Opinion

‘Timing’ dalam politik

Untuk menikmati satu perjalanan selesa dan tiada halangan dari rumah ke pejabat setiap pagi hari kerja sebenarnya tidak mudah.

Antara syarat utama ialah tiada kemalangan kecil walaupun beratus ribu kereta memenuhi lebuhraya pada satu-satu hari tersebut. Ini bermakna semua pemandu kereta bertindak dalam keadaan cermat pada hari tersebut.

Bukan itu sahaja, dalam beratus ribu kereta tersebut, tiada satupun kereta yang mengalami masalah sehingga terpaksa berhenti di tepi jalan. Ini boleh dikira sebagai ajaib.

Namun, berapa manusia yang reti menghayati keajaiban dan kesyukuran di sebalik perkara semudah ini setiap kali ia berlaku?

Begitu juga dunia politik. Bukan mudah untuk Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Selain ketokohannya, beliau turut dibantu rakan-rakan politik yang setia, musuh yang bodoh dan lemah, pembangkang yang tidak reti hidup bersatu dan juga zaman tidak berinternet.

Bagaimana pula dengan Datuk Seri Najib Razak? Apakah yang menyebabkan beliau dapat bertahan sebegitu lama di dalam politik sehingga menjadi perdana menteri Malaysia yang sudah masuk tahun ketujuh meskipun terpalit dengan pelbagai tohmahan dan skandal berskala besar?

Apa yang dicapai Najib sehingga kini boleh dikira sebagai ajaib. Bayangkan, beliaulah perdana menteri pertama yang terpaksa mentadbir tanpa negeri lubuk emas setelah Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selepas pilihan raya utama (PRU) ke-12 pada tahun 2008.

Beliau juga perdana menteri yang pertama yang terpaksa menghadapi parti-parti pembangkang Malaysia yang bersatu dan dipimpin bekas anak didik Dr Mahathir – Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bukan itu sahaja, Najib juga merupakan perdana menteri yang pertama hidup berpolitik tanpa ISA sebagai senjata.

Berdasarkan semua senario di atas, tiada siapa yang meramalkan Najib boleh bertahan sehingga hari ini walaupun terpaksa dengan pembangkang dan suara pengkritik terpedas negara, Dr Mahathir.

Jadi, apakah rahsia kejayaan Najib? Apakah nasib yang menyebelahi Najib? Ataupun ketokohan Najib yang membawa beliau ke hari ini?

Setelah penulis membaca kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas digantung sebagai timbalan presiden Umno yang berbunyi: “Mengenai wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadi Najib dari SRC International, saya diberitahu mengenainya oleh mantan peguam negara sendiri beserta dengan buktinya sekali yang sah merupakan suatu perbuatan jenayah! Saya beristighfar!”

Penulis membuat kesimpulan faktor kejayaan terbesar Najib ialah beliau dibantu musuh-musuh politiknya yang bermasalah dan lemah berstrategi di dalam dan di luar Umno.

Tidak percaya?

Cuba renungkan siapakah yang membantu Najib menjadi perdana menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau sedang diserang hebat dalam "kes Mongolia"?

Siapa yang tidak mencabar Najib di pemilihan Umno sebagai presiden walaupun keputusan PRU13 lebih teruk daripada apa yang dicatat Abdullah?

Siapa yang tidak bersuara demi rakyat ketika mengetahui Najib menghadapi masalah?

Siapa yang sudi anaknya menjadi menteri besar Kedah walaupun tidak senang dengan Najib?

Siapa pula yang membuat Langkah Kajang sehingga pembangkang berpecah habis?

Siapa pula yang tubuh parti baru yang memecahkan dan melemahkan saingan Umno yang paling kuat di pilihan raya?

Siapa yang bertindak secara diktator memecat ahli rakan politik lain di dalam syarikat kerajaan negeri kerana tidak mendengar cakap sehingga tindakan Umno menggantung Muhyiddin sebagai timbalan presiden dilihat sekadar sama dari segi pembandingan?

Bayangkan kalau Muhyiddin membuat kenyataannya di atas ketika beliau masih timbalan perdana menteri? Siapa yang bakal susah dan siapa yang bakal dilonjak ketika itu? Malangnya, "timing" beliau dah terlambat.

Di dalam politik, "timing" adalah sangat mustahak. Ya, Najib ada masalah dan bermasalah tapi beliau tiada masalah "timing".

Segala yang dilakukannya kini boleh dikatakan tepat pada waktunya. Dengan musuh-musuh politik beliau yang mempunyai masalah "timing" seperti yang ada pada hari ini, masalah beliau tidak membesar malah mengecil.

Oleh itu, Najib masih dapat bertahan. Ironinya, ia bukan kerana Najib hebat, atau situasi menyebelahinya, tapi kerana musuh-musuh politiknya semua bermasalah. – 29 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments