Opinion

Bahasa Malaysia dan SJKC

Guru Besar SJKC Serdang Baru (1), Ng Boon Chuan.Guru Besar SJKC Serdang Baru (1), Ng Boon Chuan.Sejak diasaskan pada Ogos 1999, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) turut terlibat dalam program galakan membaca dan memupuk minat terhadap Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Hasil pengalaman, saya berani mengatakan bahawa SJKT dan SJKC turut menunjukkan minat yang mendalam terhadap usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.

Usaha ini bukan semata-mata bagi menjamin pencapaian cemerlang daripada segi akademik. Sebaliknya bagi memastikan murid memiliki minat dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.

Pada 14 Oktober 2013, saya diundang ke SJKC Serdang Baru (1), Seri Kembangan untuk mengendalikan program khas bersama murid Tahun 5 dan 6.

Walaupun ini merupakan kali pertama program Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) dilaksanakan di sekolah itu, sejak bertahun-tahun lamanya, Panitia Bahasa Malaysia memang sentiasa menjalankan pelbagai aktiviti serupa atas inisiatif sendiri.

"Program MBM khas dilaksanakan seperti disarankan oleh Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan minat murid terhadap Bahasa Malaysia. Maka kami dengan gembira mengadakan program tambahan ini," kata Guru Besar, Ng Boon Chuan.

Sejak dahulu, Minggu Bahasa Malaysia dan English Week diadakan sebagai acara tahunan di sekolah ini. Antara pengisiannya adalah pertandingan syarahan dan bercerita. Program galakan membaca juga sering diadakan sempena Hari Buku Sedunia (23 April).

Bagi program pada kali ini, pihak sekolah memasukkan pula sesi membaca buku cerita dengan kerjasama Kavyan. Ternyata penambahbaikan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada murid.

Sepanjang aktiviti selama hampir tiga jam, murid menunjukkan minat yang amat mendalam. Ternyata mereka memiliki penguasaan Bahasa Malaysia yang memuaskan. Apa yang lebih penting, mereka berminat untuk menguasai dan menggunakan bahasa ini.

Cintai bahasa bukan hanya untuk lulus peperiksaan

Terdapat 2,545 murid dan 122 guru di SJKC Serdang Baru (1). Hampir 85% murid Cina; sekitar 80 murid Melayu dan 50 murid India. Demikian data yang diberikan oleh Ng sambil kami bersarapan di kantin sekolah.

"Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa sekiranya tidak ada galakan menerusi pelbagai aktiviti di sekolah, murid kurang terlibat dalam program berkaitan Bahasa Malaysia.

"Daripada pengalaman saya sendiri, apabila sekolah dan guru mengambil inisiatif, maka murid mula menunjukkan minat untuk mengambil bahagian," katanya.

Mulai tahun depan, jumlah masa bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris di SJKC dan SJKT akan ditambah. Sesungguhnya penambahan masa ini merupakan antara faktor yang boleh membantu mencapai objektif yang diharapkan.

"Bagaimanapun, apa yang saya dan pihak SJKC lain harapkan adalah supaya cara pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Malaysia dijadikan lebih menarik dan ada penambahbaikan.

"Antara faktor penting adalah kemampuan guru, kesesuaian buku teks dan minat murid sendiri. Sekiranya masa tambahan itu hanya diisikan dengan cara pengajaran dan pembelajaran yang sama, saya bimbang objektif tidak akan tercapai," kata Ng.

Faktor paling penting dalam meningkatkan prestasi Bahasa Malaysia dalam kalangan murid adalah dengan memupuk minat dan kecintaan mereka terhadap bahasa itu. Perkara inilah yang dititikberatkan oleh Ng dalam semua aktiviti bahasa yang dirancang dan dijalankan sejak beberapa tahun lalu.

Guru pula diberikan latihan khas menerusi program latihan dalam perkhidmatan. Sesi ceramah, bengkel dan motivasi juga diadakan khas bagi semua guru di sekolah berkenaan supaya mereka meminati Bahasa Malaysia dan suka membaca buku.

"Ini penting kerana guru secara langsung dan tidak langsung menjadi sumber inspirasi dan idola kepada murid dalam dan di luar bilik darjah," kata guru besar itu dengan penuh semangat.

Bahasa Malaysia adalah bahasa kita semua

Menurut Ng, buku fiksyen dan non-fiskyen Bahasa Malaysia disediakan dalam jumlah yang memadai di perpustakaan sekolah. Guru pusat sumber pula sedang dalam proses membuat senarai "100 bukGuru menjadi sumber inspirasi dan idola murid.Guru menjadi sumber inspirasi dan idola murid.u Bahasa Malaysia yang perlu dibaca" sebagai panduan dan rujukan murid.

Majoriti murid di SJKC Serdang Baru (1) adalah kaum Cina. Kawasan di sekitar sekolah juga dipenuhi masyarakat Cina. Malah, rata-rata keluarga murid Cina ini menggunakan Bahasa Cina (pelbagai dialek) di rumah.

Realiti ini membuatkan cabaran lebih besar terpaksa dihadapi oleh Ng dan guru dalam usaha menggalakkan penguasaan dan penggunaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid.

Ng berkata, satu cara yang memang boleh memberikan kesan nyata adalah dengan menggalakkanmurid membaca buku cerita. Ke arah itu, beliau memastikan perpustakaan sekolah mempunyai jumlah buku bermutu yang mencukupi.

"Persekitaran kehidupan harian murid ini memang menyebabkan mereka kekurangan ruang dan peluang bertutur menggunakan Bahasa Malaysia. Menyedari hakikat ini, kami berusaha mewujudkan persekitaran dan suasana yang kondusif di mana timbul keperluan, ruang dan peluang untuk murid menggunakan bahasa kebangsaan.

"Di kantin sekolah misalnya terdapat gerai makanan yang diusahakan pelbagai kaum. Maka, murid akan menggunakan Bahasa Malaysia apabila berurusan dengan pengusaha gerai ini pada setiap hari," kata Ng.

Saya mengenali guru besar ini sejak Julai 2008 iaitu sejak kami diperkenalkan oleh Koh Yok Hwa, pengarah urusan Gemilang Publishing Sdn Bhd. Kedua-dua mereka memang amat mencintai Bahasa Malaysia.

Saya sering diundang ke SJKC Serdang Baru (1) untuk mengendalikan aktiviti bahasa dan sastera serta program galakan membaca bagi murid dan para guru. Maka, saya perhatikan sendiri kesungguhan Ng memartabatkan Bahasa Malaysia jauh sebelum program MBM diperkenalkan oleh kementerian.

"Kita sebagai warganegara Malaysia memang wajib mempelajari Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia adalah bahasa kita semua. Kalau warganegara sendiri tidak menguasai dan menghormati bahasa kebangsaan, macam mana kita mahu mengharapkan warga asing menghormati kita," katanya.

SJKC, SJKT bukan penghalang perpaduan kaum

Program membaca mendapat sambutan murid.Program membaca mendapat sambutan murid.Ng mengakui bahawa penguasaan Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT kurang memuaskan. Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak tidak sepatutnya menggunakan alasan itu untuk melakukan serangan atau mengatakan SJKC dan SJKT sudah gagal.

Sebaliknya semua pihak perlu bekerjasama ke arah meningkatkan usaha serta mencari teknik yang sesuai untuk menambah minat murid-murid terhadap Bahasa Malaysia; sama ada di SK, SJKC atau SJKT.

Sesungguhnya, memang mudah untuk menyalahkan pihak lain tetapi apa yang lebih penting adalah kesanggupan para pengkritik itu sendiri tampil memberikan sumbangan idea, masa dan tenaga bagi mengatasi masalah yang diketengahkan itu.

Ng yang juga penolong setiausaha Gabungan Guru Sekolah Cina Malaysia, berkata pihaknya sudah, sedang dan akan terus-menerus menyebarkan kepentingan MBM kepada guru SJKC di seluruh negara.

"Saya juga terlibat secara langsung dalam mesyuarat meja bulat MBM di Kementerian Pendidikan. Maka saya pasti akan bekerjasama penuh dengan kementerian dalam usaha murni meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid, khususnya di SJKC," katanya.

Bercakap mengenai SJKC dan SJKT, memang ada pandangan yang mengatakan bahawa kewujudan sekolah vernakular menghalang usaha memupuk perpaduan antara kaum. Ada puak yang mendesak supaya SJKC dan SJKT dihapuskan.

"Sebenarnya, pandangan seperti itu amat sempit dan sengaja mencari alasan. Di sekolah saya misalnya ada sekitar 80 murid Melayu dan 50 murid India. Kantin pula diusahakan orang Melayu, Cina dan India.

Memanfaatkan komik di sekolah

Saya amat bersetuju dengan hujah Ng bahawa apa yang penting adalah usaha mewujudkan suasana muhibah di semua sekolah; sama ada SK, SJKC atau SJKT. Di SK juga ada murid pelbagai kaum dan Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar. Namun, masih timbul beberapa insiden yang bertentangan dengan usaha memupuk perpaduan.

Komik pendidikan akan digunakan untuk memartabatkan Bahasa Malaysia.Komik pendidikan akan digunakan untuk memartabatkan Bahasa Malaysia."Bagi saya, sama ada di SK, SJKC atau SJKT, kita perlu sama-sama memikul tanggungjawab memupuk perpaduan dalam kalangan murid. Soal bahasa ibunda dan bahasa pengantar tidak harus dijadikan alasan untuk membuat kritikan yang tidak berasas.

"Sepanjang pengalaman saya berkhidmat sebagai guru selama 32 tahun, memang tidak ada halangan dan sekatan bagi SJKC dan SJKT memainkan peranan penting ke arah memupuk perpaduan kaum serta bersama-sama meningkatkan perasaan cinta terhadap Bahasa Malaysia," katanya dengan penuh yakin.

Bercakap tentang usaha memupuk minat terhadap bahasa, hakikat yang diketahui ramai adalah bahawa murid SJKC amat suka membaca buku komik. Mereka bermula dengan komik Bahasa Cina sejak tahu membaca.

Ng merasakan bahawa minat membaca komik sebenarnya boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi menarik minat murid terhadap Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Malah, beliau akan bekerjasama dengan Gemilang Publishing Sdn Bhd yang menterjemahkan komik pendidikan dari Korea Selatan dan Thailand. Percubaan akan dilakukan dengan menggunakan komik Bahasa Malaysia selama tiga bulan di beberapa kelas di SJKC Serdang Baru (1).

"Saya sudah meneliti naskhah contoh yang diberikan kepada saya. Kandungan buku komik pendidikan ini amat bermutu dan menggunakan Bahasa Malaysia yang sesuai untuk kegunaan di sekolah.

"Maka saya yakin bahawa penggunaan buku komik pendidikan ini akan turut menjayakan program MBM seperti diharapkan oleh kementerian," katanya.

Sementara pelbagai pihak masih sekadar menunggu arahan dan cadangan daripada pihak atasan, usaha guru besar seperti Ng yang berdedikasi dan mencintai Bahasa Malaysia pasti akan memberikan sumbangan besar kepada sekolah, kementerian dan negara. – 21 Oktober, 2013.

* Maklumat berkaitan aktiviti Kavyan boleh dirujuk di www.kavyan.blogspot.com.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments