Opinion

Menterjemah minda penulis Tamil (Bahagian 2)

Banyak karya dari India diterjemah ke Bahasa Malaysia.Banyak karya dari India diterjemah ke Bahasa Malaysia.Saya pernah menulis di majalah Minda (Jun 2004) bahawa sekiranya dibandingkan dengan cerpen-cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan, cerpen-cerpen dalam antologi Seruling Di Persimpangan (1999) masih jauh di belakang.

Hal ini antara lain mungkin disebabkan kurangnya pendedahan terhadap teknik penulisan dan ilmu bantu. Tidak terkecuali juga tuntutan pihak penerbit (akhbar dan majalah), ketidak seriusan penulis dalam berkarya serta tiada permintaan daripada kalangan pembaca akhbar dan majalah Tamil bagi mewujudkan ruangan sastera secara tetap dalam media tersebut.

Balachandran dalam rencana bertajuk “Nasib Malang Penulis Muda Sastera Tamil” (Dewan Sastera, Mei 1997) mendedahkan bahawa tiga akhbar utama Bahasa Tamil di Malaysia pada waktu itu – Malaysia Nanban, Thina Murasu, Tamil Nesan – lebih suka menyiarkan cerpen konvensional yang dihasilkan oleh penulis veteran yang kurang ilmu bantu.

Katanya, karya kelompok penulis muda daripada kalangan mahasiswa dan pelatih maktab perguruan sering diketepikan apabila mereka berusaha menyajikan karya-karya yang terlepas daripada gaya penulisan konvensional.

Sekelompok penulis Tamil angkatan baru berjaya menghasilkan antologi Ila Manatin Vergal (Akar Hati Muda) dan diterbitkan oleh Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya pada tahun 1997.

Malangnya, usaha yang pada mulanya penuh bersemangat itu kemudian hilang bara; sehinggalah kemunculan kelompok penulis Vallinam yang sedang mengubah wajah sastera Tamil di Malaysia sejak sekitar 2005.

Sementara itu, cerpen-cerpen Tamil yang diterjemahkan bagi antologi Seruling Di Persimpangan masih berciri konvensional. Walau bagaimanapun, kesemua cerpen dalam antologi itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Sekurang-kurangnya penterjemahan cerpen-cerpen berkenaan memberikan kita (termasuk pembaca kaum India yang kurang berupaya membaca karya Bahasa Tamil) peluang untuk merenung luahan perasaan dan lontaran fikiran penulis Tamil.

Antara kualiti dan kuantiti penulis kaum India

Malah ada masanya tema yang dikemukakan oleh penulis Tamil hampir sama dan serupa dengan tema dalam karya Bahasa Malaysia. Persamaan ini menunjukkan bahawa walaupun bahasa yang digunakan adalah berlainan, tetapi persoalan yang dikemukakan oleh penulis dalam kedua-dua bahasa adalah hampir sama.

Cuma, bezanya, penulis Tamil ketara mementingkan isi (content) berbanding bentuk (form). Hakikat ini amat nyata menerusi cerpen-cerpen yang terkandung dalam antologi terjemahan itu.

Dalam sebuah ceramah di Universiti Malaya pada 14 Disember 1995, saya pernah membandingkan antara penulis karya Bahasa Tamil dan Bahasa Malaysia. Dalam teks ceramah berkenaan yang turut disiarkan dalam majalah Dewan Sastera (Mei 1997), saya mengemukakan taksiran bahawa dari segi kuantiti, terdapat sekian ramai penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Tamil.

Dalam sastera Bahasa Malaysia pula, jumlah penulis kaum India boleh dibilang dengan jari sebelah tangan. Namun, dari segi mutu, karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India (Sasterawan Kavyan) adalah jauh lebih berkualiti berbanding cerpen Tamil pada waktu itu.

Sejak Zaman Sastera Sangam di Benua Kecil India (abad ke-3 Sebelum Masehi hingga ke-3 Masehi), penulis kaum India ketara memilih tema “cinta murni” yang disebut akam. Tema-tema selain daripada akam disebut puram; dan meliputi soal budaya, politik, agama, sosial, ekonomi dan apa sahaja selain daripada tema “cinta murni”.

Malangnya, tema-tema puram hanya dijadikan persoalan sampingan kepada karya-karya yang mengutamakan tema akam. Gaya dan budaya penulisan seperti itu tuurt menjadi ikutan di Malaysia.

Tema yang paling dominan dalam antologi Seruling Di Persimpangan adalah masalah kekeluargaan.  Malah wajar disebutkan bahawa tema kekeluargaan dalam antologi ini dikemukakan oleh penulis wanita.

Penulis lelaki pula ketara mengetengahkan persoalan-persoalan yang berada di luar batas rumahtangga. Cerpen-cerpen yang mengetengahkan masalah dalam keluarga ketara pula berlatarkan kawasan perumahan di ladang dan estet. Watak dan perwatakan yang dikemukakan juga agak stereotaip.

Pembaca sekarang tidak mahu disogokkan dengan bahan bacaan berselera rendah. Penulis – termasuk penulis Tamil – seharusnya berusaha membuka minda pembaca melalui karya sastera bermutu tinggi.

Jika saranan positif seumpama ini tidak diendahkan, nescaya mutu karya Tamil di Malaysia akan terus kekal di takuk lama. Dan ini tentunya turut membantutkan usaha menterjemahkan karya-karya Bahasa Tamil ke Bahasa Malaysia untuk tatapan semua lapisan masyarakat pada masa hadapan.

Mengapa hanya satu antologi terjemahan?

Cerpen-cerpen yang termuat dalam Seruling Di Persimpangan adalah “Protes” (I. Ilavalagu), “Penantian” (Janaki Kannan), “Seruling Di Persimpangan” (Paavai), “Fajar Belum Menyingsing” (K. Gunasegaran), “Raja Kehilangan Tampuk” (Ve. Rajeswary), “Memori Cinta” (M. Jayaletchumy), “Tikus Dibaham Ular” (Ko. Punniavan), “Dahaga” (Samy Murthy), “Monolog Seorang Pesara” (M. Anbuchelvan), “Belaian” (Athiletchumy), “Pagar” (Ku. Krishnan) dan “Akar Mengorak Langkah” (N. Pachaibalan).

Tema yang menjadi pilihan penulis dalam antologi berkenaan adalah tema-tema yang berkisar pada hal kekeluargaan di ladang-ladang. Masyarakat India digambarkan sebagai masih mundur dan belum mencapai mobiliti sosial yang sewajarnya. Golongan pemimpin masyarakat – terutama yang terlibat dalam parti politik – digambarkan sebagai manusia yang mementingkan diri sendiri.

Tidak dapat dinafikan bahawa cerpen-cerpen dalam Seruling Di Persimpangan mengutarakan pelbagai persoalan yang sentiasa menjadi rintangan dan cabaran dalam pembangunan masyarakat India di Malaysia.

Balachandran pada “Kata Pengantar” menyatakan bahawa sejumlah lima cerpen dalam antologi berkenaan merupakan karya penulis wanita, manakala tujuh buah lagi dihasilkan oleh penulis lelaki.

Pada dasarnya, pemilihan tema oleh kedua-dua golongan ini menampakkan suatu kelainan yang agak jelas. Kecenderungan penulis wanita lebih tertumpu pada hal-ehwal rumahtangga, aspek moral muda-mudi, persoalan cinta dan tema-tema seumpama itu.

Pemilihan tema oleh penulis lelaki pula lebih terbuka dalam memperkatakan persoalan-persoalan luaran seperti penyelewengan politik, masalah kaum pekerja estet dan soal pendidikan.

Nampaknya tema dan persoalan yang lebih luas tidak diteroka oleh para penulis Tamil pada sekitar 1990-an. Sepatutnya hal-hal kontemporari dalam masyarakat India turut disentuh dalam karya.

Jika tidak – dengan mengandaikan bahawa cerpen-cerpen Tamil yang dihasilkan akan diterjemahkan ke Bahasa Malaysia – maka pembaca akan mendapat gambaran dan maklumat yang salah tentang kaum India di Malaysia.

Atau lebih teruk lagi, cerpen Tamil karya pengarang tempatan akan gagal menjadi penggambar citra masyarakat. Demikian saya menegaskan pada “Prakata” antologi berkenaan.

Sebenarnya, sebelum antologi Seruling Di Persimpangan terbit, projek terjemahan cerpen Tamil diserahkan kepada pihak lain. Malangnya, mereka gagal mengeluarkan hasil. Hanya selepas itu projek berkenaan diserahkan kepada saya.

Selepas antologi sulung itu terbit, pihak yang sama “membuat bising” dan akhirnya projek kedua diserahkan kepada mereka. Sehingga hari ini, belum muncul antologi cerpen kedua.

Buat masa ini, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sedang bekerjasama dengan kelompok penulis Vallinam (penulis Tamil generasi muda) untuk mengusahakan antologi cerpen kedua. Pihak tertentu yang hanya tahu “membuat bising” terpaksa diabaikan.

Saya berharap dapat segera mengenal pasti 8-10 penulis Tamil yang wajar diangkat dan diterjemahkan cerpen mereka ke Bahasa Malaysia untuk disajikan kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Lihat Bahagian 1 artikel ini.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments