Opinion

Musuh dalam selimut Chetti

Percayalah. Dalam kehidupan, walau apa-apa pun yang kita lakukan, pasti akan ada orang yang cuba mencari kesalahan dan kesilapan. Atau sengaja menyebarkan fitnah dan tuduhan tidak berasas.

Biasanya, orang (orang-orang) seperti ini tidak memiliki kemampuan dan keinginan untuk melakukan apa yang sudah kita lakukan. Sebaliknya, hanya mahu tampil sebagai wira dengan mengatakan itu tidak betul, ini tidak tepat, itu kurang benar dan ini kurang fakta.

Pengalaman terbaru saya adalah berikutan penyiaran makalah “Selepas Lembah Bujang, Kampung Chetti pula?” (The Malaysian Insider, 16 Disember 2013) sebagai susulan Kunjungan Perpaduan Kavyan ke Kampung Chetti, Gajah Berang, Melaka.

Si Polan mempertikaikan kredibiliti The Malaysian Insider.Si Polan mempertikaikan kredibiliti The Malaysian Insider.Kononnya “apa yang anda baca di The Malaysian Insider adalah tidak benar dan maklumat yang dipaparkan tidak relavan kerana penulis (Uthaya) tidak membuat kerja rumah”.

Demikian pandangan seorang individu – saya menamakannya Si Polan – apabila seorang lagi individu dari Universiti Malaya – saya namakan Si Wanita – berkongsi makalah Kampung Chetti itu menerusi laman rangkaian sosial Facebook.

Si Polan yang mengaku pernah terlibat secara langsung dalam isu “Lot 93” turut menulis komentar bahawa tanah itu adalah “milik seorang dari Singapura pada masa dahulu”.

Agak menarik untuk diperhatikan bahawa berdasarkan pengalaman saya pergi ke Kampung Chetti sejak 2006, rata-rata tanah/kawasan tidak berpenghuni di sekitar kampung warisan berkenaan akan dikatakan “milik seorang dari Singapura pada masa dahulu”.

Si Polan mengakui dirinya penduduk Kampung Chetti sejak dahulu. Bagaimanapun, agak pelik apabila dia mengeluarkan kenyataan mempersoalkan kredibiliti K Supramania Pillay, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka.

“Ada ratusan orang dengan nama itu,” komen Si Polan apabila mempertikaikan kandungan makalah saya yang memetik kenyataan Supramania.

Si Polan mahu hubungi penulis

“Kalau saya ada peluang bertemu penulis itu (Uthaya), saya akan beritahu bahawa apa yang ditulisnya adalah salah,” katanya lagi dalam komen di Facebook Si Wanita. “Awak kenal penulis itu? Cuba dapatkan nombor telefon dan saya akan hubunginya untuk berikan fakta sebenar.”

Tidak sekadar itu, Si Polan yang mengaku dirinya merupakan “orang terpenting” di Kampung Chetti tergamak menulis komen, “Jangan risau, Kampung Chetti akan alami nasib seperti apa dialami Lembah Bujang.”

Mengenai perkara itu, apabila saya menghubungi Si Wanita menerusi mesej Facebook, dia menegaskan bahawa apa yang mungkin cuba dikatakan oleh Si Polan adalah “Kampung Chetti TIDAK akan alami nasib seperti apa dialami Lembah Bujang.”

Berikutan komen Si Polan, Si Wanita pula menulis kenyataan “Entahlah mengapa orang (Uthaya) suka menyebarkan berita palsu”. Maknanya, mereka memutuskan secara terbuka bahawa kandungan makalah saya adalah palsu dan tidak benar.

Maka saya memutuskan untuk menghubungi Si Wanita dan memintanya menyampaikan nombor telefon dan alamat e-mel saya kepada Si Polan. Tindakan itu selepas mesej peribadi saya kepada Si Polan menerusi Facebook tidak dijawab.

Saya menghubungi Si Wanita menerusi Facebook.Saya menghubungi Si Wanita menerusi Facebook.Berikut adalah transkrip (terjemahan) perbualan saya dan Si Wanita menerusi mesej Facebook. Saya paparkan sebagai panduan dan makluman kepada mana-mana pihak yang masih terpengaruh dengan Si Polan dan beranggapan kenyataan Supramania dan bekas pemegang amanah Kampung Chetti, G Tegarajah, sebagai palsu.

Si Wanita: Jadi awaklah orang yang menulis artikel itu? Saya sangat kenal Si Polan. Dia satu-satunya individu yang mewarisi tradisi dan sejarah sebenar Chetti Melaka. Saya juga sedang menulis buku mengenainya. Saya terkejut membaca ada orang lain (Supramania) mengaku dirinya ketua di Kampung Chetti.

Uthaya: Mungkin anda tidak dimaklumkan bahawa pengurusan, jawatankuasa, pemegang amanah dan “orang penting” di Kampung Chetti sudah bertukar?

Si Wanita: Apabila awak menulis artikel ini, ada tak awak berjumpa Si Polan dan berbincang dengannya dahulu?

Si Wanita mula mendapat pencerahan

Uthaya: Mengapa anda merasakan saya wajib bertemu Si Polan? Saya sudah bertemu bekas pemegang amanah dan Yang Dipertua. Untuk makluman, Si Polan tidak menghadiri sesi taklimat yang saya hadiri di Kampung Chetti pada 15 Disember 2013. Anda mengaku “terkejut” membaca nama Supramania dalam makalah saya. Saya pula terkejut kerana Si Polan tidak memaklumkan kepada anda siapa Yang Dipertua di Kampung Chetti!

Si Wanita: Saya pernah ke rumah Si Polan tetapi tidak pernah ke rumah Yang Dipertua. Saya sedang menulis buku mengenai koleksi barangan peribadi milik Si Polan.

Uthaya: Sekarang baru saya faham. Anda sedang menulis buku mengenai koleksi barangan milik Si Polan. Itu tidak bermakna Si Polan “orang terpenting” di Kampung Chetti. Anda tidak pernah bertemu Yang Dipertua tetapi sesedap mulut menuduh saya “suka menyebarkan berita palsu” menerusi makalah yang saya tulis.

Si Wanita: Saya langsung tidak tahu ada orang lebih penting di Kampung Chetti berbanding Si Polan. Saya tidak tahu mengapa saya tidak diperkenalkan kepada Yang Dipertua. Mungkin saya perlu melawat Kampung Chetti sekali lagi. Saya perlu akui bahawa selama ini saya tidak sangka ada orang lain yang tahu maklumat dan sejarah Kampung Chetti selain Si Polan. Saya hairan kenapa tidak ada sesiapa beritahu saya mengenai Yang Dipertua.

Uthaya: Saya pula sebenarnya hairan mengapa Si Polan tidak memberitahu anda mengenai Yang Dipertua.

Paparan di atas bukan bertujuan mengaibkan sesiapa. Sebaliknya untuk menggambarkan realiti kejahilan orang ramai – termasuk golongan berpendidikan tinggi. Juga mengenai kewujudan musuh dalam selimut yang secara licik cuba memesongkan perhatian orang daripada isu “Lot 93” di Kampung Chetti.

Solidariti Kampung Chetti anjuran Kavyan.Solidariti Kampung Chetti anjuran Kavyan.Makalah ini ditulis sebelum saya menghadiri “Solidariti Kampung Chetti” di kampung warisan berkenaan pada 29 Disember 2013. Saya akan berusaha menulis makalah susulan dalam masa terdekat.

Sementara itu, harapan dan permintaan saya kepada Si Polan dan orang (orang-orang; scarecrow) sepertinya adalah supaya tidak cuba menagguk di air yang keruh.

Kalaulah pun tidak sudi dan tidak berani tampil membantu penduduk Kampung Chetti mempertahankan hak, sekurang-kurangnya jangan menjadi duri dalam daging.

Lebih baik duduk diam-diam di rumah sambil menggilap barangan koleksi peribadi yang dijadikan bahan bagi buku yang sedang ditulis oleh Si Wanita. – 29 Disember, 2013.

* Maklumat ‘Solidariti Kampung Chetti’ boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments