Opinion

Membongkar rahsia Melayu pra-Islam

Setiap individu perlu mengekalkan jati diri serta mengenali sejarah kaum dan bangsanya supaya tidak hilang ditelan zaman.

Dalam konteks ini, kaum Melayu yang merupakan penduduk majoriti di Malaysia selayaknya berhak mengetahui latar belakang dan sejarah zaman nenek moyang mereka.

Baru-baru ini, foto beberapa halaman buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu (2014) tersebar menerusi media sosial.

Ada pihak yang berasa kurang senang dan meluahkan kemarahan kerana kononnya sejarah diputarbelitkan.

Anehnya, apabila saya menghubungi mereka, ternyata mereka tidak membaca keseluruhan buku tersebut.

Rata-rata hanya mengeluarkan kenyataan dan reaksi emosional berdasarkan dua atau tiga halaman yang tersebar menerusi Facebook.

Bahagian yang ketara dikatakan menimbulkan kemarahan mereka adalah berkaitan Rajendra Chola dan Parameswara, serta kenyataan mengenai jurai keturunan orang Melayu bukan berasal dari India.

Hal ini segera mengingatkan saya kepada siri mesyuarat yang diadakan Pasukan Tindakan Interlok Nasional (Niat) pada sekitar Februari 2011 bagi membantah novel Interlok: Edisi Murid (2010) yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

Sewaktu hadir sebagai pemerhati pada satu mesyuarat Niat, saya terkejut kerana mereka hanya lantang bersuara meminta novel berkenaan diharamkan selepas sekadar membaca dua halaman fotokopi daripada buku berkenaan. Betapa memalukan!

Membetulkan fakta sejarah kaum Melayu

Buku ini menimbulkan sedikit kontroversi apabila beberapa halaman tersebar menerusi media sosial. – Gambar The Malaysian Insider, 15 Februari, 2015. Buku ini menimbulkan sedikit kontroversi apabila beberapa halaman tersebar menerusi media sosial. – Gambar The Malaysian Insider, 15 Februari, 2015. Tentulah tidak adil dan tidak patut jika perkara sama dilakukan dalam hal buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu walaupun penulisan dan penerbitannya mungkin melibatkan beberapa pihak yang agak ekstrem; malah ada bibit-bibit etnosentrik.

Demi meraikan kepelbagaian pandangan dan menghargai ilmu, saya tidak melepaskan peluang membeli senaskhah buku berkenaan sebaik melihatnya di sebuah kedai buku pada 6 Februari, 2015.

Ramai yang melahirkan rasa kurang senang terhadap kandungan buku itu menerusi perkongsian beberapa halaman daripadanya di Facebook.

Saya pula mahu membaca sendiri dan mengetahui apakah benar buku berkenaan mengubah fakta dan mengelirukan sejarah.

Saya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum berpeluang membacanya.

Memandangkan buku ini agak mahal, saya menjemput orang ramai ke Rumah Kavyan (tempat aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan) untuk membacanya secara percuma sebelum berbincang secara rasional dan intelektual.

Saya tidak membenarkan buku itu difotokopi kerana menyalahi undang-undang hak cipta. Sebaliknya hanya boleh dibaca di perpustakaan mini Rumah Kavyan.

Hasil pembacaan secara teliti, ternyata beberapa halaman yang disebarkan menerusi media sosial tidak menggambarkan keseluruhan kandungan buku ini.

Sebenarnya, buku ini bertujuan membetulkan fakta sejarah kaum Melayu, tanpa menafikan pengaruh budaya India, Hindu dan Buddha di Nusantara.

Sebetulnya, saya pernah membaca beberapa catatan asal para penulis buku ini di Internet selepas pautan berkenaan diberikan kepada saya oleh rakan yang prihatin.

Saya dapati tulisan asal agak kasar dan menghina orang Bukan Melayu, tetapi versi yang dimuatkan dalam buku ini sudah dimurnikan, disunting, diperkemas dan dihaluskan bahasanya.

Berani melawan corak pemikiran tradisional

Hasilnya, rata-rata fakta dan hujah yang disajikan menerusi buku ini sangat mengujakan dan menarik untuk dibaca.

Apatah lagi, saya sendiri selalu mengingatkan orang ramai supaya jangan hanya melihat tamadun Melayu selepas kedatangan Islam.

Sebaliknya perlu dilihat juga tamadun Melayu-Hindu di Nusantara jauh sebelum kedatangan Islam.

Nampaknya itulah juga yang dilakukan oleh srikandi, Al-Semantani dan Ibnu Rusydi menerusi buku setebal 335 halaman ini.

Dalam buku Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013), AB Sulaiman berhujah rata-rata orang Melayu di Malaysia memiliki corak pemikiran tradisional.

Seperti dihuraikan dalam makalah bertajuk Memahami Minda Melayu apabila sesuatu idea atau pandangan dikemukakan, kelompok berfikiran tradisional akan menerimanya sebagai "kebenaran muktamad" atau "fakta" yang tidak boleh dipersoalkan atau dipertikaikan lagi.

Buku Membongkar Rahsia Dunia Melayu membuktikan sebaliknya. Kelompok Melayu ini mahu mencabar "sejarah" dan tampil dengan bukti kukuh berkenaan fakta sebenar yang mungkin saja sudah dilupakan orang.

Kaum Melayu yang dimaksudkan di sini adalah "ahli keluarga kepada keluarga besar Austronesia/Nusantara yang tergabung dalamnya orang Jawa, Sunda, Bugis, Cebu, Visaya, Tausug, Hawaii, Dayak, Maori, Tonga, Merina, Cham dan ratusan malahan ribuan lagi etnik".

Menerusi makalah bertajuk Takkan Melayu Hilang di Malaysia saya menyatakan harapan semoga hak istimewa orang Melayu terus kekal menjadi milik abadi dan eksklusif bagi kaum Melayu-Islam.

Hal ini selari dengan apa yang dihajati menerusi Wasiat Raja-raja Melayu yang ditandatangani pada 5 Ogos, 1957.

Walaupun saya mungkin kurang bersetuju dengan beberapa perkara yang disajikan menerusi buku yang sedang dibincangkan ini, saya tetap kagum dengan kelahirannya.

Sesungguhnya ia membantu menjawab pelbagai kekeliruan dalam sejarah orang Melayu.

Perlu berani kembali ke akar umbi

Saya pernah menjentik pembaca menerusi makalah "Kisah Tentang Malayu" (21 Oktober 2013) dengan menyeru pembaca - khususnya pembaca Melayu - supaya memberanikan diri kembali ke akar umbi "Melayu".

Langkah itu bagi menyedari hakikat sebenar yang cuba disembunyikan pihak tertentu demi kepentingan politik dan poket masing-masing.

Beberapa fakta yang ditampilkan menerusi makalah itu dipersetujui dan diperkukuhkan dengan lebih banyak bukti dalam buku ini.

Misalnya, hakikat "masih ramai yang tidak mengetahui bahawa sebelum menganut agama Islam, masyarakat Melayu pernah menerima pengaruh Hindu dan Buddha serta mempunyai tamadun mereka yang tersendiri" (halaman 105).

Selepas sebuah candi (Candi Nombor 11) di Lembah Bujang, Kedah dirobohkan pemaju pada September 2013, saya menulis beberapa makalah hasil lawatan ke sana pada 31 Januari, 2014.

Misalnya makalah bertajuk "Tragedi Lembah Bujang" yang menyentuh mengenai penemuan tapak peleburan besi di tapak ekskavasi di Tapak Arkeologi Sungai Batu.

Penemuan itu sebenarnya membuktikan hakikat orang Melayu-Hindu di Lembah Bujang sudah terlibat dalam industri pertukangan besi sejak sekian lama.

Perlu difahami hakikat tamadun di Lembah Bujang bukan "milik" orang India tetapi milik orang Melayu tempatan yang menganut ajaran Hindu.

Huraian, fakta serta bukti yang disajikan secara mendalam menerusi buku ini boleh membantu khalayak lebih memahami topik berkenaan yang tentu tidak diajar di sekolah.

Apa yang penting, judul buku ini sepatutnya tidak "menakutkan" pembaca bukan Melayu. Jangan ulangi kesilapan Niat dengan memberikan reaksi emosional selepas membaca dua halaman buku. – 16 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments