakin tipis keimanan.

Maka, dalam pada kita menepuk dahi mengenangkan keputusan hakim berhubung penggunaan kalimah Allah, silalah bersiap-sedia untuk berdepan dengan keputusan sekali lagi bahawa istilah Tuhan juga sudah diberikan hak cipta dan hak eksklusif kepada orang Islam.

Namun begitu, sebagaimana sekarang, saya percaya bahawa rakan-rakan Melayu dan Islam yang rasional, dirahmati dan beriman akan turut tampil mempertahankan bahawa "Allah" dan "Tuhan" adalah milik semua.

Rugilah sesiapa yang berpandangan bahawa Tuhan hanya akan memberkati dan melindungi kaum, agama, mazhab atau ahli parti politik tertentu. – 28 Oktober, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments