Opinion

Anak muridku suka Israel

Baru-baru ini tersebar ura-ura dan cadangan seorang menteri mahu menyekat penggunaan laman rangkaian sosial Facebook oleh rakyat Malaysia.

Sesungguhnya ada kesan baik dan buruk. Semuanya berbalik kepada etika, tahap mentaliti, sikap dan jati diri pengguna.

Samalah seperti sebatang mancis yang boleh digunakan sama ada untuk memasang pelita (yang menerangkan kegelapan) atau membakar rumah (yang membawa kemusnahan).

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan berkongsi pandangan menerusi Facebook pada 11 Ogos 2014.

"Media sosial ialah wadah atau alat. Pengisiannya ditentukan oleh manusia. Jika hendak isi wadah baik, isikanlah yang baik-baik ke dalam wadah itu. Membuang wadah hanya kerana ada manusia yang mengisikannya dengan yang tidak baik tentu bukan langkah yang bijak," katanya.

Pelajar tingkatan lima di Nibong Tebal, Pulau Pinang disiasat di bawah Akta Hasutan kerana 'like' I Love Israel di Facebook. Pelajar tingkatan lima di Nibong Tebal, Pulau Pinang disiasat di bawah Akta Hasutan kerana 'like' I Love Israel di Facebook. Kebetulan, pada masa yang sama juga saya mendapat maklumat mengenai penyalahgunaan Facebook oleh beberapa guru di sekitar Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang.

Seorang guru lepasan pengajian Matematik dari Maktab Perguruan Persekutuan Pulau Pinang didapati memaparkan tangkapan skrin (screenshot) seorang pelajar yang kononnya menyukai (like) laman "I Love Israel".

Guru wanita itu yang menggelarkan dirinya "Cekgi" memaparkan komen "Anak muridku suka Israel? Buat malu cikgu saja."

Seorang lagi guru lepasan ijazah sarjana muda seni halus Universiti Sains Malaysia (USM) yang tinggal di Simpang Ampat, Pulau Pinang menulis komen berbentuk hasutan:

"Sedangkan sekutunya (Israel) kita boikot, ini apakan lagi budak ni. Boikot saja. Aku sebagai guru tidak pernah kenali pelajar ini. Mulai hari ini dan seterusnya, boikot, jangan berkawan atau berkomunikasi dengannya. Kenyataan yang dibuat menyakitkan hati masyarakat lain."

Komen susulan datang daripada seorang lagi guru wanita: "Kita bakor je" (Kita bakar saja).

Kuasa media sosial, media alternatif bergabung

Selepas tiga guru ini melakukan penghinaan, hasutan dan ugutan, beberapa pelajar yang juga merupakan rakan kepada individu terbabit turut menulis komen yang berbentuk negatif.

Melawan api biarlah dengan api juga. Maka kejadian itu saya paparkan kepada umum menerusi Facebook pada Isnin lalu:

"A secondary school student allegedly 'liked' a 'I Love Israel' page on Facebook. A teacher made a screenshot of it and spread it among the school teachers and students. Other teachers asked teachers and students to boycott the student. 'Let's burn him alive,' one teacher suggested. The student is now afraid to go to school."

Kuasa media sosial digabungkan pula dengan kuasa media alternatif sehingga akhirnya "berita" mengenai perbuatan guru itu sampai kepada pengetahuan orang ramai.

Pihak berkuasa yang pada mulanya nampak kurang memberikan perhatian terhadap kes pelajar yang teraniaya dan terancam ini, tiba-tiba bangkit berusaha untuk "menyelamatkan" keadaan.

Antara soalan pertama yang dikemukakan adalah "Macam mana berita ini sampai kepada Uthaya Sankar SB?"

Mungkin pihak berkuasa kurang mengetahui kuasa sebenar media sosial dan bagaimana seorang pengamal media beroperasi.

Selepas beberapa media menyiarkan berita mengenai insiden guru menghasut pelajar diboikot dan dibakar, barulah timbalan menteri dan jabatan pendidikan mula menunjukkan minat untuk menyelesaikan masalah secara dalaman.

Peluang itu sebenarnya sudah diberikan pada awal kejadian tetapi dipandang sipi pihak terbabit.

Untuk berlaku adil, kenyataan media berhubung kejadian itu hanya dibuat apabila pihak berkenaan gagal menyelesaikan segera isu, walaupun selepas ibu bapa mangsa pergi ke sekolah untuk mengadakan pertemuan dengan guru-guru terbabit.

Dua hari kemudian, saya menggunakan Facebook untuk mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa yang khabarnya sudi meluangkan masa turun padang ke sekolah terbabit untuk membantu menyelesaikan isu.

Ini ternyata bukan kes terpencil

Saya sudah sedia maklum Facebook saya dipantau dan apa-apa yang saya paparkan (semuanya memang "public") direkodkan pihak berkenaan; malah ditayangkan sebagai slaid semasa sesi taklimat khas.

Maka saya mengambil kesempatan menggunakan media sosial itu sendiri untuk berinteraksi secara sehala dengan mereka yang memantau saya.

Dalam pada itu, guru yang mencadangkan "boikot, jangan berkawan atau berkomunikasi dengannya" didapati sudah tiada di Facebook; mungkin atas nasihat pihak tertentu.

Guru-guru lain juga segera cuba menutup bangkai gajah dengan daun nipah tetapi bau busuk tetap terhidu ke seluruh alam.

Begitulah, berita mengenai pelajar yang menjadi mangsa dalam kes ini tersebar seperti api ke seluruh negara. Malah media antarabangsa juga menyiarkannya dalam pelbagai bahasa.

Tinjauan mendapati bukan hanya "Cekgi" tapi beberapa guru lain turut menjadi batu api dan pencetus kebencian dalam kalangan pelajar.

Agak merisaukan apabila membaca pelbagai catatan dan komen berupa hasutan, politik, makian dan perkauman di akaun Facebook milik beberapa guru yang saya pantau dengan bantuan rakan.

Pemantauan turut dilakukan terhadap beberapa akaun yang tiba-tiba sudah dinyahaktifkan (deactivated) dan catatan yang disangka sudah dibuang (deleted) secara tergesa-gesa sejak berita hasutan tersebar di media.

Jangan pandang rendah kuasa media sosial dan media alternatif, serta kuasa minoriti tertindas.

Demikian juga saya tegaskan menerusi Facebook, supaya mesej turut sampai secara terus kepada pihak berkenaan yang terlibat dalam insiden ini.

Rakyat perlu bersuara demi keadilan

Khabarnya ada pihak yang mengugut mahu membuat laporan polis berhubung pendedahan, komen dan kritikan saya di Facebook.

Baguslah! Saya boleh terlibat secara langsung dalam kes hasutan berbaur perkauman itu.

Mangsa sebenar dalam kejadian ini adalah pelajar yang diboikot selepas hasutan dilakukan secara terang-terangan oleh beberapa guru.

Agak pelik apabila Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan pelajar itu sendiri yang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 berikutan tindakannya yang dikatakan "mencetuskan kontroversi dalaman kalangan warga sekolah itu" (Utusan Online, 13 Ogos 2014).

Serta-merta pihak berkuasa menjadi bahan cemuhan dan kritikan orang ramai yang hairan dan marah dengan "kebodohan" yang dipamerkan secara terang-terangan.

Selain daripada menyedari kuasa media sosial dan media alternatif, pihak berkuasa juga perlu sedar kuasa orang ramai.

Rakyat pasti saja tidak akan berpeluk tubuh dan menutup sebelah mata apabila kezaliman, penindasan dan ketidakadilan seperti ini berlaku secara terang-terangan.

Pelajar terbabit pergi membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri berikutan hasutan dan ancaman yang dilakukan beberapa guru menerusi Facebook.

Tetapi, kini pelajar (mangsa) pula yang mahu dipersalahkan dengan pertanyaan "Mengapa awak menyukai laman Israel itu?" dan "Bagaimana awak kenal Uthaya Sankar SB?"

Saya berharap orang ramai akan memantau perkembangan kes ini secara teliti supaya jangan pula pesalah (guru) terlepas dan dinaikkan pangkat serta diumumkan sebagai guru cemerlang; manakala mangsa (pelajar) dizalimi dan ditindas semata-mata kerana suaranya hanyalah suara minoriti.

Orang ramai boleh melengkapkan diri dengan membaca maklumat penuh mengenai kes ini menerusi catatan di www.uthayasb.blogspot.com supaya mampu bersuara lantang mempertahankan pelajar berkenaan. – 18 Ogos, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments