Opinion

Taktik Dr Mahathir

Menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak barangkali merupakan pertarungan politik terbesar dan terakhir bagi Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menjangkau umur 90 tahun.

Pengembaraan politik umpana naik bukit dan turun bukit. Dr Mahathir tahu Umno sudah melepasi peringkat naik bukit dan kini memasuki zon turun bukit.

Isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) amat merisaukan Dr Mahathir, tetapi beliau tidak mempunyai penyelesaian yang konkrit untuk rakyat.

Apakah Dr Mahathir akan dapat membatalkan GST? Tidak.

Apakah Dr Mahathir ada cara lain membayar hutang RM42 bilion 1MDB tanpa menggadaikan tanah bernilai milik kerajaan TRX dan Bandar Malaysia? Ini juga tidak.

Hakikatnya, sesiapa yang menerajui Umno selepas Najib tidak akan dapat membersihkan rakyat daripada masalah GST dan 1MDB.

GST yang terlaksana akan terus menyebabkan inflasi dan kenaikan harga barangan menjadi isu besar pada rakyat pada tahun-tahun akan datang. Kerajaan pula tidak dapat melarikan diri daripada hutang 1MDB yang dijaminnya.

Masalah Umno bukan pada Najib sahaja. Masalah Umno ialah budaya pentadbirannya yang dibawa sejak zaman Dr Mahathir.

1MDB, GST, NFC, Perwaja, MAS dan PKFZ segalanya mempunyai ciri-ciri kontroversi yang sama. Satu persamaan yang lebih menyayatkan hati ialah beban kesemua ini ditanggung rakyat jelata.

Dr Mahathir terkenal dengan strategi politiknya. Namun, masalahnya ialah beliau sayang Umno Baru melebihi nasib rakyat. Bagi beliau, Umno tetap ialah pilihan terbaik untuk rakyat.

Maka, rakyat perlu dilupakan mengenai kemungkaran Umno. Oleh itu, Dr Mahathir terpaksa bertindak apabila melihat bahayanya isu 1MDB dan dan GST yang melekat di memori rakyat kepada nyawa politik Umno.

Menyerang dan membenamkan Najib dengan segala kesusahan dan masalah negara yang sedang melanda rakyat adalah taktik Dr Mahathir untuk menyelamatkan Umno.

Dr Mahathir perlu mendesak Umno agar Umno sendiri yang menghukum Najib dan bukannya rakyat. Rakyat mesti dihindarkan daripada menghukum Najib, kerana Umno juga akan dihukum bersama.

Rakyat tidak boleh diberikan peluang untuk menentukan siapa perdana menteri yang baru. Biar Umno menentukan sendiri.

Jika Umno dapat menghukum Najib terlebih dahulu, pandangan rakyat dapat dialihkan daripada kemungkaran yang dilakukan oleh Umno selama ini.

Umno akan kelihatan sudah dibersihkan di mata rakyat meskipun GST terus menjerut leher rakyat dan bersama hutang 1MDB.

Ini adalah taktik Dr Mahathir. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sudah bersaing dengan Dr Mahathir sekian lama di medan politik negara sudah pasti dapat menghidu taktik ini.

Sebab itu, beliau menjadi orang pertama yang menyarankan agar Najib diberikan peluang untuk meneruskan khidmatnya sebagai perdana menteri. Dipercayai tujuan beliau adalah untuk menggagalkan taktik Dr Mahathir menggunakan peluang ini untuk menyucikan Umno sebelum mahkamah rakyat dibuka di PRU14 nanti.

Najib kekal, GST dan 1MDB terus kekal di minda rakyat. Itulah yang ditakutkan Dr Mahathir tetapi diinginkan Hadi. – 17 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments