Opinion

Dirgahayu Bahasa Malaysia!

Kabinet pada 2007 membuat keputusan menggunakan istilah ‘Bahasa Malaysia’ apabila merujuk kepada bahasa kebangsaan negara ini.Kabinet pada 2007 membuat keputusan menggunakan istilah ‘Bahasa Malaysia’ apabila merujuk kepada bahasa kebangsaan negara ini.Belakangan ini sudah rancak semula dakyah mengangkat penggunaan istilah “bahasa Melayu” apabila merujuk kepada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia.

Apa yang menyedihkan adalah tindakan para “pejuang” berkenaan yang sekali gus berusaha bersungguh-sungguh memansuhkan, menafikan, memadam dan menguburkan istilah “Bahasa Malaysia” (kata nama khas) yang digunakan sejak 1970.

Menurut laporan bertajuk “DBP wants national language to be called Bahasa Melayu again” di The Star Online (25 Jun 2015), penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” kononnya salah satu cabaran yang dihadapi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan “bahasa Melayu”.

Maka, cadangan akan dikemukakan kepada Kabinet bagi mengubah istilah “Bahasa Malaysia” kepada “bahasa Melayu”. Demikian dinyatakan pada Forum Cabaran Bahasa Kebangsaan Dalam Era Globalisasi anjuran DBP dan Kementerian Pendidikan pada 25 Jun 2015.

Sesungguhnya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut “bahasa Melayu” adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Sejarah yang tidak boleh dinafikan adalah pada tahun 1970, Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan dan “bahasa Melayu” mula dikenali sebagai “Bahasa Malaysia”.

Pada 1999, saya pernah dihalang daripada menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” dalam penulisan. Kononnya, istilah itu tidak wujud dan tidak sah digunakan. Saya menceritakan pengalaman perjuangan saya menerusi rencana “My right to use Bahasa Malaysia” (New Straits Times, 3 November 1999).

Menteri Pelajaran tampil membuat kenyataan rasmi pada 20 Oktober 1999 istilah “Bahasa Malaysia” lebih sesuai digunakan dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.

Sejak diasaskan pada 22 Ogos 1999, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berpegang teguh pada pendirian “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”. Entah mengapa Kavyan dicemuh; seolah-olah Kavyan yang mencipta istilah “Bahasa Malaysia”!

Kerajaan iktiraf, perakukan istilah “Bahasa Malaysia”

Istilah “Bahasa Malaysia” adalah betul dan tepat. Demikian juga pandangan beberapa rakan menerusi komen pada Facebook, baru-baru ini.

Seorang ahli bidang farmasi, Jayaprakash Jayachandran menyokong penggunaan “Bahasa Malaysia” serta merasakan cadangan istilah “bahasa Melayu” memberikan gambaran seolah-olah bahasa berkenaan milik eksklusif orang Melayu.

“Bahasa Malaysia adalah istilah yang tepat bagi penggunaan di negara kita, khususnya di sekolah. Janganlah politikkan isu ini,” kata Ka. S. Annadurai, seorang guru Bahasa Jerman yang berasal dari Kamunting, Perak.

Nagathisen Katahenggam dari Jelutong, Pulau Pinang menegaskan betapa istilah “Bahasa Malaysia” lebih menggambarkan Bangsa Malaysia dan identiti Malaysia. Beliau mengambil contoh Bahasa Indonesia sebagai rujukan terdekat.

Andai ada pihak yang terlupa, pada April 2007, Kabinet sebulat suara memutuskan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”.

Sebagaimana dilaporkan media pelbagai bahasa pada 4 Jun 2007, keputusan itu dibuat dengan tujuan murni mewujudkan semangat “bahasa kebangsaan adalah milik semua tanpa mengira kaum”.

Datuk Seri Najib Razak yang merupakan timbalan perdana menteri waktu itu turut mengulas keputusan berkenaan bertujuan mengelakkan polemik pihak tertentu yang beranggapan bahasa kebangsaan adalah milik kaum tertentu. Demikian dilaporkan di Utusan Malaysia, Malaysia Nanban dan Sin Chew Jit Poh pada 5 Jun 2007.

Pada 15 Jun 2007, akhbar Berita Harian dan The Star melaporkan kenyataan Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang menjadi menteri pelajaran waktu itu.

Katanya: “Penggunaan istilah Bahasa Malaysia menunjukkan ia bahasa ilmu dan bahasa perpaduan yang terus mempertahankan identiti kita sebagai negara berbilang kaum.”

Anehnya, kini seolah-olah ada pihak yang cuba mengganggu ketenteraman awam, mewujudkan pergeseran dan mencetuskan sentimen perkauman dengan mendesak istilah “Bahasa Malaysia” yang amat murni itu diharamkan, dimansuhkan, dikuburkan dan ditiadakan langsung.

Bahasa Malaysia tak bunuh bahasa Melayu

Tindakan sekarang amat berbeza dengan pendirian DBP iaitu “tidak salah istilah bahasa Malaysia digunakan” (Berita Harian, 23 Julai 2009). Malah, pada Julai 2012, jawaban yang diberikan di laman sesawang “Khidmat Nasihat DBP” menegaskan:

“Buku teks diselenggara oleh Kementerian Pelajaran melalui Bahagian Buku Teks, dan DBP diberi tanggungjawab menerbitkannya. Dalam hal ini, KPM menetapkan istilah Bahasa Malaysia yang diguna pakai dalam sistem pendidikan kita.”

DBP turut mengakui: “Mengikut keputusan kabinet [2007], perkataan bahasa Malaysia digunakan untuk menyemai rasa kekitaan dalam kalangan rakyat dan dalam konteks perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.”

Sudah terang lagi bersuluh! Entah mengapa masih ada pihak yang begitu taksub untuk menghapuskan “Bahasa Malaysia” dan mengangkat “bahasa Melayu”.

Hal ini berbeza dengan pengguna istilah “Bahasa Malaysia” yang tidak sesekali menafikan hakikat dan sejarah istilah berkenaan masih merujuk kepada “bahasa Melayu” yang diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara berdaulat ini.

“Tunggak Bahasa Malaysia diambil daripada perkataan-perkataan dan corak penggunaan bahasa Melayu yang dimodenkan sealiran dengan zaman dan kemajmukan Bangsa Malaysia. Bahasa Melayu sendiri bersifat tunggal dan klasik serta kurang mencerminkan kepelbagaian dan penyatuan sesebuah negara berbilang kaum.”

Demikian pandangan Awis Arkani Yusuf, seorang pegawai jabatan kesihatan dari Pahang. Katanya lagi: “Bahasa boleh menyatukan manusia. Bahasa Malaysia boleh menyatukan rakyat Malaysia.”

Tiru Mohan dari Kuala Lumpur melihat usaha menghapuskan istilah “Bahasa Malaysia” dan mengangkat istilah “bahasa Melayu” sebagai agenda memecah belah rakyat pelbagai kaum dan etnik.

Agenda itu pula ternyata sedang dilaksanakan puak tertentu secara penuh licik dengan bertopengkan perjuangan yang kononnya mahu mempertahankan maruah dan identiti kaum Melayu.

Walau apa pun taktik, manipulasi, penipuan, saluran politik dan sentimen perkauman yang digunakan puak berkenaan, saya akan tetap memperjuangkan hak rakyat Malaysia menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk kepada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini.

Nampaknya, perjuangan belum selesai. Keputusan saya untuk meneruskan perjuangan ini pasti membuatkan kempen “anti-Uthaya” semakin rancak. Biar putih tulang, jangan putih mata! – 7 Julai, 2015.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments