Opinion

Sekolah satu aliran budaya, bahasa Tamil tidak terjejas

Salah satu usul yang dikemukakan di mesyuarat agung ke-52 Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) pada 11 Oktober, 2015 adalah menyokong sekolah satu aliran.

Secara ironi, semasa usul sedang dibahaskan, pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak yang merasmikan perhimpunan agung ke-62 MCA memberi jaminan mempertahankan sekolah vernakular, khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Menurut Najib, walaupun ada pihak mencadangkan SJKC dimansuhkan dalam usaha mewujudkan sistem sekolah satu aliran, kerajaan tidak berhasrat memansuhkan sekolah vernakular kerana tindakan itu bukan dasar BN.

Antara alasan yang dikemukakan oleh puak penentang sekolah vernakular adalah kononnya SJKC menjadi medan parti DAP menanam bibit kebencian terhadap BN dalam kalangan generasi muda.

Sekolah vernakular turut dikatakan menjadi punca utama kaum Cina dan India tidak berinteraksi dengan kaum Melayu, lalu melebarkan jurang perkauman yang sedia wujud.

Sekolah satu aliran dilihat sebagai suatu usaha terbaik ke arah mengukuhkan perpaduan antara kaum, khususnya apabila bahasa Malaysia atau bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar tunggal di semua sekolah.

Saranan itu sebenarnya secara langsung dan tidak langsung memperakukan serta membuktikan kegagalan kerajaan BN melaksanakan peranan dan tanggungjawab mewujudkan bangsa Malaysia yang diimpikan.

Mesyuarat agung Pena turut menerima usul supaya "sebarang usaha untuk menghidupkan semula strategi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dalam bentuk lain seperti mewujudkan Dual Language Program (DLP) hendaklah dihentikan."

Pesatuan penulis itu juga mahu Kementerian Pendidikan memastikan "hanya bahasa Melayu yang menjadi bahasa pengantar di semua sekolah di Malaysia."

Demi melihat isu ini dari sudut yang lebih luas, saya mahu menyentuh pelbagai kebaikan yang mampu dikecapi SJKT sekiranya sekolah satu aliran wujud.

Alasan dan hujah yang selalu digunakan MIC dan pejuang Tamil untuk mempertahankan SJKT adalah kononnya, bahasa Tamil dan budaya Tamil akan musnah (pupus) di Malaysia jika sekolah Tamil dimansuhkan.

Naik taraf SJKT menjadi SRK

Ada dua kesilapan yang amat nyata di sini. Pertama, tidak ada sesiapa yang mahu memansuhkan SJKT. Sebaliknya, SJKT akan diubah (dinaik taraf) menjadi Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK).

Kedua, mitos digunakan untuk memomok orang India, kononnya bahasa Tamil dan budaya Tamil akan pupus tanpa kewujudan SJKT adalah penipuan semata-mata. Sekadar "senjata" demi memastikan parti politik India terus ada alasan untuk "cari makan".

Tugas dan tanggungjawab mengajar bahasa ibunda (dalam hal ini, bahasa Tamil) dan budaya (dalam hal ini, budaya Tamil/India) serta agama (dalam hal ini, ajaran Hindu) perlu dipikul oleh ibu bapa dan penjaga sebelum anak mencapai umur 7 tahun.

Mitos yang tersebar luas adalah SJKT tempat pengajaran Hinduisme, kebudayaan India dan segala perkara berkaitan orang Tamil. Murid tidak belajar ilmu lain di sekolah selama 6 tahun.

Apabila SJKT dinaik taraf menjadi SRK, itulah masanya pejuang Tamil membuat tuntutan yang rasional demi memastikan bahasa Tamil dan budaya Tamil terus memekar.

Sekadar contoh, bayangkan SJKT Ladang Siru Kambam, Taiping diangkat menjadi SRK Ladang Siru Kambam; sekali gus menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama.

Antara tuntutan dan syarat yang diletakkan adalah supaya guru besar SJKT Ladang Siru Kambam dikekalkan. Sekurang-kurangnya, guru besar tidak perlu lagi menjadi “Pak turut” kepada MIC.

Bantuan yang disalurkan oleh kerajaan pusat juga tidak perlu melalui MIC, sebaliknya terus kepada sekolah. Maka, tidak berlaku sebarang ketirisan.

SRK Ladang Siru Kambam terbuka kepada murid-murid pelbagai kaum, tetapi mata pelajaran Bahasa Tamil diajar setiap hari. Murid Melayu, Cina, Orang Asli, Indonesia dan sebagainya berpeluang mempelajari bahasa berkenaan.

Di pihak guru pula, mereka masih kekal mengajar subjek Sejarah, Matematik, Moral dan sebagainya. Kalau ada guru yang mengadu tidak tahu mengajar mata pelajaran berkenaan menggunakan Bahasa Malaysia, eloklah mereka segera memohon untuk melepaskan kerakyatan.

Bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Inggeris, SRK Ladang Siru Kambam memastikan guru pakar dibawa masuk. Maka, murid mampu cemerlang dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil.

Bahasa Tamil dapat suntikan baharu

Beberapa aktiviti berciri kebudayaan yang pernah dijalankan semasa menjadi SJKT, diteruskan di SRK. Misalnya, sambutan ponggal iaitu pesta menuai yang tidak berciri keagamaan.

Kalau ada orang bertanya, bagaimana dengan sambutan Saraswati Poojai (bagi dewi ilmu) yang menjadi acara wajib di SJKT, eloklah mereka diingatkan: Sambutan itu boleh dibuat pada skala lebih besar di kuil berdekatan dengan melibatkan guru dan murid beragama Hindu.

Guru serta pejuang bahasa Tamil dan budaya Tamil menjadi lebih bersemangat untuk berjuang selepas kewujudan SRK.

Guru-guru menggunakan kelas Bahasa Tamil pada setiap hari untuk memberikan ilmu bahasa terbaik kepada murid-murid.

Persatuan Kebudayaan India diwujudkan dan berperanan sepenuhnya memastikan aspek budaya diberikan perhatian. Murid pelbagai kaum berpeluang mendalami budaya India dalam suasana muhibah.

Tentulah segala cadangan ini mungkin ditentang MIC kerana politikus akan kehilangan modal untuk "berjuang" mewakili orang Tamil. Tambahan pula, bantuan kerajaan akan disalurkan terus ke sekolah tanpa melalui MIC.

Saya yakin budaya Tamil dan bahasa Tamil tidak akan terjejas, pupus atau musnah sekiranya SJKT dinaik taraf menjadi SRK.

Sebaliknya, bahasa Tamil dan budaya Tamil akan mendapat suntikan baharu kerana tiada lagi campur tangan politikus yang ada agenda peribadi.

Pada masa sama, sekolah kebangsaan (SK) akan menjadi kurang rasis kerana perlu bersaing dengan SRK untuk melahirkan bangsa Malaysia.

Dalam pada itu, bercakap tentang usaha menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar ilmu di sekolah, eloklah para pejuang bahasa Melayu menumpukan dahulu kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Mara di seluruh negara.

Selepas UiTM dan Kolej Mara berjaya menjadi "satu aliran"  dengan mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama, bolehlah model sama diajukan kepada SJKC dan SJKT. – 20 Oktober, 2015.

 * Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments