Opinion

Pemimpin Melayu berdarah pendatang

Keratan akhbar kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku mempunyai darah India. – Gambar daripada penulis, 14 November, 2015.Keratan akhbar kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku mempunyai darah India. – Gambar daripada penulis, 14 November, 2015.Nama Tun Dr Mahathir Mohamad menitip dari bibir ke bibir masyarakat pelbagai kaum dan ideologi politik sejak bekas perdana menteri (PM) itu turun menyertai perhimpunan Bersih pada hujung Ogos 2015.

Dr Mahathir juga semakin lantang bersuara menentang kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya tidak sesuai menjadi PM, khususnya selepas dikaitkan dengan isu 1MDB.

Bagi Presiden MIC Datuk Dr S Subramaniam dan rata-rata orang MIC, Najib adalah PM yang paling pemurah kerana kononnya paling banyak membantu kaum India di Malaysia.

Dalam kalangan beberapa rakan, keluar pula desas-desus yang menyentuh mengenai darah kaum India yang mengalir dalam tubuh Dr Mahathir.

"Benarkah Najib yang berdarah Bugis lebih banyak membantu kaum India berbanding Dr Mahathir yang berdarah India? Atau MIC sekadar mahu 'menjilat' tangan yang menghulurkan tulang?"

Catatan ini bukan bertujuan menilai PM mana yang paling banyak membantu kaum India. Bukan juga menghitung berapa guni beras yang dicampak dari lori kepada pengundi kaum India menjelang pilihan raya umum.

Sebaliknya, membuka mata masyarakat untuk melihat darah yang mengalir dalam tubuh para pemimpin Melayu yang menerajui kerajaan persekutuan serta memperjuangkan "ketuanan Melayu".

Pada 12 Jun, 2005 majlis "Mahathir, Jasamu Dikenang" dianjurkan Jemaah Malabar Muslim Johor dengan kerjasama 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) keturunan Malayali (Malabari).

Menurut catatan di blog penganjur, kaum Malabari "terhutang budi kepada Dr Mahathir kerana beliau membantu membangunkan masyarakat ini seiring dengan masyarakat lain di Malaysia".

Daripada Tunku ke Najib

Pada majlis itu, Dr Mahathir sendiri mengaku mempunyai darah India. Katanya, beliau tidak perlu berasa malu untuk mengakui perkara itu. Malah, tegasnya, tidak ada seorang pun orang Melayu yang tulen.

Sepertimana dikatakan Dr Mahathir pada majlis berkenaan, PM pertama, Tunku Abdul Rahman berdarah Siam; Tun Abdul Razak berdarah Bugis; Tun Hussein Onn berdarah Turki; dan Tun Abdullah Ahmad Badawi berdarah Cina.

Sebagaimana bapanya, Najib juga berdarah Bugis. Malah, Najib yang lengkap berpakaian etnik Bugis mengunjungi Gabenor Sulawesi Selatan pada 18 November, 2009; 7 bulan selepas menjadi PM.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kempunan menjadi PM pula berdarah Jawa, walaupun beliau lebih suka mengaku dirinya "Malay first".

Katanya, beliau akan dipulaukan semua orang Melayu sekiranya mengaku dirinya "a Malaysian first and a Malay second". (The Star, 1 April, 2010)

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang khabarnya pernah digelar "bebal" dan "jambu" oleh akhbar Utusan Malaysia juga berdarah Jawa.

Malah, Surabaya Post (9 Jun 2006) memetik Zahid sebagai berkata, 10 ahli Parlimen Malaysia berketurunan Jawa.

Pengakuan Zahid mengenai asal usulnya menerusi media di Indonesia pada 2013 turut mendapat reaksi yang pelbagai daripada rakyat Malaysia.

Khususnya apabila kaum India dan Cina yang sudah lebih 100 tahun lahir dan membesar di negara ini masih digelar "pendatang".

Secara teknikal, Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan mengesahkan kedudukan para pemimpin berkenaan sebagai "Melayu" dan tiada sebarang pertikaian.

Jati diri Melayu, Cina dan India

Sekiranya diteliti, identiti "Melayu" yang sering digunakan terlalu umum dan tidak menggambarkan jati diri kukuh.

Sekadar contoh, apabila kita bercakap mengenai kaum India, kita masih boleh melihat jati diri Tamil, Telugu, Malayali, Punjabi, Chetti dan sebagainya.

Begitu juga kaum Cina yang masih mengekalkan jati diri Hokkien, Hakka, Kanton, Hailam, Teochew, Baba dan seumpamanya.

Dalam kalangan orang Melayu, mereka sebenarnya terdiri daripada Jawa, Banjar, Bugis, Minang, Boyan, Mendaling dan sebagainya.

Sebagaimana dikatakan tadi, rata-rata orang Melayu ada percampuran darah dengan "pendatang" iaitu orang dari luar Tanah Melayu.

AB Sulaiman dalam buku "Sensitive Truths in Malaysia" (2013) menegaskan dengan berani: "There is no such thing as a Malay race" dan "the term Malay does not refer to any race or ethnicity".

Apabila saya memetik hujah itu untuk dibahaskan dalam beberapa makalah, saya digelar anti Melayu.

Saya turut membahaskan beberapa isu sensitif berkaitan jati diri Melayu dalam buku "Malaiur Manikam" yang bakal dilancarkan pada 21 November ini.

Tidak mustahil, buku itu akan dilabel sebagai mempertikaikan hak Melayu dan menyentuh sensitiviti orang Melayu.

Pada pandangan rakan saya, Kumaran Nagapa dari Batang Berjuntai, Kuala Selangor:"Tiada sesiapa pun perlu rasa malu atau kurang selesa dengan asal usul mereka."

Usaha menafikan darah pendatang

Pandangan di atas amat wajar kerana kemajmukan sudah menjadi salah satu keistimewaan Malaysia.

Masalah hanya timbul apabila ada pihak yang cuba menafikan hakikat darah "pendatang" yang mengalir di dalam tubuhnya.

Isu berkaitan "pendatang" ada saya tampilkan menerusi cerpen dalam buku "Pulau Pendatang" (Mei 2015). Dibayangkan bagaimana isu "pendatang" mencapai kemuncak pada pertengahan Ogos 2015.

Akan tetapi, dalam konteks Malaysia, isu "pendatang" nampaknya hanya mula hangat 3 bulan kemudian, apabila MIC meminta Najib campur tangan.

Sekiranya diteliti, gelaran "pendatang" digunakan pihak tertentu sebenarnya bertujuan menafikan hakikat darah "pendatang" yang mengalir dalam tubuh mereka.

Seperti dikatakan Dr Mahathir, "No Malay is pure". Tidak ada orang Melayu yang benar-benar berdarah asli Melayu sepenuhnya. Pasti ada percampuran dengan "pendatang".

Pendeta Za'ba yang dinobatkan sebagai tokoh pejuang bahasa Melayu,  budaya Melayu dan agama Islam juga mempunyai darah Minang dan Bugis.

Munsyi Abdullah yang pernah diangkat sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden sebenarnya berdarah Arab dan India.

Kalau kita selidik jurai keturunan rakan Melayu, pasti akan ditemui pertalian darah dan genetik "pendatang".

Soalnya, mengapa laungan "pendatang" semakin nyaring? Apakah semata-mata untuk cuba menafikan hakikat darah "pendatang" dalam diri para pemimpin dan masyarakat Melayu? – 15 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments