Opinion

Syok sendiri 6: Masalah pembahagian kerusi di Sarawak

Pada pilihan raya Sarawak 2011, BN memenangi 78% atau 55 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Daripada 55 kerusi ini, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyumbang 100% daripada 35 kerusi yang ditandinginya manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) memberikan kemenangan 89% atau 8 kerusi daripada 9 kerusi yang ditandinginya.

Ini diikuti dengan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang menyumbang 6 daripada 8 kerusi yang ditandinginya.

Parti paling lemah di dalam BN Sarawak ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di mana ia hanya berjaya memenangi 32% atau 6 daripada 19 kerusi yang ditandinginya.

Di sebelah pembangkang pula, DAP mendapat kerusi tertinggi dengan memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi. 12 kerusi yang dimenangi DAP adalah hasil daripada menumbangkan SUPP.

PKR hanya berjaya mencatat kemenangan 6%, atau 3 kerusi daripada 49 kerusi yang ditandinginya. PAS tidak berjaya meraih sebarang kerusi, namun jumlah kerusi yang ditandingi parti Islam itu hanyalah 5 kerusi.

Bebas pula mendapat 1 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus dengan mencatat kemenangan ke atas PRS dan juga PKR.

Masalah sama

Situasi pembahagian kerusi antara pembangkang di Sarawak adalah sama dengan situasi di Semenanjung di mana DAP membolot 74% iaitu 14 daripada 19 kerusi goyah BN yang ditandingi SUPP.

Lima kerusi SUPP yang lain ditandingi PKR, di mana PKR hanya berjaya mencatat kemenangan di 1 kerusi iaitu di DUN Batu Lintang. Dua kemenangan lain PKR adalah pertembungan dengan SPDP di DUN Krian dan DUN Ba’Kelalan.

PKR memikul tugas yang sangat berat di Sarawak bagi pihak pembangkang. Mereka terpaksa bertembung dengan PBB di 28 kerusi, SPDP di 7 kerusi dan PRS di 9 kerusi.

Di sinilah berlaku penggeseran antara PKR dan DAP – di mana PKR berharap DAP akan dapat memikul sedikit tugas melawan PBB di samping melepaskan beberapa kerusi melawan SUPP kepada PKR.

Sebolehnya PKR mengharapkan daripada 19 kerusi SUPP, 10 akan ditandingi DAP dan baki 9 ditandingi PKR pada pilihan raya Sarawak 2016.

Tiada pertembungan antara kerusi PAS dengan PKR mahupun DAP. PAS hanya bertembung dengan PBB di 5 kawasan.

Hanya ada satu kawasan yang dimenangi PBB dengan majoriti tipis iaitu di DUN Beting Maro, di mana calon  PAS dahulu sudah memasuki Amanah.

Dengan hanya 5 kawasan di tangan, PAS sudah tentu tidak akan melepaskan mana-mana kawasan yang sudah ditandinginya pada pilihan raya Sarawak 2011 yang lalu.

Pilihan raya Sarawak 2016

Terdapat 11 kerusi DUN yang baharu akan diperkenalkan di pilihan raya Sarawak 2016. Hanya 1 daripada 11 kerusi DUN ini adalah kerusi majoriti Cina iaitu DUN Batu Kitang – yang akan menjadi perebutan dan sengketa antara PKR dan DAP.

Sepuluh kerusi lagi adalah kerusi majoriti Iban (3), Bidayuh (2), Orang Ulu (2) dan Melanau/Melayu (3) yang dijangka akan ditandingi parti ketua menteri iaitu PBB.

Sepuluh kerusi ini susah dimenangi mana-mana pembangkang – dan PAS dan PKR dijangka akan membahagikan kerusi-kerusi ini antara mereka.

Melihat situasi pembahagian kerusi, DAP dan PKR tidak akan berkompromi untuk melepaskan mana-mana kerusi boleh menang kepada sesiapa. PAS pula akan terus berpegang dengan 5 kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya Sarawak 2011 dan juga beberapa kerusi baharu yang diperkenalkan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata baru-baru ini parti mereka mengharapkan kemenangan di Sarawak. Jika Mohamad ingin menjayakan hasratnya, maka Amanah perlu meminta kerusi daripada PKR mahupun DAP di mana-mana kerusi yang ditandingi SUPP.

Masalahnya apakah DAP sanggup melepaskan kerusinya berlawan dengan SUPP? Jika ia sanggup, apakah PKR tidak akan menyoal jika ia diserahkan kepada Amanah tetapi tidak kepada PKR sedangkan PKR sudah lama bertapak di Sarawak?

Itulah dilema pembahagian kerusi di Sarawak antara pembangkang. Nampaknya BN boleh terus senyum tanpa risau dengan PBB dijangka menambah kerusi sehingga 45 kerusi dan membentuk kerajaan sendiri di Sarawak tanpa memerlukan sesiapa pada pilihan raya Sarawak 2016. – 30 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments