Opinion

Jagat angkat martabat filem Tamil tempatan

Filem Jagat arahan Shanjhey Kumar Perumal sedang ditayangkan di pawagam.Filem Jagat arahan Shanjhey Kumar Perumal sedang ditayangkan di pawagam.Buat pertama kali, saya memilih untuk menonton sebuah filem Tamil tempatan di pawagam.

Keputusan itu ternyata tindakan tepat kerana filem “Jagat” tulisan dan arahan Shanjhey Kumar Perumal memenuhi selera saya sebagai seorang peminat filem bermutu.

Walaupun banyak filem Tamil tempatan keluar di pawagam dari semasa ke semasa, rata-rata hanya hasil kerja separuh masak yang tidak menyumbangkan apa-apa kepada perkembangan mental dan sosial khalayak.

Hal ini amat berbeza dengan filem sulung Shanjhey, seorang pemuda yang sudah membuktikan kehebatannya menerusi beberapa filem pendek bertaraf antarabangsa sebelum ini.

Sekiranya diminta menceritakan plot (jalan cerita) bagi filem ini, mungkin sedikit sukar, kerana ia menyampaikan suatu kisah yang sangat besar.

Filem “Jagat” berbicara mengenai realiti sosial, ekonomi dan budaya kaum India di Malaysia pada tahun 1990-an.

Sebagai peminat tegar filem bermutu dan mencabar minda, saya hanya memerlukan 5 minit pertama di pawagam pada 15 Disember 2015 untuk menyedari “Jagat” adalah filem yang dinanti-nantikan!

Tidak sukar menjangkakan filem ini bakal menang pelbagai anugerah serta akan diperkatakan bagi suatu tempoh masa amat lama dalam kalangan peminat dan pembikin filem.

Kisah bermula dengan seorang kanak-kanak lelaki berumur 12 tahun yang sedang berjalan sambil mengawal emosi marah membuak-buak.

Tidak lama kemudian, selepas budak itu duduk, seorang lelaki dewasa menghampirinya dan menghulurkan sekotak rokok.

Segera, penonton dibawa untuk mengetahui apa yang berlaku dalam kehidupan kanak-kanak itu pada masa lalu.

Filem seni yang menggambarkan realiti

Segala-galanya bergerak secara amat licin tanpa perlu ada sebarang unsur dan teknik bombastik yang sudah menjadi lumrah dalam filem Tamil dari India.

Cerpen dan novel Tamil sering menggambarkan isu dan masalah yang dialami kaum India semasa hidup di ladang (estet) serta selepas terpaksa keluar dari ladang.

Rata-rata cerpen dan novel ini menggambarkan realiti sebenar, tetapi malangnya masalah bahasa menjadi penghalang untuk membolehkan khalayak umum pelbagai kaum menyelami isu-isu yang disajikan.

Filem “Jagat” pula berjaya menggabungkan segala persoalan, isu dan masalah itu secara menyeluruh dan amat meyakinkan.

Sekiranya kita mahu mengetahui realiti kehidupan majoriti bekas pekerja ladang kaum India di Malaysia pada tahun 1990-an, maka tontonlah filem ini.

Filem ini disertakan sari kata, tetapi sebenarnya khalayak pelbagai kaum mampu menghayati dan memahami filem ini tanpa sari kata. Visual, kamera, muzik, mimik muka dan sebagainya mampu bercerita.

Saya mengikuti perkembangan filem pendek dan filem Tamil tempatan. Sesungguhnya “Jagat” adalah filem terbaik yang pasti sukar ditandingi oleh sesiapa dalam masa sepuluh tahun akan datang.

Sesiapa yang pernah membuat/mengarah filem atau drama Tamil tempatan sebelum ini wajar menonton “Jagat” untuk memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan “filem bermutu”.

Pada masa sama, sesiapa yang bercadang membikin filem atau drama Tamil tempatan pada masa hadapan wajib menonton “Jagat” untuk dijadikan kayu ukur dan penanda aras.

Shanjhey dan rakan-rakannya tidak membuat filem ini sekadar untuk menunjukkan mereka juga boleh menghasilkan sebuah filem Tamil.

Sebaliknya, setiap babak dalam filem ini membuktikan kerja keras dan komitmen yang ditunjukkan demi menyajikan hasil terbaik kepada khalayak pelbagai kaum di Malaysia.

Pendidikan bagi membina mobiliti sosial

Sebagai seorang penulis, saya berpegang kepada pendirian setiap karya saya (cerpen, sajak, esei, novel, cerita rakyat) disasarkan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Perkara sama dapat dilihat pada “Jagat” yang bersifat universal dan mampu diangkat sebagai “filem Malaysia” – bukan sekadar “filem Tamil tempatan”.

Bagi penonton kaum India, tidak mustahil berlaku perbandingan secara mental antara “Jagat” dan ratusan filem Tamil dari India yang sudah tepu dalam minda.

Dalam babak berkaitan persembahan oleh kanak-kanak sekolah, mereka masing-masing menyebut nama tokoh yang mahu mereka tiru cara berpakaian.

Kalaulah ini sebuah filem dari Tamil Nadu, India, tentu akan dipaparkan kehadiran kanak-kanak berkenaan perpakaian serba lengkap menyerupai Bharati, Ghandi, Avvai dan sebagainya.

Sebaliknya, dalam “Jagat”, babak persembahan itu hanya dapat didengar sebagai suara latar guru (pengacara majlis) mengumumkan penampilan kanak-kanak terbabit.

Apa yang disajikan pada skrin adalah watak kanak-kanak lelaki (Apoi) yang terlalu kecewa, lalu memasukkan kepalanya ke dalam beg plastik dalam cubaan mengawal kemarahan.

Satu lagi babak yang berkesan adalah di mana Apoi menggunakan kreativiti untuk menghasilkan pakaian menyerupai Michael Jackson.

Tentu sahaja khalayak mengharapkan satu babak tarian yang rancak. Akan tetapi, babak yang diimpikan tidak akan berlaku.

Demikianlah realiti kehidupan masyarakat India yang disajikan secara bersahaja dan amat simbolik oleh Shanjhey.

Kejutan beri kesan jangka panjang

Filem “Jagat” mencengkam perhatian dan tumpuan saya sejak awal hingga akhir.

Babak terakhir segera mengingatkan saya kepada babak terakhir dalam filem “Planet of the Apes” (1968).

Dalam filem epik itu, khalayak mendapat kejutan besar apabila kamera membuat “wide shot” dan kita melihat Statue of Liberty terbenam di tepi pantai.

Kita segera sedar kisah bukan berlaku di sebuah planet asing, tetapi di planet yang sedang kita huni.

Saya menyebut tentang babak seorang lelaki menghulurkan sekotak rokok kepada Apoi dalam filem “Jagat”. Babak itu bersambung di akhir filem.

Selepas Apoi mengambil rokok yang dihulurkan, arah kamera berubah. Kini, penonton dapat melihat apa yang berada di hadapan Apoi.

Kamera bergerak ke “wide shot” dan menunjukkan tapak pelupusan sampah yang dihuni kumpulan gagak.

Mungkin penonton yang sudah terbiasa hanyut dalam filem-filem dari Tamil Nadu tidak akan memahami makna lingkaran syaitan (vicious circle) yang disajikan.

Namun, bagi khalayak yang mampu berfikir akan segera merasakan suatu kejutan elektrik yang mencucuk tulang belakang.

Shanjhey berjaya menggunakan “Jagat” untuk menceritakan mengenai masa silam majoriti kaum India di Malaysia, realiti masa kini, serta kemungkinan situasi pada masa hadapan sekiranya aspek pendidikan dan mobiliti sosial diabaikan. – 22 Disember, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments