Opinion

Susah bekerjasama, mudah bergaduh

Keengganan menerima perbezaan ideologi antara parti-parti komponen di dalam Pakatan Rakyat (PR), dan strategi politik yang masih berdasarkan faktor kaum punca utama keretakannya.

Hari ini, parti-parti politik di seluruh Malaysia masih merancang strategi mengikut cara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan pola pengundi mengikut kaum.

Berdasarkan pecahan pola pengundi sedemikian, maka datanglah soalan-soalan yang memecahkan kaum – bagaimana kita mahu menawan hati orang Melayu, Cina, India, Dayak dan sebagainya?

Parti yang memerlukan undi Melayu akan memainkan isu-isu yang berkait dengan sentimen orang Melayu dan Islam.

Parti yang memerlukan undi bukan Melayu juga melakukan benda yang sama mengikut kaum yang diraikan.

Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan adanya isu-isu sensitif yang disukai satu kaum tapi tidak kaum lain yang dibangkitkan demi keuntungan politik pada masa ke semasa. Bukankah ini sudah terang-bederang hari ini?

Alangkah bagusnya kalau PAS, DAP dan PKR boleh sama-sama mendesak agar SPR memecah pengundi mengikut umur ataupun jantina untuk Pilihan Raya Umum (PRU) 14. Ini akan memanfaatkan negara pada jangka masa panjang dan juga mewujudkan bangsa Malaysia yang diharapkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun begitu, realiti hari ini ialah antara PAS, DAP dan PKR, meskipun mereka bekerjasama dalam PR, tapi undi pokok yang diperlukan oleh ketiga-tiga parti adalah amat berlainan.

DAP bertanding di kawasan bandar dan majoriti bukan Melayu, seperti juga PKR. Kawasan pedalaman dan majoriti Melayu pula ditandingi PAS.

PAS pula lebih berpengaruh di sebelah Timur manakala PKR dan DAP pula lebih mementingkan kawasan di sebelah Barat, berserta Sabah dan Sarawak.

Semua ini menyebabkan pendekatan politik mereka menghadapi pengundi juga berlainan.

Untuk PR terus berkembang dalam keadaan sihat, PAS, DAP dan PKR perlu menerima yang masing-masing perlu mempunyai strategi tersendiri untuk menawan kawasan yang ditandingi mengikut dasar parti.

PAS akan menggunakan dasar Islamnya, DAP akan menggunakan dasar sekularnya manakala PKR pula akan menggunakan dasar kepelbagaiannya.

PAS perlu menerima DAP ialah sebuah parti yang sekular. DAP pula harus terima PAS ialah sebuah gerakan Islam. Dan PKR sebagai parti pelbagai harus memainkan peranan pengimbang perbezaan ideologi ini.

Bukan itu sahaja, PAS dan DAP mesti memberi ruang untuk sesama sendiri bagi memperjuangkan isu-isu mengikut dasar parti masing-masing. Tapi syaratnya satu, segala apa yang diperjuangkan mesti dilakukan secara demokrasi berparlimen.

Itu adalah konsensus yang perlu dicapai PR.

Konsensus untuk membiarkan parti-parti komponen memperjuangkan perbezaan secara sendiri, manakala bersepakat dalam memperjuangkan kesamaan yang dipersetujui bersama.

Jika konsensus ini boleh dicapai, DAP tidak perlu berasa pelik kalau PAS memperjuangkan hudud di Kelantan, manakala PAS pula boleh faham mengapa DAP ingin melakukan pilihan raya tempatan di Pulau Pinang.

Lebih elok lagi, kalau PR boleh mencapai konsensus di mana hanya negeri seperti Selangor sahaja (yang memerlukan ketiga-tiga parti untuk bekerjasama) untuk melaksanakan dasar PR yang dipersetujui bersama dan menghindari sebarang perkara tidak dipersetujui bersama.

Jika kedua-dua konsensus ini boleh dicapai, nescaya PR boleh bertahan selama-lamanya.

PR akan terus tenggelam jika ada mana-mana pihak yang terus memaksa PAS, DAP mahupun PKR untuk meninggalkan mana-mana dasar parti masing-masing jika ingin terus bekerjasama.

Itu bukan panggilan untuk bekerjasama, ini panggilan untuk menjahanamkan PR. Kalau tak percaya, lihatlah PR sekarang, bukankah itu puncanya yang menyebabkan mereka susah bekerjasama tapi mudah bergaduh? – 10 Februari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments