Opinion

Ketuk pintu untuk dibantu

Kita sering mendengar rungutan orang ramai mengenai kerajaan (negeri/persekutuan) dan politikus (Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat) yang tidak proaktif dalam tampil membantu masyarakat.

Berdasarkan pengalaman sejak seminggu lalu terlibat dalam usaha Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) membantu beberapa keluarga di sekitar Shah Alam, Selangor, saya teringat madah pujangga Tamil: "Ketuklah pintu jika mahu dibuka, mintalah jika mahu dibantu."

Dalam salah satu kes yang berjaya dibantu, seorang pelajar Tingkatan Dua hampir-hampir meminjam wang RM2,000 daripada ah long kerana ketua keluarga tidak mampu mengatasi masalah kewangan yang dihadapi keluarga berkenaan.

Selepas berjaya menghalang tindakan pelajar terbabit daripada menjadi mangsa ah long, Setiausaha Kavyan, Perzeus James memanjangkan kes itu kepada saya. Keluarga itu dibawa berkunjung ke Rumah Kavyan yang menjadi pusat aktiviti.

Walaupun Kavyan pada dasarnya terlibat dalam menjayakan acara bahasa, sastera, seni dan budaya, kami juga cuba membantu golongan minoriti dan miskin setakat termampu.

Keluarga berkenaan didapati menyewa sebuah rumah di Taman Sri Muda, Shah Alam sejak November 2007. Keluarga itu terdiri daripada sepasang suami isteri serta lima anak berumur 10, 12, 14, 18 dan 20 tahun.

"Pada 1 Mei 2014, pemilik rumah mula mendesak kami keluar dengan alasan kami terlewat membayar sewa. Sebab kelewatan membayar sewa adalah kerana gaji saya sebagai pemandu lori di kilang semakin kurang kerana tiada kerja lebih masa (overtime).

"Pada 15 Jun lalu, kami dihalau keluar. Pemilik rumah mengunci rumah semasa kami sekeluarga tiada di rumah. Akibatnya, kami terpaksa menumpang di rumah seorang kenalan di Cheras selama lima hari," si bapa menceritakan.

Situasi itu menyebabkan anak tidak ke sekolah selama hampir seminggu. Anak sulung belajar Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dalam bidang teknologi mekatronik di Shah Alam, sementara anak kedua dan ketiga di sekolah menengah manakala dua lagi di sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Mulai 20 Jun 2014, jiran di sebelah rumah yang mereka sewa selama ini membenarkan mereka menumpang selama beberapa hari di rumah itu. Bagaimanapun, memandangkan mereka juga menyewa, maka keluarga gelandangan ini tidak dapat terus tinggal di sana.

Si bapa berkata dia merayu kepada jiran tersebut supaya membenarkan mereka menumpang tidur selama dua hari lagi sementara berusaha mencari tempat tinggal lain.

Apa yang lebih menyentuh perasaan saya adalah keluarga itu tidak ada tempat untuk menumpang dari 4.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari.

Ini kerana rumah yang menjadi tempat tumpangan sementara dijadikan tempat kelas tambahan oleh pihak lain. Akibatnya, si ibu dan anak-anak akan berpeleseran di sekitar kawasan perumahan.

Bayangkan anak tidak ada tempat untuk belajar, membuat kerja sekolah atau berehat. Terus-terang, saya sendiri kecewa dengan sikap "tidak apa" yang ditunjukkan oleh si bapa sebagai ketua keluarga.

"Saya sudah mencari satu rumah sewa tetapi agen meminta kami membayar pendahuluan sewa tiga bulan serta bil air dan elektrik RM2,650. Tetapi, dalam keadaan sekarang, kami tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu," kata lelaki itu semasa saya menemubual keluarga berkenaan di Rumah Kavyan baru-baru ini.

Khabarnya dia berusaha membuat pinjaman kredit Aeon tetapi ditolak. Hasil semakan pada keesokan hari dengan bantuan "orang dalam" di institusi kewangan tertentu, Kavyan mendapati kereta milik keluarga ini pernah ditarik bank.

Mereka juga kehilangan rumah yang pernah dimiliki suatu masa dahulu berikutan masalah tunggakan; sehingga membawa kepada keadaan diisytiharkan bankrap.

Kini, mereka sekeluarga berada dalam keadaan terdesak dan terumbang-ambing. Kavyan tidak sampai hati untuk lepas tangan; khususnya apabila memikirkan soal keselamatan anak-anak yang berpeleseran tanpa arah tuju.

Si bapa bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat di Shah Alam sejak 1989. Gaji bulanan sekitar RM2,300 sebulan dan tidak akan naik bagi tempoh dua tahun lagi. Dia tidak ada sumber pendapatan lain. Isterinya suri rumah sepenuh masa.

Semasa diwawancara, saya dapat membayangkan lelaki ini memiliki masalah pengurusan kewangan. Kalau tahu menguruskan wang dengan baik, pasti masalah tidak seteruk ini.

Namun, demi masa depan anak terbabit, Kavyan berusaha membantu setakat termampu. Kami tidak ada sumber kewangan tetapi kami percaya akan ada jalan untuk membantu.

Kavyan memutuskan untuk menumpangkan keluarga berkenaan di Rumah Kavyan bagi tempoh waktu berkenaan. Kami menyediakan makan minum ala kadar setakat termampu.

Kami bukan persatuan besar yang menerima dana beribu-ribu ringgit daripada kerajaan. Kami hanya mahu membantu dengan apa sahaja cara yang sesuai dan termampu.

Selama beberapa hari, sementara si bapa pergi kerja, si ibu dan anak-anak ada tempat untuk meluangkan masa sambil membaca buku di Rumah Kavyan.

Pihak Kavyan pula menghubungi ketua pemuda MIC untuk mendapatkan sumbangan komputer bagi anak sulung yang belajar bidang teknologi mekatronik. Sumbangan diperoleh dalam masa 24 jam.

Bekas ketua bahagian MIC Kota Raja, Datuk RS Maniam juga ternyata masih amat prihatin terhadap nasib penduduk di kawasan ini walaupun beliau tiada sumber kewangan dari parti. Beliau memberikan sumbangan peribadi.

Masalah rumah yang dihadapi keluarga berkenaan sudah selesai hasil sumbangan, kerjasama dan doa pelbagai pihak (ruang tidak mencukupi untuk saya menyenaraikan nama-nama mereka di sini).

Pada masa sama, lebih banyak kes dan masalah dibawa kepada perhatian Kavyan. Misalnya masalah sijil kelahiran, kad pengenalan dan dokumen pengenalan lain.

Lebih ramai keluarga miskin tegar juga dikenal pasti. Sejumlah murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah didapati menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa menahan lapar pada waktu tengah hari. (Di luar bulan Ramadan, dalam kes murid/pelajar Islam.)

Kavyan sudah berbincang dengan DHRRA untuk membuka kaunter MyDaftar di Rumah Kavyan pada 13 Julai 2014. Kami juga berusaha mendapatkan bantuan kewangan daripada pelbagai pihak untuk menampung kos membeli barangan keperluan bagi beberapa keluarga yang meminta bantuan.

Rumah Kavyan bukan hanya tempat aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.Rumah Kavyan bukan hanya tempat aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.Kemudahan di Rumah Kavyan juga perlu ditingkatkan untuk menampung pertambahan pengunjung. Misalnya, menambah kerusi dan meja. Tempat meletak kereta akan dijadikan tempat mengadakan kelas tambahan bagi murid/pelajar kurang berkemampuan.

Melalui rancangan serampang dua mata, seorang suri rumah ditawarkan "kerja" memasak di Rumah Kavyan dan makanan itu akan diberikan kepada kanak-kanak dan remaja pelbagai kaum yang kurang mampu.

Pasti sahaja Kavyan (yang tiada sumber kewangan) mengharapkan sumbangan orang ramai, politikus, pertubuhan bukan kerajaan,  usahawan dan kuasawan untuk memberikan sumbangan. Anggaran kos adalah RM5 untuk seorang.

Mengapa Kavyan melakukan semua kerja kebajikan ini? Tentu sahaja kerana pihak berkuasa dan pihak berwajib tidak mampu melaksanakan tugas hakiki mereka dengan betul berikutan "politik pejabat" dan birokrasi yang diada-adakan.

Sebagai tambahan kepada objektif "aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya" untuk santapan minda, Kavyan juga berusaha mengisi perut sekumpulan orang yang datang ke Rumah Kavyan dengan penuh harapan.

Seperti yang dapat dibayangkan, pasti akan ada pihak yang mempolitikkan serta membidas usaha Kavyan. Mungkin kerana tindakan kami menjejaskan periuk nasi mereka.

Mungkin akan ada pihak yang cuba menggagalkan usaha kami. Silakan, tetapi pastikan pihak itu terlebih dahulu tampil membantu menyelesaikan semua masalah yang dihadapi golongan yang datang meminta bantuan itu.

Sementara itu, orang ramai yang berhati mulia boleh menghubungi [email protected] jika muncul niat mahu membantu kami. Kata-kata berupa sokongan moral juga pasti membantu menaikkan semangat kami.

Kavyan sudah mengetuk pintu hati anda menerusi makalah ini. Sudikah anda membantu? – 30 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments