Opinion

Menjawab persoalan berhala Hindu

Ilmu ikonografi boleh membantu orang ramai memahami konsep sebenar berhala.Ilmu ikonografi boleh membantu orang ramai memahami konsep sebenar berhala."Berhala yang diperbuat daripada batu boleh dipecahkan dengan mudah. Seolah-olah Tuhan dalam ajaran Hindu begitu rapuh. Malah, binatang seperti kera dan monyet di sekitar kuil mungkin memanjat, memijak, malah kencing pada berhala itu yang dianggap mewakili Tuhan. Tidakkah ini menghina Tuhan Yang Maha Esa?"

Demikian antara pertanyaan yang sering diajukan kepada saya sejak kecil oleh rakan pelbagai kaum, etnik dan agama. Saya tidak menganggap pertanyaan itu sebagai suatu penghinaan; sebaliknya sebagai sikap prihatin dan rasa ingin tahu yang ditunjukkan oleh individu berkenaan - sama ada Hindu atau bukan Hindu.

Hinduisme (Sanatana Dharma) berusia lebih 5,000 tahun dan terlalu kompleks serta subjektif sifatnya. Tidak semua orang memiliki budhi (tahap pemikiran) untuk memahami agama Tauhid yang pertama dan tertua ini secara tepat dan mendalam.

Dalam soal berkaitan berhala pula, ilmu seni/sains berhala yang dikenali sebagai Murtisilpasastra atau ilmu ikonografi diperlukan untuk memahami segala simbolisme yang diwakili oleh berhala. Tahap paling asas adalah membezakan antara "berhala" (idol) dan "patung" (statue).

Tahap kedua adalah memahami bahawa ajaran Hindu bukan berciri politeisme kerana sesungguhnya agama Tauhid ini menyembah Ekan Anekan - Tuhan Yang Maha Esa tetapi mempunyai sifat/nama yang jumlahnya tidak terhingga (infiniti).

Malah, apabila ada sedikit ilmu ikonografi, kita akan sedar bahawa apa yang disembah oleh penganut Hindu bukanlah berhala atau batu berkenaan; sebaliknya Tuhan yang diwakilinya.

Dan ini membawa kita kembali kepada pertanyaan ikhlas yang saya paparkan pada perenggan pertama tadi. Ingat, pertanyaan yang dikemukakan itu bukan bertujuan menghina atau mempersenda. Sebaliknya atas dasar ingin tahu dan prihatin.

Bagi menjelaskan persoalan itu secara mudah dan umum, saya biasanya mengambil contoh "agama X" tanpa merujuk kepada mana-mana ajaran atau agama secara khusus. Penggunaan contoh "agama X" adalah bagi membantu pemahaman; bukan untuk mempersenda atau mempertikaikan mana-mana ajaran dan agama.

Katakanlah anda penganut "agama X" dan agama itu mempunyai sebuah teks suci yang kita namakan "kitab agama X" bagi memudahkan penerangan.

Apakah reaksi anda jika ada orang menghina "kitab agama X"? Jika ada orang memijak "kitab agama X"? Jika ada orang mengoyakkan halaman, membakar, meludahi, menconteng dan sebagainya?

Tuhan, agama X dan kitab agama X

Secara logik akal, tentulah anda akan marah. Perbuatan itu secara amat jelas menghina "kitab agama X" dan "agama X". Sekali gus menghina Tuhan.

Bayangkan pula - sekadar contoh - bahawa individu yang melakukan segala perbuatan itu mempersoalkan reaksi anda. "Apakah kitab iaitu buku ini adalah Tuhan kamu?" tanya individu itu (contohnya).

Tentu sahaja "agama X" dalam contoh ini adalah agama yang datang daripada Tuhan Yang Maha Esa. Tuhan menyampaikan (mewahyukan) panduan dan peraturan "agama X" kepada seorang individu terpilih yang biasanya digelar sebagai nabi (tanpa merujuk kepada mana-mana nabi secara khusus dalam contoh ini).

Nabi berkenaan pula menyampaikan ajaran "agama X" kepada keluarga, rakan dan jiran. Maka, ajaran "agama X" mula tersebar luas.

Selepas nabi berkenaan sudah tiada (wafat), pengikutnya memutuskan untuk mendokumentasikan segala ajaran "agama X" yang disampaikan oleh Tuhan kepada nabi tersebut. Segala ajaran itu didokumentasikan (dirakam; ditulis; disalin) 100% tepat dengan versi asal daripada Tuhan kepada nabi.

Maka terhasillah "kitab agama X" yang - dalam contoh di sini - dihina individu tertentu. Apabila anda marah dan menegur perbuatannya yang tidak beradab, maka dia bertanya pula "Apakah kitab ini adalah Tuhan kamu?"

Sebagai penganut "agama X" tentulah anda tahu bahawa "kitab agama X" bukanlah Tuhan yang disembah. Sebaliknya kitab berkenaan mendokumentasikan kata-kata (firman) Tuhan.

Individu yang memperlekeh "kitab agama X" itu tadi mungkin akan bertanya lagi, apakah Tuhan sendiri yang menulis kitab berkenaan dengan tangan-Nya. Tentulah kita sebagai manusia yang berakal, rasional dan ada budhi (daya pemikiran) tahu sejarah serta asal-usul "kitab agama X".

Kita tahu bahawa kitab berkenaan ditulis selepas nabi berkenaan sudah tiada. Namun, kita tahu - yakin - bahawa kandungan "kitab agama X" adalah 100% sama dengan mesej atau ajaran yang disampaikan (diwahyukan) oleh Tuhan kepada nabi berkenaan.

Sebagai manusia rasional - kalaulah pun bukan penganut "agama X" - kita tahu dan sedar bahawa "kitab agama X" bukan ditulis oleh Tuhan sendiri. Kitab itu tetap naskhah atau buku bertulis tangan atau dicetak atau disalin untuk dijadikan panduan kepada penganut "agama X".

Benarlah kitab dan berhala boleh dimusnahkan

Benar, kitab itu amat suci kerana mengandungi kata-kata (firman) Tuhan Yang Maha Esa. Namun begitu, secara logik akal, "kitab Agama X" dalam bentuk buku itu masih tidak terlepas daripada bencana banjir, kebakaran atau dipijak, dikoyak, diconteng dan sebagainya.

Walau apa pun dilakukan sesiapa sahaja terhadap "kitab agama X", ia tidak mengubah kehebatan "agama X" dan kedudukan Tuhan Yang Maha Esa. Kalaulah "kitab agama X" dibakar, dikoyak, diconteng dan sebagainya, perbuatan hina itu tetap tidak mengubah keimanan anda sebagai penganut "agama X".

Lalu, mengapa anda mempertahankan "kitab agama X" walaupun anda tahu bahawa ia sebuah buku yang tidak terlepas daripada segala bala, bencana dan perlakuan jahat tadi? Bukan kerana "kitab agama X" merupakan Tuhan; tetapi kitab itu mewakili Tuhan.

Anda mungkin bersumpah sambil menjunjung "kitab agama X" - bukan kerana kitab itu Tuhan; tetapi ia mewakili Tuhan. Anda tidak pula mengatakan Tuhan adalah sebuah kitab atau buku! Anda tahu bahawa "kitab agama X" mewakili "agama X" iaitu agama yang diturunkan oleh Tuhan.

"Kitab agama X" - sebagai sebuah buku atau bahan bercetak - bersifat rapuh tetapi kandungannya bersifat azali kerana merupakan kata-kata Tuhan Yang Maha Esa.

Kita berbalik kepada pertanyaan awal tadi, iaitu "Berhala yang diperbuat daripada batu boleh dipecahkan dengan mudah. Seolah-olah Tuhan dalam ajaran Hindu begitu rapuh."

Saya percaya contoh dan penjelasan menggunakan "kitab agama X" tadi mampu membantu pemahaman pembaca. Mungkin dalam "agama X" tidak ada amalan menyembah berhala.

Kita ambil contoh "agama Y" yang ada "kitab agama Y" dan "berhala agama Y". Secara logik akal dan budhi, "kitab agama Y" memang bersifat rapuh dan bukanlah menggantikan Tuhan. Sebaliknya mewakili Tuhan - sama seperti "agama X" tadi.

Harap maklum bahawa Tuhan Maha Esa. Maka Tuhan dalam "agama X" dan Tuhan dalam "agama Y" adalah Tuhan yang sama; bukan dua atau tiga. Rujuk www.uthayasb.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

Kita andaikan bahawa terdapat "berhala agama Y" yang disembah penganut "agama Y". Katakan berhala berkenaan diperbuat daripada batu - sama seperti dalam kes berhala Hindu.

Tentulah "berhala agama Y" bersifat rapuh dan boleh dimusnahkan atau dipecahkan. Sama juga seperti "kitab agama X" dan "kitab agama Y" boleh dibakar, dikoyak, diconteng atau dimusnahkan.

Corak, hiasan pada kitab bukan 'kerja' Tuhan

Malah, "berhala agama Y" mungkin sahaja dipanjat, dipijak dan dikencing binatang seperti kera dan monyet. Tidak setakat itu, mungkin ada juga manusia yang tergamak kencing dan berak di atas "berhala agama Y" semata-mata untuk menghinanya.

Patung ini menggambarkan kisah purana dan bukan untuk disembah.Patung ini menggambarkan kisah purana dan bukan untuk disembah.Apakah segala perbuatan itu bermakna Tuhan dalam "agama Y" begitu rapuh? Apabila "berhala agama Y" diruntuhkan, adakah bermakna "agama Y" sudah dimusnahkan - atau Tuhan yang diwakili menerusi kitab dan berhala itu terlalu rapuh sifatNya?

Saya percaya bahawa pembaca boleh menggunakan akal rasional untuk memikirkan persoalan ini untuk mencari jawapan sendiri. Harap maklum bahawa "agama X" dan "agama Y" digunakan sekadar contoh umum serta tidak mewakili mana-mana agama secara khusus.

Pesoalan tambahan yang mungkin ditimbulkan orang adalah mengenai rupa fizikal yang dipaparkan menerusi "berhala agama Y" iaitu mengenai pakaian, perhiasan, anggota tubuh, peralatan dan wajah berhala yang menyerupai manusia.

"Apakah berhala itu mewakili rupa Tuhan?" Mungkin demikian pertanyaan yang dikemukakan oleh orang yang ingin tahu tetapi kurang ilmu ikonografi.

Untuk menjawab persoalan itu, kita kembali kepada "kitab agama X". Kitab berkenaan bukan hanya merakamkan kata-kata (wahyu) Tuhan tetapi turut dihiasi ukiran, warna, corak dan hiasan yang pelbagai. Gaya tulisan dan tipografi juga dipastikan menarik dan sesuai.

"Apakah segala ukiran itu mewakili kata-kata Tuhan atau ukiran yang dibuat oleh Tuhan?" Tentu sahaja tidak! Sebaliknya sekadar hiasan yang dibuat oleh tukang tulis (atau penyalin kitab) untuk "mencantikkan" kitab berkenaan.

Begitulah juga halnya dengan "berhala agama Y" - dan berhala Hindu - di mana silpi (pengukir profesional) menzahirkan ciri-ciri fizikal pada berhala tanpa mengatakan bahawa perhiasan, peralatan, ekspresi wajah dan sebagainya mewakili rupa fizikal Tuhan.

Apabila anda selaku penganut "agama X" membaca "kitab agama X", apa yang dihayati adalah kandungannya - iaitu kata-kata Tuhan - dan bukannya perhiasan atau ukiran yang terdapat pada buku itu.

Apabila penganut "agama Y" - sebagaimana penganut Hindu - menyembah "berhala agama Y", apa yang disembah adalah "kandungannya" - iaitu Tuhan Yang Maha Esa - bukannya perhiasan, ukiran, pakaian dan sebagainya pada berhala batu itu.

Maka, tidak. Tuhan dalam ajaran Hindu tidak rapuh sifatNya. Kehadiran berhala dalam budaya Hindu tidak menghina atau menyekutukan Tuhan Yang Maha Esa. – 5 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments