Opinion

Polis lindungi penghasut?

Buku panduan ini diedarkan kepada peserta seminar. Gambar The Malaysian Insider, 8 September, 2014.Buku panduan ini diedarkan kepada peserta seminar. Gambar The Malaysian Insider, 8 September, 2014.Walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan beberapa kali berjanji mahu memansuhkan Akta Hasutan, perkembangan semasa dalam negara memberikan gambaran sebaliknya.

Umum sudah sedia maklum beberapa tangkapan yang dibuat polis baru-baru ini. Beberapa politikus, ahli akademik dan wartawan dituduh di bawah akta berkenaan.

Tidak lupa juga kes seorang pelajar lelaki berumur 17 tahun di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Mazlan Kesah bertegas mahu tetap menyiasat budak bawah umur itu di bawah Akta Hasutan.

Hal ini amat memeranjatkan dan menghairankan kerana budak berkenaan sekadar ‘like’ laman "I Love Israel" di Facebook tanpa melakukan sebarang provokasi atau hasutan yang melanggar undang-undang negara.

Kita boleh merujuk Seksyen 3 (1) Akta Hasutan 1948 untuk memahami apakah perkara yang diklasifikasikan sebagai hasutan.

Pada 24 Ogos 2014, saya berpeluang menjadi pemudahcara dalam salah satu sesi perbincangan di Seminar Kebebasan Agama dan Media Sosial anjuran bersama Projek Dialog dan Artikel 19.

Sebuah buku panduan dalam versi Bahasa Malaysia dan Inggeris yang ditaja penerbitannya oleh Lembaga Kerjasama Pembangunan Antarabangsa Sweden (Sida) turut diedarkan kepada peserta.

Sesungguhnya buku panduan sekitar 30 halaman itu amat wajar dibaca setiap individu untuk lebih memahami topik seperti kebebasan bersuara, toleransi agama, Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Keterangan.

Diterangkan dalam buku panduan ini Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan kurang jelas, sekali gus membolehkan pihak berkuasa memanipulasi untuk menghukum sesiapa yang sekadar melakukan sesuatu berasaskan kebebasan bersuara.

Perkara yang dikategorikan sebagai menghasut

Seksyen 4 Akta Hasutan pula menetapkan menjadi suatu kesalahan jenayah jika seseorang didapati mencuba, bersedia atau bersubahat melakukan perbuatan yang dirasakan ada kecenderungan menghasut.

Buku panduan itu turut memetik 6 contoh daripada Seksyen 3 (1) Akta Hasutan untuk menerangkan apa yang diklasifikasikan sebagai "hasutan" di bawah akta berkenaan.

Saya perturunkan sepenuhnya daripada buku panduan berkenaan untuk makluman dan rujukan bersama:

1. Mendatangkan kebencian atau penghinaan atau menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap pemerintah atau kerajaan.

2. Membangkitkan rakyat mana-mana Raja atau sesiapa saja di Malaysia untuk membuat perubahan undang-undang selain secara yang sah.

3. Mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan.

4. Menimbulkan rasa tidak puas hati atau tidak setia di kalangan rakyat di bawah Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah, atau hanya di kalangan rakyat Malaysia secara amnya.

5. Mengembangkan perasaan niat jahat atau permusuhan di antara kaum atau golongan yang berbeza di Malaysia.

6. Mempersoalkan sebarang perkara, hak, taraf, kedudukan, kesitimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, peruntukan kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit atau kedaulatan dan imuniti raja-raja.

Penerangan mudah di atas menunjukkan sesiapa saja boleh dikatakan dan dituduh melakukan hasutan.

Anda tidak boleh lari daripada menjadi mangsa

Walaupun 4 pengecualian diperuntukkan di bawah Seksyen 3 (2) Akta Hasutan, ia masih boleh dimanipulasi pihak bekuasa dan pihak yang memegang kuasa.

Katakan, misalnya, saya menulis sebuah makalah yang membicarakan perihal beberapa perkara berunsur jahat dan kecenderungan menghasut yang dilakukan orang lain (contoh terbaik: Dr Ridhuan Tee Abdullah) atau mewujudkan permusuhan antara kaum/agama (contoh mudah: Isma, Perkasa).

Tujuan serta niat saya menulis makalah itu adalah bagi mengkritik serta berusaha menghapuskan unsur jahat dan permusuhan yang ditimbulkan pihak berkenaan.

Bagaimanapun, saya masih berdepan kemungkinan besar disabitkan dengan kesalahan melakukan hasutan.

"Mengikut Akta Hasutan, anda tidak perlu berniat untuk menghasut untuk dijatuhkan kesalahan. … Dengan tambahan Seksyen 114a Akta Keterangan pada tahun 2012, mendakwa seseorang di atas kesalahan hasutan di Internet kini lebih mudah bagi kerajaan."

Demikian diingatkan dalam buku panduan yang diedarkan semasa saya menghadiri seminar berkenaan di Pusat Rakyat LB, Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur.

Hal ini bermakna, makalah ini juga boleh dikatakan bersifat menghasut walaupun ia bertujuan menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Pada Julai 2013, Najib dilaporkan berkata Akta Hasutan akan dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional.

Apa yang dibimbangi adalah akta baharu itu nanti tidak jauh bezanya dengan akta sedia ada.

Nasihat kepada ketua polis negeri

Resolusi Seminar Kebebasan Agama dan Media Sosial menegaskan Akta Hasutan yang masih digunakan secara meluas di Malaysia sebenarnya secara terang-terangan mencabuli perlindungan antarabangsa dalam soal hak kebebasan bersuara.

Akta itu dikatakan tidak begitu jelas kerana mengandungi terlalu banyak perkataan dan ungkapan yang kurang jelas serta sukar difahami maksudnya oleh orang awam.

"Masalah dengan undang-undang yang kurang jelas adalah bukan saja ia sukar difahami, tetapi ia memberikan ruang luas bagi pihak berkuasa untuk mentafsir undang-undang tersebut dengan cara yang membolehkan mereka menghukum pengkritik mereka," kata buku panduan yang dijadikan rujukan seminar.

Hal ini membawa perhatian saya kembali kepada isu pelajar lelaki berumur 17 tahun yang mahu tetap disiasat polis Akta Hasutan walaupun dikecam pelbagai pihak.

Memanglah jelas bahawa walaupun remaja itu tidak bersalah, pihak berkuasa boleh saja memanipulasi kesamaran dalam Akta Hasutan untuk menghukum si mangsa mengikut keinginan pihak berkuasa.

Tambahan pula, seperti dilaporkan media pada 21 Ogos 2014, Mazlan mengakui polis sebenarnya sekadar bertindak atas arahan pihak atasan.

Pada masa sama, anehnya, guru-guru yang secara terang-terangan melakukan hasutan bukan saja dilepaskan polis, malah diberikan perlindungan sepenuhnya jabatan pendidikan.

Resolusi seminar yang sempat saya hadiri pada 24 Ogos 2014 juga menekankan Akta Hasutan tidak mempunyai matlamat yang sah serta bukan lagi digunakan untuk melindungi keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Dalam kes pelajar dari Bandar Tasek Mutiara yang mahu dihukum mengikut Akta Hasutan, eloklah pihak berkuasa (polis) berfikir secara matang dan rasional.

Ingatlah karma yang dilakukan kini bukan hanya membawa padah kepada diri sendiri, tetapi juga kepada anak cucu.

Selaku pengamal media dan perunding media, suka saya menasihatkan - bukan menghasut - ketua polis Pulau Pinang supaya mengeluarkan kenyataan rasmi siasatan mengikut Akta Hasutan sudah digugurkan tanpa sebarang syarat.

Sebaliknya, polis wajar menyiasat guru terbabit di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan kerana mereka secara terang-terangan melakukan jenayah dan hasutan.

Ayuh kita buktikan polis dan pihak berkuasa masih boleh dipercayai untuk melindungi orang ramai. – 8 September, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments