Opinion

Pupuk perpaduan, raikan perbezaan

Sekolah mampu menjadi tempat utama memupuk perpaduan.Sekolah mampu menjadi tempat utama memupuk perpaduan.Realiti Malaysia yang terdiri daripada penduduk pelbagai kaum, agama, budaya, etnik dan kepercayaan membuatkan negara bertuah ini tetap tidak dapat lari daripada pelbagai pergeseran kecil yang dilaporkan berlaku dari semasa ke semasa.

Hal ini tidak bermakna isu-isu perkauman dan rasisme tidak boleh dibendung dan diatasi. Saya secara peribadi amat optimis dalam pendirian ini berdasarkan pengalaman sejak zaman kanak-kanak.

Saya lahir dan membesar di Aulong Lama, Taiping, Perak. Kawasan yang saya huni terdiri daripada majoriti penduduk kaum India beragama Hindu. Terdapat 2 atau 3 sahaja keluarga Melayu, manakala tiada penduduk Cina di kejiranan saya pada waktu itu.

Situasi ini sedikitpun tidak memaksa saya membesar menjadi seorang yang rasis atau berprasangka terhadap kaum-kaum lain. Tentu sahaja semua ini berbalik kepada asuhan awal yang diterima daripada ibu bapa.

Sekolah pertama tempat saya belajar ialah Sekolah Rendah Kebangsaan Convent Aulong, sebuah sekolah campur. Murid-murid (lelaki dan perempuan) daripada pelbagai kaum, agama, latar sosial dan kebudayaan belajar bersama-sama.

Suatu hal yang menjadi norma dalam kalangan murid-murid sekolah berkenaan adalah penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi di sekolah. Pada 1970, istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan dan ia segera menjadi alat perpaduan yang benar-benar berkuasa magis!

Pergaulan dan persahabatan di sekolah membantu kanak-kanak seperti saya untuk saling mengenali, memahami, menghormati dan menyayangi tanpa mengira kaum dan agama.

Mungkin sebab itulah walaupun kami semua sudah dewasa, hubungan yang terjalin di sekolah rendah masih berterusan. Walaupun pada masa kini pelbagai isu perkauman dan rasisme dimainkan oleh pihak berkepentingan, rakan-rakan yang saya kenali sejak sekolah rendah tidak terpengaruh.

Pengalaman bergaul mesra dengan rakan-rakan pelbagai kaum dan agama diteruskan apabila melangkah ke Sekolah Menengah Darul Ridwan (SMDR), Taiping. Keakraban hubungan yang terjalin dengan rakan-rakan sepermainan di sekolah rendah mula dikembangkan pula kepada lebih ramai pelajar daripada latar belakang yang juga berbeza.

Jangan sampai hilang jati diri

Sebagaimana di sekolah rendah, Bahasa Malaysia sekali lagi menjadi semacam gam ajaib yang membantu merapatkan hubungan dengan rakan-rakan; termasuk pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Sesungguhnya bahasa komunikasi yang difahami semua kaum menjadi asas penting ke arah menghapuskan prasangka dan prejudis, lalu mewujudkan hubungan persahabatan yang ikhlas.

Sepertimana disebutkan sejak awal tadi, realiti kepelbagaian di Malaysia tetap menjadi cabaran besar ke arah niat murni memupuk perpaduan, sekali gus menghapuskan semangat perkauman.

Dalam hal ini, apabila masyarakat pelbagai kaum diseru memupuk perpaduan, tidak sesekali bermaksud kita perlu berasimilasi sehingga kehilangan jati diri.

Perkara ini mungkin kelihatan kecil tetapi berdasarkan pemerhatian saya sejak puluhan tahun dahulu, salah tanggap seperti ini memang wujud. Penjelasan yang secukupnya perlu diberikan sejak kanak-kanak supaya anggota masyarakat membesar menjadi individu yang memahami perkara sebenar.

Apabila kita menggalakkan orang ramai menggunakan bahasa kebangsaan, hal ini tidak bermakna bahasa ibunda mana-mana pihak dinafikan atau dianaktirikan. Sebaliknya, setiap individu tetap berhak mempertahankan serta menggunakan bahasa ibunda mengikut keperluan dan kesesuaian.

Begitulah juga dalam soal kebudayaan. Ramai yang masih keliru antara konsep perpaduan, integrasi dan asimilasi. Natijahnya, masih ada pihak beranggapan tindakan bergaul rapat dengan kaum majoriti (Melayu) akan membuatkan kaum-kaum minoriti terpaksa berasimilasi, dan seterusnya meninggalkan budaya sendiri.

Bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Masyarakat seharusnya sedar, kes-kes terpencil melibatkan individu yang meninggalkan terus budaya nenek-moyang tidak harus dijadikan contoh. Sebaliknya, lihatlah kepada individu yang mampu berinteraksi dengan kaum lain tanpa kehilangan jati diri.

Segala-galanya bermula di rumah. Ibu bapa seharusnya – malah wajib – memainkan peranan menangkis segala bentuk rasisme dan perkauman daripada berputik dalam jiwa anak-anak. Untuk itu, ibu bapa sendiri perlulah memastikan segala rasisme (jika ada) dikikis dari dalam diri.

Perlu dipupuk sejak kanak-kanak

Ibu bapa perlu mengambil inisiatif menggalakkan anak-anak bermain, bergaul, berkomunikasi dan meluangkan masa bersama kanak-kanak pelbagai kaum dan agama. Kanak-kanak ini belum mengenal konsep kaum dan agama. Usahlah kita menyekat pergaulan mereka yang penuh ikhlas sejak kanak-kanak.

Semasa di sekolah rendah dan menengah, saya sering mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti deklamasi sajak Bahasa Malaysia dan Inggeris, serta syarahan dan debat Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil.

Saya juga terlibat dalam Persatuan Bahasa Malaysia, Persatuan Bahasa Inggeris, Persatuan Bahasa Tamil, Kelab Kaunseling, Lembaga Pengawas Pusat Sumber dan sebagainya.

Kesemua aktiviti ko-kurikulum itu sesungguhnya membuka ruang dan peluang untuk bergaul dengan rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang, kaum, agama, etnik, budaya dan kedudukan ekonomi. Saya boleh dengan penuh bangga mengaku, pergaulan pada zaman persekolahan yang menjadikan saya seperti diri saya sekarang.

Apabila kita perhatikan keadaan di sekolah-sekolah sekarang, situasi amat berbeza. Dalam perlumbaan mengejar kecemerlangan akademik, ramai yang terlupa akan aspek ko-kurikulum dan keperluan memupuk perpaduan antara kaum.

Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan sistem persekolahan pada masa sekarang menyumbang kepada kerenggangan hubungan antara kaum. Sekolah kebangsaan (SK) yang sepatutnya menjadi model perpaduan antara kaum juga semakin gagal melaksanakan tanggungjawab itu.

Kita perlu bertanya kepada diri: “Setelah puluhan tahun merdeka, mengapa kita masih terpisah-pisah seperti pada zaman penjajahan? Apakah minda kita masih terjajah dengan semangat perkauman yang terlalu menebal?”

Orang ramai yang pernah bersekolah pada tahun 70-an dan 80-an wajar merenung keindahan hidup pada zaman itu. Imbas kembali keceriaan hidup dikelilingi rakan-rakan pelbagai kaum dan agama. Ingat semula bagaimana kita masih mampu bersatu sambil meraikan perbezaan.

Apabila ada peluang, berkongsilah pengalaman itu dengan anak-anak. Jadilah contoh positif dan idola kepada anak-anak supaya mereka mengikut jejak kita dalam menghulurkan persahabatan kepada rakan-rakan tanpa mengira kaum dan agama. – 25 Ogos, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments