Opinion

Kekasihku, telefon pintar

“Apabila kita bertemu, tolong jangan luangkan separuh daripada masa pertemuan itu dengan telefon pintar anda. Saya mahu meluangkan masa dengan anda – bukan menyaksikan anda bercinta dengan telefon pintar anda.”

Demikianlah terjemahan mesej ringkas (SMS) yang biasanya saya kirim kepada mana-mana individu yang mahu berjumpa dengan saya; biasanya untuk minum dan berbual santai.

Sudah banyak kali saya bertemu rakan-rakan dan kenalan tetapi saya terpaksa duduk bersendirian sementara individu itu pula sibuk menjawab atau membuat panggilan, membaca dan membalas SMS, mesej WhatsApp, menyemak perkembangan terkini di Facebook, melihat foto terbaru di Instagram dan sebagainya menggunakan telefon pintar (smartphone).

Saya menyatakan mengenai sikap dan pendirian saya dalam hal ini menerusi catatan di ruangan status Facebook pada 19 Mac 2014.

Lalu, seorang kenalan – seorang guru besar – menyatakan bahawa perkara seperti itu sudah menjadi kebiasaan pada masa kini.

Telefon pintar membuka pintu ke dunia yang luas. – Gambar Uthaya Sankar, 24 Mac, 2014.Telefon pintar membuka pintu ke dunia yang luas. – Gambar Uthaya Sankar, 24 Mac, 2014.Itulah masalahnya.

Kita lupa bahawa apabila sesuatu sudah menjadi kebiasaan, tidak bermakna ia harus dibenarkan dan diterima.

Kita mungkin mahu bertolak-ansur kerana tidak mahu melukakan hati kenalan tersebut yang sedang sibuk dengan telefon pintarnya.

Bagi saya secara peribadi, saya lebih rela bangun dan pergi (walk away) daripada duduk seperti orang bodoh (atau patung) sementara “rakan” saya sibuk melayan rakan-rakan lain menerusi telefon pintarnya.

Tidak lama dahulu, saya sedang dalam perjalanan bersama seorang kenalan. Perjalanan kami sekitar tiga jam.

Sementara saya memandu kereta, kenalan saya pula sibuk melayan rakan-rakannya menerusi telefon pintar selama dua jam. Kami tidak berpeluang berbincang tentang acara.

Malah, dia hanya menghentikan perbuatan itu setelah saya menegur dan memberikan amaran.

Alasan yang diberikan adalah bahawa kami belum tiba di destinasi (tempat acara), maka dia fikir dia sempat lagi berbual-bual (chat) dengan kawan-kawannya.

Sebenarnya, apabila kita terlalu sibuk dengan telefon pintar – atau mana-mana peralatan komunikasi canggih yang menghubungkan kita dengan “dunia luar” – mesej yang kita berikan kepada individu yang berada di depan kita atau di sebelah kita adalah bahawa dia “tidak cukup penting”.

Telefon pintar dan aktiviti Kavyan

Hal ini turut diakui seorang pakar psikoterapi, penulis dan pakar motivasi, Nancy Colier, menerusi bukunya Inviting a Monkey to Tea: Befriending Your Mind and Discovering Lasting Contentment (2012).

“Dalam era digital, kita tidak lagi memberikan perhatian penuh kepada seorang individu sahaja.

Apabila kita bersama seorang rakan atau kekasih, sebahagian daripada diri kita sebenarnya tidak berada di sana.

“Secara sedar atau tidak, kita sedang menunggu untuk seseorang yang lain muncul pada skrin telefon pintar kita; sama ada panggilan atau mesej. Maka, secara terang-terangan, kita seolah-olah mendapati individu (rakan/kekasih) yang berada di depan atau sebelah kita pada saat itu tidak mencukupi,” katanya.

Semasa aktiviti dan mesyuarat Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), peserta akan diingatkan supaya “jangan biarkan telefon pintar anda mengganggu acara”.

Selain membantu peserta mendisiplinkan diri, arahan tegas ini juga bertujuan memastikan peserta tidak mengganggu tumpuan peserta lain.

Tidak lama dahulu, saya dan dua rakan menyertai suatu rombongan.

Pada sebelah malam hari pertama, kami sepatutnya mengadakan perbincangan mengenai hasil lawatan hari pertama serta merancang aktiviti bagi hari kedua.

Peserta awal-awal lagi sudah diingatkan mengenai syarat telefon pintar.

Malangnya, kedua-dua rakan berkenaan sibuk dengan telefon pintar masing-masing – Facebook, WhatsApp dan entah apa-apa.

Selepas menunggu sekitar dua jam dengan penuh sabar sambil meneliti foto-foto yang dirakam sepanjang hari itu, akhirnya saya masuk tidur sementara mereka masih sibuk berbual (chatting) dan melayan dunia sendiri.

Pada keesokan pagi, saya mengumumkan bahawa saya tidak mahu menyertai rombongan hari kedua memandangkan tiada sebarang persiapan dibuat.

Saya meminta mereka berdua sahaja pergi.

Seorang rakan menyedari kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulanginya. Seorang lagi rakan merajuk dan terus mengambil beg pakaian untuk pulang.

Saya membiarkan sahaja kerana itu adalah pilihannya.

Merenggangkan hubungan, keintiman

Remaja dan telefon pintar tidak dapat dipisahkan. – Gambar Uthaya Sankar, 24 Mac, 2014.Remaja dan telefon pintar tidak dapat dipisahkan. – Gambar Uthaya Sankar, 24 Mac, 2014.Apabila ada rakan atau kenalan yang mengajak untuk bertemu, saya lebih suka jika kami berdua sahaja yang bertemu.

Hal ini adalah kerana saya secara penuh sedar mahu memberikan tumpuan penuh kepada rakan berkenaan.

Katakanlah rakan itu membawa seorang kawan bersamanya – atau saya juga membawa seorang kawan.

Dalam keadaan itu, tentulah tidak ada peluang untuk dua individu bagi meluangkan masa berbual dan memberikan tumpuan sepenuhnya.

Pertemuan kami biasanya di kedai makan. Tentulah ada ramai orang di sana. Tetapi, individu yang terlibat dalam perbualan adalah kami berdua sahaja.

Saya mahu rakan berkenaan tahu bahawa saya datang dengan penuh persediaan untuk meluangkan masa bersamanya, untuk berbual dengannya.

Semasa pertemuan itu, saya hanya akan menjawab panggilan telefon yang penting. Malah, saya memastikan perbualan telefon itu tidak lama.

Bukan setakat itu sahaja, semasa menjawab panggilan telefon yang penting itu, mata saya akan tetap tertumpu ke wajah rakan yang berada di hadapan saya.

Perbuatan itu adalah untuk menghantar mesej kepada rakan yang duduk di hadapan bahawa saya masih “bersama”nya walaupun terpaksa menjawab panggilan telefon itu.

Tentu Nancy Colier tidak akan bersetuju dengan tindakan saya.

Pada pandangannya, apabila telefon bimbit berada di atas meja semasa kita bertemu rakan, kehadiran telefon itu sendiri sudah merenggangkan hubungan dan komunikasi antara dua individu yang sedang duduk bersama di meja berkenaan.

“Kita tidak akan mampu memberikan perhatian penuh. Minda kita masih sedar bahawa ada isyarat atau deringan telefon walaupun diletakkan pada mod senyap. Kita pasti akan menyemak telefon untuk tahu siapa yang menelefon atau siapa yang mengirim mesej.

“Kita mungkin tidak menjawab panggilan itu atau membalas mesej pada waktu itu. Tetapi apa yang kita lakukan – menyemak telefon – tetap mengganggu pengalaman kita berbual bersama rakan yang berada di hadapan kita pada waktu itu,” pakar psikoterapi itu menghuraikan dalam bukunya.

Sama ada disedari atau tidak, sikap terlalu memberikan perhatian kepada telefon pintar menjadikan kita hilang keakraban dan keintiman dengan rakan yang berada bersama kita.

Masalah sama juga boleh wujud apabila melibatkan pasangan kekasih.

Hargai dan hormati ‘masa peribadi’

Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa generasi muda sudah terlalu intim dengan telefon pintar; seolah-olah tidak dapat hidup tanpa menyemak mesej Facebook dan WhatsApp setiap 30 saat.

Masing-masing sudah terbiasa duduk dalam kumpulan besar – tetapi setiap orang sibuk melayan telefon pintar sendiri.

Walaupun mereka berada dalam satu kumpulan yang duduk bersama-sama, mereka sebenarnya berada dalam dunia yang berbeza-beza.

Malah, usah terkejut jika sepasang kekasih sedang duduk bersama tetapi masih sibuk dengan telefon pintar masing-masing.

Keadaan ini membawa kembali kepada hakikat bahawa “individu yang berada di depan atau sebelah kita tidak mencukupi atau tidak cukup penting”.

Kita semakin lupa serta tidak tahu membezakan antara “peribadi” dan “awam”.

Kita lupa bahawa masa yang kita luangkan dengan seorang rakan (kekasih/pasangan/suami/isteri) adalah “masa peribadi” yang sepatutnya tidak diganggu “dunia awam”.

Malangnya, kita sendiri yang secara penuh sedar membenarkan “dunia awam” menyelinap masuk ke dalam “masa peribadi” menerusi telefon pintar yang setiasa berada di sisi.

Tanpa kita sedari, “dunia awam” yang kita sendiri benarkan menyelinap masuk itu bukan hanya mengganggu “masa peribadi” bersama rakan (kekasih/pasangan/suami/isteri).

Sebaliknya turut memberikan kesan negatif terhadap keintiman hubungan dengan rakan; bukan hanya pada saat itu tetapi juga pada masa hadapan.

Seperti kata Nancy Colier, tumpuan yang diberikan adalah amat penting untuk menunjukkan kepada rakan yang berada di depan/sebelah bahawa kehadirannya amat penting dan bermakna bagi kita.

“Pandangan mata individu yang benar-benar berada dengan kita – tidak terganggu, bukan di tempat lain, sepenuhnya pada kita – adalah pemberian yang amat bermakna.

“Keadaan ini boleh dicapai apabila kedua-dua individu bersetuju untuk menutup pintu ‘dunia awam’ yang cuba mengganggu ‘masa peribadi’ mereka berdua menerusi mesej dan deringan peralatan canggih seperti telefon pintar,” katanya.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments