Opinion

Gugurnya seorang lagi TPM

Sewaktu makalah ini ditulis, pertanyaan yang masih berlegar-legar dalam minda saya adalah siapa lagi yang akan dipancung oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas alasan mahu mengukuhkan Barisan Nasional sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam rombakan Kabinet yang diumumkan pada 28 Julai 2015, perkara paling menonjol adalah tindakan drastik menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri pendidikan.

Secara konvensional dalam BN dan Umno, seorang timbalan perdana menteri mempunyai potensi besar untuk menjadi perdana menteri. Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi timbalan perdana menteri kepada Tuh Hussein Onn mulai 1976 sebelum menjadi perdana menteri pada 1981.

Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi timbalan perdana menteri kepada Dr Mahathir dari 1999 hingga 2003 sebelum menjadi perdana menteri. Malah, Najib sendiri menjadi timbalan perdana menteri kepada Abdullah mulai 2004 sebelum menjadi perdana menteri pada 2009.

Namun, ada juga timbalan perdana menteri yang tidak berpeluang menjadi perdana menteri. Misalnya, Tun Musa Hitam yang dilantik menjadi timbalan perdana menteri oleh Dr Mahathir pada 1981. Beliau bagaimanapun digugurkan pada 1986 berikutan krisis dalaman parti; khususnya apabila mula berani menggugat kedudukan perdana menteri.

Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dari 1986 hingga 1993. Bagaimanapun, pada 1993, beliau kalah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merebut jawatan timbalan presiden Umno.

Maka, mengikut tradisi Umno dan BN, Allahyarham Ghafar digugurkan dan jawatan timbalan perdana menteri diserahkan kepada Anwar. Terdahulu, dari 1986 hingga 1991, Anwar dilantik menjadi menteri pelajaran/pendidikan dalam Kabinet Dr Mahathir.

Suatu lagi konvensi (lumrah) dalam BN dan Umno adalah ahli Parlimen yang dilantik menjadi menteri pelajaran mempunyai potensi besar untuk menggantikan kerusi perdana menteri pada masa hadapan.

Pada 1991, selepas Anwar dilantik menjadi menteri kewangan, dan seterusnya timbalan perdana menteri pada 1993, ramai yang sudah membayangkan kemunculan beliau sebagai perdana menteri yang bakal menerajui Umno, BN dan Malaysia menuju Wawasan 2020.

Rasisme dan tiket perkauman

Mimpi dan impian kebanyakan rakyat (khususnya penyokong tegar Anwar) hancur berkecai apabila Dr Mahathir melucutkan Anwar daripada semua jawatan dalam Kabinet pada 1998; seterusnya daripada Umno.

Sedekad kemudian, apabila Muhyiddin dilantik oleh Najib menjadi timbalan perdana menteri pada 2009, beliau mula dilihat sebagai bakal perdana menteri. Tambahan pula, beliau sekali gus dilantik menjadi menteri pendidikan menggantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Muhyiddin mula menonjol dalam arena politik negara selepas memenangi kerusi Parlimen Pagoh pada 1978; serta mempertahankannya pada 1982. Begitu juga dalam PRU 1995, 1999, 2004, 2008 dan 2013.

Dalam PRU 1986 dan 1990, Muhyiddin menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang, lalu dilantik menjadi menteri besar Johor (1986-1995).

Dalam sebuah makalah pada April 2015, saya pernah melahirkan kebimbangan apabila membayangkan kemungkinan Muhyiddin mengambil alih jawatan perdana menteri.

Pada penelitian saya, berbanding Najib yang cuba memberikan gambaran agak plural dan moderat dengan gagasan muluk 1Malaysia, Muhyiddin pasti akan menggunakan tiket etnosentrik, Ketuanan Melayu dan pendirian "Malay First" untuk memastikan Umno-BN menang majoriti dalam PRU14.

Maka, pengumuman Najib pada 28 Julai 2015 sebenarnya memberikan sedikit kelegaan kepada saya. Malangnya, pengganti kepada jawatan timbalan perdana menteri yang menjadi pilihan Najib adalah Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dahulu, saya pernah berkongsi pandangan di Facebook, iaitu untuk mengetahui siapakah yang bakal menjadi perdana menteri sepanjang BN memerintah, lihat sahaja siapakah politikus Umno yang paling rasis dan paling ketara menggunakan tiket perkauman untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.

Dalam hal ini, pelantikan Zahid bukanlah sesuatu yang menghairankan. Cuma, Hishammuddin yang pernah mengangkat keris dan melaungkan Ketuanan Melayu – serta pernah menjadi menteri pelajaran –  tidak pula menarik perhatian Najib untuk menjadi timbalannya.

Perjuangan yang belum selesai

Sebaik mendengar pengumuman barisan Kabinet baharu pada 28 Julai 2015, saya sudah membayangkan hari-hari terakhir Umno dan BN semakin hampir. Tentu juga pelbagai nanah dalam Kabinet, Umno dan BN akan keluar menerusi pelbagai sumber yang tidak didedahkan nama.

Demikianlah lumrah dalam politik dan kehidupan politikus. Segalanya mungkin dalam cinta dan politik. Konsep "kau kenakan aku, aku akan kenakan kau balik" adalah sesuatu yang lumrah. Lihat sahaja kisah lalu dalam MIC dan MCA yang merupakan juak-juak Umno dalam BN.

Sewaktu Anwar dilucutkan jawatan pada 1998, suatu gerakan reformasi bangkit demi memperjuangkan keadilan bagi pemimpin yang dianggap ditindas, dizalimi dan dicantas oleh kerajaan BN, Dr Mahathir dan Umno.

Anehnya, walaupun sudah seminggu sejak Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet, penyokong beliau sendiri nampaknya memilih untuk berdiam diri serta tidak berani melawan kerajaan BN, Najib dan Umno.

Sebaliknya, golongan yang terus-menerus mendesak Najib turun daripada tampuk pemerintahan adalah kumpulan seperti gerakan Bersih yang sekian lama komited dalam perjuangan menuntut pilihan raya yang adil.

Begitu juga The Edge dan The Malaysia Insider yang berani melaporkan pelbagai kepincangan dalam urusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak 2013. Pendedahan inilah yang dijangka menjatuhkan Najib dan Umno.

Sementara itu, Anwar yang dicantas secara penuh licik pada 1998 masih meneruskan perjuangan untuk merasa nikmat duduk di kerusi perdana menteri. Beliau masih menggegar arena politik negara walaupun jasadnya terpenjara.

Di pihak Muhyiddin pula – atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin – tidak mustahil dalam masa beberapa minggu lagi, seluruh negara serta Umno dan BN sendiri akan lupa terus akan kewujudannya.

Kecuali beliau berani bangkit berjuang menentang ketidakadilan serta mendedahkan kepincangan dalaman yang perlu diketahui orang ramai. – 3 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments