Opinion

Tak perlu terkejut dengan permintaan terhadap warga asing

Pekerja asing ada di sekeliling kita.

Siapa yang menyapu daun-daun pokok dan sampah di tepi jalan?

Siapa yang menjadi juruwang di kedai-kedai makanan segera?

Siapa yang sedang panjat tinggi itu di kawasan pembinaan MRT?

Siapa yang tengah baiki jalan berlubang di jalan raya?

Siapa yang sedang mencuci tandas di RnR lebuhraya?

Siapa yang sedang bersidai panas mengangkut konkrit membina sekolah dan hospital?

Siapa yang sedang menjual barang-barangan ciplak di Petaling Street dan sekitar Sogo dan Kuala Lumpur?

Siapa yang sedang menghantar makanan pesanan ke rumah ketika hujan?

Siapa yang sedang menjadi tukang kutip sampah di kawasan perumahan?

Siapa yang sedang menjadi tukang masak dan bancuh air di kedai-kedai makan biasa?

Siapa yang sedang menjaga kedai serbaneka 24 jam seperti 7-Eleven?

Ada siapa orang Malaysia yang mahu anak mereka bekerja di bawah panas terik?

Ada siapa orang Malaysia yang tidak mahu anak mereka kerja senang-lenang – sekurang-kurangnya duduk di pejabat?

Ada siapa orang Malaysia yang mahukan anak dia terima gaji rendah, selain kerja dengan kerajaan?

Hakikatnya, rakyat Malaysia kini, dalam kata yang lebih sedap didengar, lebih mementingkan gaji dan di mana seseorang akan bekerja.

Rakyat Malaysia, jika terpaksa, lebih suka mencari pendapatan berniaga di pasar malam dan online, skim-skim ala-cepat kaya dan kerja bergaji rendah di tempat berhawa dingin daripada kerja-kerja pembinaan dan membersihkan yang susah dan kotor.

Jadi, tak perlu terkejut kalau kerajaan menyatakan bahawa negara ada permintaan tinggi untuk warganegara Bangladesh bagi memenuhi pekerjaan rendah yang ada.

Realitinya, sebelum kerajaan mengumumkan ini, sekeliling kita sudah pun dipenuhi dengan warga asing di setiap pelosok hidup kita. Usahlah kita berpura-pura tak tahu. Dan tak payahlah kita buat rasa terkejut kononnya kita tidak sedar permintaan pekerja bergaji rendah daripada negara dunia ketiga ini sememangnya tinggi.

Ada yang bertanya mengapa warga Bangladesh sudi bekerja susah dengan gaji yang rendah? Bagi yang bertanya soalan ini, cuba renungkan mengapa pula warga Filipina dan Indonesia sanggup datang ke Malaysia bekerja sebagai pembantu rumah, dan bukan sebaliknya?

Mengapa pula tiada rakyat Singapura yang sudi datang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia?

Jawapannya mudah – sebab tukaran wang asing – di mana mata wang negara asing dilihat lebih bernilai daripada mata wang sendiri.

Kalau tak percaya, cuba pergi melawat Singapura. Lihatlah betapa ramainya rakyat Malaysia lepasan SPM yang sanggup bekerja di bidang pembinaan yang susah, hatta di 7-Eleven Singapura, tetapi tidak di Malaysia.

Di Singapura, mereka dianggap pekerja bergaji rendah, tapi apabila mereka membawa gaji mereka yang dibayar dalam duit Singapura kembali ke Malaysia untuk digunakan, mereka boleh dianggap bergaji sederhana ke mewah.

Jadi, punca kontroversi ini ialah duit. Di mana-mana, gaji menjadi kos terbesar satu-satu operasi syarikat. Semua syarikat berusaha mengurangkan kos ini jikalau ada jalan lain.

Rakyat Malaysia berasa gaji yang dibayar untuk kerja susah tidak setimpal dengan masa dan tenaga yang terpaksa dicurahkan, oleh itu mereka memilih untuk tidak melakukannya.

Keengganan rakyat Malaysia untuk bekerja pada gaji sedikit dan ketidaksanggupan syarikat menyelaraskan semua gaji untuk menarik minat rakyat Malaysia melahirkan satu kekosongan dalam sektor pekerjaan. Dan kekosongan ini akhirnya diisi oleh mereka yang sanggup mengambil gaji sedemikian.

Ada juga yang bertanya mengapa tidak mengambil dari Indonesia? Masih ingat lagi kontroversi pembantu rumah di mana Indonesia meletakkan syarat agar gaji pembantu rumah dari Indonesia dinaikkan? Permintaan kenaikan gaji itu menunjukkan taraf kehidupan rakyat Indonesia meningkat setapak.

Mungkin warga Bangladesh belum mencapai tahap itu. Jika mereka bertindak sedemikian, percayalah peluang akan dibuka kepada warga Nepal dan Myanmar pula selepas ini.

Mengimport warga Bangladesh tidaklah mengejutkan. Yang mengejutkan ialah kalau-kalau ada syarikat milik adik kepada menteri diberikan monopoli kontrak membawa warga Bangladesh masuk ke negara. – 15 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments