Opinion

Akta Hasutan dan Pulau Pendatang

Menerusi berita bertajuk "Pindaan Akta Hasutan sekat gurauan dan satira" di portal berita The Malaysian Insider pada 23 April 2015, dinyatakan bagaimana pindaan pada akta berkenaan yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 9 April 2015 turut memberi kesan terhadap penulisan berbentuk jenaka, gurauan, sindiran dan satira.

Sebaik membaca berita itu, saya tersenyum kambing kerana kumpulan cerpen berjudul Pulau Pendatang yang bakal saya lancarkan pada 17 Mei 2015 memang bersifat jenaka, sindiran, satira dan gurauan.

Kebanyakan daripada karya yang termuat dalam buku itu berbentuk "faksyen" iaitu karya "fiksyen" yang ditulis berdasarkan "fakta" dan kejadian sebenar yang diketahui umum.

Unsur faksyen sebenarnya bukan sesuatu yang baru dalam dunia sastera antarabangsa. Saya sudah biasa menggunakannya dalam kebanyakan karya sejak lebih dua dekad lalu.

Senario politik sering menjadi pencetus idea yang membuatkan saya ketawa sendirian dan seterusnya berkongsi kisah itu bersama khalayak dalam bentuk karya kreatif dan imaginatif.

Kebangangan yang ditonjolkan oleh politikus, kuasawan, pemerintah dan menteri menjadi bahan jenaka orang ramai di media sosial. Saya pula berusaha merakam dan mendokumentasikan kisah-kisah "bangang macam menteri" dalam bentuk cereka.

Unsur faksyen yang "ditulis berdasarkan pelbagai insiden sebenar kecuali dapat dibuktikan sebaliknya" lebih ketara dalam siri faksyen yang berlatarkan Pulau Cinta dalam buku Pulau Pendatang.

Dalam satira atau faksyen "Wanita Farsa" misalnya, muncul watak bernama Wanita Farsa (Farce Lady bukan First Lady) yang bertubuh gempal dan berambut palsu meninggi, serta bercita-cita menjadi wanita paling terkenal di seluruh dunia.

Watak-watak Rama, Ravana, Mahabali dan seumpamanya yang biasa dikenali khalayak menerusi epik dan purana India muncul kembali dalam bentuk satira menerusi beberapa karya dalam buku ini yang memuatkan 20 cerpen.

Seorang wanita jelita bernama Magnolia menerima kesan buruk dalam percaturan politik di Pulau Cinta apabila cebisan mayatnya ditemui berkecai di atas bukit.

Pada 12 Oktober 2008, akhbar Mingguan Malaysia menyiarkan cerpen berjudul "Politik Baru YB J" yang kononnya ditulis oleh Datuk Chamil Wariya. Penulis itu pada mulanya menegas karya berkenaan "hanya rekaan semata-mata. Watak-wataknya adalah rekaan yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup dan mati".

Beberapa tahun kemudian, Chamil mengakui manuskrip asal telah diubah dan dirombak pemilik akhbar sehingga karya yang tersiar itu bukan lagi karya asal seperti ditulisnya.

Dalam konteks kumpulan cerpen Pulau Pendatang pula, buku berkenaan saya sunting dan terbitkan sendiri. Maka, tidak timbul isu saya akan membuat kenyataan kononnya penerbit telah mengubahsuai karya asal saya.

Politikus menjadi sumber cerita faksyen

Sepertimana ditegaskan pada prakata buku, apa yang terkandung dalam karya faksyen bukanlah idea yang muncul daripada khayalan. Sebaliknya, perkara-perkara sebenar yang berlaku dalam realiti. Apa yang termuat di dalamnya adalah kejadian sebenar, kecuali dapat dibuktikan sebaliknya.

Sejak beberapa minggu lalu, perkembangan politik di Malaysia membuatkan saya tertanya-tanya apakah politikus tertentu sudah mendapat akses dan membaca manuskrip buku saya sebelum ia terbit!

Hal ini kerana pelbagai isu dan perkara yang diperkatakan menerusi karya saya seolah-olah berlaku dalam realiti. Nampaknya benarlah kata pujangga, ada masa karya meniru realiti dan ada masa realiti meniru karya.

Konsep yang saya terapkan menerusi buku berkenaan adalah "remaja menuju dewasa". Maknanya, ada beberapa cerpen yang berciri remaja dan sesuai bagi bacaan remaja akhir.

Bagaimanapun, pembaca remaja berkenaan akan ditarik secara paksa untuk masuk ke dalam pelbagai isu dewasa yang memerlukan mereka turut mendewasakan diri dan berfikir secara matang.

Misalnya, dalam sebuah cerpen, para pelajar sebuah kelas berdepan tugas berat memilih ketua kelas yang mampu mewakili mereka semua. Seorang calon cuba menggunakan sentimen "kaum India miskin" bagi meraih undi dalam karya yang berdasarkan kisah sebenar semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (2013).

Faksyen yang lain pula menampilkan kisah pemilik Gerai Bijan yang berada dalam dilema untuk menghidangkan bubur terakhir kepada penduduk sebuah kampung sebelum tempoh kontrak bekalan bubur berakhir.

Terdapat juga kisah seorang pemilik gerai dituduh menodai bubur milik salah seorang pekerjanya dengan memasukkan jari ke dalam bubur. Tentu sahaja kisah-kisah ini berciri satira, sindiran dan faksyen.

Politikus sering melaga-lagakan golongan majoriti dengan golongan minoriti demi keuntungan peribadi. Hal seperti ini sering kita perhatikan sendiri di depan mata.

Sering kali, selepas melakukan provokasi secara bijak dan terselindung - "baling batu sembunyi tangan" - politikus sendiri akan muncul sebagai wira yang kononnya mahu berjuang demi perpaduan dan integrasi antara kaum dan agama.

Kisah mengambil latar Ogos 2015

Kejadian agak aneh berlaku di sebuah kampung apabila seorang pemuda - si anak bongsu dalam keluarga - menuntut hak eksklusif menggunakan gelaran "Ayah" apabila merujuk kepada bapanya. Maknanya, adik-beradiknya tidak ada hak memanggil bapa mereka dengan gelaran itu.

Penduduk majoriti di sebuah pulau pula mula sedar realiti peminggiran dan penipuan yang dilakukan oleh pemimpin mereka sendiri. Mereka sedar bahawa segala hak mereka bukannya dirampas oleh golongan minoriti seperti disangka selama ini.

Saya yakin para pembaca dalam mengagak dengan tepat dan tanpa sebarang masalah, siapakah watak-watak yang ditampilkan menerusi karya-karya dalam buku Pulau Pendatang.

Siri cerpen berlatarkan Pulau Cinta dan Pulau Sayang digambarkan berlaku pada Ogos 2015, iaitu apabila api perkauman yang sengaja dicetuskan pemimpin, politikus dan kuasawan semakin memuncak.

Tidak ada satu pun cerpen-cerpen dalam koleksi Pulau Pendatang berasaskan imaginasi dan khayalan semata-mata. Sebaliknya, kesemuanya adalah bersumberkan pelbagai kisah dan kejadian sebenar yang berlaku di depan mata orang ramai.

Dengan sedikit sentuhan imaginasi dan daya kreativiti, cerpen-cerpen berbentuk faksyen dihasilkan untuk membantu orang ramai turut "menikmati" manipulasi yang dilakukan kuasawan dan politikus dengan pelbagai cara tersendiri.

Maka, jika benar pindaan pada Akta Hasutan turut memberi hak kepada pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap karya-karya berbentuk satira, sindiran dan faksyen, maka Pulau Pendatang secara umum memenuhi syarat-syarat berkenaan.

Ramai yang sudah membuat tempahan awal berbayar dan buku akan dikirim kepada mereka sebaik terbit. Maklumat mengenainya boleh dirujuk di blog saya.

Saya percaya ramai lagi penulis dan sasterawan yang akan meneruskan hak dan kebebasan mengkritik menerusi karya sastera tanpa tunduk kepada sekatan dan halangan yang bukan-bukan daripada pemerintah.

Seperti ditegaskan empat Sasterawan Negara dalam kenyataan bersama bertarikh 8 Mac 2011: "Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian."

Atau mungkinkah kebanyakan penulis akan memilih untuk "bersama kerajaan" seperti dikatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Januari 2014? – Bernama, 27 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments