Opinion

Penulis Tamil, sedekad kemudian

Rencana yang disiarkan sedekad lalu.Rencana yang disiarkan sedekad lalu.Saya sering menegur rakan-rakan penulis Tamil supaya tidak hanya tertumpu pada pembacaan karya Bahasa Tamil; sama ada asli atau terjemahan.

Peserta bengkel penulisan anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pula sentiasa diingatkan supaya membaca bahan dalam pelbagai bahasa bagi meningkatkan ilmu, pengetahuan dan maklumat.

Pada 18 Februari 2014, saya "kehilangan" seorang rakan penulis Tamil apabila dia menyekat (block) saya di Facebook. Tindakan itu sedikit pun tidak merugikan saya. Sebaliknya membuatkan saya kecewa dengan sikap yang masih dimiliki sekelompok penulis Tamil.

Isu timbul apabila saya menyatakan menerusi paparan status di Facebook bahawa saya teruja membaca maklumat yang menyatakan golongan novelis Tamil terawal di Malaya (Malaysia) menguasai Bahasa Tamil dan Inggeris.

Sebenarnya saya sedang membaca buku kajian berjudul Malaysian Tamil Novels Before Independence (1999) tulisan Sababathy Venugopal.

Dalam kajiannya, beliau menyatakan bahawa novel Tamil di Malaya sebelum 1957 lebih hebat berbanding novel yang dihasilkan selepas 1957.

Pada awal pagi berkenaan, penulis Tamil yang saya maksudkan masih tersenarai sebagai "rakan" saya di Facebook. Bagaimanapun, pada petangnya, apabila saya mahu menghubunginya untuk mendapatkan maklumat mengenai suatu acara yang dijadualkan berlangsung pada keesokan, saya sedar saya sudah disekat.

Untuk rekod, saya percaya sikap yang ditunjukkan penulis terbabit - seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) - tidak mewakili sikap kelompok penulis Tamil yang saya kenali.

Apa pun, insiden kecil itu mengingatkan saya kepada apa yang berlaku 10 tahun lalu. Saya pernah dihubungi presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia (MTWA) dan meminta saya memohon maaf atas apa yang saya tulis dalam sebuah rencana.

Rencana bertajuk "What Tamil Writers?" tersiar di akhbar New Straits Times pada 11 Februari 2004. Ia menyusur-galur secara ringkas dan umum mengenai perkembangan penulisan cerpen Tamil di Malaysia sejak1930-an. Selain kajian teks, saya turut mewawancara pengkaji, penulis dan pengarang akhbar Tamil.

Menurut Krishanan Maniam dalam bukunya Cerpen Tamil dan Melayu: Perbandingan Tema dan Struktur (1993), novel Tamil pertama di Malaya (Malaysia) terbit pada 1917, manakala kumpulan cerpen Tamil sulung pula muncul 13 tahun kemudian.

Reaksi persatuan penulis Tamil

V Poobalan selaku penyair veteran pula pernah menyatakan bahawa bagi tempoh hampir 30 tahun yang pertama (dari 1930-an hingga 1960-an), akhbar-akhbar Tamil di Malaya terpaksa bergantung kepada cerpen penulis dari Tamil Nadu, India untuk siaran.

Dalam suatu kenyataan pada 1950, ketua pengarang akhbar Tamil Nesan, Athi Nagappan menyelar penulis Tamil di Malaya. Katanya, semua penulis Tamil yang menghasilkan karya Tamil sebelum itu tidak layak digelar penulis.

Kritikan pedas itu ternyata membuahkan hasil kerana penulis mula membaiki penulisan dan meningkatkan mutu karya menerusi pelbagai cara.

Vidyasaagar yang menjadi editor majalah Thendral turut mengakui bahawa khalayak pembaca Tamil pada masa lalu mempunyai sumber maklumat yang terhad kerana lebih tertumpu kepada buku, majalah dan akhbar Tamil.

"Pada menelitian saya, pembaca kaum India sekarang turut membaca karya Bahasa Malaysia dan Inggeris sebagai tambahan. Maka, mereka mampu melakukan perbandingan antara karya ketiga-tiga bahasa," katanya semasa diwawancara bagi tujuan penulisan rencana pada 2004.

Hujah dikeluarkan berdasarkan pembacaan.Hujah dikeluarkan berdasarkan pembacaan.Dalam penelitiannya, Krishanan pula menyebut bahawa penulisan cerpen Tamil di Malaya (Malaysia) muncul pada 1930, mencapai kematangan pada 1950-an dan berkembang pada 1960-an.

Hasil penelitian yang dilakukan - serta dinyatakan dalam rencana "What Tamil Writers?" - mendapati kebanyakan penulis Tamil pada 1940-an, 1950-an dan 1960-an berpendidikan SJKT.

Daripada segi pekerjaan, kebanyakan guru SJKT, wartawan akhbar Tamil, kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kakitangan kerajaan. Agak menarik (baca: mengecewakan) untuk diperhatikan bahawa kebanyakan mereka hanya membaca akhbar, majalah dan buku Bahasa Tamil, khususnya dari Tamil Nadu.

Realiti ini ternyata amat berbeza dengan kelompok penulis terdahulu yang diakui oleh Sababathy sebagai golongan yang sekurang-kurangnya menguasai serta membaca bahan Bahasa Tamil dan Inggeris.

Apa yang saya tulis dalam rencana pada 11 Februari 2004 akhirnya mendapat perhatian MTWA, sekitar dua minggu kemudian. Presiden MTWA yang menelefon saya mengatakan bahawa kelompok penulis Tamil yang bernaung di bawah persatuan itu marah dengan kandungan rencana itu.

Saya cuba bertanya, bahagian mana yang membuatkan mereka marah tetapi gagal mendapat jawapan yang memuaskan daripada beliau. Seolah-olah beliau tidak dan tidak tahu membaca rencana Bahasa Inggeris berkenaan.

Pandangan yang terbukti benar

Diringkaskan cerita, saya diminta menyatakan bahawa saya memohon maaf atas apa yang saya tulis dalam rencana itu. Presiden MTWA memberitahu bahawa petikan rencana saya dalam New Straits Times akan diterjemahkan ke Bahasa Tamil dan disiarkan di akhbar Malaysia Nanban pada keesokan harinya.

Alasan mengapa terjemahan itu dilakukan adalah supaya khalayak penulis Tamil boleh membaca dan memahami kandungan rencana saya! Nah, bukankah MTWA secara terbuka mengakui bahawa khalayak penulis Tamil - khususnya ahli MTWA - hanya mahu/mampu membaca bahan bacaan Bahasa Tamil?

Saya bertegas tidak meminta maaf atau menarik balik apa yang saya tulis dalam rencana Bahasa Inggeris itu. Sebaliknya, saya meminta presiden MTWA supaya menyebut dalam versi terjemahan Bahasa Tamil bahawa saya bertegas dengan pendirian menegakkan apa-apa yang saya tulis dalam rencana itu.

Versi terjemahan petikan rancana saya disiarkan di Malaysia Nanban dan segera mendapat reaksi daripada khalayak penulis Tamil. Ramai yang marah-marah, tentunya. Sayangnya, tanpa disedari, mereka hanya memperakukan segala apa yang saya tulis dalam rencana asal.

Pada 25 februari 2004, rencana balas bertajuk "A Tamil Writer Talks Back" oleh R Karthigesu disiarkan di New Straits Times. Saya amat gembira dan lega membaca rencana itu.

Sebenarnya, editor akhbar Bahasa Inggeris itu memberitahu saya bahawa sudah lama pihaknya berusaha mendapatkan penulis Tamil dan MTWA menulis rencana mengenai penulis Tamil.

Akhirnya, selepas rencana saya disiarkan, muncul juga rencana daripada penulis Tamil untuk menceritakan isi hati kelompok berkenaan.

Seperti yang dapat diduga, recnana balas itu juga diterjemahkan dan disiarkan di akhbar Malaysia Nanban pada 21 Mac 2004; tentunya supaya kelompok penulis dan peminat sastera Tamil boleh sama-sama mengetahui apa yang terkandung dalam rencana itu.

10 tahun kemudian, saya terkenang semula akan pengalaman itu apabila seorang penulis muda – daripada segi usia, kematangan fikiran dan pengalaman - menyekat saya daripada menjadi rakannya di Facebook.

Dalam pada itu, hubungan saya dengan MTWA masih berlanjutan kerana saya mahu bersikap profesional. Apabila timbul isu berkaitan tuntutan royalti daripada MTWA oleh beberapa penulis muda pada tahun lalu, saya tampil memberikan pandangan, nasihat dan rundingan.

Saya masih menyimpan harapan bahawa Kavyan dan MTWA boleh bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menterjemahkan sejumlah cerpen Bahasa Tamil ke Bahasa Malaysia.

Kalaulah benar kelompok penulis Tamil masih terus selesa dengan situasi menguasai, menggunakan dan membaca dalam satu bahasa sahaja, sekurang-kurangnya karya mereka boleh dinikmati seluruh penduduk Malaysia apabila diterjemahkan ke bahasa kebangsaan. – 24 Februari, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments