Opinion

Bunuh diri ‘budaya’ kaum India?

Amalan satee dilaporkan masih berlaku di India.Amalan satee dilaporkan masih berlaku di India."Amalan satee masih diteruskan di sini?" Joseph mengajakku berbual sambil menuding pada sebuah berita di akhbar yang sedang ditatapnya.

"Sudah diharamkan sejak 1829. Tapi masih ada masyarakat berfikiran kuno yang mengamalkannya. Misalnya di kampung Nandana seperti dalam laporan itu. Kebanyakan penganut Hindu ortodoks masih menganggap perbuatan membakar diri itu sebagai mencerminkan cinta, kesetiaan dan pengorbanan suci si isteri terhadap suaminya."

"Wanita kaum India di Malaysia?"

"Tidak sama sekali! Wanita Malaysia berfikiran matang."

Dialog di atas dipetik daripada cerpen "Kakak, Tolonglah Saya!" (Kisah dari Siru Kambam, 2013). Seorang wanita kaum India dari Malaysia sedang berbual dengan seorang lelaki Jerman sewaktu mereka bertemu di dalam kapal terbang di India.

Seperti mana yang dijelaskan oleh watak "Aku" dalam petikan di atas, amalan satee masih dilaporkan berlaku di India. Perbuatan membakar diri dianggap tindakan suci dan terhormat; khusus bagi golongan wanita.

Sejarah amalan satee

Sebenarnya, satee bukan tuntutan agama Hindu. Bagaimanapun, perbuatan itu ada sejarah dan tradisi tersendiri. Wajarlah generasi muda mengetahui kisah ini supaya lebih memahami konsep satee yang dianggap perbuatan membunuh diri secara terhormat.

Pada zaman dahulu, apabila seorang raja menakluk negeri lain, maka seluruh harta dan kekayaan negara yang ditakluk itu menjadi milik raja itu dan tenteranya. Begitu juga nasib wanita yang kematian suami dalam perang - mereka akan menjadi milik raja dan tentera yang menakluk.

Maka, wanita yang kematian suami tidak rela tubuhnya dimiliki lelaki lain; apatah lagi tentera yang menakluk negeri mereka. Tambahan pula, konsep perkahwinan dalam agama Hindu dan budaya India adalah "seorang suami, seorang isteri".

Sebagai langkah terakhir, golongan balu berkenaan mengambil keputusan nekad untuk terjun ke dalam api yang membakar mayat suami masing-masing. Dengan itu, mereka berjaya mengelak daripada menjadi mangsa kerakusan lelaki lain.

Tindakan membakar diri ini mula dianggap sebagai perbuatan mulia dan terhormat; serta membuktikan kesucian wanita. Akibatnya, amalan satee mula menjadi budaya dalam kalangan masyarakat India zaman dahulu.

Apa yang menarik, satee yang bermula dengan perbuatan membunuh diri secara sukarela mula bertukar menjadi paksaan. Para balu mula diwajibkan terjun ke dalam api yang membakar mayat suami. Balu yang enggan berbuat demikian mula dipaksa - atau dilabel sebagai wanita yang tidak suci, tidak setia dan segala label negatif.

Amalan satee diharamkan di India di bawah undang-undang oleh British pada 1829. Bagaimanapun, hingga hari ini, satee masih dilaporkan berlaku - sama ada secara rela atau paksaan.

Satee ada sedikit persamaan dengan harakiri yang diamalkan di Jepun. Mengikut sejarah, tentera Jepun sanggup membunuh diri daripada menyerah diri atau mengaku kalah dalam perang.

Bunuh diri jadi amalan

Saban hari kita membaca laporan kes bunuh diri di akhbar. Kita juga sering mendengar tentang beberapa kes bunuh diri yang rata-rata melibatkan remaja dan belia kaum India.

Seorang pelajar khabarnya suka bercakap besar dengan mengatakan dia pasti muncul johan acara sukan olahraga. Malangnya dia hanya menduduki tempat kedua, lalu diejek rakan-rakan. Pelajar berkenaan pulang ke rumah dengan sedih dan kecewa. Pada hari yang sama, dia menggantung diri.

Silk Smitha, pelakon seksi India yang dipercayai membunuh diri kerana masalah kewangan dan cinta.Silk Smitha, pelakon seksi India yang dipercayai membunuh diri kerana masalah kewangan dan cinta.Seorang lagi remaja lelaki berumur 14 tahun kecewa kerana gadis yang dipuja tidak menerima cintanya. Dia minum sebotol bahan peluntur pakaian. Mujurlah tindakan segera ahli keluarga membawanya ke hospital berjaya menyelamatkan nyawanya. Dua contoh ini adalah kes sebenar yang mungkin tidak dilaporkan di akhbar.

Terdapat juga laporan mengenai seorang belia warganegara India yang bekerja di sebuah kedai runcit. Saya mengenali pemuda itu sekitar sedekad lalu. Dia bercinta dengan seorang gadis yang bertugas sebagai juruwang di kedai yang sama.

Malangnya, beberapa bulan kemudian, gadis berkenaan mahu memutuskan hubungan dengan alasan dia akan berkahwin dengan seorang pemuda tempatan. Belia warganegara India itu pula tidak sanggup menerima kenyataan. Dia mati setelah menggantung diri.

Ada juga laporan mengenai remaja lepasan SPM yang membunuh diri kerana tidak mendapat kredit dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Terdapat pula laporan akhbar mengenai seorang wanita yang membunuh diri sebaik sahaja mendapat tahu suaminya terkorban dalam kemalangan jalan raya.

Nampaknya begitu banyak kes bunuh diri dilaporkan dalam kalangan remaja dan belia kaum India di negara ini. Saya juga sering ditanya rakan-rakan kaum lain, adakah perbuatan bunuh diri menjadi tuntutan agama Hindu atau budaya India?

Pertanyaan begini tidaklah menghairankan. Jika diteliti, tindakan membunuh diri bagaikan dianggap suatu tuntutan agama oleh sekelompok masyarakat yang tipis pengetahuan dan pegangan agama. Natijahnya, mereka memberikan gambaran yang negatif mengenai kaum India dan ajaran Hindu kepada penduduk pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Bunuh diri dalam filem

Peminat filem Tamil dan Hindi juga sering dipertontonkan adegan bunuh diri. Dalam filem "Aboorva Sagotharargal" (atau "Raja Appu" dalam versi Hindi dan "Vichithra Sodarulu" dalam versi Telugu) keluaran 1989, watak Appu lakonan Kamal Haasan mengambil keputusan mWatak Appu dalam “Aboorva Sagotharargal” (1989) cuba membunuh diri kerana cinta tidak kesampaian.Watak Appu dalam “Aboorva Sagotharargal” (1989) cuba membunuh diri kerana cinta tidak kesampaian.embunuh diri kerana kecewa cintanya tidak berbalas. Lebih penting lagi, Appu mula mengalami rasa rendah diri kerana kecacatan fizikal yang ditanggung.

Tidak kurang juga watak dalam filem Tamil dan Hindi - sama ada filem baru atau lama - yang mengambil keputusan membunuh diri kerana kecewa atau gagal mencapai matlamat. Watak Devadass boleh diklasifikasikan sebagai "membunuh diri" kerana minum arak lantaran kecewa dalam percintaan. Begitu juga kebanyakan watak hero dalam filem; mereka mula minum arak apabila kecewa.

Walaupun watak-watak berkenaan tidak sampai meninggal dunia, namun, tindakan mereka masih boleh dianggap sebagai "cubaan membunuh diri".

Watak wanita dalam filem Tamil pula sering mengambil keputusan membunuh diri setelah menjadi mangsa rogol. Ada pula yang bertindak membunuh diri bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa rogol. Tidak kurang juga yang digambarkan mengambil keputusan membunuh diri selepas ditipu kekasih.

Saya terharu dengan watak gadis bisu dalam filem Tamil berjudul "Potkaalam" (Zaman Keemasan) yang sempat ditonton pada 1997. Watak gadis bisu itu kecewa kerana tidak mendapat jodoh. Sebaliknya dia hanya menjadi bebanan kepada abangnya.

Si bapa pula tidak bertanggungjawab serta menganggap watak gadis bisu itu sebagai pembawa sial. Akhirnya, gadis berkenaan mengambil keputusan membunuh diri sebagai jalan keluar daripada segala masalah yang wujud.

Ringkasnya, filem Tamil dan Hindi sarat dengan adegan bunuh diri. Beberapa pelakon India juga dilaporkan membunuh diri dalam realiti. Maka tidak hairanlah jika rakan-rakan daripada kalangan bukan kaum India mula membuat kesimpulan umum bahawa membunuh diri dituntut - atau sekurang-kurangnya diizinkan - dalam agama Hindu dan budaya India.

Dosa besar

Agama Islam dan Kristian mengecam perbuatan membunuh diri. Perbuatan mengambil nyawa sendiri diklasifikasikan sebagai salah satu dosa besar, dan individu berkenaan tidak masuk syurga. Tubuh dan nyawa manusia adalah ciptaan serta milik Tuhan dan hanya Dia yang berhak ke atasnya.

Hukuman yang sama terdapat dalam ajaran Hindu. Manusia yang membunuh diri dikatakan tidak akan mencapai "moksha" atau "nirwana". Roh (atma) manusia berkenaan tidak diterima oleh Tuhan (Paramatma). Maka, roh manusia yang membunuh diri dikatakan akan berkeliaran di muka bumi kerana nyawa dicabut secara paksa sebelum sampai waktu.

Tidak hairanlah terdapat banyak jenis hantu dalam kepercayaan kaum India. Semuanya diwujudkan untuk mendidik (menakut-nakutkan?) generasi muda mengenai kesan perbuatan membunuh diri.

Mengikut peruntukan undang-undang, perbuatan membunuh diri adalah salah. Sesiapa yang disabitkan kesalahan cuba membunuh diri boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan hukuman. Ramai yang tidak menyedari hal ini, lalu terkejut apabila dihadapkan ke mahkamah selepas cubaan membunuh diri gagal.

Membunuh diri tidak dapat menyelesaikan sebarang masalah. Sebaliknya, pasti menambah masalah yang sedia ada. Hal ini adalah suatu perkara yang amat logik, malangnya tidak mampu difikirkan oleh kebanyakan orang.

Misalnya, pelajar yang membunuh diri kerana tidak mendapat kredit bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia. Semasa menjadi pensyarah mata pelajaran wajib Moral Education di beberapa kolej swasta (1999-2007), saya  sering menggunakan contoh berkenaan dalam kelas.

Saya akan menceritakan setelah remaja berkenaan membunuh diri, abangnya terpandang slip keputusan SPM mangsa berkenaan.

Para pelajar akan mula meneka adakah keputusan pada slip berkenaan sudah berubah. Tidak kurang juga pelajar yang akan menegaskan mustahil keputusan yang tercatat pada slip itu boleh berubah.

Nah! Itulah mesej yang cuba saya sampaikan kepada pelajar: perbuatan membunuh diri tidak akan mengubah apa-apa. Sebaliknya, pasti timbul begitu banyak masalah selepas seseorang individu membunuh diri.

Bayangkan kesan terhadap ahli keluarga. Bayangkan laporan polis yang perlu dilakukan. Bayangkan postmortem yang perlu dibuat ke atas jenazah. Bayangkan kesan dan trauma yang terpaksa ditanggung oleh ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa.

Ringkasnya, membunuh diri tidak sedikit pun menyelesaikan masalah yang wujud. Sebaliknya, mewujudkan ratusan masalah dan beban baru.

Agama dan kasih sayang

Pendidikan agama dan moral amat perlu bagi membantu generasi muda mempunyai pegangan dalam hidup. Mereka perlu dididik supaya menyayangi nyawa dan hidup.

Kasih sayang daripada ahli keluarga juga sangat diperlukan oleh golongan remaja. Jika terdapat kasih sayang dalam keluarga, maka kuranglah risiko bagi remaja yang bermasalah untuk mengambil keputusan yang negatif dan memudaratkan.

Sokongan moral daripada rakan-rakan turut memainkan peranan. Jika seorang remaja gagal dalam peperiksaan atau tidak cemerlang dalam acara sukan misalnya, rakan harus memberikan kata-kata rangsangan; bukan sebaliknya.

Remaja yang dilanda kekecewaan - kegagalan cinta, peperiksaan atau apa sahaja - tidak harus dibiarkan bersendirian. Sewaktu bersendirianlah remaja yang dilanda kekecewaan akan mula dihasut syaitan.

Fikirannya akan mula memikirkan segala perkara yang negatif sahaja. Hingga akhirnya, tidak mustahil dia mengambil keputusan bodoh membunuh diri bagi menyelesaikan segala masalah.

Membunuh diri atas apa alasan sekali pun bukan ajaran agama Hindu dan bukan juga budaya kaum India. Apa yang disajikan dalam filem Tamil bukan realiti; sekurang-kurangnya bagi kaum India di Malaysia.

Budaya India dan ajaran Hindu - sebagaimana budaya dan agama-agama lain - mengajar kasih sayang sebagai unsur utama dalam hidup manusia. Maka, kasih sayang itulah yang mampu membuka laluan bagi menyelesaikan segala masalah yang wujud dalam kehidupan manusia. - 31 Mac, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments