Opinion

Pakaian Chetti Melaka

Apabila bercakap mengenai pelbagai etnik di Melaka, kita sering merujuk pada golongan Baba dan Nyonya serta etnik Portugis. 

Satu lagi etnik yang kurang dikenali umum adalah golongan Chetti Melaka yang tinggal di Kampung Chetti.

Pergerakan Pemuda MIC Melaka dilaporkan menyerahkan memorandum bertajuk 'Isu Pembinaan Bangunan di Persekitaran Perkampungan Warisan Chetti Melaka' pada 20 Disember 2013 - khabarnya menciplak kenyataan media Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bertarikh 16 Disember 2013 - kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Harun.

Bagaimanapun, isu berkaitan projek pembinaan dua kondominium 22 tingkat dan hotel 12 tingkat di atas tanah 'Lot 93' yang terletak di tengah-tengah Kampung Chetti seolah-olah hanya sampai kepada perhatian ketua menteri selepas Kavyan menganjurkan 'Solidariti Kampung Chetti' pada 29 Disember 2013.

Alang-alang ketua menteri sendiri sudah menunjukkan minat dan perhatian terhadap kaum Chetti yang tinggal di perkampungan warisan itu, eloklah kita sama-sama meneliti satu daripada sekian banyak aspek unik yang menjadi kebangaaan kumpulan minoriti itu.

Hubungan antara Tanah Melayu dan Benua Kecil India sudah terjalin sejak zaman-berzaman. Hubungan perdagangan tercatat dalam pelbagai teks sejarah dan sastera di kedua-dua negara.

Mungkin mata pelajaran Sejarah yang diperkenalkan semula kepada murid Tahun Empat mulai tahun 2014 akan membantu generasi muda mengetahui sejarah sebenar.

Kedatangan awal kaum India ke Tanah Melayu seawal abad kedua adalah sebagai pedagangan yang kaya dan berkedudukan tinggi di negara asal.

Oleh kerana mereka terpaksa tinggal lama di Melaka atas urusan perdagangan, ramai yang memilih untuk mengahwini wanita tempatan; iaitu wanita Melayu dan Nyonya.

Pedagang yang datang ini mungkin orang bujang dan mungkin juga sudah beranak-isteri di negara India.

Keluarga mereka di India tidak dibawa ke Melaka kerana bertentangan dengan amalan dan budaya India pada masa silam di mana kaum wanita tidak pergi berdagang di luar negara.
Bagi wanita tempatan yang dikahwini pula, mereka (dan anak-anak yang lahir) tidak dibawa pulang ke India kerana budaya tradisi melarang perkahwinan di luar kelompok dan etnik sendiri.

Asimilasi pakaian tidak mengubah pegangan agama

Wanita tempatan daripada kalangan kaum Melayu dan Nyonya ini menjadi pengasas kepada etnik India Peranakan atau Chetti Melaka.

Pengaruh baba dan nyonya amat ketara dalam pemakaian baju tradisional Chetti.Pengaruh baba dan nyonya amat ketara dalam pemakaian baju tradisional Chetti.
Apa yang menarik, walaupun membesar di Melaka dan berasimilasi dengan budaya tempatan, anak-anak Chetti Melaka tetap beragama Hindu dan mengamalkan adat-istiadat kaum India.

Malah, sekiranya diteliti, tidak mustahil bahawa ketegasan berpegang teguh pada agama asal (Hindu) yang menjadi salah satu punca utama kaum Chetti masih tidak diiktirafkan sebagai Bumiputera.

Mengikut amalan etnik Chetti, apabila seorang lelaki yang bukan berasal daripada golongan Chetti berkahwin dengan wanita etnik berkenaan, dia juga diterima sebagai seorang Chetti. Begitu juga bagi bagi wanita luar yang mengahwini lelaki Chetti.

Mengikut perangkaan pada Julai 2004, terdapat 325 individu Chetti daripada 50 keluarga; di mana 225 individu itu tinggal di Kampung Chetti, Jalan Gajah Berang, Melaka atau sekitarnya.

Semasa Kunjungan Perpaduan Kavyan (15 Disember 2013), kami dimaklumkan bahawa pada masa sekarang, terdapat sekitar 300 penduduk Chetti daripada sekitar 30 keluarga yang tinggal di sekitar 20 rumah di kampung warisan itu.

Buku yang menjadi rujukan saya sejak lapan tahun lalu adalah 'Peranakan Indians of Singapore and Melaka' (2006) tulisan Samuel S. Dhoraisingam, seorang penulis dan pengkaji sejarah dari Singapura.

Menurut Samuel dalam bukunya, pakaian dan aksesori wanita Chetti agak unik walaupun ada banyak persamaan dengan golongan Nyonya dan Melayu. Maka, tidak hairanlah golongan Chetti juga digelar 'Baba dan Nyonya India'.

Orang Chetti, khususnya kaum wanita, boleh dibezakan dengan mudah daripada golongan kaum India lain berdasarkan pakaian mereka yang lebih menyamai pakaian Nyonya dan Melayu.

Gaya berbeza kebaya Melayu, Chetti

Pakaian tradisional golongan Chetti bagi wanita. Pakaian tradisional golongan Chetti bagi wanita. Wanita Chetti biasanya memakai baju dan sarung seperti wanita Nyonya dan Melayu.

Pada masa lalu, pakaian yang dipakai bagi upacara rasmi menggunakan kain batik atau sutera China.

Satu lagi aspek menarik bagi wanita etnik Chetti Melaka adalah bahawa mereka biasanya menyelitkan sapu tangan pada bahu kiri atau kanan.

Warna sapu tangan ini pula selalunya bertukar merah kerana amalan menyapu air liur bersirih pada bibir!

Pakaian sarung dan kebaya dalam budaya Chetti memperlihatkan pengaruh budaya Baba dan Nyonya yang sudah mula menggunakan pakaian berkenaan pada tahun 1920-an dan 1930-an.

Pada asalnya, sarung batik yang dipakai bercorak bunga-bungaan. Kebaya yang dipakai juga mempunyai banyak tenunan yang bermotifkan bunga-bungaan.

Gaya memakai kebaya dan sarung bagi wanita Chetti berbeza daripada wanita Melayu. Baju kebaya yang dipakai wanita Chetti selalunya mempunyai bentuk potongan 'V' pada leher sedangkan kebaya wanita Melayu biasanya lurus ke bawah.

Selain daripada membaca buku tulisan Samuel, saya juga berpeluang mendapatkan maklumat tambahan serta melihat sendiri pakaian tradisional ini apabila berkunjung ke Kampung Chetti pada 2006, 2007 dan 2013.

Dapat diperhatikan bahawa walaupun generasi muda kaum Chetti sudah berpelajaran tinggi dan bekerja di bandar-bandar besar serta menerima pengaruh luar, pakaian tradisional tetap dipertahankan.

Berbalik kepada kebaya tadi, memandangkan potongan yang berbeza, maka kebaya Chetti dipakai dengan memasukkan lengan sebagaimana kita biasa memakai kemeja berbutang; manakala kebaya Melayu disarungkan melalui kepala.

Kebaya yang dipakai juga tidak lengkap tanpa tiga butir kerongsang dalam pelbagai bentuk dan corak. Rekaan yang paling popular adalah bentuk hati

Rumah umpana muzium aksesori

Satu lagi pakaian wanita Chetti yang ada persamaan dengan golongan Nyonya adalah baju panjang yang biasa disebut baju kurung.

Baju ini dipakai labuh dan berlengan besar. Sarung juga dipakai bersama-sama baju kurung ini.

Kerongsang pelbagai saiz dan bentuk juga menjadi hiasan penting pada baju panjang yang dipakai.

Biasanya, kerongsang dibuat daripada perak. Namun, ada juga golongan berada yang menggunakan kerosang emas bertatah berlian dan intan sejak kurun ke-19.

Pakaian tradisional Chetti bagi lelaki.Pakaian tradisional Chetti bagi lelaki.Sekiranya anda berpeluang berkunjung ke rumah penduduk Kampung Chetti, pelbagai koleksi kerongsang boleh dilihat.

Setiap rumah adalah umpama muzium kecil yang dipelihara dengan baik oleh penduduk terbabit.

Golongan wanita Chetti selalunya mengikat rambut mereka untuk membentuk apa yang dinamakan 'sanggul Nyonya' dan 'sanggul siput'. Sekurang-kurangnya dua pin rambut digunakan untuk menghasilkan sanggul ini.

Sanggul juga mungkin diikat secara longgar dan ke bawah sedikit. Namun, aspek kekemasan diberi perhatian oleh wanita Chetti.

Kerongsang dan pin rambut yang dinyatakan tadi menunjukkan secara jelas pengaruh budaya Baba dan Nyonya dalam kalangan Chetti.

Loket emas yang biasanya menyerupai duit syiling British turut menjadi barangan hiasan.

Segala maklumat lanjut mengenai perkara ini serta perkara-perkara lain berkaitan kaum Chetti boleh dibaca di dalam buku tulisan Samuel. Setahu saya, itulah buku sulung seumpamanya dan tidak ada buku lain yang diterbitkan seperti itu sehingga kini.

Pengaruh budaya India amat jelas pada barang-barang perhiasan yang dikenakan oleh wanita Chetti; seperti gelang emas, rantai, anting-anting dan taali sebagai simbol wanita yang sudah berkahwin.

Rekaan dan corak barangan kemas Chetti amat menyerupai corak yang ditemui dalam budaya Melayu dan Nyonya. Antara corak yang biasa ditemui adalah corak Cina, Inggeris dan Belanda.

Barangan kemas ini biasanya ditempah khas pada tukang emas kaum India di Melaka atau Singapura.

Keunikan dan kesenian yang terdapat pada setiap barangan kemas yang dipakai oleh wanita Chetti menunjukkan status sosial dan tahap ekonomi keluarga.

Lawat sebelum musnah akibat 'Lot 93'

Kasut turut diberi perhatian istimewa oleh wanita Chetti tradisional; sebagaimana golongan Nyonya. Kasut manik-manik selalunya dibuat sendiri oleh si pemakai.

Bahan yang digunakan untuk menjahit kasut itu dipilih dan dipotong sendiri oleh tuan punya kasut.

Manik-manik disulam indah mengikut corak yang diminati. Sepasang kasut mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk disiapkan.

Pembuatan kasut manik-manik ini diberi perhatian khusus kerana ia menggambarkan status si pemakai.

Demikianlah uniknya masyarakat Chetti yang turut mewarnai kepelbagaian budaya di negara kita. Malangnya ramai yang tidak tahu – atau tidak ambil tahu – tentang kelompok minoriti yang sangat merendah diri ini.

Khabarnya bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sering melawat perkampungan warisan ini.

Akhbar Makkal Osai (12 Oktober 2012) melaporkan mengenai tunjuk perasaan besar-besaran oleh penduduk Kampung Chetti bagi membantah projek pembinaan di 'Lot 93'.

Akhirnya, keputusan dibuat oleh Ali Rustam bahawa cadangan pembinaan itu dibatalkan; sebagaimana turut dilaporkan akhbar Malaysia Nanban (2 November 2012).

Walau bagaimanapun, selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), ketua menteri berubah.

Projek pembinaan di 'Lot 93' diluluskan semula oleh pihak tertentu. Suara bantahan kaum Chetti tidak didengar oleh sesiapa kecuali Kavyan. 

Pemuda MIC Melaka dalam memorandum bertarikh 20 Disember 2013 kepada Ketua Menteri Melaka mengaku 'sentiasa mengadakan kunjungan ke Perkampungan Chetti di Gajah Berang, Melaka untuk meraikan pelbagai perayaan kaum Chetti termasuk perayaan Ponggal dan perayaan tahunan kuil'.

Penduduk kampung itu juga pernah mengadakan pertemuan dengan presiden dan timbalan presiden MIC.

Akan tetapi, sehingga makalah ini ditulis, belum ada sebarang reaksi positif diterima; apatah lagi reaksi berani.

Mungkin juga kerana wanita Chetti memakai kebaya dan bukannya sari!

Apa-apa pun, kepada orang ramai, segeralah pergi ke Kampung Chetti untuk melihat sendiri keunikan budaya, amalan, makanan dan pakaian kaum Chetti - sebelum projek 'Lot 93' memusnahkan segala-galanya. – 6 Januari, 2014.    

[ Pelbagai maklumat mengenai kaum Chetti boleh dirujuk di www.kampungchetti.blogspot.com ].

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments