Opinion

Dilema sekolah satu aliran

Sering kali sekolah vernakular, khususnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), dijadikan kambing hitam dalam isu perkauman.

Kononnya, sekolah vernalukar menjadi punca utama wujud jurang perpaduan dan persefahaman antara kaum. Sekolah satu aliran iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) dikatakan boleh mengatasi masalah ini.

Pada masa sama, hakikat yang berlaku di depan mata adalah situasi SK menjadi lubuk bagi guru dan guru besar lepasan Biro Tatanegara (BTN) menanam bibit perkauman dan perasaan benci dalam jiwa generasi muda.

Topik mengenai sekolah satu aliran sempat dibincangkan bersama-sama sekumpulan kenalan, baru-baru ini. Awal-awal lagi, saya memaklumkan hasil perkongsian pandangan itu akan dimuatkan dalam makalah ini.

Soalan yang dibincangkan amat umum: “Wajarkah sekolah satu aliran diperkenalkan di Malaysia? Apakah kebaikan dan keburukannya? Mengapa anda menyokong atau membantah sekolah satu aliran?”

Shah Hadri Shahiman yang lahir di Hulu Klang, Selangor dan kini tinggal di Bandar Sri Damansara melihat SK sebagai salah satu cara terbaik membentuk Bangsa Malaysia seperti diimpikan.

Nagathisen Katahenggam dari Bayan Lepas, Pulau Pinang bersetuju dengan hakikat peranan sekolah satu aliran memupuk perpaduan.

Bagaimanapun, pemuda kelahiran Jelutung itu mahu supaya pengajaran dan pembelajaran bahas ibunda dimasukkan dalam jadual waktu sekolah.

Pandangan hampir sama dikemukakan oleh seorang penolong pegawai farmasi, Chua Pei Yong dari Klang, Selangor.

“Harus mengambil kira dasar yang sedia ada seperti Penyata Razak yang menghendaki permohonan pelajar yang melebihi 15 orang untuk sekolah tersebut (SK) menawarkan subjek bahasa elektif atau bahasa ibunda,” katanya.

Pelbagai hujah menyokong, membantah

Pada pendapat Chua Pei Yong, sekolah satu aliran mampu merealisasikan slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” iaitu apa yang dipelopori oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sebagai “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”.

“Polarisasi kaum mampu dikikis dengan pelaksanaan sekolah satu aliran. Namun, kebimbangan sesetengah pihak tentang kemungkinan SK membunuh budaya kaum mereka (minoriti) juga perlu dipertimbangkan,” katanya.

Turut berkongsi pandangan ialah Ahmad Soki Anian yang lahir di Kuala Kangsar, Perak dan kini menjadi kakitangan awam di Seremban, Negeri Sembilan.

Walaupun menyedari pelbagai kebaikan sekolah satu aliran, beliau bimbang memikirkan nasib golongan murid yang kerap menjadi tikus makmal apabila pelaksanaan dilakukan tanpa kajian mendalam.

“Mungkin lebih baik jika sekolah satu aliran diperkenalkan mulai peringkat sekolah menengah,” katanya.

Perbincangan kami menerusi Facebook berlangsung dalam keadaan agak terbuka, dan masing-masing diberikan peluang menyuarakan pandangan berserta hujah.

Misalnya, Prem Kanna dari Rawang, Selangor tampil membantah cadangan mewujudkan sekolah satu aliran atas alasan “ia mungkin merangkumi suatu agenda jahat terhadap golongan minoriti.”

Pada masa sama, pemuda itu amat menyokong sebarang cadangan dan usaha mewujudkan semula sekolah aliran Inggeris.

Cadangan itu turut disokong Mahendran Maruthai dari Shah Alam. Beliau bagaimanapun mahu bahasa Melayu, Cina dan Tamil tetap diajar mengikut kaum. Tentu sahaja cadangan ini sama seperti keadaan di Singapura.

Turut tampil menyokong sekolah aliran Inggeris ialah M Mahendran dari Bentong, Pahang. Pada pandangan bekas pelajar SK itu, “Wujudkan semula sekolah berbahasa Inggeris, semua masalah akan selesai.”

Jangan abaikan bahasa ibunda

Terdahulu, Rizal Othman, seorang guru dari Kota Marudu, Sabah, berkongsi pandangan di mana kewujudan sekolah pelbagai aliran (bahasa pengantar) memulakan bibit pengasingan dalam kalangan murid.

“Tambahan pula, subjek Bahasa Malaysia diberikan peruntukan masa yang kecil di SJKT dan SJKC berbanding di SK. Masih ramai rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaan,” beliau meluahkan keluhan.

William Magor, seorang wartawan dari Kuching, Sarawak menyifatkan kualiti sistem pendidikan di negara ini masih ketinggalan, serta menyokong sekolah satu aliran.

“Semua pelajar (pelbagai kaum) diajar hidup rukun dan damai. Sikap perkauman dapat dibendung jika guru memainkan peranan mendidik pelajar,” katanya.

Pemuda itu bagaimanapun bimbang memikirkan kemungkinan bahasa ibunda terabai di SK. Tentu sahaja bahasa ibunda yang dimaksudkan bukan hanya bahasa Melayu dan Tamil. Sebaliknya meliputi bahasa pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak.

Rizal dan William sama pendirian dengan Nagathisen dan Chua Pei Yong yang mahu supaya mata pelajaran bahasa ibunda dimasukkan dalam jadual waktu di sekolah satu aliran.

Bantahan terhadap cadangan sekolah satu aliran turut dikemukakan oleh Puvendran Loganathan dari Shah Alam menerusi mesej peribadi yang dikirim kepada saya.

Pada pandangan pemuda ini yang berasal dari Teluk Intan, Perak, sekolah satu aliran tidak perlu buat masa ini memandangkan situasi politik dan politikus yang rasis masih wujud.

“Sebelum berfikir ke arah sekolah satu aliran, kita perlu memikirkan usaha memperkasa bahasa kebangsaan di sekolah-sekolah sedia ada,” kata Puvendran.

Pelajar tahun akhir dalam bidang psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdul Rahman Shah turut berkongsi pandangan mengenai topik sekolah satu aliran.

Anak jati Kuala Lumpur itu menjelaskan, sekolah satu aliran (SK) tidak bermaksud kebudayaan (termasuk bahasa ibunda) kaum minoriti dihakis. Hal ini kerana bahasa ibunda masih boleh diajar di SK; sementara unsur budaya pelbagai kaum boleh diterapkan menerusi mata pelajaran teras atau kelas kebudayaan.

Kekalkan sistem pelbagai aliran sedia ada

Abdul Rahman bertegas menolak cadangan sekolah aliran Inggeris kerana “untuk kembali kepada sistem pendidikan semasa zaman kolonial adalah suatu idea yang tidak akan membawa pembaharuan.”

“Untuk Malaysia terus maju, Bahasa Malaysia perlu menjadi bahasa yang menghubungkan semua kaum dan etnik. Bahasa Malaysia sangat fleksibel sifatnya dan membolehkan bahasa ini menjadi bahasa perpaduan,” katanya.

Menyedari hakikat kewujudan sekolah pelbagai aliran (SK, SJKC dan SJKT) pada masa kini, Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan sistem sedia ada dikekalkan.

“Akan tetapi, pendidikan subjek Bahasa Malaysia yang lebih berkesan, serta lebih banyak program yang menggabungkan murid-murid sekolah pelbagai aliran perlu diusahakan. Perlu lebih banyak peluang komunikasi untuk membawa hubungan antara kaum ke arah yang lebih baik,” katanya.

Dalam membicarakan topik sama, pandangan pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin juga wajar diberikan perhatian.

Seperti dilaporkan di The Malaysian Insider pada 19 Julai 2015, pakar kajian etnik yang disegani itu berpendapat, sekolah satu aliran tidak boleh dilaksanakan di Malaysia.

“Di Indonesia, Thailand, Filipina dan Myanmar, apabila merdeka, mereka berasaskan konsep asimilasi, tetapi di Malaysia berasaskan integrasi… Orang yang mencadangkan sekolah satu aliran itu tidak tahu dan tidak faham tentang sejarah negara kita,” katanya seperti dipetik daripada wawancara di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 19 Julai 2015.

Saya secara peribadi menyokong sekolah satu aliran iaitu SK, dengan syarat bahasa ibunda dijadikan mata pelajaran wajib dan dimasukkan dalam jadual pembelajaran.

Pada masa sama, “hantu-hantu” yang lahir daripada BTN perlulah disingkirkan daripada sistem pendidikan negara. Selagi mereka terus dibela (dipelihara) oleh politikus dan kuasawan demi kepentingan politik, selagi itulah SK (sekolah satu aliran) tidak akan mampu melahirkan Bangsa Malaysia. – 21 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments