Opinion

Pelan tindakan berdasarkan suara akar umbi

Menyedari majoriti kaum India di Malaysia masih memerlukan bantuan, kerajaan pusat menyalurkan dana dan bantuan melalui pelbagai cara.

Sekiranya diperhatikan, selain masalah ekonomi, banyak isu sosial menghantui komuniti India sejak dulu.

Salah satu pihak yang sedang tekun berusaha mendalami serta mencari cara penyelesaian bagi pelbagai isu komuniti India adalah Persatuan Jaringan Pembangunan Manusia Luar Bandar, Malaysia (DHRRA Malaysia).

Saya berpeluang mengikuti perkembangan projek komuniti yang dijalankan DHRRA Malaysia sejak 2003 dan kagum dengan usaha yang dilakukan bagi menghubungkan masyarakat akar umbi dengan pihak berkuasa.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang dikenali dengan nama DHRRA terdapat di 10 negara Asia, manakala DHRRA Malaysia secara khusus memainkan peranan membantu komuniti terpinggir di negara ini.

“Kami berusaha membantu kaum India di peringkat akar umbi. Isu yang sering ditangani adalah masalah sijil kelahiran, kaunseling, nasihat perundangan, kad pengenalan, sijil perkahwinan dan dokumen kewarganegaraan,” kata presidennya, Saravanan M. Sinapan.

Sejak tahun 2004, sejumlah 8,350 kes melibatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan berjaya diselesaikan; sementara 5,605 kes sedang dalam proses di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam pertemuan kami di pejabatnya di Petaling Jaya pada 12 Januari 2016, Saravanan mengaku ada beberapa isu yang dikesan sentiasa berulang dalam komuniti India.

“Kes anak tiada sijil kelahiran sentiasa dibawa kepada kami. Hal ini berpunca daripada kes berkahwin secara tidak sah dengan warga asing, serta kes remaja lari dari rumah lalu berkahwin tanpa mendaftar perkahwinan itu,” aktivis komuniti itu menjelaskan.

Ketiadaan dokumen pengenalan diri masih berleluasa

Akibat daripada isu seperti di atas, anak yang lahir sukar didaftar untuk mendapatkan sijil kelahiran kerana ibu bapa tidak mendaftar perkahwinan mereka.

Nampaknya “lingkaran syaitan” (vicious circle) itu berterusan menghantui komuniti India pada peringkat akar umbi, lalu menghalang mobiliti sosial kerana individu terbabit terperangkap dalam situasi “tanpa identiti” iaitu tiada kewarganegaraan.

Menyedari hakikat masyarakat India berdepan pelbagai masalah tetapi tidak tahu ke mana untuk mengadu dan mendapatkan bantuan, DHRRA Malaysia memperkenalkan pusat panggilan (call center) pada 2013.

Orang ramai dari seluruh negara boleh menghubungi pusat panggilan itu untuk mengadu sebarang masalah melibatkan komuniti India.

“Dua pegawai, 2 kaunselor dan 2 penasihat undang-undang sentiasa bersedia untuk membantu. Orang ramai boleh menggunakan Bahasa Malaysia, Tamil atau Inggeris untuk berkomunikasi dengan mereka,” Saravanan yang berasal dari Taiping, Perak menghuraikan.

Selain membantu dalam isu dokumen pengenalan diri, DHRRA Malaysia juga bersedia membantu kaum India yang menghadapi kesukaran berhubung dengan agensi kerajaan, NGO dan mana-mana pihak yang menyediakan bantuan dan perkhidmatan.

“Kami berusaha memperkasa komuniti kaum India pada peringkat akar umbi. Pengalaman dan kajian kami mendapati ramai remaja tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana masalah kewangan. Kami cuba mencari saluran untuk membantu mereka.

“Satu lagi kelompok remaja merupakan pelajar tercicir dan kurang meminati bidang akademik. Kami memberikan latihan skil dan mencari peluang pekerjaan yang sesuai untuk mereka,” katanya.

Pada Disember 2015, DHRRA Malaysia melancarkan program Reengineering Indian Community (RIC) di mana laman sesawang khas www.dhrraric.com digunakan untuk mengumpulkan maklumat, idea, pandangan dan cadangan daripada pemimpin komuniti dan masyarakat akar umbi.

Komuniti beri cadangan penyelesaian masalah

“Selain mengenal pasti isu dalam komuniti, laman ini juga bertujuan mengumpulkan cadangan dan saranan bagi mengatasi isu dalam masyarakat.

“Tumpuan kami ke arah memperkasa kaum India dalam tempoh 5 hingga 10 tahun dengan memanjangkan segala komen yang dikumpul di laman ini kepada agensi kerajaan, NGO dan pihak berkaitan bagi tindakan lanjut,” Saravanan menerangkan.

Bagi memudahkan orang ramai mengemukakan masalah dan saranan, laman itu dibahagikan kepada kategori ekonomi, masyarakat, pendidikan, pekerjaan, sukan, sosial, undang-undang dan polisi, perumahan serta keperluan asas.

Walaupun belum sampai sebulan sejak dilancarkan, laman berkenaan sudah mula mendapat maklum balas orang ramai yang bukan hanya mengemukakan masalah tetapi turut mengutarakan cadangan bagi mengatasi isu terbabit.

Sebagai contoh, Anitha dari Rawang, Selangor menceritakan dia dan 3 adiknya dicatatkan “bukan warganegara” pada sijil kelahiran.

Akibatnya, remaja itu yang sudah tamat SPM tidak dapat melanjutkan pelajaran mahupun mencari pekerjaan.

Anita memohon kerajaan membenarkan kanak-kanak berstatus “bukan warganegara” meneruskan persekolahan sementara menunggu masalah sijil kelahiran selesai.

“Sekiranya tidak, anak ini kehilangan peluang dan hak menimba ilmu,” tulisnya di laman berkenaan.

Mengulas program RIC, Saravanan mengimbas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar kaum India mengemukakan pelan tindakan (blue print) mengenai keperluan komuniti itu.

“DHRRA Malaysia mahu memberi peluang kepada pemimpin komuniti dan masyarakat akar umbi menyuarakan masalah, isu dan persoalan yang dihadapi, serta saranan dan cadangan bagi mengatasinya,” beliau menjelaskan.

Pelbagai saluran untuk masyarakat bersuara

Hal ini bermakna, pelan tindakan yang dirangka berdasarkan maklumat dalam RIC bukan pandangan pemimpin masyarakat dan politikus yang terputus hubungan dengan masyarakat; sebaliknya suara akar umbi sendiri.

Orang ramai boleh mencatatkan isu berkaitan komuniti India menggunakan Bahasa Malaysia, Tamil atau Inggeris.

Misalnya, seorang individu bernama Kavitha menulis menggunakan Bahasa Tamil mengenai isu pelajar sekolah menengah tidak mengambil subjek Bahasa Tamil kerana diajar di luar jadual waktu sekolah.

Prasanth pula menulis kes masih ada murid Tahun 6 dari sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT) susah bercakap Bahasa Malaysia, lalu terpaksa masuk kelas peralihan apabila ke sekolah menengah.

“Kerajaan dan pihak SJKT perlu menyediakan kelas khas untuk mereka, khususnya selepas UPSR, untuk bertutur Bahasa Malaysia. Maka lebih menyenangkan apabila mereka pergi ke sekolah menengah dan bertemu pelajar pelbagai kaum,” Prasanth mencadangkan.

Sharmilah Devi mengemukakan isu menggunakan Bahasa Inggeris mengenai perlunya kanak-kanak kaum India dibantu menguasai Bahasa Malaysia dan Inggeris sebelum melangkah ke sekolah Tamil.

Selain daripada laman sesawang ini, orang ramai boleh menghubungi DHRRA Malaysia di talian 03-78657271 atau e-mel [email protected] untuk berkongsi pandangan dan cadangan.

Semasa sambutan Thaipusam, DHRRA Malaysia membuka kaunter khas di Batu Caves selama 3 hari untuk mengedarkan brosur RIC serta memberi peluang kepada orang ramai mengemukakan masalah dan cadangan.

Jerayawara (roadshow) akan dibuat di seluruh negara termasuk di institusi pengajian tinggi dan kawasan tumpuan masyarakat India bagi mengumpulkan suara akar umbi dan memasukkannya ke dalam pelan tindakan yang sedang dirangka. – 26 Januari, 2016.


* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments