Opinion

Membuka pintu dialog

Konvoi Rumah Ibadat Seremban membawa peserta memasuki masjid, kuil, gurdwara, gereja dan tokong.Konvoi Rumah Ibadat Seremban membawa peserta memasuki masjid, kuil, gurdwara, gereja dan tokong.Sesungguhnya Nabi Muhammad menggalakkan dialog antara agama. Hakikat dan fakta ini nampaknya kurang diketahui sekelompok umat  Islam di Malaysia; khususnya pemimpin agama Islam yang menganggap kedudukan mereka "lebih tinggi dalam agama, jadi mereka tidak boleh duduk sama taraf dengan Bukan Islam" (The Malaysian Insider, 1 Ogos 2013).

Setiap orang Islam sewajarnya mengajak orang Bukan Islam (Tidak Islam; Non-Muslim) untuk berbincang tentang konsep ketuhanan, kehidupan selepas kematian, perayaan dan sebagainya dalam amalan budaya masing-masing.

Demikianlah juga ditekankan oleh Telaga Biru Sdn Bhd pada bahagian "Kata Penerbit" buku Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim (2009) tulisan Mohammad Nidzam Abd Kadir. Maka jangan pula ada puak yang menuduh saya mempromosikan dialog antara agama secara yang kononnya bertentangan dengan seruan Rasulullah dan ajaran Islam.

Istilah "fiqah" atau "fikah" merujuk kepada ibadat dan hukum-hakam syarak dalam Islam. Buku setebal 186 halaman ini yang terbahagi kepada 12 bab membicarakan pelbagai topik yang amat wajar untuk bacaan golongan Muslim; khususnya dalam suasana pelbagai "fatwa" (tanda kutip) dikeluarkan saban hari.

Bagi golongan Bukan Islam pula, pembacaan buku ini akan memberikan maklumat yang amat berguna juga; sama ada untuk memahami pelbagai perkara dan hukum-hakam pergaulan dengan rakan-rakan dan jiran-tetangga beragama Islam, atau untuk bersedia apabila diajak terlibat dalam dialog sihat berkaitan agama.

"Dakwah kepada non-Muslim mestilah dengan berhikmah, nasihat yang baik dan dialog. Proses ini memerlukan kita umat Islam bukan sahaja mengetahui agama Islam sahaja tetapi perlu juga mengetahui asas agama-agama lain," Mohammad Nidzam mengingatkan pembaca Islam.

Saya menerima senaskhah buku yang tepu dengan ilmu ini daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Sembilan sewaktu menyertai Konvoi Rumah Ibadat di Seremban, Negeri Sembilan pada 17 Februari 2013. Buku berkenaan saya baca dari semasa ke semasa untuk menimba ilmu dan meningkatkan pengetahuan.

Petikan ayat-ayat Quran disertakan dengan terjemahan Bahasa Malaysia bagi memudahkan pemahaman. Beberapa terjemahan akan saya petik dalam makalah ini.

Seperti kata penerbit buku ini, orang Islam sepatutnya tidak menghalang orang Bukan Islam daripada membaca ayat-ayat (terjemahan) Quran; sebalik perlu bertanya sama ada ayat-ayat yang sama terdapat dalam agama mereka. Nah, inilah satu cara dialog antara agama!

Secara keseluruhan, Mohammad Nidzam menekankan, "Non-Muslim mestilah dihormati sama ada sebagai rakan, jiran, pimpinan agama, pimpinan politik dan sebagainya. Apa jua usaha dan tindakan yang menyimpang daripada dasar menghormati dan boleh menggugat keharmonian masyarakat adalah ditegah."

Menjawab pelbagai persoalan sensitif

Sesungguhnya tidak ada paksaan dalam agama sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah, Ayat 256. Sikap memaksa orang lain supaya beriman kepada Allah juga ditegur dalam Quran:

"Adakah kamu (hendak) memaksa manusia hingga mereka menjadi orang yang beriman." - Surah Yunus, Ayat 99

Sejak halaman 2, penulis sudah mengingatkan bahawa "hanya Islam agama yang diredai Allah. Selain Islam, tidak ada agama lain yang diterima". Pada halaman 125, dinyatakan bahawa "Non-Muslim dianggap najis dalam al-Quran" kerana fahaman iktikad (keyakinan) yang tidak sama dengan akidah Islam. Penulis juga sempat menambah - di halaman 4 - bahawa Islam tidak sedikit pun meminta umatnya membenci penganut agama-agama lain.

Menerusi buku yang ditulis secara mudah, padat dan fakta berdasarkan pandangan Islam, kita boleh mendapatkan pengesahan bahawa sebenarnya tidak menjadi apa-apa kesalahan bagi orang Islam memasuki rumah-rumah ibadat seperti kuil, gereja, wat, gurdwara dan tokong.

Kavyan sentiasa menganjurkan aktiviti yang membantu memupuk perpaduan kaum dan agama.Kavyan sentiasa menganjurkan aktiviti yang membantu memupuk perpaduan kaum dan agama.Kavyan yang menganjurkan Dialog Perpaduan dan Konvoi Rumah Ibadat sejak 2010 amat memahami hakikat ini. Tentulah kami memastikan dialog dan konvoi yang dianjurkan demi memupuk perpaduan dan persefahaman tidak bercanggah dengan ajaran mana-mana agama.

Fakta yang mungkin kurang diketahui umum adalah bahawa seorang penganut Islam sebenarnya sah jika mendirikan solat (sembahyang mengikut hukum Islam) di sebuah gereja, kuil, tokong, wat atau gurdwara; selagi tidak menimbulkan fitnah terhadap diri atau agama Islam.

Malangnya, di negara bertuah ini, memang ada musang berjanggut di mana-mana yang menunggu masa dan peluang untuk menyebarkan fitnah sehingga memusnahkan hubungan baik dan silatulrahim antara agama dan mazhab.

Pada masa sama, ada juga orang Islam - termasuk beberapa individu yang saya temui dalam urusan seharian - tidak mengizinkan orang Bukan Islam memasuki masjid mahu pun kawasan masjid!

"Terdapat beberapa peristiwa pada zaman Nabi SAW menunjukkan keharusan non-Muslim memasuki masjid," kata Mohammad Nidzam sambil menyarankan betapa baik jika masyarakat Bukan Islam diundang ke majlis jamuan, ceramah atau forum yang diadakan di masjid.

Selain menyokong penuh saranan di atas, saya juga suka menarik perhatian orang Islam di Malaysia terhadap dua lagi saranan dalam Quran berkenaan hukum harus berbuat baik dan berlaku adil kepada orang Bukan Islam:

"Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada golongan yang tidak memerangi agamamu dan tidak mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil." - Surah al-Mumtahanah, Ayat 8

"Dan apabila kamu dihormati dengan penghormatan, balaslah ia dengan cara yang lebih baik atau sekadar membalasnya." - Surah al-Nisa', Ayat 86

Saya percaya bahawa penjelasan lanjut tidak perlu diberikan kerana kandungan dan saranan dalam ayat-ayat di atas amat jelas dan nyata.

Manfaatkan kelapa upacara Hindu

Sementara memberi dan menerima hadiah daripada orang Bukan Islam tidak ditegah dalam Islam, mungkin ramai juga orang Islam yang kurang sedar bahawa ucapan seperti "May his/her soul rest in peace" atau "God bless him" tidak diharuskan dalam agama Islam terhadap orang Bukan Islam.

Pada halaman 49, dinyatakan bahawa kelapa dipecahkan sempena Deepavali sebagai membayar nazar. Saya percaya berlaku kekhilafan penulis di sini dan apa yang sebenarnya dimaksudkan adalah Thaipusam. (Tidak mengapa kerana Thaipusam adalah bidang "kepakaran" Ridhuan Tee Abdullah.)

Namun, apa yang menarik, Mohammad Nidzam menjelaskan bahawa "kelapa yang dipecahkan untuk upacara agama Hindu harus dimanfaatkan dan digunakan oleh Muslim." Dalam konteks Islam, "harus" atau "jaiz" bermakna "boleh dilakukan dan boleh juga ditinggalkan; kedua-duanya tidak berdosa".

Peserta perlu membaca untuk menambah ilmu pelbagai agama sebelum menyertai dialog.Peserta perlu membaca untuk menambah ilmu pelbagai agama sebelum menyertai dialog.Isu pemeliharaan anjing oleh orang Islam juga digembar-gemburkan puak tertentu dewasa ini tanpa pemahaman penuh, lengkap dan menyeluruh terhadap ajaran sebenar Islam sebegaimana terkandung dalam Quran dan Hadis.

Suka saya menyarankan puak berkenaan membeli dan membaca buku Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim  -- khususnya bab "Fiqah Kenajisan Anjing" - sebagai santapan minda sebelum membuka mulut.

Puak yang sering ghairah menggunakan istilah "kafir" juga wajar bertaubat, beristighfar dan memahami makna dua kategori Bukan Islam iaitu "zimmah" dan "kafir harbi". Begitu juga dengan "Zimmi", "Mustakman" dan "Mu'ahid". Kalau tidak tahu, baca buku ini sebelum membuka mulut.

Bagi individu yang bercadang memeluk agama Islam pula, ada beberapa persoalan menarik yang dibincangkan secara terbuka dalam bab 12. Misalnya hukum berkhatan bagi lelaki dan wanita dewasa berdasarkan pandangan Imam Syafi'i, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.

Bagaimana jika ada individu yang sudah memeluk Islam tetapi masih belum mengambil inisiatif mempelajari gerak-geri (seperti rukuk, iktidal, sujud, tasyahud) dan bacaan wajib (seperti al-Fatihah) semasa solat yang merupakan rukun Islam yang kedua?

Suka saya menyarankan individu terbabit segera memiliki dan membaca buku Fiqah Berinteraksi dengan Non-Muslim bagi memantapkan akidah. Ya, saya sedang berdakwah kepada saudara Islam kerana saya mahu mereka menjadi umat yang baik dan beriman kepada Allah.

Di negara bertuah ini, individu yang memeluk agama Islam ketara menukar namanya. Apakah itu saranan agama dan diwajibkan? Rupa-rupanya, nama bapa (Bukan Islam) patut dikekalkan. Contohnya, apabila "Muthu a/l Ramasamy" masuk Islam, namanya mungkin "Ahmad bin Ramasamy".

Rupa-rupanya, apabila memeluk Islam, tidak wajar individu itu di'bin'kan kepada Abdullah. Penulis menghuraikan bahawa jika mahu digunakan juga lafaz "Abdullah", maka perlu ditambah pada nama individu itu sendiri tanpa menukar nama bapanya. Contoh: Ahmad @ Muthu Abdullah a/l Ramasamy. – 19 Ogos, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments