Opinion

Apabila keturunan boleh diubah

Penulis terkejut apabila beberapa maklumat berubah dalam sijil kelahiran.Penulis terkejut apabila beberapa maklumat berubah dalam sijil kelahiran.Baru-baru ini, suatu majlis perkahwinan agama Hindu di Selangor diserbu pegawai jabatan agama Islam kerana khabarnya pengantin wanita beragama Islam.

Kes selesai secara “baik” dan wanita itu sendiri menafikan istilah “serbuan” yang digunakan pelbagai media.

Baru-baru ini juga muncul kes pegawai jabatan agama Islam “merampas” jenazah seorang wanita Cina di Pulau Pinang kerana khabarnya arwah beragama Islam.

Kes selesai secara “baik” selepas mahkamah Syariah memutuskan mendiang tidak beragama Islam.

Kes-kes “terpencil” seperti ini mungkin sahaja menimbulkan kebimbangan, kerisauan dan rasa was-was masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam terhadap status agama masing-masing.

Dalam kes pengantin wanita yang dikatakan “masih Islam”, timbul pelbagai pendedahan menerusi media alternatif yang berwibawa bahawa dia khabarnya hanya Islam pada nama.

Seorang suri rumah, Amreet Kaur dari Johor berkongsi pandangan menerusi mesej Facebook kepada saya. Dia hairan kerana pengantin wanita itu ternyata hanya Islam pada nama tetapi mengamalkan cara hidup Hindu.

Masyarakat umum tentu juga masih ingat akan kes seorang pendaki Gunung Everest yang hanya diketahui sudah masuk Islam selepas beliau meninggal dunia. Si isteri tampil mengesahkan bahawa suaminya tidak pernah “hidup” sebagai orang Islam.

Dalam isu seperti ini, saya teringat akan tulisan Mohd Salleh Abas dalam buku “Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia” (2006) yang mungkin boleh dijadikan panduan.

Katanya, “untuk menjadi seorang Melayu, seorang itu mestilah beragama Islam, walaupun dia mungkin tidak mengamalkan Islam sepenuhnya atau menjadi penganut Islam yang taat”.

Apa-apa pun, kes-kes berkaitan status agama yang khabarnya ketara berlaku sejak Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri (1982) membuatkan saya secara peribadi mahu memastikan keluarga saya tidak terlibat dalam masalah apabila saya meninggal dunia.

Saya turut mengingatkan serta menasihatkan menerusi paparan status Facebook supaya orang bukan Melayu dan bukan Islam, khususnya, menyemak status agama dalam dokumen rasmi sebelum terlewat.

Kejutan demi kejutan di pejabat JPN

Pada 13 Jun 2014, saya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Selangor di Shah Alam untuk menyemak status agama saya dalam sistem komputer.

Apabila ditanya petugas di kaunter tentang tujuan saya mahu melakukan semakan tersebut, saya berterus-terang bahawa saya tidak mahu timbul apa-apa masalah – khususnya perebutan jenazah – apabila saya meninggal dunia.

Saya perlu menyatakan bahawa beberapa petugas JPN yang saya terpaksa berurusan pada hari berkenaan memang memberikan kerjasama dan perkhidmatan yang sangat baik, mengikut batas kemampuan mereka.

Semakan dilakukan dalam masa beberapa minit sahaja. Saya terasa lega kerana status agama yang tercatat pada maklumat kandungan cip kad pengenalan (MyKad) “melepaskan” saya daripada sebarang masalah atau kemungkinan perebutan jenazah antara jabatan agama Islam dan keluarga saya.

Bagaimanapun, saya terkejut kerana maklumat keturunan saya yang terpapar pada salinan maklumat kandungan cip yang dicetak oleh petugas di kaunter JPN berbeza dengan maklumat sebenar.

Saya terpaksa pergi ke kaunter lain untuk mendapatkan penjelasan. Petugas kaunter melakukan semakan dalam talian dan mengatakan bahawa maklumat dalam sistem JPN memang mencatatkan keturunan saya sebagaimana yang keluar dalam salinan cetakan itu.

Tentulah saya berasa amat hairan dan terkejut kerana sehingga Jun 2011 (iaitu sebelum saya menukar MyKad yang rosak), maklumat “keturunan” saya tidak mengalami apa-apa perubahan. Apatah lagi perubahan tanpa pengetahuan saya!

Malah, dua hari selepas kunjungan saya ke pejabat JPN, apabila anak saya yang berumur 12 tahun mendapat tahu mengenai kejadian ini, dia juga bertanya (dan tertanya-tanya) bagaimana keturunan seseorang boleh berubah atau diubah!

Berbalik kepada pengalaman di JPN Shah Alam, saya menjelaskan kepada petugas di kaunter bahawa maklumat keturunan yang kini terdapat dalam sistem mereka adalah berbeza dengan maklumat sebelum ini – yakni berbeza dengan maklumat yang sahih.

Petugas berkenaan juga hairan kerana beliau memahami keturunan tidak boleh berubah atau diubah. (Kecuali dalam kes beberapa orang bukan Melayu yang “masuk Islam” dan “masuk Melayu” lalu menjadi orang keturunan Melayu; tetapi itu adalah cerita lain.) Beliau meminta saya menunjukkan sijil kelahiran untuk membantunya membuat semakan.

Petugas tiada kuasa membantu

Tentulah saya tidak membawa bersama-sama sijil kelahiran (asal mahupun salinan) kerana tujuan asal saya ke JPN hanya untuk menyemak status “agama” dalam sistem rasmi kerajaan.

Oleh sebab itu, saya diminta (dinasihatkan secara penuh prihatin dan sopan) supaya pergi ke tingkat yang satu lagi untuk memohon salinan sijil kelahiran.

Proses di sana juga tidak mengambil masa yang lama. Borang diisi dan dikemukakan di kaunter berkenaan. Saya hanya perlu menjelaskan tujuan saya mahu mendapatkan salinan sijil kelahiran.

Petugas di kaunter juga faham betapa pentingnya maklumat “keturunan” dalam dokumen rasmi, khususnya MyKad. Beliau segera melakukan semakan dalam talian.

Betapa saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa maklumat keturunan saya dalam sijil kelahiran adalah sama dengan maklumat kandungan cip MyKad tadi!

Tentulah saya tertanya-tanya bagaimana keturunan saya boleh berubah atau diubah. Saya menjelaskan bahawa keturunan saya seperti yang tercatat pada dokumen perakuan beranak (atau surat beranak) adalah sahih dan tepat.

Bagaimanakah maklumat dan fakta itu boleh diubah sewenang-wenangnya? Untuk meredakan kebingungan, saya bertanya sama ada keturunan sebenar saya terdapat pada pilihan yang ada dalam sistem berkomputer JPN.

Petugas terbabit mengesahkan pilihan itu memang ada. Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa beliau tidak ada hak atau kuasa untuk melakukan sebarang pindaan (pembetulan) pada dokumen rasmi itu secara dalam talian.

Saya amat memahami dan tidak menyalahkan beliau dalam hal ini. Sayangnya saya juga tidak membawa surat beranak sebagai bukti. Malah, kalau dibawa sekalipun, JPN Shah Alam tidak boleh membantu kerana ia di luar bidang kuasa mereka.

Saya mendapatkan salinan rasmi sijil kelahiran itu dengan bayaran RM5 untuk dibawa ke JPN Negeri Perak di Ipoh untuk menguruskan isu ini.

Tambahan pula, bukan hanya “keturunan” menjadi masalah tetapi ada beberapa maklumat lain yang memerlukan perhatian.

Maklumat agama tidak diperolehi

Bayangkan bahawa agama saya dalam sijil kelahiran direkodkan secara rasmi sebagai “Maklumat Tidak Diperolehi”. Begitu juga dengan status agama ibu dan bapa.

Tentulah perkara ini membuka laluan kepada pelbagai kemungkinan. Lihat sahaja pada hakikat bahawa keturunan saya yang sudah tercatat dalam surat beranak (perakuan beranak) sudah ditukar tanpa pengetahuan saya dalam sijil kelahiran (berkomputer) dan MyKad.

Memanglah surat beranak pada masa dahulu hanya bertulis tangan serta tidak ada ruangan khas bagi maklumat agama. Akan tetapi, bolehkah sewenang-wenangnya direkodkan sebagai “Maklumat Tidak Diperolehi” apabila sistem berkomputer dikemas kini?

Bayangkan kalau ada “tangan-tangan ghaib” yang menukar status agama ibu, bapa dan saya sendiri dalam sijil kelahiran saya daripada “Maklumat Tidak Diperolehi” kepada suatu agama lain yang mungkin menyebabkan jenazah saya menjadi rebutan suatu hari nanti.

Harap maklum bahawa pandangan dan maklumat yang saya kemukakan di sini adalah berdasarkan pengalaman tetapi tidak berniat memperlekeh atau menghina mana-mana agama.

Maklumat “keturunan” saya dalam cip MyKad juga tidak didedahkan di sini demi tidak mahu menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.

Sesungguhnya ajal dan maut di tangan Tuhan. Maka saya perlu mencari ruang dan peluang untuk pergi ke JPN di Ipoh untuk membetulkan pelbagai kesalahan fakta yang tercatat pada sijil kelahiran dan MyKad saya.

Mungkin ada pihak yang menganggap perkara ini sebagai hal remeh-temeh dan tidak perlu diperbesarkan – apatah lagi menulis makalah khusus mengenainya.

Bagaimanapun, di negara bertuah ini, segala-galanya adalah mungkin. Saya tidak mahu mengambil apa-apa risiko berikutan sikap “tidak apa”.

Memandangkan keturunan saya sudah berubah dan diubah dalam sistem berkomputer JPN tanpa pengetahuan dan tanpa kebenaran saya, tidak mustahil keturunan anak-cucu saya juga akan diubah dengan alasan perlu selari dengan keturunan bapa/datuk.

Atas sebab itulah juga, seperti yang saya nyatakan menerusi Facebook, saya menasihatkan semua orang – khususnya bukan Melayu dan bukan Islam – melakukan semakan maklumat kandungan cip MyKad dan sijil kelahiran di mana-mana pejabat JPN.

Ingat: Ini hanyalah peringatan dan nasihat, bukan hasutan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian mungkin jenazah menjadi rebutan. – 16 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments