Opinion

Kalimah Allah daripada sudut lain

Masyarakat umum sepatutnya tidak terpedaya dan menerima bulat-bulat jika ada pihak mengatakan bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah.

Sejak kecil, saya biasa menggunakan kalimah itu sebagai nama khas dan saya tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menghalang saya daripada terus berbuat demikian. Saya tahu hak saya.

Memanglah isu penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan Herald masih belum ada penyelesaian. Mahkamah Persekutuan dijangka menyampaikan keputusan pada 23 Jun, 2014.

Untuk makluman, pandangan saya di sini tidak ada apa-apa kaitan dengan kes itu. Sebaliknya perkongsian maklumat dan fakta di sini adalah selepas saya meneliti buku "Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah" (2013) terbitan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Buku ini diedarkan secara percuma kepada peserta Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014; bersama-sama buku "Pendedahan Agenda Kristian" (2014).

Memandangkan "Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah" adalah buku Bahasa Inggeris dan kebanyakan peserta seminar adalah orang Melayu, maka tidak salah jika saya memetik sebahagian kandungan buku itu menggunakan Bahasa Malaysia.

Pada bahagian kesimpulan (halaman 82), ditegaskan orang bukan Islam dilarang menggunakan nama Allah, serta keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (National Fatwa Committee) dan Jabatan Mufti (Mufti Department).

Sekali lagi, orang ramai usah terpedaya dengan keputusan ini kerana apa yang "dilaporkan" dalam buku itu serta di media arus perdana tidak menggambarkan sepenuhnya keputusan sebenar berkaitan isu berkenaan.

Pada halaman 34, disenaraikan sejumlah perkataan Bahasa Arab yang kononnya tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam di Selangor. Antaranya adalah Allah, ibadah, Hadith, wahyu, mubaligh, Haji, mufti, Rasul, iman, dakwah, Injil, khalifah, fatwa, imam, Nabi dan Sheikh.

Brahman, Jesus dan Roh Kudus?

Saya tinggal di Selangor sejak Disember 1991. Hal ini tidak bermakna saya tidak boleh (atau tidak akan) menggunakan perkataan-perkataan di atas yang diwartakan di bawah Enakmen 1988.

Pada 4 April 1988, turut diputuskan sejumlah frasa yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam. Antaranya adalah subhanallah, Allahu Akhbar, masyaallah, Alhamdulillah dan insya-Allah, seperti turut disenaraikan di halaman 34.

Dulu, kini dan selama-lamanya, saya menggunakan frasa-frasa di atas tanpa perlu risau memikirkan tindakan yang mungkin dikenakan oleh Mais atau mana-mana pihak lain.

Kalaulah ada pihak yang cuba menghalang saya daripada menggunakan perkataan atau frasa Bahasa Arab berkenaan yang dikatakan hanya boleh digunakan dalam Islam, saya akan meminta mereka menunjukkan bukti bertulis.

Apabila bukti bertulis itu ditunjukkan, maka saya akan menunjukkan kembali bukti bertulis yang sama kepada mereka sebagai bukti saya berhak menggunakan perkataan dan frasa berkenaan.

Pada bahagian prakata buku "Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah", pengerusi Mais, Mohamad Adzib Mohd Isa mengakui tujuan buku itu diterbitkan dan diedarkan adalah untuk membantu masyarakat Islam, khususnya di Selangor, mendapatkan maklumat dan panduan sebenar berkaitan isu penyalahgunaan nama Allah (halaman v).

Judul buku ini boleh diterjemahkan menjadi "Kewajipan untuk Mengekalkan Kesucian Nama Allah". Saya risau jika khalayak yang kurang menguasai Bahasa Inggeris tersalah tafsir kandungan buku ini dan beranggapan orang bukan Islam tidak dibenarkan sama sekali menggunakan kalimah Allah serta perkataan dan frasa yang saya nyatakan tadi.

Katakanlah seorang rakan saya yang beragama Islam mengirimkan mesej menerusi telefon bimbit atau Facebook untuk memaklumkan isterinya selamat melahirkan anak. Atau apa-apa sahaja berita gembira.

Bayangkan saya membalas dengan kata-kata "Tahniah! Bersyukur dan berterima kasihlah kepada Brahman yang berkuasa menentukan segala apa yang berlaku di muka bumi" atau "Semoga mendapat restu Jesus dan Roh Kudus."

Usah terkeliru dengan larangan yang dikenakan

Jika demikianlah balasan saya, maknanya saya boleh dianggap melanggar Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan di mana tindakan saya boleh diklasifikasikan sebagai cuba menyebarkan ajaran Hindu atau Kristian kepada orang Islam.

Sebaliknya, balasan saya kepada rakan Islam tadi mungkin begini: "Syukur! Alhamdulillah." Frasa Alhamdulillah (Bahasa Arab) membawa makna "kata seru untuk menyatakan syukur" dalam konteks Bahasa Malaysia dan "segala puji bagi Allah" dalam konteks Islam.

Untuk makluman, dalam konteks Islam, Subhanallah bermakna "Allah Yang Maha Suci", Allahu Akhbar bermakna "Allah Yang Maha Besar", masya-Allah yang biasanya diucapkan untuk menyatakan rasa hairan, kagum dan sebagainya bermakna "apa-apa yang dikehendaki Allah".

Sementara itu, insya-Allah membawa makna "jika diizinkan Allah". Saya pernah menulis sebuah cerpen berjudul "Insya-Allah" dan termuat dalam buku Surat dari Madras (1999) yang menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99.

Saya ada menyatakan tadi saya boleh mempertahankan serta membuktikan hak saya menggunakan perkataan dan frasa yang kononnya hanya menjadi milik orang Islam di Malaysia. Keputusan Mais serta Enakmen 1988 (Selangor) sendiri menjamin hak saya dalam hal ini.

Apabila timbul isu kalimah Allah kononnya tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam, timbul pula pertanyaan mengenai nyanyian lagu negeri Selangor oleh penduduk negeri berkenaan. Apakah murid-murid dan pelajar bukan Islam boleh memilih untuk tidak menyanyi lagu negeri Selangor yang ada perkataan Allah di dalamnya?

Mais mengakui jika orang bukan Islam ditanya, mereka tahu Allah adalah Tuhan bagi orang Islam dan mereka tidak selesa untuk mengucapkan kalimah itu (halaman 48). Bagaimanapun, kata Mais, sebagai penduduk Selangor, mereka terpaksa menyanyikan lagu negeri tanpa sebarang rungutan.

Dalam hal ini, agak menarik juga untuk dipetik pandangan Tokoh Ultra Kiasu, Ridhuan Tee yang memperlekeh orang bukan Islam dengan berkata, "Panggil semua bukan Islam yang begitu obses dengan kalimah Allah, suruh sebut Allah dengan betul. Saya yakin yang keluar adalah allaaa". (Sinar Harian, 28 Oktober 2013).

Apa yang mungkin tidak diketahui orang ramai - termasuk orang Islam - adalah larangan penggunaan kalimah Allah serta beberapa perkataan dan frasa Bahasa Arab oleh orang bukan Islam masih ada pengecualian. Pembacaan buku "Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah" boleh membantu.

Orang Islam jangan terkeliru dan putuskan persaudaraan

Dalam satu contoh tadi, saya menggunakan "Syukur! Alhamdulillah." Tentulah "Allah" dalam frasa Alhamdulillah merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa. Bukan merujuk kepada mana-mana unsur lain selain daripada-Nya.

Hal yang sama juga apabila saya menggunakan mana-mana perkataan dan frasa yang dinyatakan di atas dan kononnya dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam di Selangor.

Harap maklum peraturan dan larangan yang dikenakan terhadap penggunaan perkataan dan frasa tersebut hanyalah apabila digunakan di luar konteks Islam. Denda yang dikenakan tidak melebihi RM1,000. Perkara ini turut diakui Mais (halaman 35) dan Seksyen 9 Enakmen 1988 (Selangor).

Dalam konteks Kristian pula, orang Kristian di Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam berdoa dan upacara agama walaupun penggunaan kalimah itu dikatakan di luar konteks Islam.

Bagaimanapun, seperti dijelaskan di halaman 47 buku "Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah", orang Kristian dan gereja di semenanjung Malaysia masih tidak dibenarkan ("are still not allowed") menggunakan kalimah Allah. Larangan ini termasuk bagi orang Kristian dari Sabah/Sarawak yang berada di semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, jangan mudah percaya jika ada pihak - termasuk Mais sendiri - mengatakan ada fatwa dan larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Itu hanya separuh daripada fakta.

Orang Melayu juga wajar membaca buku ini - mungkin ada versi Bahasa Malaysia untuk memudahkan pemahaman - supaya tidak turut terkeliru dengan maklumat yang salah dan kurang tepat berhubung isu ini.

Janganlah sampai orang Islam memutuskan silaturrahim dengan rakan-rakan bukan Islam semata-mata kerana terikut-ikut dengan maklumat tidak lengkap yang disampaikan pihak tertentu berhubung penggunaan kalimah Allah serta pelbagai perkataan dan frasa "Islam" oleh orang bukan Islam.

Larangan sedia ada hanyalah apabila perkataan dan frasa berkenaan digunakan dalam konteks agama bukan Islam. Jangan pula terkeliru dan beranggapan orang bukan Islam dilarang sama sekali menggunakannya.

Apa-apa pun, sebagai pengamal "multi-faith" saya akan terus menggunakan kalimah Allah tanpa tunduk pada sesiapa. Tuhan tidak murka apabila sekali sekala saya merujuk kepada-Nya sebagai Allah atau God dalam doa sejak usia kanak-kanak. Bukankah Tuhan Maha Esa? – 2 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments